Produk Pertanian Organik adalah merupakan hasil-hasil pertanian dari aktiviti yang mengamalkan konsep untuk PERLADANGAN ORGANIK. Konsep ini belum begitu popular di Malaysia sepertimana permintaan terhadap produk ini di negara-negara maju seperti Eropah, Amerika dan Jepun. Kefahaman dan Kesedaran mengenai produk organik di kalangan masyarakat Malaysia juga masih pada tahap rendah iaitu dikalangan mereka yang inginkan produk makanan yang dijamin kualitinya demi meningkatkan kesihatan mereka. Amalan perladangan yang khusus untuk pengeluaran produk organik masih sangat kurang secara relatifnya jika di bandingkan dengan beberapa negara lain. Artikel kali ini saya berkongsi maklumat mengenai pengeluaran produk organik berdasarkan beberapa kajian dan pengalaman penulis serta membuat beberapa rujukkan.
Bagaimanakah kita hendak mengenal sayuran, buah-buahan dan lain-lain produk pertanian di pasaran itu merupakan Produk Organik?. Memang kalau kita tidak mempunyai ilmu pengetahuan mengenai produk organik tidak mampu hendak menilai produk organik tersebut. Apa yang orang ramai notis mungkin produk organik tersebut harganya agak LEBIH MAHAL berbanding dengan produk biasa yang lain walau pun kelihatan kualiti produk tersebut tidak begitu cantik. Kebanyakan produk organik yang diimpot atau dihasilkan dalam negara mesti mempunyai LABEL atau LOKASI KHAS semasa dipamerkan kepada pembeli jika di Hypermarket. Label ini akan menunjukkan bahawa produk tersebut adalah Produk Organik yang di asingkan dengan produk konvensional lain. Label menyatakan keterangan mengenai nama pengeluar, jenis produk, kuantiti atau berat, tarikh dikeluarkan dan tarikh luput.
Mengapa satu produk itu dianggap Produk Organik?... Produk organik mesti menepati satu keperluan dalam proses pengeluarannya sehingga ianya mampu di dakwa sebagai produk organik. Lazimnya kita hanya dengar produk organik adalah hasil-hasil ladang yang tidak menggunakan racun kimia sahaja tetapi sebenarnya ianya lebih dari itu. Produk organik di hasilkan daripada pemilihan lokasi penanaman, jenis benih, kaedah penanaman, kaedah pengurusan musuh dan penyakit, penuaian hasil, proses lepas tuai sehinggalah kepada perlabelan, pengedaran dan juga pemasaran. Keseluruhan proses tersebut mesti dipatuhi untuk mendapatkan perakuan oleh satu badan penilai disetiap negara bagi menentukan bahawa produk tersebut benar-benar mencapai satu tahap Produk Organik.
Logo Sijil Skim Organik Malaysia |
Perladangan organik adalah satu sistem pengeluaran tanaman yang tidak menggunakan bahan kimia sintetik seperti baja kimia sebatian, racun perosak dan hormon penggalak tumbesaran. Perladangan secara organik memberi tumpuan kepada langkah-langkah melindungi alam sekitar dan memelihara kepelbagaian biologi bagi menghasilkan produk yang berkualiti dan selamat. Ia perlu dilaksanakan mengikut standard supaya kualiti pengeluaran produk organik dapat ditingkatkan. Bagi memastikan hasil yang berkualiti, Jabatan Pertanian membangunkan Skim Organik Malaysia (SOM) untuk mengiktiraf ladang-ladang yang diusahakan secara organik berdasarkan kriteria dan keperluan yang ditetapkan dalam Standard SOM.
Skim ini memberi tumpuan pada aktiviti pengeluaran dan pengendalian termasuk pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan dan jualan produk pertanian organik. Standard ini berpandukan pada Malaysian Standard MS 1529:2001 The Production, Processing, Labelling and Marketing of Plant Based Organically Produced Foods. Sijil SOM akan diberikan kepada ladang-ladang yang berjaya mematuhi semua syarat-syarat pensijilan SOM. Sejak 2003 hingga kini, sebanyak 170 ladang telah mendaftar dalam persijilan ini. Pemohon dijangka bertambah setiap tahun kerana tahap kesedaran dikalangan petani semakin baik. Ramai pengeluar buah-buahan bermusim di kampong-kampong tradidional boleh memohon skim ini kerana kita tahu ramai diantara mereka memang tidak menggunakan bahan kimia dalam menguruskan dusun tradisional mereka. Pokok mata kucing, durian kampong, manggis, rambai, rambutan yang ada dalam dudun kampong mungkin boleh menerima persijilan ini.
Kini terdapat hanya 28 ladang organik sahaja yang layak menggunakan label organik di pasaran dengan harga premium di Malaysia. Bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan label organik, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan membuat pindaan kepada Peraturan Makanan 1985 yang diwartakan pada 24 Ogos 2009. Pindaan ini menetapkan produk makanan yang hendak dilabel dengan perkataan organik, biologikal, ekologikal, biodinamik mesti mematuhi keperluan pelabelan dalam Malaysian Standard MS 1529:2001 The Production, Processing, Labelling and Marketing of Plant Based Organically Produced Foods. Ini bermakna, mana-mana produk pertanian yang dilabel organik mesti memperoleh sijil SOM dan peraturan ini telah pun dikuatkuasakan.
