Support My Blog

Monday, January 3, 2011

KAYU MANIS


Pokok Kayu Manis (Cinnamomum zeylanicum atau juga dipanggil Cinnamomum verum) dari keluarga LAURACEAE merupakan sejenis tumbuhan rempahratus yang mempunyai lebih dari 2,000 spesis didunia. Tanaman ini dipercayai berasal dari Sri Lanka dan Selatan India dimana kini tersebar di seluruh dunia terutama yang beriklim tropika. Tanaman kayu manis juga terdapat di Malaysia dengan anggaran keluasan bertanam sekitar 50 - 80 hektar. Sri Lanka merupakan pengeluar utama kayu manis dunia dimana hampir 90% pengeluaran kayu manis dihasilkan olehnya diikuti dengan China, India dan Vietnam. Kayu manis dahulu hanya tanaman liar semulajadi tetapi kini telah dikomersilkan sebagai tanaman yang memberikan nilai ekonomi yang signifikan. Kalau anda perasan mengenai pokok kayu manis ini, sebenarnya pokok ini banyak ditanam dikawasan Kerajaan Tempatan dan Majlis Bandaraya sebagai pokok hiasan atau ornamental tree. Bagi sejenis kayu manis genus Cassia pula dikeluarkan oleh negara Indonesia iaitu sebanyak 40% pengeluaran dunia. Artikel kali ini saya berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman kayu manis dengan merujuk kepada buku 'An introduction to the botany of tropical crops' oleh L.S. Cobley & W.M. Steele terbitan Longman 1972 dan rujukan persendirian.


Pokok kayu manis atau dipanggil Cinnamon, Ceylon Cinnamon, True Cinnamon (Inggeris), Kayu Manis (Malaysia, Indonesia), Cenelle (Perancis), Cannella (Italy), yook gway (China), Ceylonzimt, Kaneel (Germany) dan dal-chini, darchini, dhall cheene (India). Pokok kayu manis merupakan tumbuhan pokok renek, berkayu, becabang dan mampu tumbuh sehingga 7-15 meter tinggi dan liar dalam hutan. Dengan sentiasa buat cantasan dan amalan agronomi biasanya ketinggian pokok sekitar 2 meter sahaja untuk tujuan komersil. Tumbuhan ini sangat sesuai tumbuh dan hidup diatas tanah pasir putih kerana hasilnya lebih berkualiti jika dibandingkan dengan tanah laterit seperti kajian di Sri Lanka. Daun kayu manis berbentuk 'ovate' berwarna hijau gelap dibahagian atas dan hijau cerah dibahagian bawah. Kulit kayu berwarna coklat kekuningan, lembut dan mempunyai aroma. Bunga berwarna putih kekuningan yang kemudian menghasilkan buah berwarna ungu kehitaman bersaiz kecil.


Penanaman kayu manis menggunakan anak benih yang disemai dari biji yang telah matang. Biasanya untuk tujuan pembiakan buah kayu manis akan dibalut dengan plastik untuk mengelakkan buah dan bijinya dimakan burung. Benih yang matang mudah tumbuh apabila disemai. Jarak tanaman disyorkan adalah 3-4 m x 3-4 m bergantung kepada keadaan tanah. Penanaman di Sri Lanka menggunakan konsep 'Tanaman Organik' dimana penggunaan bahan kimia adalah sangat minima dan dikawal. Persijilan Organik di Sri Lanka untuk tanaman kayu manis dijalankan diseluroh negara dengan cekap dan berkesan untuk mempastikan keluaran cinnamon Sri Lanka diterima diseluroh dunia sebagai produk organik. Menurur Pfof. Winnejaranarte (semasa kursus di Laos 2009) menyatakan bahawa NGO diberi kuasa memeriksa kebun kayu manis untuk proses 'certification'. Proses ini dijalankan dari aktiviti menanam, membaja, menuai , memproses dan menjual.


