Support My Blog

Thursday, July 16, 2009

Pengembangan Pertanian (Agriculture Extension)













SISTEM DAN METODOLOGI PENGEMBANGAN JABATAN PERTANIAN


1.0 PENDAHULUAN

1.1 Perkhidmatan pengembangan adalah ‘core business’ Jabatan Pertanian. Wujudnya perkhidmatan pengembangan sebagai salah satu kaedah menyalurkan maklumat dan teknologi kepada petani dan usahawan sejak berdekad yang lalu tidak dinafikan telah dapat meningkatkan taraf hidup dan pendapatan penduduk terutamanya yang tinggal di luar bandar. Arahan kerajaan supaya sistem penyampaian kerajaan dipertingkat dan dikemaskan menjadikan perkhidmatan pengembangan semakin penting dan berperanan sebagai satu sistem yang unggul dalam pelaksanaan program dan aktiviti Jabatan Pertanian.

1.2 Langkah untuk memperkukuh dan memperkemaskan perkhidmatan pengembangan telah dilaksanakan dengan menstruktur semula peranan dan fungsi perkhidmatan pengembangan dan mewujudkan Bahagian Pengembangan, Perundingan, Pelaburan dan Industri Asas Tani (PPP&IAT) di Ibu Pejabat. Di bawah bahagian ini, Seksyen Pengembangan merupakan satu dari tiga seksyen baru yang ditubuhkan. Di peringkat Negeri pula, Jawatan Timbalan Pengarah Pengembangan ataupun “Chief Extension Officer (CEO)” diwujudkan yang berperanan sebagai ketua pegawai pengembangan. Sementara itu, di peringkat Daerah, pegawai Pertanian Daerah adalah bertanggungjawab dalam melaksanakan program pengembangan.

1.3 Justeru itu anggota Jabatan terutama pegawai pengembangan yang terdiri daripada Pegawai Pertanian (A.O), Penolong Pegawai Pertanian (A.A.O) dan Pembantu Pertanian (J.P) tidak dapat lari dari hakikat bahawa fungsi perkhidmatan pengembangan di semua peringkat perlu sentiasa diberi perhatian utama bagi mempastikan sistem penyampaian maklumat kepada pelanggan Jabatan akan terus dipertingkatkan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.


2.0 APA DIA PENGEMBANGAN

2.1 Asas Pengembangan adalah menolong petani atau pelanggan untuk menolong diri mereka sendiri melalui proses pendidikan.

2.2 Pengembangan didefinisikan sebagai satu proses pendidikan tidak formal yang dijalankan secara bersistem untuk memberi khidmat dan menggalakkan penerimaan sesuatu teknik, teknologi dan maklumat-maklumat baru oleh sesuatu kumpulan atau individu tertentu selaras dengan keperluan dan kemampuan mereka bagi mencapai kemajuan sosio-ekonominya.

2.2.1 Terdapat 2 konsep asas Pendidikan Pengembangan iaitu:-
a. Pendidikan
- Ditakrifkan sebagai “ke arah menghasilkan perubahan serta kepuasan di dalam
perlakuan manusia”. Ia mesti menghasilkan perubahan dalam diri individu.

b.Pembangunan
- Untuk mendorong seseorang individu itu berubah melaksanakan sesuatu yang dirancang
dengan penuh tenaga, fikiran dan fizikal untuk berjaya.

2.3 Oleh itu, tujuan sebenar pendidikan pengembangan ialah untuk menghasilkan perubahan (impak) kepada seseorang individu yang dapat memberi kepuasan serta mencapai objektif masyarakat yang besar.

3.0 PRINSIP PENGEMBANGAN

3.1 Prinsip Pengembangan adalah mengajar individu untuk menolong diri mereka sendiri melalui proses pendidikan dan bukan membuat kerja untuk mereka. Kejayaan sesuatu aktiviti pengembangan banyak bergantung kepada initiatif pegawai pengembangan berikhtiar mencari jalan serta memahami keperluan pelanggan yang hendak dibantu, di samping mencadangkan alternatif penyelesaian yang bersesuaian.

