PENYAKIT DARAH PISANG atau kadang kala simptomnya menyerupai Penyakit Moko Pisang dimana serangan ini merupakan satu jenis penyakit yang mengancam industri tanaman pisang di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Buah pisang merupakan salah satu makanan asas
di kebanyakan negara membangun dengan penghasilan
tahunan melebihi 130 juta metrik tan setahun. Menurut laporan FAO, pisang
dikategorikan sebagai tanaman makanan keempat terpenting
di dunia. Di Malaysia pula dari tinjauan penulis blog dimana pokok pisang ditanam untuk pasaran domestik dan eksport sejak lama dahulu. Buah pisang adalah tanaman dari jenis buah-buahan yang kedua besar ditanam meliputi kawasan seluas lebiih dari 26,000 hektar dengan jumlah penghasilan buah sebanyak
530,000 tan setahun. Lima puluh peratus (50%) daripada tanaman pisang
yang ditanam di negara ini ialah pisang Berangan dan pisang
Cavendish manakala selebihnya adalah kultivar pisang yang
lain seperti Pisang Mas, Rastali, Raja, Awak, Abu, Nipah,
Nangka dan Tanduk. Sebahagian besar pokok pisang ditanam untuk
memenuhi keperluan tempatan oleh pekebun kecil dan
hanya 12% daripada keseluruhan pengeluaran pisang negara
dieksport terutamanya ke Singapura, Brunei, Hong Kong dan
negara Timur Tengah. Walau bagaimanapun dilaporkan dimana kadar pengeluaran
buah pisang di Malaysia mengalami penyusutan mendadak
apabila serangan Penyakit Moko termasuk penyakit darah pisang ini merebak bermula tahun 2006 (Masa itu saya bertugas di Daerah Muar). Kajian awal mendapati diantara penyebab lainnya adalah
serangan penyakit darah pisang. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis lagi didalam hotel mengenai penyakit darah pisang untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.
Apa pun dilaporkan dimana penyakit darah pisang ini berkait rapat
dan mempunyai banyak persamaan dari segi simptom dengan
penyakit Moko dan Bugtok, namun patogennya berbeza dan
telah dikenal pasti sebagai bakterium penyakit darah [Blood
Disease Bacterium (BDB). Patogen BDB ini wujud sepanjang
tahun di dalam tanah dan boleh disebarkan melalui bahagian
pokok yang terkena jangkitan, serangga, air atau tanah yang
tercemar. Penyakit ini dijangka dapat merebak sehingga jauhnya 25 km/tahun.
Pemahaman mengenai kevirulenan BDB penting
untuk petani menangani masalah ini pada masa hadapan. Selain
itu masaalah oleh penyakit ini juga akibat daripada kurangnya maklumat yang ada mengenai mekanisma atau molekul dalam interaksi host-patogen khususnya yang ada berkait
dengan penyakit darah pisang ini. Kajian adalah perlu dalam menganalisa dari segi bioinformatik ke atas genom BDB dimana ini akan dapat menambah
pengetahuan baru dari segi penemuan gen-gen virulen penting
yang terlibat dalam kepatogenan BDB ke atas pisang. Maklumat ini seterusnya dilihat akan bagaimana mekanisme serangan patogen ini. Perkara ini dipercayai akan juga dapat
membantu saintis atau lebih ramai lagi para penyelidik memahami lebih lanjut mengenai
kekuatan dan kelemahan bakteria ini menerusi penjujukan
genom BDB dan analisis bioinformatik.
Apa pun selain itu didapati isu ini perlukan analisis domain dan motif yang terdapat pada jujukan gen boleh
memberi satu gambaran fungsi sesuatu gen virulen itu. Kesemua
ini, secara tidak langsung dapat memberi maklumat mengenai
mekanisme dan cara untuk menghalang pertumbuhan
bakteria, sekali gus mengelak jangkitannya terhadap
pokok pisang.
Bakteria penyebab penyakit darah pisang
Penyakit darah pisang adalah disebabkan oleh serangan
patogen bakterium penyakit darah. Dari segi epidemiologi dan
simptom jangkitan, ia menyerupai agen penyebab penyakit
Moko iaitu patogen Ralstonia solanacearum. Kedua-dua patogen
ini berkait rapat dan berada pada kumpulan famili yang sama.
