Support My Blog

Sunday, September 1, 2013

KELAPA - JELI KELAPA

JELI KELAPA (Coconut Jelly) merupakan satu produk makanan daripada air dan isi kelapa yang kini semakin mendapat permintaan tinggi dikalangan masyarakat kita. Jeli Kelapa berbeza dengan produk 'Nata de coco' kerana menjalani proses persediaan yang berbeza dan pastinya jenis produk berbeza. Nata de coco walau pun mempunyai bahan asas air kelapa tetapi ia adalah proses penapaian (fermantation) oleh bantuan bahan Acetobacter xylinum yang menghasilkan serat yang kenyal dan serta manis dan enak dimakan. Produk nata de coco kini telah dikomersilkan dengan tahap industri dan dipasarkan keseluruh dunia dengan pelnagai jenama dan perasa. Jeli Kelapa merupakan produk yang air kelapa dengan isi kelapa yang perlu diproses dengan menggunakan bahan agar-agar dan beberapa ramuan perisa tambahan. Saya sangat suka makan jeli kelapa yang dijual di Medan Ikan Bakar Pernu dan Medan Ikan bakar lain di Coastal Bay, Alai , Melaka kerana rasanya yang manis, lembut serta enak dan harga berpatutan. Artikel malam Ahad ini selepas terawikh saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu teknologi dan potensi produk dari kelapa iaitu 'Jeli Kelapa' untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Foto diatas menunjukkan dua produk berasaskan air kelapa yang anda mungkin kenal iaitu Jeli Kelapa (Kiri) dan Nata De Coco (Kanan). Kini telah ramai usahawan tempatan yang telah berkursus untuk membuat kedua-dua produk tersebut sama ada untuk kegunaan sendiri atau untuk dikomersilkan. Daripada beberapa tinjauan dan kursus yang saya pernah lalui, pembuatan jeli kelapa memang amat mudah dan rasanya semua yang membaca blog kali ini kena mencubanya. Bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan sebanyak anggaran 15-20 cup (Cawan - bergantung saiz cup) boleh didapati dipasar basah atau petik kelapa dibelakang rumah sahaja. Sediakan sebanyak 10 gm serbuk agar-agar jenis yang jernih (putih) yang boleh dibeli dikedai runcit atau pasaraya. Sebanyak 2 cawan gula pasir diperlukan dan kalau hendak rasa lebih manis boleh dilebihkan. Kemudian ambil sebanyak 8 cawan air kelapa (sebaiknya diambil daripada 2 biji kelapa muda) dan pastikan tidak tercemar dengan bahan kekotoran lain. Bahan lain adalah sebanyak 8 cawan air biasa dan 2 helai daun pandan serta sedikit isi kelapa disediakan untuk proses membuat jeli kelapa.


Cara-cara membuat jeli kelapa juga mudah iaitu mula-mula kita boleh campurkan semua bahan diatas kecuali isi kelapa. Sediakan bekas untuk memasak bahan air kelapa, serbuk agar-agar, gula, daun pandan dan air biasa tadi sehingga ia sebati dan mendidih. Sementara menunggu air mendidih, masukkan isi kelapa dalam bekas cup kecil-kecil dengan kadar berpatutan iaitu mengikut suka hendak banyak mana. Kalau terlalu banyak pun kurang menarik dan kalau terlalu sedikit tidak puas hati makan sendiri. Kemudian kita tuangkan adunan jeli tadi ke dalam cup yang berisi potongan isi kelapa sehingga keparas penuh dan tutup untuk disejukkan. Semasa membuat sukatan tadi jika kita mempunyai air kelapa agak banyak maka kita boleh kurangkan air biasa untuk menambahkan keenakan jeli kelapa kita. Tutup rapat cup tersebut dan biarkan ia sejuk dan agar-agar tersebut akan membeku sehingga menjadi 'jeli Kelapa'. Kita boleh makan teru begitu sahaja atau disimpan dalam peti sejuk dahulu baru dimakan. Memang enak dan lazat sekali makan jeli kelapa yang lembut dan sejuk yang baru sahaja dikeluarkan dari peti sejuk dihidangkan sebagai makanan berkhasiat.


LAPORAN AKHBAR:
Jeli kelapa menguntungkan
Utusan Malaysia:
Fadila Ismail menunjukkan jeli nira kelapa yang diusahakannya 
di Kampung Batu Putih, Marang.


MARANG 13 Julai - Ketika graduan lain sibuk mencari peluang pekerjaan di sektor awam dan swasta selepas menggenggam segulung ijazah dan diploma, Fadila Ismail, 21, bagaimanapun tidak mempedulikan perkara itu. Graduan Diploma Pengurusan Ladang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu sebaliknya mencabar keupayaan dirinya dalam lapangan keusahawanan. Dia memulakan suatu yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah orang sejak dua bulan lalu apabila mengusahakan jeli nira kelapa dalam kebun milik ayahnya di Kampung Batu Putih, Batangan, dekat sini. Menyifatkan usahanya sebagai sekadar 'eksperimentasi' dengan skala kecil, namun dalam tempoh itu, Fadila sudah berjaya menjual lebih 3,000 jeli nira kelapa.


Menurut Fadila, dia menceburi bidang perusahaan pembuatan jeli nira kelapa bagi menghasilkan kelainan melalui sumber-sumber segar yang terdapat di kawasan sekitar. "Kira-kira dua bulan lalu, selepas saya tamat belajar, saya mengikuti kursus membuat jeli kelapa anjuran Jabatan Pertanian Daerah Marang, namun selepas kursus itu tamat saya rasa telah banyak jeli kelapa di pasaran. "Saya terfikir untuk cuba membuat jeli nira pula kerana rasanya yang lebih unik serta manis dan pasti akan mendapat tempat di hati penggemar air nira untuk mencubanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam. Tambahnya, keunikan rasa nira kelapa yang sangat manis berbeza dengan rasa nira nipah yang agak masam memberi tarikan kepada orang ramai. "Buat masa ini, saya mendapat bekalan air nira kelapa dari kebun bapa yang juga pengusaha kelapa pandan di Kampung Batu Putih, Batangan dekat sini, dan setiap bulan saya perlu menghasilkan kira-kira 1,500 bekas jeli," katanya. 
Selamat mencuba!


JELI KELAPA... MEMANG LAZAT...
AIR KELAPA, GULA... AROMA KUAT...
HARGA MURAH... IA BERKHASIAT...
SELALU MINUM... BADAN JADI SIHAT...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Medan Ikan Bakar Alai,
Melaka Tengah,
Melaka, 
Malaysia.
(27 Ramadan 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...