Kayu manis lazimnya dituai pada musim hujan dimana pada waktu itu kadar pertumbuhan batang dan dahan sangat aktif dan kulit mudah untuk di kupas atau di kopek dari batang kayu. Dahan yang berpucuk dipotong apabila panjangnya mencapai 2 meter atau 12-50 mm ketebalan kulitnya. Kulit yang dikoyak di potong panjang dngan teliti dengan 2 bahagian jalur (strips). Kulit ini dibungkus dengan kain guni dan diperam selama 24 jam. Bahagian luar kulit kayu akan dikikis dan biarkan kulit kayu manis kering perlahan-lahan. Semasa menjemur kulit kayu manis , kulit tersebut akan 'bergulung' secara semulajadi yang dipanggil sebagai 'quills' yang akan disusun dan digredkan sebelun dijual. kayu manis yang cukup kring tahan lama disimpan dalam keadaan biasa tanpa kehilangan kualitinya. Kini banyak kayu manis di proses untuk dijadikan debu, cecair, pes atau serbuk (powder form) bagi memudahkan pemasaran dan penggunaannya.


Tanaman kayu manis tidak mempunyai musuh dan perosak yang memusnahkan tanaman. Pengawalan rumpai sebaiknya menggunakan cara manual iaitu tajak atau tebas dan elakkan menggunakan racun kimia. Penggunaan baja organik digalakkan untuk petani di Malaysia dengan kadar 1 - 4 kg sepokok yang dewasa untuk mempastikan kesuburan. Pokok yang sentiasa di buat cantasan dan mengupas kulit kayu manis boleh dikawal ketinggiannya dan pertumbuhannya mengikut kehendak petani. Penggunaan mesin potong rumput disyorkan bagi mengawal rumpai dan kebun akan kelihatan cantik. Penamanan kayu manis di Malaysia sebagai tanaman hiasan popular sebagai satu aktiviti oleh Kerajaan Tempatan.


Kegunaan kayumanis memang sinonim dengan masakan orang melayu sejak dulu kala. Bahan kayu manis banyak digunakan untuk masakan 'desserts' seperti membuat kek, puding susu-beras, coklat dan sebagainya. Kayu manis sebagai rempah digunakan dalam masakan daging, daging kambing dan sebagainya. Ada yang menggunakan untuk campuran minuman seperti dengan kopi, koko, wain dan coklat. Kegunaan yang lebih bemakna ialah untuk tujuan kesihatan dimana dengan meminum 1 sudu air kayu manis setiap hari menurunkan paras gula dalam darah, menurunkan kolesterol sehingga 20% bedasarkan daripada kajian2 yang dijalankan terutama mereka yang ada kencing manis. Tabib perubatan China mengamalkan unik dengan mengigit kulit kayu manis atau ambil serbuk kayu manis didapati dapat mengurangkan batuk dan membuang lendir dalam tekak. Kayu manis dapat bantu masaalah cirit birit , muntah-muntah dan pening kepala akibat keracunan makanan. Kayu manis mengandungi cinnamaldehye yang membantu pengaliran darah dalam tubuh manusia. Penggunaan kayu manis juga membantu dlam proses penghadaman dalam usus kita jadi jangan ragu-ragu menggunakannya. Kajian klinikal juga mendapati kayu manis mempuynyai kesan anti kulat (antifungal) dan anti bakteria serta 'uterine stimulant'. Kepada pesakit kencing manis boleh amalkan pengambilan kayu manis kerana didapati dapat perpaiki kesan insulin dalam badan mereka. Insyallah!...



DITANAM MUDAH.....POKOK KAYU MANIS....
JIKA DIAMALKAN...UBATI KENCING MANIS...
MUDAH DIDAPATI....DIMANA JUA PREMIS.....
TANAM SENDIRI....MAKAN TIDAK HABIS...


By
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Herba Nasuha,
KM 16, Jalan Pagoh-Muar,
Muar, Johor,
Malaysia.
(6 Safar 1435H) - Kemaskini pada 3 Dec 2013

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...