Support My Blog

Wednesday, January 7, 2015

BENIH KELAPA MATAG - PENAKAIAN

BENIH KELAPA MATAG (Cocos nucifera) kini merupakan jenis benih kelapa hibrid yang dihasilkan melalui proses pendebungaan silang (Cros pollination) diantara Bunga betina Kelapa Rendah Malaya (MRD atau MYD) dengan bunga jantan daripada Kelapa Tinggi Tagnanan. Kelapa ini mendapat permintaan yang tinggi dikalangan penanam kelapa di Malaysia kerana kemempaunnya menghasilkan buah kelapa yang tinggi dan cepat berhasil berbanding dengan Kelapa Tinggi malaya (Malayan Tall Variety) yang banyak ditanam selama ini. Walau pun kini benih ini agak sukar diperolehi, namun penulis medapat info menyatakan kapasiti pengeluaran benih kelapa Matag dalam negara sekitar 150,000 - 180,000 pada tahun 2014 dan akan meningkat lagi. Pengeluaran benih kelapa hibrid ini hanya boleh dihasilkan oleh Kebun Benih KelapaTerpilih yang dikhususkan untuk pengeluaran benih hibrid ini. Ini kerana benih kelapa Matag F2 yang dihasilkan darii pokok Matag F1 tidak boleh dijadikan benih tanaman kelapa matag kerana ia mungkin akan menjadi pokok induk asalnya atau dalam bahasa mudah bukan kelapa matag lagi. Terdapat beberapa usahawan nurseri swasta yang mendakwa mempunyai benih kelapa matag ini tetapi perlu disiasat kerana hanya ada 5 pengeluar benih kelapa Matag di Malaysia yang dijamin ketulinannya. Pengeluar tersebut adalah 3 kebun benih iaitu oleh Jabatan Pertanian (Jorak di Johor, Lekir di Perak dan Menumbok, di Sabah), United Plantation Estates di Teluk Intan dan NLFCS Estates di Sg Siput, Perak. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai proses penakaian dan pengurusan di tapak semaian untuk membuat benih hibrid kelapa Matag bagi pengetahuan dan rujukan pembaca semua.


Proses PENAKAIAN anakbenih kelapa Matag dibuat selepas 120 hari bijibenih disemai ditapak semaian. Anak benih yang sihat dan tulin sahaja akan digunakan sebagai benih hibrid kelapa Matag untuk dijual atau diedarkan kepada peserta projek tanaman kelapa tajaan Jabatan Pertanian Malaysia. Benih yang baik dan disahkan ketulinannya dipilih dan diasingkan dengan benih kelapa matag yang tidak normal. Antara ciri benih kelapa Matag yang tidak normal adalah benih dimana warna pelepahnya adalah selain daripada warna hijau, Keemasan atau Jingga Kemerahan. Jika benih tersebut mempunyai Lai Daun yang pendek, jarang, berlingkar atau berputar juga perlu ditakai dan diasingkan. Seterusnya periksa benih kelapa yang mempunyai tangkai pelepah yang panjang, menegak atau kecil kerana ia adalah tidak normal. Anak benih yang berkembar juga perlu ditakai (Sila lihat foto disebelah). Benih hibrid kelapa matag tilin yang normal mempunyai 5-6 helai daun setelah berumur 120 hari dalam semaian dengan ketinggian sekitar 45 cm keatas. Benih hibrid kelapa matag yang tidak normal lazimnya hanya punyai sebanyak 2-4 helai daun dengan ketinggian yang kurang daripada 45 cm.  Penakaian ini mesti dilakukan oleh pekerja yang mahir sahaja dan berpengalaman. Ini kerana jika tersalah pilih dimana benih yang elok dan sihat ditakai, maka rugilah kerana ia mengambil masa lebih 1.5 tahun untuk mendapatkan benih hibrid dari mula proses penyediaannya. 


