Support My Blog

Friday, October 10, 2014

KANTAN - KENAPA HARGA TINGGI?

HARGA KANTAN RM8.50 SEIKAT?. Ini bermakna 1 batang kantan berharga RM4.25 iaitu harga runcit bagi herba yang amat mengejutkan (Sila lihat foto diatas). Itulah laporan diterima daripada rakan saya diTerengganu dan Kelantan pada Bulan Ogos - September 2014 yang penulis terima disana. Adakah ia sejenis kantan ISTIMEWA atau varieti hibrid baru atau sebab lain?. Pada penulis blog, KANTAN (Phaeomeria speciosa) merupakan sejenis tanaman yang tumbuh di kawasan lembab dan digunakan untuk tujuan menyedapkan rasa bagi banyak menu masakan melayu iaitu sejenis tumbuhan dari keluarga Zingiberaceae (Sila baca tulisan saya - Sila klik disini). Kajian saya daripada sumber laporan Jabatan Pertanian mendapati terdapati, seluas sekitar 70-90 hektar CHE tanaman kantan di Malaysia dimana ia banyak ditanam di Johor, Selangor dan Pahang. Sebut sahaja kantan tentu kita teringat akan Laksa Penang, Asam Pedas, Ulam Nasi Kerabu dan sebagainya. Selain daripada itu bunga kantan berkhasiat dan digunakan sebagai perasa masakan dimana bahagian batang kantan didakwa boleh mengubati bengkak-bengkak. Bahagian buahnya boleh membantu untuk meningkatkan selera makan dan biji kantan mampu mengubati penyakit pada telinga. Saya kenal akan tanaman kantan ini kerana memang ada menanam pokok ini ketika bertugas di Muar dikawasan rumah selama 5 tahun lamanya. Selalunya bunga kantan dijual dengan harga RM 1.50 satu kuntum di Lembah Kelang dan bandar besar lain di Malaysia. Harga diladang pula diantara sekitar RM0.30 - RM0.60 sekuntum sebelum minyak RON95 naik kepada RM2.30 seliter bergantung kepada saiz dan kualiti. Kenapa harga kantan boleh meningkat berkali-kali ganda sehingga diluar tahap 'harga logik' terutama di Pantai Timur?. Tinjauan terkini penulis di Sekitar Putrajaya dan Pasaraya di Kuala Lumpur juga mendapati ia mencecah RM2.50 - RM3.00 sekuntum pada Hari Raya Haji 1435 lepas. Adakah terdapat masaalah pengeluaran diladang yang terjejas atau masaalah rantaian nilai daripada petani kepada orang tengah dan pengguna tidak cekap?. Adakah ujud permintaan yang tinggi luarbiasa dipasaran atau disebabkan oleh perkara lain?. Banyak persoalan yang terfikir mengenai harga bunga kantan masa artikel ini saya tulis. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa kemungkinan kenaikan harga bunga kantan berlaku sebelum kenaikan harga minyak petrol pada 1 Oktober 2014. 


Penanaman dan penjagaan tanaman pokok kantan adalah sederhana mudah dan menguntungkan jika diuruskan dengan baik. Keperluan anakbenih kantan adalah sebanyak 4,200 pokok sehektar dan jika anggaran harga benih RM 0.50 sepokok maka kos pembelian anak benih sekitar RM 2,100 sehektar. Semasa atau sebelum menanam anakbenih kantan perlu diberikan baja asas iaitu CIRP sebanyak 20 gm/pokok (210 kg/hektar) dan Kapor sebanyak 2.5 - 4.0 mt sehektar bergantung kepada kadar pH tanah. Penanaman kantan dalam barisan dengan jarak penanaman 2m x 1m secara tunggal (4,200 pokok/ha). Pokok Kantan juga sesuai ditanam sebagai tanaman selingan dengan pokok getah (2m x 2m - 3,300 pk/ha), selingan dengan pokok buah-buahan (2m x 2 m - 3,300 pokok/ha). Penelitian penulis mendapati pokok kantan juga sesuai ditanam dibawah sedikit naungan seperti pokok getah dan buah-buahan asalkan dijaga dengan sempurna dan hasilnya agak kurang sedikit. Pokok kantan yang dijaga dengan baik mampu untuk menghasilkan bunga kantan secara berterusan. Lagi kerap memetik hasil dengan pembajaan berjadual akan lebih banyak hasil bunga kantan dituai. Pemberian baja organik yang cukup dan ada sistem pengairan sesuai juga boleh mempastikan pokok kantan subur dan mampu memberikan hasil banyak dan berkualiti. Elakkan daripada menggunakan bahan kimia untuk tanaman bunga kantan.