Bakteria ini berbentuk rod, gram
negatif, mempunyai saiz lebih
kurang 0.5 x 1.0 - 1.5 µm dan
mempunyai flagela. Patogen ini dilaporkan mempunyai kadar pertumbuhan
yang lambat jika dibandingkan
dengan bakteria lain. Apabila
dibiakkan di atas piring medium
Triphenyl Tetrazolium Chloride
(TZC) maka ia akan muncul sebagai koloni
yang berwarna putih dan
kemerahan di bahagian tengahnya (Sila lihat foto disebelah). Ia juga termasuk
dalam kumpulan Phlotype 4
spesies kompleks Ralstonia yang
meletakkannya dalam kumpulan
bakteria yang berasal dari rantau
Asia/Indonesia.
Patogen ini menyerang kebanyakan varieti pisang
makan goreng (cooking banana variety) seperti pisang Abu,
Nipah, Tanduk dan Awak. Namun, kadangkala ia juga
akan menyerang pisang yang dimakan terus ketika masak
seperti pisang Berangan. Bakterium penyakit darah pisang
pada asalnya dinamakan sebagai Pseudomonas celebensis oleh
Gaumann pada tahun 1923. Selepas kehadiran penyakit ini
di Kepulauan Jawa, siasatan selanjutnya mengenai penyakit
ini menunjukkan ia sebenarnya berbeza dengan bakteria
penyebab penyakit Moko iaitu Ralstonia solanacearum.
Pengeluaran pisang di Malaysia telah mengalami
pengurangan yang signifikan akibat penyakit layu bakteria
ini. Kajian terkini yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian
Negeri Johor mendapati sebanyak 60.7% daripada 3,212 hektar
ladang pisang di Johor telah dijangkiti serangan patogen ini.
Perkataan ‘darah’ yang digunakan adalah kerana adanya
titisan pekat berwarna merah kecoklatan yang keluar daripada
tisu vaskular bahagian batang pokok pisang yang terinfeksi
apabila dipotong dan juga pada bahagian pokok yang terluka.
Pisang merupakan antara enam buah-buahan utama dalam
Projek ‘Entry Point’ NKEA untuk program penghasilan buahbuahan. Antara masalah utama tanaman pisang di Malaysia
adalah penyakit layu bakteria atau kini dikenali sebagai penyakit darah pisang yang disebabkan oleh bakteria yang
dikenali sebagai bakterium penyakit darah atau blood disease
bacterium (BDB). Simptom penyakit darah ini ialah daun
yang layu, tisu vaskular dan bahagian dalam buah menjadi
kehitaman dan akhirnya akan mereput. Sehingga kini,
masih tiada lagi pokok pisang yang didapati tahan terhadap
penyakit ini. Malah epidemiologi patogen unik ini masih
banyak yang tidak diketahui dan perlu dipelajari dengan
lebih mendalam. Kepatogenan BDB bergantung kepada
tindak balas gen hipersensitiviti dan kepatogenan (hrp)
yang dikenali sebagai gen efektor. Penyelidikan berterusan
patogen bakteria BDB perlu diteruskan untuk memanfaatkan
sepenuhnya genom BDB. Ini membolehkan kajian untuk
lebih memahami kevirulenan dan kepatogenan bakteria BDB.
Maklumat dan pengetahuan yang dikumpul dapat membantu
dalam menyediakan pelan strategik dan pendekatan integrasi
untuk mengatasi penyakit darah pisang dan membantu dalam
membangunkan varieti pisang yang tahan rintang terhadap
penyakit ini. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
MENANAM PISANG... AMBIL BUAHNYA...
PENYAKIT DARAH PISANG.... APA DIA...
KALAU DIBIAR... SANGAT MERBAHAYA...
MEMBACA ARTIKEL... DAPAT ILMUNYA...
By,
M Anim,
Senior Agronomist,
Room 221, Hotel Lagenda Inn,
Jalan Long Jaafar, Taiping,
Perak, Malaysia.
(18 Zulhijjah 1441H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.