Support My Blog

Friday, October 31, 2014

KOPI - INFO TEKNIKAL

KOPI (Coffea spp) merupakan sejenis tanaman minnuman yang semakin kurang popular ditanam di Malaysia. Kajian penulis mendapati penanaman kopi terus menurun daripada 9,740 hektar dengan hasil 28,148 mt bernilai RM 18.53 juta (1996) kepada hanya 4,277 hektar dengan hasil sebanyak 10,427 mt bernilai RM 6.80 juta pada tahun 2013 (Sumber: Laporan Statistik Jabatan Pertanian 2013). Pengurangan hampir separuh (43.9%) ini adalah disebabkan oleh banyak faktor. Antara faktor yang menyebabkan penanaman kopi terus merosot di Malaysia yang penulis telitii adalah seperti tidak ada program khas penanaman kopi, hasil kopi yang rendah, harga kopi jambu dan kopi beras yang rendah dan tidak menentu dan persaingan dengan tanaman lain terutama kelapa sawit. Kajian penulis dibeberapa negeri terutama di Johor dan Selangor mendapati penanam kopi tradisional telah menukar kebun mereka kepada kelapa sawit. Selain daripada kos tinggi bagi memetik buah kopi jenis Liberica yang masak tidak serentak (pilih buah masak sahaja pada dahan pokok) ia memerlukan tenaga kerja lama dan menjemukan tidak berbaloi dengan upah dan hasil pendapatan yang diterima. Apabila kos pengeluaran dan anggaran pendapatan yang diterima kurang memuaskan, ramai penanam kopi yang menukar tanaman mereka. Serangan musuh dan penyakit tanaman kopi juga ada kesan kepada industri ini. Kopi yang ditanam jenis Liberica yang mutunya lebih rendah (aroma dan rasa) berbanding dengan kopi Arabica (Paling baik dipasaran) dan juga Kopi Robusta. Bagi sebilangan kita pula ramai meminati minum kopi dan tidak tahu bagaimana cara penanaman dan pemprosesan kopi. Ramai yang tentu tidak sempurna sarapan pagi tanpa meneguk secawan kopi bagi menceriakan permulaan hari. Artikel malam ini saya berkarya menulis dalam "Anim Agro Technology" dari sebuah hotel di Sungai Siput Utara (Jam 10.30 malam dan sunyi) info teknikal berkaitan industri kopi dan penghasilan varieti kopi baru di Malaysia sekadar bahan untuk bacaan rujukan serta bacaan anda.


Bagi peminat kopi, mereka boleh memilih banyak produk dan jenama serbuk kopi dipasaran. Pada penulis yang berasal dari Muar, Johor memang tidak asing dengan jenama kopi tempatan seperti Kopi Cap 434, Kopi Anggerek, Kopii Cap Tupai, Kopi Cap Murid, Kopi Cap Kapal Api, Kopi Cap Hang Tuah, Kopi Radix dan banyak lagi.  Kini terdapat pelbagai jenis kopi yang boleh dipilih, daripada kopi hitam, kopi segera dan sebagainya. Pada saya aktivis agronomis mendapati sebenarnya terdapat tiga jenis kopi yang ditanam di seluruh dunia iaitu Arabica, Liberica dan Robusta. Kopi Arabica yang biasa ditanam di kawasan pergunungan bermutu tinggi dan mendapat pasaran yang meluas di serata dunia. Manakala Robusta dan Liberica pula biasanya ditanam di kawasan tanah rendah.  Bagaimana pun, kopi paling mahal di dunia adalah kopi luwak atau kopi musang yang didapati di Indonesia. Saya ada menuis artikel mengenai kopi sebelum ini yang anda boleh rujuk (sila klik disini,  Sila Klik disini, sila klik disini,  Sila Klik disini, sila klik disini,  Sila Klik disini, sila klik disini,  Sila Klik disini, sila klik disini). Semua artikel ini membantu anda mendapatkan maklumat mengenai kopi yang jarang ditulis oleh orang lain.


Dalam membuat penelitian mengenai industri kopi, penulis mendapati di Malaysia aktiviti penyelidikan mengenai klon kopi telah mula dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejak 1981 dan mula mengeluarkan klon kopi pertama pada 1992. Dalam tempoh berkenaan sehingga 2008, MARDI sehingga kini telah berjaya mengeluarkan 12 klon kopi Robusta dan Liberica. Pegawai MARDI menyatakan prestasi kopi klon biasanya lebih baik berbanding dengan kopi biasa. Kopi klon akan mengeluarkan hasil yang lebih tinggi berbanding dengan kopi biasa. Bagi kopi Liberica misalnya, purata hasil kopi biasa adalah 11 -19 tan sehektar berbanding 20 hingga 28 tan sehektar bagi kopi klon. Buah kopi klon adalah lebih besar dan mudah dipetik berbanding buah kopi biasa. Pemerhatian saya juga mendapati kadar pertukaran daripada jenis kopi jambu ke kopi beras biasanya hanya sekitar lapan peratus tetapi dengan kopi klon peratusan dapat ditingkatkan sehingga 10.5 peratus. Kopi klon biasanya lebih cepat mengeluarkan hasil dan mengambil masa 19 bulan berbanding 30 bulan.


