Support My Blog

Sunday, January 22, 2017

DAUN PALAS - KEGUNAAN (Part 1)

POKOK PALAS (Licuala grandis) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga ARECACEAE (palm tree) yang terdapat di Malaysia secara semualajadi. Ramai orang Malaysia mengaitkan pokok daun palas dengan 'KETUPAT PALAS' yang popular semasa sambutan Hari Raya AidilFitri atau Hari Raya Aidiladha. Bagaimanakah pencirian tumbuhan ini sebenarnya dan bolehkah tumbuhan ini di tanam secara komersial untuk pelbagai tujuan?. Tumbuhan ini dipanggil juga sebagai Fan Palm, Vanuatu Palm Palm dan di kawasan kita dipanggil sebagai Pokok Daun Palas. Pokok ini juga popular ditanam untuk tujuan landskap di kawasan rumah dan juga dikawasan taman-taman riadah oleh pihak berkuasa tempatan. Pokok Palas merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dengan mempunyai daun yang berwarna hijau berbentuk kipas yang cantik. Pokok ini adalah 'special' dan jarang-jarang dijumpai seperti tumbuhan lain didalam hutan ditempat kita. Hasil pembacaan dari beberapa sumber mendapati terdapat 5 jenis palas yang sering terdapat di Malaysia iaitu Palas Kipas (Licula grandis), Palas Duri (Licual sapinosa Roxb), Palas Bintulu (Licola bintuluensis), Palas Borneo (Licula cordata) dan Palas Sarawak (Licula orbicularis). Palas yang digunakan untuk tanaman hiasan dikeliling rumah sebagai pokok hiasan atau ornamental plants adalah dari jenis palas kipas yang tumbuh dari satu batang dan mempunyai daun yang terbit dari pangkal pokok. Belum banyak maklumat mengenai tabiat dan agronomi tumbuhan ini dikaji di Malaysia dan belum ada laporan rasmi keluasan penanaman pokok palas secara komersial di negara kita. Pemerhatian mendapati kawasan yang sesuai untuk pokok palas tumbuh adalah dari kawasan tanah yang mempuynyai saliran baik, lereng bukit dan pokok ini lazimnya memerlukan naungan (Shaded area). Pokok yang mempunyai batang tunggal ini mengeluarkan pelepah daun dibahagian atas pokok yang mana hanya satu daun terbit dari satu tangkai. Ketinggian pokok palas mampu mencecah 6-7 kaki dan lazimnya pokok dewasa akan menghasilkan buah berwarna merah berbentuk seperti 'cherry' yang terdapat dalam berangkai (Lihat foto sebelah). Buah yang masak ini menarik haiwan untuk memakannya. Pokok palas mempunyai akar serabut seperti pokok palma yang lain dan memerlukan kawasan yang sederhana lembab untuk kesuburannya. Terdapat beberapa maklumat mendapati pokok palas mampu hidup lama di kawasan yang sama pada perdu yang berubah-ubah sehingga 30-40 tahun. Belum ada maklumat rasmi mengenai kaedah pembiakan pokok palas tetapi saya percaya ianya melalui biji benih yang matang (Lazim bagi keluarga palma). Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok palas dan daun palas untuk dianyam sebagai ketupat dalam laporan akhbar tempatan sebagai satu testimoni untuk bacaan.


LAPORAN AKHBAR 1 :
Daun palas laris, semakin mahal
UTUSAN MALAYSIA
BALING 18 Sept. - Setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, barangan wajib yang menjadi rebutan adalah daun palas untuk dijadikan ketupat yang terkenal di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia. Walaupun harganya semakin mahal saban tahun tetapi ia tetap dibeli bagi memenuhi keperluan. Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu harganya mahal kerana kebanyakan daun palas yang dijual itu kini makin sukar dicari. Lebih membimbangkan, para penjual daun palas tempatan terpaksa mendapatkan bekalan 'import' daun palas dari selatan Thailand. Seorang penjual daun palas yang ditemui, Basri Yaakob, 36, memberitahu, dia terpaksa membeli daun palas dari peraih di kawasan Betong, Thailand untuk dijual di sekitar Pekan Baling. Kata Basri, biasanya dia memperoleh bekalan tersebut secara borong iaitu melebihi 50,000 pelepah setiap minggu bagi musim Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. "Daun-daun palas berkenaan kemudiannya diikat menjadi satu ikatan mengandungi enam pucuk dan dijual dengan harga RM4 hingga RM5," katanya.