4.0 PEGAWAI PENGEMBANGAN

4.1 Pada hakikatnya, Pegawai Pengembangan adalah seorang pendidik. Tugas khusus mereka adalah untuk memberi semangat, membekal maklumat, bantuan teknikal dan memberi khidmat nasihat kepada pelanggan. Pegawai Pengembangan perlu mempunyai sifat seorang pemimpin, semangat ke depan dan memperolehi pengiktirafan sebagai seorang yang berkebolehan, dipercayai, amanah dan dapat menyesuaikan dirinya dalam masyarakat.

5.0 KENAPA PERKHIDMATAN PENGEMBANGAN DIANGGAP PENTING

5.1 Perkhidmatan pengembangan ialah ‘core business’ Jabatan Pertanian. Pegawai di semua peringkat (Pembantu Pertanian, Penolong Pegawai Pertanian dan Pegawai Pertanian) dalam perkhidmatan Negeri atau Persekutuan adalah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam Perkhidmatan Pengembangan Jabatan Pertanian.

5.2 Perkhidmatan Pengembangan Jabatan bukan sahaja tertumpu kepada khidmat nasihat dan pemindahan Teknologi (T.O.T – Transfer of Technology) kepada petani kecil (yang disebut khidmat pengembangan) malahan Jabatan juga adalah berfungsi memberi nasihat (yang disebut perundingan) kepada usahawan dan syarikat yang ingin melabur di bidang pertanian. Metadologi Pengembangan yang bersesuaian perlu digunapakai bagi memenuhi keperluan kedua-dua kategori pelanggan yang berkenaan sebagai menifestasi kepakaran yang dimiliki oleh pegawai pengembangan.


6.0 PERANAN PEGAWAI PENGEMBANGAN

6.1 Pegawai Pengembangan berperanan penting untuk mempastikan pelanggan mendapat faedah dan impak dari khidmat yang diberikan. Secara ringkas peranan pegawai pengembangan ialah:

· Melaksanakan Projek Pembangunan (yang merupakan Extension Tool) di dalam
sistem pengembangan.
· Pemindahan teknologi
· Pengurusan projek
· Penyebar maklumat
· Penghubung
· Pemudah cara
· Penasihat
· Penganjur
· Pemimpin



7.0 LATARBELAKANG SISTEM PENGEMBANGAN

7.1 Tumpuan sistem pengembangan adalah ke arah matlamat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup petani melalui peningkatan produktiviti ladang dengan menggalakkan petani mengamalkan teknologi yang sesuai dalam mengusahakan tanaman yang berdaya maju serta pengurusan ladang yang cekap dan berkesan.

7.2 Sistem pengembangan yang dilaksanakan Jabatan Pertanian telah melalui evolusi bersesuaian dengan masa dan keperluan golongan sasar. Sebelum sistem Latihan dan Lawatan(2L) diperkenalkan, petani-petani sukar mendapat perkhidmatan pengembangan Jabatan Pertanian disebabkan setiap pegawai pengembangan kawasan terpaksa mengawasi terlalu ramai bilangan petani (mengikut rekod ianya melebihi 1500 keluarga tani).

7.3 Di samping tugas pengembangan (pemindahan teknologi baru), pegawai berkenaan juga dibebankan dengan kerja-kerja regulatori (sokongan pengembangan) seperti pengeluaran benih, menguruskan bantuan / subsidi, proses ubah syarat tanah, penyiasatan senjata api dan sebagainya. Ini menjadikan tumpuan mereka terhadap kerja-kerja pemindahan teknologi menjadi terhad, tiada jadual kerja yang teratur, di samping lawatan ke ladang dibuat tanpa program yang teratur. Sistem pengembangan waktu itu, juga kurang memberi penekanan kepada program latihan pegawai secara berjadual. Ini menyebabkan pegawai pengembangan sering menghadapi masalah untuk mendapatkan pengetahuan mengenai teknologi yang hendak disampaikan kepada petani.

