Support My Blog

Thursday, January 3, 2019

KUIH CEKODOK - APA DIA?

KUIH CEKODOK merupakan sejenis kuih sepanjang zaman yang diminat oleh ramai orang terutama untuk hidangan minum petang atau sarapan pagi. Artikel dalam anim agro kali ini saya akan berkongsi tentang satu makanan yang memang tidak asing bagi kita iaitu cekodok. Ini kerana pada saya makanan sepanjang zaman ini memang sangat popular sebagai hidangan pagi atau petang lebih lebih lagi jika dihidangkan bersama minuman panas, seperti teh atau kopi. Terdapat beberapa jenis cekodok yang ada di Malaysia diataranya paling poular adalah Cekodok Pisang, Cekodok Ikan Bilis, Cekodok Udang, Cekodok Labu, Cekodok Bawang dan beberapa jenis cekodok lagi. Membuat cekodok pisang sahaja pun ada pelbagai resepi yang berbeza-beza sama ada yang jenis cekodok pisang tradisional atau yang moden dicampur dengan baking soda. Paling mudah adalah membuat cekodok pisang atau nama lain adalah Cucur Pisang atau Jemput-jemput Pisang atau beberapa nama tempatan yang lain. Saya paing suka makan cekodok pisang yang masim suam panas (sebab kalau panas memang merbahaya dimasukkan kedalam mulut) diminum bersama minuman panas. Apa pun sesekali pekena juga jenis cekodok kan bilis yang memang senang disediakan dan selalu ada dijual digerai-gerai.  Makan cekodok yang dihidangkan memang sedap kalau rasanya menepati citarasa ramai orang asalkan cekodok tersebut adalah lembut di dalam tetapi garing di luar. Biasanya cekodok akan diperbuat daripada campuran bahan asas tepung dan air. Jika bancuhan tidak betul maka cekodok yang digoreng tidak akan berasa enak dimakan. Walau pun saya paling minat cekodok pisang akan tetapi ini mungkin disebabkan hanya terbiasa dengan cucur pisang atau cucur labu sahaja akan tetapi resipi ini saya berikan sedikit kelainan dengan menggabungkan pisang dan labu. Jika membuat cucur pisang dan labu anda perlu lebihkan sedikit pisang dan labunya supaya rasa buah pisang dan labu lebih terasa. Cara membuat kuih cekodok memang berbagai tetapi asasnya adalah hampir serupa. Artikel malam Jumaat ini dalam blog ''Anim Agro Techology'' saya menulis tajuk mengenai cekodok sekadar berkongsi info dengan anda semua untuk rujukkan.

Bagi meringankan adunan cekodok yang penting adalah mempunyai bahan-bahan mencukupi dengan meletakkan sedikit bahan penaik seperti baking powder atau baking soda. Jika anda jenis yang menggunakan baking soda janganlah diletakkan dengan berlebihan kerana ia akan memberi rasa pahit dan adunan akan bertukar warna yang tidak menarik. Bahan gula selalu bertindak sebagai pemanis dan membentuk warna seperti kecoklatan pada cucur. Ini akan menjadikan warna cucur nampak lebih menarik dan menyelerakan untuk dimakan. Sebaikan menggunakan pisang yang betul-betul masak tetapi tidak semua jenis pisang sesuai digunakan maka sebaiknya pilihlah pisang yang sesuai seperti pisang emas dan pisang rastali kerana pisang ini berasa lebih sedap berbanding pisang yang lain. Nisbah air dan tepung perlu bersesuaian kerana jika tidak menepati maka cucur yang digoreng akan lembik atau terlalu keras. Bagi menambah rasa lemak cucur letakkan sedikit garam. Anda juga boleh meletakkan sedikit kelapa parut di dalam adunan supaya cekodok anda berasa lebih sedap. Teknik menggoreng juga sangat memainkan peranan. Kawal api supaya minyak tidak terlalu panas menyebabkan cekodok tidak masak. Jika panas tidak mencukupi cekodok akan menyerap terlalu banyak minyak dan hasilnya cekodok akan berminyak selepas digoreng. Goreng gunakan hujung jari atau sudu, tetapi sebaiknya menggunakan hujung jari kerana hasilkan cekodok yang digoreng lebih comel kerana bentuknya bulat-bulat. Bentuk yang pelbagai juga mempunyai daya seni tersendiri untuk dihidangkaan.