Peniaga itu berkata, sebelum ini dia mendapat bekalan daripada peraih di kawasan pedalaman Kedah seperti Baling, Sik dan Pendang. Bagaimanapun, disebabkan permintaan mendadak dan juga kekurangan bekalan akibat pemusnahan hutan, dia terpaksa mencari alternatif lain termasuk mendapatkan dari rakan-rakannya di Thailand. "Antara daun palas yang mendapat permintaan tinggi adalah jenis daun tumbuh di kawasan tanah lembut," katanya. Basri memberitahu, daun palas jenis tersebut mudah dilipat bagi membungkus beras pulut untuk dijadikan ketupat. "Selain itu, para pengguna juga suka membeli daun palas yang bersaiz pendek kerana tidak perlu memotongnya," jelasnya. Selain jenis berkenaan, katanya, daun palas bukit turut mendapat permintaan kerana ia berbau wangi dan tidak mudah koyak ketika dilipat. "Ketupat yang dihasilkan menggunakan daun palas bukit mengeluarkan aroma wangi dan sangat enak dimakan," katanya.


LAPORAN AKHBAR 2 :

Ketupat palas diusaha secara komersial
Utusan Malaysia - oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH 16 Feb. – Makanan tradisional ketupat pulut atau ketupat palas, tidak lagi menggambarkan juadah musim perayaan sama ada ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha. Ini kerana, ketupat pulut atau ketupat palas boleh didapati hampir sepanjang tahun dan telah diusahakan secara komersial oleh individu tertentu. Pelaksanaan konsep 1Malaysia turut menyebabkan kedudukan dan nilai makanan orang Melayu itu merentasi budaya masyarakat majmuk di negara ini, apabila ia turut dihidangkan pada perayaan kaum lain seperti sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali.  Di Kampung Gong Manak, dekat sini misalnya, penghasilan makanan tradisional ini dijalankan oleh beberapa pengusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan di seluruh negeri dan Terengganu yang gemarkan makanan berasaskan beras pulut itu. Malah, kegiatan ekonomi dan keusahawanan itu turut memberi sedikit pendapatan kepada petani yang sanggup meredah hutan atau mendaki bukit untuk mendapatkan daun palas yang dikenali sebagai ‘Licuala sapinosa Roxb’ sebagai pembungkus ketupat.

Seorang pengusaha ketupat, Selamah Hasan, 55, yang lebih dikenali dengan nama Kak Dak di kalangan penduduk berkata, tempahan ketupat yang dihasilkannya turut menarik pelanggan di kalangan masyarakat Cina dan India. Dia yang berpengalaman dalam perniagaan ketupat daun palas selama 20 tahun berkata, masakan tradisional Melayu itu bukan sahaja laris dipasarkan pada kedua-dua hari raya Islam tetapi juga pada perayaan kaum lain seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali, sehingga terpaksa menambah jumlah ketupat yang dimasak bagi memenuhi permintaan. “Ini berlaku mungkin disebabkan wujudnya persefahaman budaya dan perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini yang saling kunjung mengunjung pada musim perayaan sehingga ketupat menjadi juadah yang laris,” katanya ketika ditemui di bengkel penghasilan ketupat di Gong Manak, dekat sini, baru-baru ini.