Kalau kenaikan harga kantan ini disebabkan oleh permintaan yang mendadak dimusim perayaan adalah logik. Tetapi kali ini kadar kenaikan adalah dirasakan amat tinggi dan mungkin ada faktor lain yang menyebabkan perkara ini berlaku. Adakah bunga kantan di pantai timur ini kerkurangan bekalan kerana ada pengaliran keluar kenegara jiran?. Jika ada kenapa ia tidak dilaporkan dalam mana-mana forum jika ianya berlaku. Lazimnya penanam bunga kantan sudah tahu akan trend permintaan bunga kantan yang tinggi pada musim perayaan. Mereka selalunya akan menggandakan tuaian dan penjualan pada musim perayaan dimana ianya jarang akan mencecah harga tinggi seperti ini. Kalau hendak dikatakan kini ada usahawan kilang yang membeli banyak bunga kantan untuk diproses bagi membuat produk lain, siapakah gerangan mereka dan apa produk yang mereka buat?. Kalau hendak dikatakan berlaku bencana alam banjir besar yang menyebabkan pokok kantan musnah dan tidak berbunga juga kurang laporan yang menyatakan perkara tersebut. Kalau hendak salahkan 'orang tengah' mengambil untung berganda mungkin kurang tepat kerana kadar kenaikan harga bunga kantan juga amat tinggi. Jadi apa alasan dan penjelasan lain mengenai isu ini?.


Pemerhatian penulis mendapati antara kemungkinan atau hipotesis kenapa harga kantan meningkat ada hubungkait dengan fenomena El-Nino yang berlaku dikawasan pengeluar utama bunga kantan terutama dikawasan Selatan Tanah Air (Johor) dan juga di Negeri Pantai Timur semenjak awal tahun iaitu Januari hingga Jun 2014. Penulis mendapati cuaca panas kering dan suhu tinggi di Johor pada bulan hujung Febuari, April dan Mei 2014 disahkan telah menyebabkan banyak pokok tanaman makanan termasuk pokok bunga kantan yang terjejas pertumbuhannya dan tidak memberikan hasil seperti biasa. Pokok kantan menjadi kering dan parit serta kolam yang diperiksa juga menjadi kering kontang antara 1 -1.5 bulan. Pokok sedikit layu malahan ada juga daun mengering dan pertumbuhan agak terencat (Sila lihat foto disebelah).Hal ini telah disahkan oleh beberapa penanam pokok bunga kantan di Johor termasuk Hj Zainal, Cikgu Yusoff dan beberapa lagi yang menanam pokok kantan secara komersil di Batu Pahat dan Muar. Dakwa mereka akibat cuaca kering tanpa hujan dan panas menyebabkan pokok kantan gagal mengeluarkan bunga bermula bulan Julai sehingga kini tetapi diharap ianya dijangka akan pulih beberapa bulan lagi. Temubual dengan mereka menganggarkan kadar kehilangan hasil bunga kantan pada peringkat awal adalah cuma serendah 15% tetapi kini telah dilaporkan melebihi 50%. Oleh itu adalah digalakkan beberapa inisiatif diambilkira bagi mengatasi harga bunga kantan ini daripada terus melambong tinggi dimasa akan datang. Satu cara terbaik adalah dengan usaha mengalakkan penanaman pokok kantan didalam pasu atau atas tanah dikawasan rumah atau perumahan sendiri.  Jika ramai yang berbuat demikian saya percaya kita tidak akan terima harga bunga kantan yang mahal kerana sudah ada pokok sendiri. Wasallam!...
BUNGA KANTAN...MAHAL HARGA...
BUAT SIASATAN...APA PUNCANYA...
ORANG TENGAH... ADAKAH KERJA DIA...
BUAT PROGRAM...SELESAIKANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Executive Room 301,Mariner Hotel,
Jalan Tanjung Purun,
Labuan, WP Labuan,
Malaysia.
15 Zulhijjah 1435H.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...