Support My Blog

Wednesday, August 30, 2017

VARIETI NANAS MORIS MERANEK

NANAS MORIS MERANEK merupakan sejenis varieti nanas yang ditanam di Kg Meranek, Samarahan, Sarawak yang penulis blog dapati berbeza dengan varieti nanas Moris Biasa (AC1). Jenis nanas ini  didakwa dibawa masuk oleh penanam nanas dikawasan ini daripada Kalimantan iaitu semenjak 3 - 4 tahun dulu sebagai satu usaha menggantikan varieti tanaman nanas moris sedia dikawasan ini. Nanas (Ananas comosus) merupakan tanaman penting di Bahagian Samarahan Sarawak semenjak lama dahulu sebagai sejenis tanaman yang ditanam diatas tanah jenis 'gambut dalam' dikawasan ini. Penulis telah menemubual dengan 5 orang penanam nanas yang gigih dari Kg Meranek ini iaitu Cikgu Mohamad, Derani, Md Noh, Sahdan dan juga Azam semasa membuat tinjauan teknologi dibeberapa lokasi penanaman nanas di Sarawak. Di Negeri Sarawak banyak jenis nanas yang ditanam seperti Nanas Moris, Nanas Sarikei, Nanas Pound (Nanas Sarawak), Nanas  Pada, Nanas Bario, Nanas MD2, Nanas N36, Nanas Gandul, Nanas Josapine, Nanas Sawit dan beberapa lagi. Penanaman nanas di Sarawak dilaporkan lebih aktif semenjak LPNM memainkan peranan memberikan bantuan input pertanian dan khidmat nasehat teknikal kepada penanam nanas di negeri ini selain daripada peranan yang dimainkan secara langsung oleh Jabatan Pertanian Negeri Sarawak dan IADA Samarahan, IADA Kalaka-Saribas dan IADA Batang Lupar (Padi). Idea untuk menanam nanas moris jenis baru ini kerana penanam nanas tersebut mendapati kebanyakan pokok nanas moris sedia ada sering menghasilkan buah bersaiz kecil sahaja dengan pokok yang tidak begitu 'vigorous' walau pun diberikan input baja yang mencukupi. Penanam disini berpeluang melawat Kalimantan dan melihat ada jenis nanas moris yang sesuai untuk ditanam dan membeli benihnya. Artikel subuh ini saya mennulis dalam "Anim Agro Technology" berkaitan sejenis nanas moris yang belum didaftarkan yang penulis berikan nama sementara sebagai 'Nanas Moris Meranek' sebagai satu penulisan awal berkaitan varieti nanas ini untuk bahan rujukkan dan bacaan anda.


Nanas Moris Meranek ini mempunyai daun yang 'ada sedikit' dan mungkin tiada bahan anthocyanin (warna merah pada daun) tidak seperti pokok nanas moris sedia ada (AC1) yang ditanam dalam kampong sama. Bagaimana pun dilihat bentuk buah, aroma dan tekstur buahnya memang menyamai dengan ciri nanas moris. Penelitian penulis mendapati pokok nanas jenis ini amat subur dan 'vigorous' pertumbuhannya dikampong ini berbanding dengan pokok nanas moris sedia ada diplot yang bersebelahan (Sila lihat foto disebelah). Ia mempunyai warna daun yang hijau daripada pangkal sehingga kehujungnya dan lazimnya bersaiz lebih lebar daripada biasa. Perdu pokok juga amat besar dengan mempunyai bilangan daun yang banyak serta mengeluarkan sulur tanah dan sulur udara yang lebih banyak walau pun buahnya belum matang. Daunya mempunyai duri sederhana besar bersusun ditepi daun daripada pangkal sehingga kehujungnya. Terdapat 3 orang penanam di kg meranek yang menanam nanas jenis Moris Meranek ini dimana  pada tinjauan matakasar pertumbuhannya amat baik dari segi kesuburan, penghasilan bunga dan buah. Benih yang ditanam juga amat cepat membesar berbanding dengan jenis moris biasa dengan amat signifikan. Ia ditanam dengan jarak yang sama dan amalan agronomi yang sama.