Selamah berkata, ketupat daun palas berbeza dengan ketupat daun kelapa atau ketupat nasi dari segi bentuk, saiz dan penggunaan beras pulut. “Ketupat daun atau ketupat nasi, dianyam berbentuk empat segi atau pun berbentuk bawang yang menggunakan daun kelapa. “Manakala ketupat palas pula berbentuk tiga segi. Penggunaan beras sebagai isi atau inti ketupat juga berbeza. Beras yang digunakan untuk ketupat palas ini ialah beras pulut, manakala isi ketupat daun menggunakan beras biasa,” katanya. Selamah berkata, resipi untuk menghasilkan ketupat adalah terlalu mudah dengan hanya menyediakan satu gantang beras pulut, empat biji kelapa atau tiga kilogram santan, 500 gram kacang mentah dan daun palas untuk membungkus. Beliau berkata, tempoh masa yang panjang bagi menghasilkan ketupat palas dan tiada kemahiran membungkus menyebabkan lebih ramai wanita masa kini terutama yang bekerja, lebih selesa membeli ketupat sudah siap berbanding cuba membuatnya sendiri.

“Harga tempahan bagi 100 biji ketupat yang sudah masak ialah RM25 pastinya menjadi pilihan bagi suri rumah yang sibuk dengan kerjaya masing-masing,” katanya. Menurut Selamah, selain ketupat lemak dan manis beliau turut menghasilkan pelbagai jenis kuih-muih tradisional berasaskan ubi kayu untuk menambah sumber pendapatan dan mempelbagaikan lagi perniagaannya. Menurutnya, proses membungkus ketupat lazimnya dilakukan sebanyak tiga kali seminggu dan ia akan dipasarkan di semua pasar sehari sekitar Kuala Besut dan Jertih, Terengganu selain di Pasar Malam Tok Bali, Pasar Tani Machang dan beberapa daerah di negeri ini. “Setiap kali memasak masakan tradisional itu saya menggunakan 25 kilogram beras pulut bagi menghasilkan 1,800 biji ketupat. Jumlah beras yang digunakan akan berlipat ganda pada musim perayaan.

“Setakat ini saya menggunakan khidmat empat pekerja dan bilangan mereka akan bertambah kepada 10 orang pada musim perayaan disebabkan perintaan yang meningkat,” katanya. Sementara itu, seorang pekerja Selamah, Siti Fatimah Awang, 38, berkata, kewujudan pengusaha ketupat di Kampung Gong Manak memberi peluang kepada suri rumah untuk mendapat sumber pendapatan sampingan. Menurutnya, upah membungkus ketupat hanyalah RM1.20 untuk 100 biji yang boleh disiapkan dalam tempoh 30 minit. “Tetapi, ia boleh memberi pendapatan sampingan yang lumayan sekiranya seseorang pembungkus memiliki kemahiran dan pantas menyiapkannya,” katanya yang melakukan kerja tersebut sekadar mengisi masa lapang.

Seorang lagi pekerja, Norma Mohd. Adam, 38, pula berkata, kewujudan perusahaan membuat ketupat palas secara komersial itu turut membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat iaitu mengambil upah ‘membuka daun palas.’  Jelas Norma, Kampung Gong Manak memang dikenali sebagai perkampuang kuih tradisional di daerah ini, bukan hanya menghasilkan ketupat tetapi juga roti bakar, baulu, akok dan pelbagai jenis kuih-muih. “Kewujudan pengusaha makanan dan kuih tradisional di kampung ini sekurang-kurangnya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sama ada secara tetap atau pun sambilan,” katanya.