7.4 Sistem pengembangan Latihan dan Lawatan (Sistem 2L) telah dilaksanakan pada tahun 1977 dengan matlamat memperkukuhkan keberkesanan sistem pengembangan terdahulu melalui penyaluran teknologi yang lebih tersusun dan kemas kepada petani dan pemberian latihan kepada pegawai pengembangan.

7.5 Di bawah sistem ini (yang diperkenalkan oleh Bank Dunia melalui Projek Pengembangan Kebangsaan), setiap Juruteknik Pertanian mengawasi antara 600 hingga 800 keluarga tani. Petani-petani digabungkan di dalam Kumpulan-kumpulan Tani yang terdiri daripada 50 orang. Kumpulan ini seterusnya dibahagikan kepada 5 kumpulan kecil yang diketuai oleh Kontak Tani (petani maju).


8.0 EVOLUSI PENGEMBANGAN


Jabatan Pertanian mempunyai sejarah lebih 100 tahun dalam menjalankan aktiviti pengembangan pertanian. Pada tahun 2005 genaplah Jabatan Pertanian sebagai agensi paling lama menjalankan pembangunan sektao pertanian di Malaysia.



9.0 SISTEM PENGEMBANGAN MASA KINI

9.1 Sistem Pengembangan yang digunapakai pada masa ini adalah berasaskan projek dan mirip sistem 2L (latihan dan lawatan). Di bawah sistem ini perkhidmatan diberi secara ”regimented” dengan memberi penekanan semula kepada lawatan, latihan dan perjumpaan, pemindahan teknologi serta pemantauan aktiviti pengembangan. Semua aktiviti pengembangan dirancang mengikut kalender tanaman yang diusahakan oleh pelanggan.Di bawah sistem ini isu mengenai liputan (coverage) pelanggan dan kandungan (content) aktiviti pengembangan di ambil kira bagi mengatasi masalah yang timbul di bawah sistem terdahulu.

Bagi mencapai matlamat liputan menyeluruh, pengembelingan pegawai-pegawai telah dilakukan dengan merangkumi:

a) Di peringkat projek, minima Penolong Pegawai Pertanian akan bertanggungjawab
dalam penyampaian teknologi dan pengurusan projek-projek komersil dengan dibantu oleh Pembantu Pertanian Pengembangan.

b) Di peringkat daerah, Pegawai Pertanian Daerah akan bertangungjawab dalam pelaksanaan, penyelarasan dan pemantauan aktiviti pengembangan.

c) Di peringkat Negeri peranan Ketua Pegawai Pengembangan (CEO) diaktifkan semula khususnya dari segi perancangan, penyelarasan dan pemantauan aktiviti pengembangan.
d) Kepakaran pegawai-pegawai teknikal sebagai ”Subject Matter Officer” (SMO) digembelingkan untuk memperkemaskan sistem dengan menjadi tenaga pengajar kepada pegawai Pengembangan agar kepakaran mereka dapat dikemaskini dari masa ke semasa. Di samping itu, mereka juga perlu menjalankan khidmat pengembangan ke projek mengikut keperluan Negeri masing-masing.

e) Di samping itu, Pembantu Pertanian yang menjaga mukim/kawasan perkhidmatan sediada akan menjalankan tugas regulatori seperti penyiasatan tanah, menjalankan bancian, mengumpul data dan mengadakan perjumpaan dengan golongan sasar di luar kelompok sekurang-kurangnya sebulan sekali samada di balai raya, masjid dan lain-lain tempat yang sesuai.