Cara penyelidikan kopi yang bermula pada 1981 menjurus kepada tiga program pemilihan iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan program pemilihan baka klon.  Program jangka pendek bagi menghasilkan baka dengan segera memakan masa 10 tahun.  Dalam tempoh berkenaan, dua klon baka polihibrid iaitu Robusta MKR1 dan Liberica MKL1 telah diisytiharkan pada 1992.  Bagi program jangka sederhana, 10 pokok terbaik dari kebun janaplasma kopi MARDI dinilai lanjut daripada segi prestasinya di ladang stesen-stesen penyelidikan MARDI di Gajah Mati, Kedah dan di Kluang, Johor.  Selepas sembilan tahun program ini telah menghasilkan tiga klon Liberica MKL2, MKL3, MKL4 dan empat klon Robusta MKR2, MKR3, MKR4 dan MKR5. Kini sebanyak tujuh klon berkenaan diisytiharkan pada 1995. Program pemilihan baka klon pula bermula dengan membuat pilihan pokok kopi seluruh negara dengan maklumat dikutip daripada petani dan pemantauan selama dua tahun di beberapa tempat asal dan plot uji kaji. Varieti kopi ini menjadi alternatif kepada penanam kopi untuk menggantikan tanaman kopi lama kepa jenis varieti baru yang lebih baik. Bagaimana pun banyak lagi penelitian lanjutan perlu diberikan kepada petani mengenai amalan agronomi dan juga pengurusan baik untuk mendapatkan hasil optima.


Kopi Liberica yang dikaji mendapati sebanyak 44 pokok kopi telah dikenal pasti pada tahun 1991 sebagai klon kopi MARDI dan daripada sana tiga pokok dipilih sebagai klon terbaik, iaitu MKL5, MKL6 dan MKL7 selepas 16 tahun dinilai. Ciri morfologi bagi buah, daun serta pokok matang bagi tiga klon baru ini dapat dilihat dengan sifat ketara seperti bentuk dan warna buah masak, bentuk daun dan struktur pertumbuhan seperti jarak ruas dahan sekunder pada dahan utama. Potensi hasil baka tiga klon baru ini lebih tinggi berbanding dengan klon Liberica sedia ada.  Hasil kopi jambu bagi MKL5, MKL6 dan MKL7 masing-masing 24.3, 25.1 dan 26.2 tan sehektar. “Purata hasil kopi jambu pula sebanyak 25.2 tan sehektar atau 19.4 peratus lebih daripada baka bandingan MKL3 yang digunakan dalam penilaian baka klon kopi Liberica.  Biasanya pekebun kecil akan menjual kopi dalam bentuk kopi jambu dan pengilang akan memproses ke bentuk kopi beras.  Kemudian kopi beras akan diproses bagi mendapatkan serbuk kopi seperti yang digunakan di rumah. 


Secara keseluruhan klon kopi baru MKL5, MKL6 dan MKL 7 berupaya mengeluarkan hasil yang lebih baik berbanding klon kopi yang disyorkan sebelum ini.  Pengeluaran hasil yang lebih tinggi dapat meningkatkan pendapatan dan produktiviti pengusaha atau pekebun kecil. Selain itu, saiz buah yang lebih besar juga dijangka dapat memudahkan kerja memetik hasil. Petani dan pekebun kecil yang menanam klon ini dijangka dapat meningkatkan hasil tanaman lantas menampung keperluan biji kopi negara terutama industri kopi yang menggunakan kopi Liberica untuk diproses menjadi serbuk kopi dan produk lain. Bagaimanapun kini tahap keluasan tanaman kopi semakin berkurang setiap tahun akibat persaingan penggunaan tanah dengan tanaman lain dan penempatan manusia. Selain itu harga pasaran kopi dunia yang tidak menarik terutama Robusta dan Liberica mengurangkan minat petani dan pekebun kecil. Usia petani dan pekebun kecil yang semakin meningkat juga memainkan peranan dalam penanaman kopi. Buat masa ini, Jabatan Pertanian ada yang terus membantu petani dengan membekalkan anak benih kopi kopi kepada petani dan pekebun kecil di seluruh negara terutama di Johor dan Selangor dan biji benih kopi polihibrid di Sabah. Tanaman Kopi di Malaysia perlu diberi penekanan agar industri ini dapat berkembang bagi mengurangkan impot yang berjuta ringgit setiap tahun. Wasallam!.


TANAM KOPI... APA POTENSINYA...
KOPI DITANAM...JENIS LIBERICA...
PASARAN DUNIA...MAHU ARABICA...
PERLU DIKAJI... CARA LAKSANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,

Room 216, MH Sentral Hotel,
Jalan Ipoh, Sungai Siput (U),
Perak, Malaysia.
(7 Muharam 1436H)
-Esok melawat ladang NLFCS Kelapa Matang


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...