LAPORAN AKHBAR 3 :
Teknik buat ketupat yang betul

UTUSAN MALAYSIA

LAIN tempat lain juga adat dan caranya. Begitu juga dalam hal menyediakan ketupat, makanan tradisi yang terlalu sinonim dengan sambutan Hari Raya. Jika ditanya pada orang Pantai Timur, ketupat yang kurang menjadi itu digelar 'ketupat jantan' kerana dilakukan oleh amatur dan kurang sempurna hasilnya manakala 'ketupat betina' pula cantik dan kemas pembuatannya oleh yang pakar. Bagaimanapun di kalangan masyarakat Utara, ketupat palas jantan mempunyai lebihan isi atau pulut di hujung lilitan daun palas itu dan manakala ikatan dan balutannya kemas. Sementara ketupat palas betina pula bersaiz lebih kecil, kurang isi dan ikatan serta balutan tidak kemas. Pun begitu, teknik pembuatan ketupat nasi atau pulut yang betul disifatkan sebagai sesuatu yang objektif atau mengikut kaedah yang diamalkan sejak turun temurun mengikut latar belakang setiap orang. Seorang suri rumah yang sememangnya pakar membuat ketupat nasi, Siti Jaleyah Jasman berkata, untuk usaha bagi memudahkan kerja memasukkan beras dan campuran pulut ke dalam kelongsong ketupat, beras tidak perlulah direndam sebaliknya memadai jika dibasuh seperti biasa kerana beras akan berderai selepas ditoskan.

Jika beras jenis mudah kembang, katanya, tidak perlu diisi sehingga padat separuh kelongsong ketupat manakala beras jenis biasa pula boleh diisi sehingga satu pertiga atau separuh mengikut saiz ketupat itu.  Jelasnya, jika dahulu orang merebus ketupat sehingga empat atau lima jam kini sebaik-baiknya dipendekkan masa sehingga dua setengah atau tiga jam agar daun ketupat tidak kecut, kering dan lebam. ''Jika terlampau lama, daun akan menjadi kering jadi eloklah ketupat diangkat selepas tiga jam apabila beras sudah kembang dan elok,'' katanya.

Hidangan sampingan daripada ketupat nasi dan pulut dimakan dengan pelbagai jenis lauk pauk. Yang popular tentunya rendang dan kuah kacang tetapi ada juga berpendapat bahawa kuah kacang adalah kuah sate yang manis, cair dan kurang pedas manakala sambal kacang lebih pekat, pedas dan dimasak dengan serai untuk hidangan pada Hari Raya. Bagi masyarakat Jawa di Johor pula, tidak sah makan ketupat jika tidak ada lodeh dan serunding kelapa. Ketupat daun palas paling enak di makan dengan rendang, serunding daging, ikan atau ayam. ''Ada juga orang tua-tua di Kelantan yang mencecah ketupat daun palas lemak dengan gula melaka yang dimasak agar cair seperti madu. ''Selain itu ia juga dimakan dengan sambal kelapa yang ditumbuk dengan lada hitam,'' jelasnya.

Selera masyarakat di Selatan pula agak berbeza dengan serunding kelapa yang bercampur gula melaka dimasak basah atau lembap menjadi pilihan. Bagaimanapun, tradisi penyediaan lauk-pauk sebagai hidangan sampingan ketupat nasi dan pulut juga telah lama dipermudahkan memandangkan semakin ramai orang tidak berkesempatan meluangkan masa dua hari suntuk di dapur menjelang Aidilfitri. Malah semakin tahun semakin berkurangan bilangan warga kota pulang ke kampung halaman beberapa hari sebelum Hari Raya untuk merasai kemeriahan bersama sanak saudara dan sahabat handai. Ia berpunca daripada kebanyakan daripada kita yang memilih (secara rela atau tidak rela) untuk pulang pada pagi Hari Raya dan sekadar meluangkan masa singkat sehingga kadang kala tidak sempat mengunjungi semua kaum keluarga terutama yang sudah uzur.  Semuga tulisan dalam anim agro technology subuh ini memberi maklumat berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!..
DAUN PALAS.... SANGAT BERGUNA...
DALAM HUTAN... AMBIL PUCUKNYA...
DIANYAM KEMAS...KETUPAT JADINYA...
HIDANGAN KHAS.. DIPAGI HARI RAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Besar Banting,
Banting, selangor,
Malaysia.
(23 Zulkaedah 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...