10.0 PERBANDINGAN SISTEM 2L DENGAN SISTEM PENGEMBANGAN MASA KINI

SISTEM 2L - SISTEM MASA KINI

1. Latihan dan lawatan kepada golongan sasar secara berjadual setiap 2 minggu.

2. Latihan oleh SMO kepada agen pengembangan setiap 2 minggu.

3. Penekanan latihan dan lawatan adalah kepada ‘impak point’ yang telah ditetapkan tanpa mengira kategori pelanggan dan aktiviti tanaman di ladang.

4. Golongan sasar dibahagikan kepada kumpulan (contohnya: 12 kumpulan dalam 1 kawasan perkhidmatan) mengikut sempadan kawasan perkhidmatan yang telah ditetapkan.

1.Lawatan khidmat nasihat secara berjadual mengikut kalender tanaman.

2.Latihan oleh SMO kepada pegawai pengembangan secara berjadual mengikut kalender tanaman dan dilaksanakan sebelum aktiviti ladang dimulakan.

3.Kandungan maklumat pengembangan difokuskan kepada GAP, GMP, Dignostik Tanaman dan Pesticide Extension etc.
Sebagai contoh bagi pengusaha tanaman padi, lawatan dan khidmat nasihat yang diberikan secara berjadual berpandukan kepada aktiviti yang kritikal dalam pengeluaran tanaman padi seperti:
i. Teknik pemilihan benih berkualiti
ii. Pembajaan yang pertama
iii. Pembajaan yang kedua
iv. Pembajaan yang ketiga
v. Kawalan musuh dan penyakit pada peringkat vegetatif
vi. Kawalan musuh dan penyakit pada peringkat produktif



4. Pelanggan dibahagikan mengikut kategori kecil dan usahawan yang meliputi agensi kerajaan dan swasta.

5. Khidmat nasihat yang diberikan adalah dalam bentuk pengembangan kepada petani kecil dan perundingan kepada usahawan dan syarikat-syarikat.


11.0 PROSES PELAKSANAAN PROGRAM PENGEMBANGAN

Pegawai pengembangan DAN Projek Pembangunan

11.1.1 Pemindahan Teknologi

11.1.2. Penyampaian Maklumat
 11.1.3. Pengurusan Ladang
 11.1.4. Pemantauan
 11.1.5. Maklumbalas Pelanggan




12.0 PERKHIDMATAN PENGEMBANGAN DI BAWAH STRUKTUR BARU JABATAN PERTANIAN

12.1 Melalui penstrukturan semula organisasi Jabatan Pertanian perkhidmatan pengembangan di perkasakan melalui tiga peringkat berikut :
· Peringkat Ibu Pejabat Pertanian Putrajaya – diwujudkan Bahagian Pengembangan, Pelaburan, Perundingan dan Industri Asas Tani (Bahagian PPP & IAT)
· Jabatan Pertanian Negeri – Ketua Pegawai Pengembangan diwujudkan.
· Pejabat Pertanian Daerah



13.0 LANGKAH - LANGKAH MEMPERKUKUHKAN PELAKSANAAN PROGRAM / AKTIVITI PENGEMBANGAN

13.1 Kelemahan di dalam pelaksanaan program / aktiviti pengembangan perlu di atasi. Di dalam usaha meningkatkan keberkesanan pelaksanaannya kekurangan yang dikenalpasti telah diperhalusi dan di harap tindakan berikut dapat membantu memperkukuhkan pelaksanaan program / aktiviti pengembangan.