Semasa penjagaan di Tapak Semaian, penyiraman air yang secukupnya adalah amat penting semasa peringkat biji atau anakbenih disemai di tapak percambahan atau tapak semaian. Kerja penyiraman perlu dijalankan dua kali sehari iaitu pada pagi dan waktu petang. Kekurangan air akan menjejaskan pertumbuhan biji atau anakbenih tetapi jika dilakukan penyiraman berlebihan akan menyebabkan kepada serangan penyakit.  Sistem pengairan dalam tapak semaian yang disyorkan adalah dengan sistem pengairan renjis (Sprinkler System). Pastikan pekerja melakukan kerja dengan baik terutama pada musim panas dan kering. Kawalan rumpai dalam tapak semaian dilakukan sebulan sekali dengan menggunakan tangan atau kaedah lain. Kawalan perosak dan juga penyakit dilakukan mengikut jadual dan berdasarkan kepada pemeriksaan. Pembajaan perlu dilakukan selepas merumpai dimana cara pembajaan yang disyorkan adalah dengan semburan baja foliar yang dibuat bermula 30 hari selepas semaian dan diulangi setiap 15 hari selepas itu. Baja Sebatian NPK 15:15:15 diberikan sebanyak 10 gram sepokok selepas 90 hari selepas disemai dan diulangi setiap bulan.  Pastikan keadaan pelindung dengan jaring hitam sentiasa dalam keadaan baik dan jika rosak ianya perlu diperbaiki. Proses menjaga tapak semaian boleh dijadualkan kepada pekerja yang mahir. Sebaiknya kawasan tapak semaian abakbenih kelapa Matag dipagar dengan chainlink untuk mengelakan sebarang gangguan dari haiwan perosak mahu pun manusia yang cuba mencurinya. Ini kerana benih kelapa hibrid Matag merupakan banih yang paling mahal dikalangan benih tumbuhan dimana harga runcit dijual diantara RM 30.00 - RM 35.000 sebiji.


Anak benih kelapa hibrid Matag yang cukup umur boleh dijual atau diedarkan kepada petani untuk ditanam setelah berumur 4 - 12 bulan. Pilih benih yang normal dan seragam saiznya dan juga warna pelepah yang sama (Ini kerana akan ada kekeliruan jika dicampurkan kesemua tiga varieti CN13, CN14 dan CN15) yang mungkin menyusahkan pemahaman oleh petani. Kalau anakbenih itu hijau nanti dikatakan petani atau pembeli anakbenih kerana ia subur sementara jika ia kuning atau jingga kemerahan dikatakan ia berpenyakit atau tidak sihat. Asingkan mengikut blok dimana warna pelepah ini dikumpulkan dan ditandakan dengan jelas. Proses pengeluaran untuk jualan atau pengedaran kepada petani mengambil masa semala 1 tahun 4 bulan lamanya. Setiap proses pengeluaran perlu dilakukan dengan teliti dan SOP yang betul agar tidak berlaku peratus kejayaan proses ini rendah. Hasil sebenar anakbenih kelapa Matag tidak menentu kejayaannya kerana ia akan menjadi 3 jenis sama ada jadi Benih Kelapa Hibrid Matag, Benih Kelapa Induk Renek (MYD/MYD) atau menjadi Benih Kelapa Tinggi (Induk Jantan). Jika pekerja yang mahir dan cuaca elok maka kadar peratus kejayaan adalah tinggi sebaliknya jika kurang cekap dan cuaca tidak elok kadar kejayaan adalah rendah. Permintaan untuk anakbenih kelapa hibrid Matag adalah kerana ia berpotensi menghasilkan sebanyak 25,000 biji sehektar setahun jika dijaga dengan baik. Kajian penulis dibeberapa lokasi dan penanam kelapa matag di Johor, Perak dan selangor mendapati purata hasil dicapai oleh pekebin kecil dikawasan tersebut diantara 14,000 - 18,000 biji sehektar setahun. Ini merupakan pencapaian amat baik jika dibandingkan dengan hasil kelapa Malayan Tall sekitar 5,000 - 7,000 biji sehektar setahun sahaja. Semuga artikel dalam "Anim Agro Technology" ini mampu memberikan info berguna untuk rujukan anda. Wasalam!.



BENIH MATAG... DITAPAK SEMAIAN...
PERLU DISIRAM... PAGI DAN PETANG...
BILA 120 HARI... BUAT PENAKAIAN...
CUKUP UMUR... SESUAI UNTUK JUALAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Petak Pembiakan Kelapa,
United Plantation Estates,
Teluk Intan, Perak,
Malaysia.
(12 RabiulAwal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...