Support My Blog

Monday, August 8, 2016

BELALANG JUTA - APA DIA?

BELALANG JUTA (Schistocerca gregaria) dan ancamannya belalang juta telah mengancam penghasilan pertanian di beberapa negara seperti di Afrika, Timur Tengah dan Asia semanjak dulu dan berabad lamanya. Serangga yang banyak jumlahnya apabila menyerang tanaman mampu menghabiskan hasil tuaian dalam masa singkat dan sukar untuk dikawal. Kejadian ini menjadikan kehidupan hampir satu per sepuluh manusia dari penduduk dunia boleh terjejas akibat serangga yang kelaparan ini. Kita di Malaysia amat bertuah kerana serangan serangga bernama Belalang Juta ini amat jarang berlaku atau dilaporkan merosakkan tanaman dengan teruk. Walau pun ada serangan belalang lain terhadap tanaman utama tetapi kebanyakannya masih boleh dikawal dengan amalan agronomi yang baik. Maklumat daripada rujukan menyatakan selalunya belalang juta dari segi ekologi lazimnya hidup secara bersendirian sehingga hujan turun dan banyak berlaku proses pembiakan dimana ini akan menjadikan ianya menjadi musuh merbahaya. Air hujan yang tutun akan seterusnya mengakibatkan tumbuhan tumbuh dimana ini menggalakkan penghasilan telur yang telah diletakkan dalam tanah berpasir. Tumbuhan baru ini menghasilkan makanan untuk belalang yang baru menetas dan memberikan mereka perlindungan sehingga mereka membesar menjadi serangga dewasa bersayap untuk mampu terbang. Belalang yang lapar untuk membesar ini apabila ada makanan yang banyak akan terbag memakan apa juga daun hijau yang boleh dijadikan makanan. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa keterangan dan info mengenai belalang juta.


Apabila sumber makanan banyak darpada tumbuhan tersebar luas untuk dimakan dalam masa tertentu ianya akan memaksa belalang hidup berkumpulan untuk makan. Bilangan belalang yang banyak sehingga berjuta-juta ekor bilangannya terhasil daripada apabila terdapat hujan yang cukup ini membolehkan kebanyakan telur menetas dalam masa singkat. Apabila ini berlaku akan memaksa berlakunya hubungan fizikal antara kaki belakang serangga yang bersentuhan sesama sendiri. Perlakuan ini mengakibatkan peningkatan kadar metabolik dan perubahan tingkahlaku yang mengakibatkan perubahan serangga dari tingkahlaku bersendirian kepada tingkahlaku berkelompok (gregarious). Ini merupakan satu perlakuan unik bagi belalang juta dimana apabila belalang juta ini menjadi berkelompok selalunya mereka bertukar warna dari hijau kepada hitam dan kuning (Sila lihat foto disebelah). Pada masa sama badan mereka berubah menjadi pendek dimana mereka menghasilkan sejenis hormon yang menyebabkan kesemua mereka berkumpul pada satu kawasan sahaja. Apa yang berlaku adalah perkumpulan dalam satu kawasan ini akan lebih menggalakkan pembentukan sekelompok atau sekawanan belalang juta yang banyak.


Dalam sejarah ada dinyatakan belalang juta menyebabkan bekalan makanan terjejas yang menyebabkan kekurangan makanan dunia. Ia pernah dikaitkan dengan kegawatan ekonomi. Keujudan belalang juta walaupun kini hanya terhad pada lingkungan 16 juta kilometer persegi yang melangkaui Gurun Sahara di kawasan Afrika Utara sehingga menyeberangi Semenanjung Arab dan ke Barat Laut India. Apabila keadaan habitat dikawasan terlibat menjadi sesuai selalunya kawanan atau gerombolan belalang juta menyerbu ke negara jiran yang berada disekeliling sehingga ke utara seperti Sepanyol dan Russia dan kebahagian Timur sehingga ke India dan Asia barat daya. Sebanyak 60 negara boleh terjejas akibat kesan serangannya. Dari segi sejarah kumpulan belalang juta ini mampu menyeberangi Laut Merah antara Afrika dan juga Semenanjung Arab dan pernah dilapurkan menyeberangi Lautan Atlantik dari Afrika ke Caribbean. Sejarah mendapati dimana satu kumpulan belalang juta mampu menyebar dan melitupi 1,200 kilometer persegi dimana ianya mengandungi antara 40 - 80 juta belalang setiap kilometer persegi. Dari segi ekonomi dari laporan FAO ia menyebabkan kerugian tanaman dimana belalang juta mampu memakan anggaran tumbuhan hijau seberat jisim badan mereka setiap hari. Makanan belalang juta adalah daripada bahagian daun, bunga, kulit kayu, batang, buah malahan sehingga memakan benih. Hampir kesemua tanaman dan tumbuhan sama ada tanaman dan bukan tanaman mempunyai risiko. Antara yang pernah dimusnahkan termasuk millet, padi, jagung, sorghum, tebu, barli, kapas, pokok buah, pokok kurma, sayuran, rumput ragut, akasia, pine dan pisang.

Dalam abad lepas dilaporkan telah berlaku serangan belalang juta berlaku pada tahun 1926 -1934, Tahun 1940-1948, Tahun 1949-1963, Tahun 1967-1969 dan Tahun 1986 - 1989. Pada abad ke 21 ini laporan serangan teruk agak kurang berlaku dengan adanya sistem kawalan racun kimia dikawal dari peringkat awal lagi. Penggunaan teknologi semburan atau 'fogging' didapati berkesan mengawal dari semburan menggunakan pesawat. Kerugian besar pada tanaman bijirin yang disebabkan kawanan belalang juta dari sejarah yang dilaporkan menjejaskan isu kekurangan bahan makanan. Serangan yang teruk dan serius merupakan satu ancaman kepada keselamatan bekalan makanan. Cara kawalan belalang juta yang digunakan adalah dengan racun serangga jenis Organophosphate. Racun ini yang disembur dalam dos rendah dengan kereta 4WD atau Lori atau dengan kapalterbang khusus untuk semburan. Racun serangga ini perlu disembur secara terus kepada serangga belalang juta. Kawalan tersebut tidak mampu dilakukan oleh petani individu sebaliknya dilaksanakan oleh kerajaan di negara yang diancam belalang juta. Tiada cara kawalan biologi didapati sesuai pada masa ini dimana walaupun jenis burung yang memakan belalang tetapi burung tidak mampu makan cukup belalang dan mereka pula mengelakkan kawanan belalang juta. Artikel ini diharap membantu menambah ilmu pengetahuan semua pembaca blog Anim Agro Technology. Wasallam!!!.

DIBERI NAMA... BELALANG JUTA...
JUMLAHNYA BANYAK...BERSAMA...
MUSNAHKAN TANAMAN...SEMUA...
KRISIS MAKANAN... AKIBATNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Sg Atong, Lipis,
Pahang, Malaysia.
(6 Zulkaedah 1437H)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...