Masyarakat kita siapa yang tidak kenal akan kuih cekodok ini jika mereka selelu berkunjung keluar bandar. Ini kerana cekodok atau paling polular jenis jemput-jemput pisang merupakan campuran pisang dan gandum yang digoreng dalam minyak masak. Pada umumnya ia digolongkan dalam kuih jenis kuih jemput-jemput. Secara asasnya kuih cekodok pisang tradisional hanya menggunakan bahan seperti 30 gm gula, 60 gm tepung gandum (diayak), 4 biji pisang emas yang besar, sedikit garam, ¼ sudu teh serbuk penaik, ½ kuali minyak untuk menggoreng dan sedikit bahan perasa (jika mahu). Cara penyediaan dimulakan dengan mengupas dan lecek pisang dalam mangkuk adunan. Campurkan gula dan tepung gandum dan kacau rata-rata. Kemudian dipanaskan anggaran 1/2 kuali minyak dan kemudian diletakkan sehelai kertas serap minyak dan bentangkan diatas pinggan untuk mengetoskan gorengan cekodok kelak. Cedok adunan dengan sudu basah dan masukkan ke dalam minyak yang panas dengan menggunakan sudu basah yang lain untuk membulatnya. Goreng hingga kuning dan sambil membalik-baliknya perlahan-lahan dengan belakang sudip berlubang bagi menjadikan jemput pisang berbentuk bulat. Toskan hingga kering dan hidangkan dalam pinggan kuih. Dalam pada itu memang nama Cucur Pisang, Cekodok atau Jemput-jemput pisag adalah makanan yang sama cuma sebutan sahaja berbeza mengikut negeri, tempat dan daerah. Jika mahu anda juga boleh buat CUCUR PISANG dengan bahan seperti 300 gm pisang yang masak ranum, 2 sudu besar tepung beras, 100 gm tepung gandum, 3 sudu besar gula (boleh lebihkan jika pisang tak manis ), 1 sudu teh garam dan 1 sudu teh soda. Cara buat dengan melenyek pisang hingga hancur, masukkan garam, soda dan gula kemudian perlu digaul rata. Masukkan tepung beras dan tepung gandum bersama dan digaul rata kemudian dibiarkan sebentar. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali dan kemudian dibasakkan tangan dengan air serta dijemput-jemputkan adunan pisang dengan jari. Goreng hingga kuning keemasan dan kemudian diangkat dan cucur pisang ini sudah sedia untuk dihidangkan.

Bagaimana pun memakan kuih cekodok atau jemput-jemput pisang ini perlu waspada ketika masih panas. Dalam akhbar tempatan seperti Harian Metro, Utusan dan Sinar harian ada paparkan berita bertajuk ''Dakwa mati tercekik cekodok pisang'' yang berlaku di Johor Bahru. Akhbar melaporkan dimana seorang ibu mendakwa kecuaian sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Austin Perdana di sini, menyebabkan anak lelakinya berusia tujuh tahun mati akibat tercekik cekodok pisang. Ibu mangsa dikenali dengan nama Ong Kai Yun berumur 32 tahun dari Taman Setia Indah di sini berkata dia menghantar dua anaknya masing-masing berusia tujuh dan lapan tahun ke pusat jagaan itu sebelum ke tempat kerjanya di pusat bandar raya kira-kira 7.30 pagi, Jumaat lalu. Ketika hampir sampai di pejabat dia menerima satu panggilan daripada seorang petugas daripada pusat jagaan berkenaan memaklumkan Kee Shao Ming muntah dan pengsan. Dia terkejut dan menyuruhnya segera menghantar anak saya ke hospital. Dia sempat memberitahu kuku anak sudah hitam dan mukanya pucat. Petugas pusat jagaan terbabit bersama suaminya mendakwa anaknya itu masih bernafas ketika dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini. Bagaimana pun laporan berita tersebut tidak bersambung dengan laporan klinikal daripada hospital sama ada kanak-kanak tersebut betul-betul mati akibat makan cekodok atau faktor lain yang menjadi puncanya. Sehingga artikel ini ditulis pun tiada laporan rasmi mengenai tajuk berita tersebut dikeluarkan.

