Support My Blog

Saturday, August 18, 2012

AYAM HUTAN

AYAM HUTAN (Gallus spp) atau AYAM LIAR merupakan sejenis haiwan dari keluarga burung atau ayam yang terdapat disekitar hutan belukar di negara kita. Ramai diantara kita yang duduk di taman-taman perumahan di bandar tidak pernah melihat bagaimana kehidupan ayam hutan kerana ianya hanya terdapat di kawasan tepi hutan, pinggir kampong tetapi saya dapati kini telah banyak membiak dikawasan ladang kelapa sawit. Ayam hutan sama atau sedikit berbeza dengan ayam kampong kerana saiznya , warna bulu yang lebih cantik dan kemampuannya untuk terbang dengan pantas seperti burung. Walau pun kini terdapat usaha untuk membuat kacukan antara ayam hutan dengan ayam kampong, tetapi kejayaannya belum ada laporan rasmi. Mungkin telah banyak berlaku simbiosis dan kacukan semulajadi antara ayam hutan dengan ayam kampong. Saiz telur ayam hutan juga agak kecil sama seperti ayam kampong dan amat berbeza dengan Telur Ayam Penelur dari segi saiz, warna kulit dan warna kuning telur didalamnya. Saya memang puas makan ayam hutan ketika kecil dahulu kerana arwah bapa merupakan seorang pemburu dan ayam hutan dan merupakan habuan istimewa setiap 1-2 minggu sekali. Kadang-kadang dapat sampai 4-5 ekor sekali berburu kalau ada rezeki. Artikel petang ini saya menulis sedikit info mengenai ayam hutan untuk dikongsi maklumat bersama pembaca blog 'Anim Agro Technology'.


Daripada beberapa buku rujukan dan laman sesawang, kini saya baru tahu yang ayam hutan mempunyai 4 spesis. Dikawasan Malaysia dan Indonesia terdapat 2 jenis ayam tersebut dikenali sebagai Ayam Hutan Merah (Gallus gallus) dan Ayam Hutan Hijau (Gallus varius) semantara di negara lain terdapat jenis Ayam Hutan Kelabu (Gallus soneratii) Ayam Hutan Sri Langka (Gallus lafayetii). Kesemua jenis ayam hutan ini mempunyai ciri yang berbeza mengikut lokaliti dan habitat persekitaran. Para saintis ada mendakwa bahawa ayam kampong yang ada sekarang merupakan keturunan kepada Ayam Hutan Merah yang di pelihara semanjak turun temurun sehingga sekarang. Apabila berlaku proses kacukan semulajadi antara Ayam Hutan Merah dengan Ayam Hutan Hijau akan menghasilkan sejenis ayam kacuk sebagai ayam kampong.


Perkara paling menarik mengenai ayam hutan adalah aktiviti untuk menangkap ayam hutan. Kaedah tradisional yang paling saya suka adakah dengan kaedah "MERACIK AYAM". Racik merupakan satu alatan yang diperbuat daripada tali nylon yang diikat seperti jerat dan diikat pada tiang pacak tracik yang di pacak pada tanah (Lihat foto diatas). Tali nylon racik ini bersambung antara satu sama lain dan kukuh untuk mengikat kaki ayam buruan. Lazimnya seekor 'ayam pikat' iaitu ayam jantan yang hebat berkokok akan diletakkan berhampiran racik. Kokokan ayam pikat akan memanggil ayam lain untuk datang berlaga. Akibatnya kaki ayam buruan yang masuk dalam jerat racik akan sangkut dan tidak boleh lepas dengan mudah. Pemburu akan ambil hasilnya dan dibawa pulang. Kaedah terkini cara memburu ayam hutan adalah dengan senapang. Senapang yang menggunakan peluru penabor boleh menembak ayam yang sedang makan, tenggek atas busut (Jaga-jaga ayam ini kadang-kadang ayam jadian - terutama waktu hujan gerimis - jangan tembak!), ayam yang cari makan berkumpulan atau ayam sedang terbang. Selepas dibedil, ambil ayam tersebut dan segera disembelih. Saya memang puas makan ayam hutan ketika bertugas di Mersing, Johor kerana sering ikut kawan-kawan dan staff berburu.


Ayam hutan perlu di buang bulu dan di proses dagingnya. Daging ayam hutan bukan seperti daging ayam goreng yang kita makan di KFC. Daging ayam hutan sangat liat dan keras terutama ayam hutan yang telah tua. Mahu tercabut gigi kita kalau terus digoreng dan dimakan. Pengalaman saya di Felda Endau tahun 2009 mendapati gigi En Hasan patah kerana mengigit daging ayam hutan yang sangat liat. Bagaimana pun jika daging ini di bawa balik kerumah dan di bubuh sedikit bahan pelembut daging (Baking powder atau getah papain betik) ianya akan menjadi lembut. Menu paling saya suka dan pada saya paling 'best' ayam hutan dimasak ungkep atau ayam hutan masak kicap. Memang best punya... bagaimana pun kena beberapa ekor untuk dimakan satu keluarga kerana dagingnya adalah sedikit dan kurus pula, tidak macam ayam daging... banyak lemak sahaja!

AYAM HUTAN...PANTAS TERBANGNYA....
BERMACAM WARNA...CANTIK BULUNYA...
DI MASAK UNGKEP...ADUH ENAKNYA...
TERINGIN MAKAN... DI MANA NAK CARINYA...

By,
M Anem
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, Malaysia.
(29 Ramadan 1433H)

  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...