13.1.1. Mengadakan Profil Pelanggan

a. Maklumat asas kawasan perkhidmatan
1. Peta Kawasan
2. Luas Kawasan
3. Luas Kawasan Pertanian (ha):
4. Luas Mengikut Tanaman
5. Bilangan Penduduk Mengikut Kaum
6. Bilangan Pelanggan Mengikut Tanaman
7. Profil Pelanggan
8. Bilangan Pelanggan Mengikut Umur

b. Menyediakan dokumen Perancangan Bagi Program/ Aktiviti Pengembangan yang termasuk :
i. Latihan Pegawai Pengembangan / Khidmat Perundingan
ii. Lawatan Khidmat Nasihat,
iii. Latihan / Kursus / Hands-on
iv. Lawatan Belajar,
vi. Petak Demonstrasi,
vii. Hari Bertemu Pelanggan
vii. Hari Ladang
viii. Mesyuarat / Perbincangan


14.0 METODOLOGI PENGEMBANGAN

14.1 Methodologi yang bersesuaian mengikut keperluan pelanggan perlu dirangka / ditentukan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan seperti yang diharapkan oleh pelanggan. Memandangkan liputan khidmat pengembangan mencakupi semua golongan yang terlibat dengan pengeluaran makanan dan pemprosesan, kebijaksanaan pegawai pengembangan memilih metodolodi yang sesuai menentukan samada perkhidmatan yang diberikan adalah ”visible” dan memberi impak kepada pelanggan / golongan sasar. Metodologi pengembangan yang telah dikenalpasti mampu mencapai hasrat tersebut adalah seperti berikut:

14.1.1. Lawatan Khidmat Nasihat
 14.1.2. Khidmat Perundingan
 14.1.3. Forum Perbincangan


14.1.3.2 Forum perbincangan dicadang dilakukan oleh peringkat daerah minimum setiap 3 bulan sekali dan peringkat Negeri minimun 2 bulan sekali.

14.1.4. Hari Ladang

14.1.4.1 Hari ladang adalah salah satu metodologi pengembangan untuk menghebah dan menyampaikan maklumat serta teknologi kepada pelanggan dalam jumlah peserta yang ramai. Aktiviti hendaklah dilaksanakan di ladang milik pelanggan, dalam projek kelompok pusat pertanian atau projek yang telah berjaya. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah ceramah, pameran, pertandingan, petunjukkan cara dan lawatan ladang.

14.1.4.2 Pelaksanaan Hari Ladang di peringkat daerah hendaklah dilaksanakan dua kali setahun. Dan pelaksanaan di peringkat Negeri adalah sekali setahun.

14.1.5. Klinik Pengembangan dan Pusat perundingan Perniagaan (BDC)

14.1.5.1 Klinik Pengembangan adalah merupakan program penjenamaan Jabatan Pertanian yang menawarkan perkhidmatan pengembangan pertanian sebagai teras perkhidmatannya. Ia merupakan tempat di mana pelanggan Jabatan Pertanian boleh mengemuka dan mendapatkan maklumat bagi penyelesaikan masalah berkaitan aktiviti pertanian. Di Klinik Pengembangan pelanggan juga dapat bertemu dengan pakar-pakar pertanian (Dr.Pokok) bagi mendapatkan nasihat teknikal berkaitan penyelesaian masalah tanaman yang mereka hadapi. Klinik Pengembangan perlu diwujudkan di pejabat-pejabat pertanian Daerah dan dipusat-pusat pertanian. Di samping itu, pengwujudan BDC juga dilihat penting bagi memenuhi keperluan pelanggan yang membuat kunjungan ke pejabat atau pusat pertanian untuk mendapatkan khidmat nasihat.

14.1.6. Petak Demonstrasi

14.1.6.1 Petak demonstrasi dibangunkan bagi tujuan mendemontrasikan teknologi khusus bukan keseluruhan pakej teknologi sesuatu tanaman. Demontrasi teknologi adalah spesifik bagi tujuan tertentu. Petak demontrasi boleh dibangunkan di Pusat-pusat Pertanian, lot-lot Jabatan Pertanian di TKPM dan di kawasan lot petani untuk faedah petani setempat.

