Support My Blog

Sunday, May 27, 2012

BUNGA RAMPAI

BUNGA RAMPAI merupakan sejenis campuran daripada beberapa jenis bunga terpilih dan daun pandan yang di hiris halus serta digaul dengan minyak wangi. Bunga Rampai digunakan dalam beberapa jenis maljlis dan adat istiadat di masyarakat kita seperti Majlis Perkahwinan, Majlis Pertunangan, Majlis Berkhatan, Majlis Potong Jambul, Majlis Akad Nikah, Majlis Meraikan Orang Ternama dan sebagainya yang tidak dapat dinyatakan. Bunga Rampai ini memberikan satu aroma keharuman yang memberikan impak kesegaran didalam sesuatu majlis yang diadakan. Ianya memberikan satu terapi khusus kepada majlis persandingan dan amat baik diletakkan didalam bilik pengantin. Kesannya juga amat baik bagi mengujudkan satu perasaan yang aman damai dan ketenangan jiwa kepada yang mendapat baunya. Artikel petang Sabtu ini sambil menghadap Sungai Mersing dari bilik hotel saya menulis artikel mengenai bunga rampai.


Cara penyediaan bunga rampai ini adalah sangat mudah dan memerlukan kos yang sangat murah serta mudah didapati. Lazimnya bahan utama dalam komponen bunga rampai adalah daun pandan segar yang dipetik dibelakang rumah atau boleh dibeli daripada pasar basah atau pasaraya. Daun pandan yang dipilih adalah kombinasi daun pandan tua dan daun pandan muda dan kemudian dihiris halus sekitar 1 - 2 mm lebar. Pisau tajam jenis pisau lipat (dulu cuma RM 0.10 satu pisau kini saya beli berharga RM 0.60 satu unit di Putrajaya). Hirisan pandan ini dikumpulkan dalam satu bekas plastik atau mangkuk yang sesuai. Bunga kenanga, bunga kertas, bunga tanjung dan lain-lain jenis bunga disiat dengan tangan dan digaulkan dengan hirisan daun pandan tadi.


Campuran bunga tadi di titiskan dengan minyak rambut lelaki seperti jenama Aminah Hasan, Amlar dan sebagainya dan diramas-ramas dengan tangan sehingga lembut. Selepas itu di titiskan minyak wangi sebanyak 5-10 titis kepada campuran tadi dan gaul sehingga rata. Jumlah titisan minyak wangi ini bergantung kepada banyaknya campuran bunga dan hirisan daun pandan serta kualiti jinis minyak wangi yang digunakan. Pengalaman seseorang membuat bunga rampai akan membantu ketahanan dan keharuman bunga rampai tersebut. Pada keadaann biasa bunga rampai ini tahan untuk 3 - 5 hari jika di letakkan ditempat yang betul. Jika bunga telah kering akan mudah hilang baunya dan boleh di tambah minyak wangi lagi seperti Bunga Kering Wangi.


Dalam majlis menghantar hadiah sempena majlis pertunangan atau pernikahan lazimnya bunga rampai diisikan dalam bekas khas. Zaman moden kini banyak jenis bekas bunga rampai dijual dikedai-kedal aksesori perkahwinan dalam pelbagai bentuk, saiz, warna dan harga. Ada bekas bunga rampai diperbuat daripada anyaman daun pandan, kaca, seramik, plastik, kain, kotak kayu, getah dan bebagai lagi. Bunga rampai ini dimasukkan kedalam bekas tersebut dan akan diberikan kepada tetamu khusus yang hadir. Berbeza pula dalam Majlis Potong Jambul dimana bunga rampai akan dimasukkan kedalam poket baju melayu para hadirin semasa upacara memotong jambul dan marhaban. Istiadat ini sering dilakukan di kampong saya di Daerah Ledang , Johor. Bunga rampai ini akan mewangikan baju dan hadirin agak lama juga. Wasallam.


BUNGA RAMPAI...BANYAK CAMPURANNYA...
MUDAH DISEDIAKAN...MURAH BAHANNYA...
DICAMPUR MINYAK WANGI..PILIH BAUNYA...
AROMA TERAPI..ITULAH TUJUANNYA....


By,
M Anem
Room 219, Hotel Timothel,
Jalan Mersing-Endau,
Mersing, Johor,
Malaysia.
(6 Rejab 1433).        

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...