Support My Blog

Monday, January 9, 2017

ALAT MENCABUT UBIKAYU

MENCABUT UBI KAYU (Manihot esculenta) merupakan satu aktiviti yang paling mencabar kepada petani yang menanam ubi secara luas dan komersil. Teknik untuk aktiviti mencabut pokok ubi yang matang secara tradisional ini lazimnya dilakukan dengan menggunakan tangan dengan cara mencabut batang ubi secara manual. Keupayaan yang ada pada tenaga manusia mencabut pokok ubi ini adalah terhad sahaja kerana petani dan pekerja akan sakit pinggang atau sakit tangan setelah hanya beberapa pokok ubi kayu yang dicabut sedangkan keperluan pengeluaran adalah banyak. Keadaan untuk mencabut pokok ubi bagi tujuan mendapatkan ubinya lebih mencabar pada musim panas atau semasa kemarau berpanjangan kerana tanah menjadi keras. Ini menyukarkan untuk mencabut ubi walau pun ada yang mencangkul tanah dipermukaan atas perdu pokok ubi sebelum mencabut secara manual. Penulis juga mendapati terdapat pelbagai cara yang dilakukan untuk mencabut ubi dimana apa yang penting adalah perdu pokok ubi dapat dicabut dan ubi yang dituai tidak cedera, patah atau rosak. Penulis pernah melihat alat mencabut pokok ubi yang telah digunakan di sekitar Daerah Kota Tinggi dimana alatan ini telah berjaya masuk pertandingan inovasi Jabatan Pertanian dan mendapat anugerah saguhati. Alat disini sebenarnya menggunakan kayu dan rantai besi yang diikat pada batang pokok ubikayu dan kemudian diikat pada batang pokok ubi sebelum dianggkat. Ianya adalah alat yang ringan dibawa, sederhana cepat dan memerlukan kepakaran dan kemahiran asas untuk kita mampu melakukannya. Bagaimana pun kini penulis baru-baru ini menjumpai dan menguji cuba satu lagi Alat Mencabut UbiKayu yang digunakan pengusaha di Kampong Jaya Gading, Kuantan, Pahang dimana inovasi ini adalah antara pilihan terbaik boleh digunakan. Penulis sendiri telah mencuba melakukan aktiviti mencabut ubi menggunakan alat ini (Sila lihat foto diatas). Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai temuan sejenis alat ini untuk dijadikan bahan rujukkan anda dalam mencari teknologi pertanian.


Terdapat seluas sekitar lebih daripada 50 ekar kawasan disekitar kampong ini yang ditanam dengan ubi kayu dan beberapa jenis tanaman kontan lain seperti jagung, sayur-sayuran, keladi dan sebagainya. Menurut Pak Ungku sebagai ketua projek Ubi Kayu di kampong ini, beliau mula memajukan tanaman ubikayu semenjak tahun 1997 dikawasan keliling kampong untuk pasaran tempatan terutama dipasar besar, pasar tani dan paling laris dipasar malam. Oleh itu melalui pengalaman dalam menanam ubikayu, beliau telah mencipta sejenis alat untuk memudahkan kerja-kerja untuk mencabut perdu ubi kayu. Alat ini yang memang ianya simpel, praktikal, murah, tahan lama dan sesuai digunakan setiap masa. Alat mencabut ini diperbuat daripada besi Galvanised Iron (GI) atau besi batang paip berdiameter 15 cm (sederhana besar) untuk ketahanan dan kekuatan. Ia ada 3 komponen iaitu Bahagian Pemegang (1), Engsel (2) dan Kaki (3) yang disambung (Sila lihat foto disebelah). Panjang Pemegang adalah 5 kaki dan panjang tapak kaki adalah 2.5 kaki dengan ada 'T' dibahagian bawahnya. Tujuan struktur 'T' ini adalah untuk ia menahan alat ini agar tidak masuk kedalam tanah semasa aktiviti mencabut ubi ini dilakukan. Apa yang penting adalah dibahagian engsel ini di buat 'gigi' atau struktur tidak rata agar ia mampu mencengkam batang ubi ketika disepit semasa mencabut. Pada penulis alat ini agak berat sekitar 6-7 kg kerana besi GI tersebut adalah berat dan kuat untuk mengangkat beban pokok ubi. Kalau ia gunakan GI yang kecil menyebabkan besi pemegang GI menjadi bengkok. Ada berkemungkinan besi ini digantikan dengan jenis besi lain yang ringan tetapi mempunyai kekuatan sama untuk lebih mudah dibawa. 