14.1.7. Hari Bertemu Pelanggan

14.1.7.1 Salah satu ukuran Kerajaan terhadap pelaksanaan sistem penyampaian ialah pelaksanaan hari pelanggan. Oleh itu setiap pejabat di Negeri, daerah dan pusat pertanian perlu melaksanakan hari pelanggan sekurang-kurangnya sebulan sekali. Sila tetapkan hari tertentu dan sebaiknya hari tersebut sama untuk peringkat Negeri, daerah dan pusat pertanian. Setengah Kerajaan Negeri telah menetapkan hari tertentu sebagai hari pelanggan, oleh itu sila patuhi arahan tersebut.

14.1.8. Kursus atau Latihan "hands-on"

14.1.8.1 Ibu pejabat telah menyediakan peruntukan tahunan untuk Jabatan Pertanian Negeri melaksanakan kursus-kursus atau latihan kepada pelanggan. Kursus ini hendaklah dilaksanakan dalam bentuk ”hands-on” iaitu latihan secara praktikal. Kursus-kursus hendaklah dilaksana secara berjadual dan diumumkan kepada petani, usahawan dan orang ramai. Kursus ini sebaik-baiknya diadakan bersama dengan pelaksanaan petak demonstrasi atau di Pusat Kecemerlangan Jabatan Pertanian (COE).

14.1.8.2 Jabatan Pertanian Negeri hendaklah menetapkan pelan latihan pegawai dan latihan kepada petani pada awal tahun. Jadual tersebut hendaklah dihantar ke Bahagian PPP & IAT untuk dibukukan. Jabatan Pertanian Negeri juga dikehendaki menghebahkan lagi jadual pelaksanaan kursus di radio tempatan, risalah, poster atau di surat khabar jika perlu. Hebahan ini adalah penting untuk pelanggan dan orang ramai mengetahuinya dan mereka boleh memilih tajuk-tajuk kursus yang mereka ingin hadir.

15.0 PEMANTAUAN PROGRAM PENGEMBANGAN

15.1 Pemantauan program adalah penting bagi menentukan aktiviti yang dijalankan adalah menepati perancangan yang telah dibuat dan akhirnya mencapai matlamat yang telah ditetapkan apabila penilaian dilaksanakan kemudiannya. Untuk mempastikan program pengembangan mencapai matlamat dan memberi impak kepada golongan sasaran aktiviti pemantauan seperti berikut di jangka dapat membentuk di dalam aktiviti perancangan dan penilaian terhadap program pengembangan yang dijalankan.

15.1.1 Pemantauan Pengeluaran Tanaman Melalui Bilik Gerakan.
· Data pengeluaran tanaman adalah penting untuk membuat perancangan dan pemantauan dengan terperinci. Keperluan data untuk membuat perancangan, penentuan hala tuju polisi, permintaan maklumat pengeluaran semasa dan sebaginya menjadikan keperluan data yang terkini menjadi lebih mendesak. Data pengeluaran ini juga diperlukan untuk mengenalpasti situasi bekalan hasil tanaman akibat perubahan cuaca misalannya. Data ini juga penting untuk menunjukkan samada Jabatan dapat mencapai matlamat pengeluaran seperti dirancangkan melalui plan Balance Of Trade (BOT).

15.1.2 Mengemaskini Buku Log

15.1.3 Menyediakan Laporan Berjadual

15.1.4 Mengadakan Lawatan Penyeliaan Secara Rambang Dan Kerap

15.1.5 Mesyuarat-mesyuarat

15.1.6 Menentunan Key Performance Index (KPI) Pengembangan

15.1.7 Menyediakan Laporan Tahunan



16.0 PENUTUP

16.1 Perkhidmatan Pengembangan mempunyai peranan besar dalam mencapai matlamat pembangunan pertanian Negara. Sehubungan dengan itu, semua pegawai pengembangan mesti menghayati sistem pengembangan semasa dan bertanggungjawab untuk melaksanakannya bagi mencapai impak yang ditetapkan.


Oleh
M Anem
Pegawai Pengembangan
Pejabat Pertanian
Negeri Johor
Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...