Perenggan terahir artikel ini meninjau satu artikel utusan bertaju ''Ringkas tetapi sedap'' iaitu mengenai jemput-jemput, cucur dan cekodok. Sebenarnya ketiga-tiga nama ini merujuk kepada satu juadah yang sama. Jemput-jemput, cucur dan cekodok diperbuat daripada tepung yang dibancuh dengan air dan dengan bahan-bahan yang lain seperti udang, pisang, bawang dan lain-lain mengikut kesukaan anda dan digoreng dengan minyak. Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu yang manis dan masin. Makanan ini diberikan nama mengikut jenis bahan-bahan yang diadun di dalamnya. Jemput-jemput selalunya bersaiz sejemput kerana menggunakan hujung jari ketika diletakkan ke dalam minyak untuk menggorengnya. Oleh itu namanya dipanggil jemput-jemput tapi ada yang lebih suka dengan menggunakan sudu ketika menggoreng juadah ini. Jemput-jemput yang menggunakan tangan kelihatan lebih comel berbanding menggunakan sudu. Saya lebih suka menikmati yang dijemput dengan tangan kerana rupanya yang comel itu membuatkan saya lebih teruja untuk makannya. Tetapi jika  membuat cucur udang atau bilis ramai yang lebih suka menggunakan sudu kerana cucur akan menjadi tidak sekata. Ini akan membuatkan cucur jadi garing. Tip paling penting adalah adunan anda jangan terlalu cair dan kurang air. Sebaik-baiknya anda cuba menggoreng sedikit bancuhan yang telah siap dan lihat hasil yang digoreng. Jika terlalu cair cucur yang digoreng akan menjadi leper, jika kurang air pula, cucur akan berasa keras. Kecairan adunan yang tidak menepati tidak akan menghasilkan cucur yang enak dimakan. Kawalan api juga penting! Minyak yang tidak cukup panas membuatkan cucur tidak garing dan akan menyerap minyak. Minyak yang terlalu panas pula dikhuatiri dalam cucur tidak masak. Bikarbonat soda dapat membantu cucur mengembang dan menjadi lembut jika anda memang suka menggunakannya. Anda hanya perlu letak sedikit sahaja kerana jika terlebih cucur anda akan bertukar warna dan berasa sedikit pahit. Ada juga sesetengah resipi yang menggunakan baking powder dan yis untuk tujuan bagi mengembangkan adunannya. Jadi terpulanglah kepada anda, bahan penaik mana yang anda suka untuk gunakan. Bahan lain yang mebuatkan cucur anda lembut, garing dan gebu adalah telur. Dinasihati supaya meletakkan telur dalam bancuhan cucur anda. Resipi cucur udang kali ini yang dikongsikan ini sedikit berlainan kerana ada menggunakan isi jagung di dalam tin. Untuk resipi ini anda boleh juga tukar atau menggantikan serbuk pati ikan dengan udang kering yang dikisar. Semuga artikel malam ini dalam anim agro technology akan memberi info yang berguna untuk rujukkan anda semua. Wasallam!!!...
CEKODOK PISANG.... PALING DISUKA...
CEKODOK BILIS... MUDAH MEMBUATNYA...
KUIH TRADISIONAL.. IA MUDAH DISEDIA...
MINUMAN PANAS... DIHIDANG BERSAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Cendana, Taman Cendana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(20 RabiulAkhir 1440H).
Posted from :
Room 324,  Citadines D'Puzle Cyberjaya,
Cyberjaya, Selangor.
(3 January 2019).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...