Perladangan organik adalah satu kaedah yang terbaik untuk menghasilkan makanan yang selamat dan berkualiti tanpa menggunakan bahan kimia sebagai
bahan pembajaan dan kawalan perosak di samping mengawal alam sekitar. Akibat daripada kesedaran pengguna tentang keselamatan makanan, pengguna kini telah mula beralih arah untuk mendapatkan bahan makanan yang tidak menggunakan bahan kimia dalam proses pengeluaran. Namun demikian, perkembangan industri perladangan organik di Malaysia masih lagi
rendah berbanding dengan negara-negara lain seperti Amerika dan Eropah. Usaha perlu diperhebatkan untuk meningkatkan pengeluaran produk organik di
negara ini.
Buku Garis Panduan Pelaksanaan Perladangan Organik ini menggariskan kesemua elemen-elemen penting yang perlu dipatuhi oleh usahawan yang terlibat dalam pengeluaran hasil pertanian organik bagi memastikan hasil keluaran ladang mereka adalah benar-benar organik. Buku ini diterbitkan bertujuan untuk dijadikan panduan kepada semua pegawai Jabatan Pertanian dalam membimbing usahawan melaksanakan perladangan organik sehingga mereka layak dianugerahkan sijil Skim Organik Malaysia (SOM). Buku ini juga boleh digunakan oleh usahawan perladangan organik
bagi mempercepatkan proses memperolehi pensijilan SOM bagi ladang-ladang mereka.
KEBAIKAN PERLADANGAN ORGANIK
i. Dapat menghasilkan produk-produk pertanian yang selamat dimakan dan berkualiti
ii. Bebas dari penggunaan bahan sintetik atau bahan kimia
iii. Dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar
iv. Mengekalkan biodiversiti, sumber biologi dan aktiviti mikrobiologi tanah
v. Menggunakan amalan pengurusan yang menggunakan bahan dalam ladang
vi. Memulihara, mengekal dan mengimbangkan harmoni ekologi
GARISPANDUAN SKIM PERLADANGAN ORGANIK:
1. KEBOLEHKESANAN
2. PENYIMPANAN REKOD
3. PENGURUSAN PENGELUARAN
3.1 Pengurusan Ekosistem
4. INTEGRITI ORGANIK
5. PERALIHAN
5.1 Tempoh Peralihan
5.2 Peralihan Sebahagian
5.3 Pengeluaran Serentak
5.4 Pertukaran Pengeluaran Secara Organik Kepada Konvensional
6. TANAMAN ATAU STRUKTUR PENAMPAN DAN JARAK PENAMPAN 1
7. PENGURUSAN TANAH DAN LADANG
8. PENGURUSAN AIR
9. PENGELUARAN TANAMAN
9.1 Bahan Tanaman
9.2 Pengurusan Kesuburan Tanah
9.3 Perapi Tanah dan Baja
9.4 Hormon Pertumbuhan dan Lain-lain
9.5 Pencegahan dan Kawalan Perosak
9.6 Peralatan
10. PENGENDALIAN
10.1 Penuaian
10.2 Pasca Tuai
11. PENYIMPANAN
12. PEMBUNGKUSAN
13. PENGANGKUTAN
14. KESIHATAN, KESELAMATAN DAN KEBAJIKAN PEKERJA
14.1. Latihan
14.2 Keselamatan
14.3. Kebajikan
15. ANALISIS HASIL
16. PENGURUSAN SISA LADANG
17. REKOD ADUAN
VI PENGAUDITAN
VII PENSIJILAN
LAMPIRAN
LAMPIRAN 1 - Bahan Yang Digunakan Dalam Pembajaan Dan Penyuburan Tanah
LAMPIRAN 2 - Bahan Untuk Kawalan Perosak Dan Penyakit Tumbuhan
LAMPIRAN 3 - Keperluan dan Kriteria Untuk Memasuk Serta Membangun
Senarai Tambahan Kepada Bahan-bahan di Lampiran 1 dan Lampiran 2
Diharap artikel diatas dapat memberikan sedikit maklumat kepada pembaca. Untuk mereka yang berminat memohon dan memahami Skim Persijilan Organik boleh layari web Jabatan Pertanian pada alamat www.doa.gov.my pada bila-bila masa. Terdapat permohinan SOM secara on-line dalam sistem ini. Semuga produk organik akan menjadi satu trend dalam industri pertanian di negara kita pada masa akan datang.
PRODUK ORGANIK....DIJAMIN SELAMAT....
JIKA DIMAKAN...BADAN JADI SIHAT....
PERSIJILAN SOM....JADI SANDARAN....
BOLEH MEMOHON....AKAN DIBUAT SIASATAN...
By,
M Anem
Rancangan Tanah Pemuda (RTP),
Senai , Johor Bahru,
Johor
Malaysia
(Kemaskini pada 4 Mac 2013)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.