Alat ini mudah dibawa dengan motorsikal kelokasi kebun tanaman ubikayu yang hendak dilakukan penuaian. Pokok ubi disini kebanyakannya adalah daripada varieti Black Twig (jenis ini paling laku dipasaran) berbanding dengan beberapa varitei lain seperti Ubi Kuning (kurang mendapat pasaran). Bagaimana pun penulis minta agar beberapa varieti lain seperti varieti Sri Pontian dan varieti Sri Medan ditanam dikawasan ini. Pokok ubi di kampong ini selalunya akan dituai sekitar 8-9 bulan lepas ditanam untuk mendapatkan kualiti ubi yang sesuai untuk dipasarkan. Ada juga yang menuai ubi kayu melebihi 1 - 1.5  tahun jika isu pasaran kurang memuaskan. Mula-mula batang pokok ubi yang hendak dicabut akan dipotong setinggi 1 meter dari paras tanah dengan parang. Kemudian alat ini akan diletakkan dimana engsel akan diletakkan pada batang ubi dengan mencengkam dan kaki 'T' akan diletakkan diatas tanah yang keras. Pemegang ini akan diangkat keatas dan rumpun perdu ubikayu dengan mudah dinaikkan keatas (Sila lihat foto disebelah). Jika musim panas dan tanah keras, perlu di lakukan sedikit penyesuaian cara guna alat ini agar ubi yang dicabut tidak patah dan batang pokok ubi tidak patah. Kemahiran oleh pengendali alat ini amat penting untuk mereka mempastikan ubi yang dicabut tidak rosak atau patah. Kemampuan seorang petani untuk mencabut ubi adalah sekitar 1.0-1.5 ekar (0.4 hektar) dalam sehari tetapi lebih luas lagi semasa tanah lembut dimusim hujan kerana tanah pada waktu ini agak lembut.


Perdu Ubi yang telah dicabut dengan alat ini akan dinaikkan semuanya. Mana-mana ubi yang tertinggal dalam tanah akan dicabut keluar dengan tangan secara manual. Ubi yang masih melekat pada perdu pokok akan dipotong dengan parang dan disusun. Perlu pastikan semasa memotong pada tangkai perdu berhati-hari kerana jika ubi kayu cedera akan menyebabkan ia cepat rosak dan menurunkan kualiti. Kemudian semua ubi tersebut dikumpulkan sebelum dimasukkan kedalam guni plastik dan seterusnya dibawa ke pusat pengumpulan (Sila lihat foto disebelah). Ubi kayu yang segar disini dijual dengan harga ladang RM1.50 sekilogram untuk kegunaan segar. Bagaimana pun tinjauan mendapati dimana peruncit akan menjual dengan harga runcit RM3.00 sekilogram dipasar malam atau pun pasar tani. Daripada tinjauan mendapati ketahanan ubi kayu dari kampong ini tahan antara 7-10 hari selepas dituai. Ubi kayu menjadi bahan makanan asas untuk direbus, digoreng dan paling banyak adalah untuk membuat pelbagai jenis kueh. Ubi Rebus merupakan makanan yang sangat disukai untuk sarapan pagi atau minum petang dimakan dengan sambal ikan bilis, ikan kering atau gula merah. Sila baca artikel mengenai ubi rebus dalam artikel dalam Blog Anim Agro Technology yang ditulis sebelum ini (Sila klik disini) dan Ubi Goreng (Sila klik disini). Selain itu ubi kayu adalah sesuai untuk dibuat Bingka Ubi yang enak dimakan (Sila klik artikel disini). Pada penulis yang telah melihat bagaimana alat ini dicipta dan digunakan di Kg Jaya Gading ini boleh dijadikan contoh yang baik untuk diaplikasikan oleh penanam ubikayu dikawasan lain. Semuga artikel ini dalam blog anim agro technology mampu memberikan info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!.
Penulis mencabut dan memotong ubikayu di Kg Jaya Gading, Kuantan.

MENCABUT UBI.... SUKR SEKALI...
SECARA MANUAL...DIPERBAIKI....
BESI GI DIGUNA... MUDAH FUNGSI....
MUDAH DITIRU... SATU INOVASI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Jaya Gading, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(8 Rabiulakhir 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...