Nanas Moris Meranek ini masak dalam masa 12-13 bulan selepas ditanam dimana buah yang kekuningan sedia untuk dituai. Mengikut seorang petani iaitu Encik Derani, terdapat dua keadaan tangkai buah nanas ini iaitu yang bertangkai besar dan jenis yang bertangkai kecil. Jenis buah yang bertangkai besar dakwanya lebih besar dan manis buahnya berbanding dengan yang bertangkai kecil. Buahnya bersaiz sederhana atau bersaiz besar dengan bila masak mempunyai warna kulit kekuningan dengan kehijauan sedikit (Sila lihat foto paling bawah dengan penulis blog). Ia mempunyai jambul yang sederhana besar dengan ada lekukan sedikit dibawah jambul nanas. Apa yang menarik adalah apabila dibelah ia mempunyai warna isi yang kuning dengan sedikit keputihan diantaranya. Isi yang berwarna kuning menarik ini bagaimana pun ada masaalah mata agak dalam dimana bahagian kulit terpaksa dibuang banyak untuk memakannya. Purata berat sebiji buah nanas ini diantara 1.2 - 1.6 kg sebiji dengan anggaran harga jualan sekitar RM2.00 sekilogram iaitu lebih tinggi daripada harga jualan nanas moris AC1. Permintaan daripada pihak pemborong dan pengguna juga lebih sukakan nanas jenis ini berbanding dengan nanas AC1.


Dalam membuat ujirasa buah nanas moris ini didapati ia lebih manis daripada nanas AC1 dengan signifikan. Walau pun tiada alat Brixmeter yang dibawa tetapi dari rasa dan berdasarkan kepada pengalaman penulis anggarkan kadar kemanisan sekitar 12-14 brix. Kadar lidas juga amat kurang berbanding dengan nanas moris AC1 yang dibuat ujirasa dikebun. Bagaimana pun nanas ini mempunyai aroma, tekstur dan rasa yang berbeza dengan jenis Ac1. Apa yang diligat ketara mengenai varieti ini adalah ujudnya rongga yang kelas dilihat pada isi buah (Sila lihat foto disebelah). Rongga ini ujud kerana buah yang dipetik masih diperingkat belum matang sepenuhnya dan jika diberikan baja cukup maka rongga iini adan diisi dengan jus atau cecair menyebabkan ia lebih enak lagi. Buah yang diujirasa ini amat rangup dengan tekstur sederhana *tidak kasar dan tidak halus sangat). Penialain penulis pada aktiviti ujirasa buah nanas Moris Meranek ini dan mendapati secara keseluruhannya amat berpuas hati dan fikir memang ia boleh diterima pengguna lebih baik daripada jenis Nanas Moris AC1 sedia ada. Pengeluaran benih sulur yang banyak tetapi berperingkat ini membolehkan penukaran penanam nanas lain dikawasan sekitar boleh mula tukar kepada jenis nanas ini dimasa akan datang. Peranan pegawai pengembangan perlu untuk mereka mengembankan nanas ini walau masih ramai penanam nanas lain masih mahu kekal dengan tanaman nanas moris jenis AC1 kerana kesukaran untuk mendapatkan benih jenis ini. Nanas ini boleh didaftarkan dalam senarai varieti kebangsaan (National Varieti Plant Listing) di Jabatan Pertanian untuk membolehkan maklumat lanjut berkaitan nanas ini disebarkan. Semuga tulisan ini memberikan info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...


NANAS MORIS... BARU DIJUMPA...
ASAL INDONESIA...IA DIBAWA...
POKOK SUBUR... MANIS RASANYA...
SESUAI DITANAM...AGAR BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Meranek, Samarahan,
Sarawak, Malaysia.
(27 Ogos 2017

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...