Support My Blog

Wednesday, May 22, 2013

HALIA - PENYEDIAAN BENIH

Halia (Zingiber officinale) dari keluarga Zingiberaceae yang merupakan sejenis tanaman umbisi yang diketegorikan juga sebagai tanaman jenis Herba. Tanaman ini dipercayai berasal dari Asia Selatan dan kemudian di sebarkan penanamannya keseluroh dunia. Tanaman halia adalah satu komoditi yang dianggap penting di Malaysia kerana pasaran domestik dan juga ekspot. Dalam penanaman halia, saya dapati kos bahan tanaman atau kos pembelian anak benih merupakan kos yang paling tinggi sehingga mencecah lebih separuh dari jumlah kos penanaman. Pemilihan varieti halia yang hendak ditanam oleh petani Komersil yang baru hendak mencebur diri dalam penanaman halia adalah penting. Hanya dua varieti halia yang popular ditanam di Malaysia iaitu Varieti Bentong atau Varieti Sabah. Varieti Bentong adalah hasil biakbaka melalui 'farm selection' semenjak beberapa tahun oleh penanam halia di kawasan Janda Baik, Pahang. Varieti Sabah pula luas ditanam di Sabah untuk pasaran domestik dan juga untuk diekspot. Artikel kali ini penulis berkongsi maklumat dengan pembaca dalam "Anim Agro Technology" mengenai penyediaan benih tanaman halia berdasarkan pengalaman penulis dan membuat rujukkan dalam banyak buku teknikal, lamanweb dan pengalaman penulis sendiri ketika melawat kawasan tanah tinggi Dieng di Kabupaten Wonosobo, Jawa Tengah baru-baru ini bersama-sama ahli keluarga. 

Penyediaan Benih Halia
Benih halia yang berkualiti adalah benih yang memenuhi syarat dari segi kualiti genetik, kualiti fisiologi (peratus pertumbuhan yang tinggi) dan kualiti fizikal. Apa yang saya maksudkan dengan kualiti fizikal adalah benih tersebut mesti bebas dari serangga perosak dan serangan penyakit. Rizom untuk dijadikan benih sebaiknya mempunyai 2 - 3 bakal mata tunas dengan berat umbisi sekitar 25 - 60 gram untuk halia jenis warna putih besar atau seberat 20 - 40 gram untuk halia jenis putih kecil atau pun jenis halia bara. Keperluan bahan benih bagi sehektar untuk halia besar putih besar (Tuaian Halia tua) memerlukan anakbenih sebanyak 2.0 - 3.0 mt/ha dan sebanyak 5.0  mt/ha untuk halia putih besar yang dituai sebagai halia muda. Keperluan untuk halia merah atau halia bara pula sebanyak 1.0 - 1.5 mt sehektar.

Teknik Penyemaian Benih Halia
Ramai kita di Malaysia jarang berpeluang belajar atau melihat bagaimana untuk menyediakan benih halia. Amalan yang lazim dijalankan di negara jiran Indonesia yang saya sempat lawat adalah dengan teknik penyemaian yang mudah dan praktikal. Lazimnya untuk mendapatkan pertumbuhan tanaman seragam, benih halia jangan terus ditanam dikebun tetapi sebaiknya terlebih dahulu dicambahkan dengan beberapa kaedah. Teknik penyemaian benih halia boleh dilakukan dengan menggunakan Kaedah Penyemaian dalam Peti Kayu.

Kaedah Penyemaian pada Peti Kayu 
Rizom halia yang baru dituai perlu dibuat pemilihan dan kemudian dijemur sementara (tidak sampai kering). Halia ini kemudian perlu disimpan selama sebulan atau sebulan setengah. Patahkan rizom halia tersebut dengan tangan dimana setiap potongan memiliki 3-5 mata tunas dan ia kemudian perlu dijemur semula selama setengah hingga satu hari. Seterusnya potong halia yang akan dijadikan benih dan ia kemudian perlu dimasukkan kedalam karung. Karung yang digunakan mesti karung jarang-jarang untuk pengudaraan (macam karung bawang atau karung kentang). Saya dapati karung ini perlu dicelup dalam larutan racun kulat dan juga hormon khas selama satu minit sebelum dikeringkan secara semulajadi oleh angin. Setelah itu benih halia perlu dimasukkan kedalam peti kayu untuk proses penyemaian. Cara menyemai dengan peti kayu dengan meletakkan bakal benih selapis diatas peti kayu dan kemudian diatasnya dibubuh abu atau pun sekam padi selapis demi selapis sehingga penuh. Pastikan lapisan paling atas adalah lapisan abu atau lapisan sekam.  Biarkan ia disimpan untuk selama 2 - 4  minggu sehingga keluar tunas dimana ia adalah sedia untuk ditanam diladang.

Penyediaan Benih Halia
Sebelum penanaman diladang, benih halia mestilah dipastikan bebas dari sebarang kemungkinan seperti ancaman oleh penyakit. Lazimnya apa yang dilakukan untuk kita mempastikan ia selamat, jalankan rawatan benih halia. Benih tersebut perlu dimasukkan didalam karung jarang-jarang dan kemudian dicelup ke dalam larutan racun kulat. Rendaman ini selama 8 jam untuk mempastikan benih halia tahan dari serangan kulat ketika penanaman. Kemungkinan benih menjadi busuk akibat serangan kulat jika tidak dirawat adakah berisiko tinggi. Setelah dikeluarkan dari rendaman maka benih perlu ditoskan dan dikeringkan secara semulajadi sebelum ia sesuai untuk ditanam diladang. Selamat menyediakan anak benih halia. Wasallam!


BENIH HALIA...MAHAL HARGANYA...
KOS YANG TINGGI...CARI DIMANA...
TEKNIK MENYEMAI...ADA DIINDONESIA...
KITA TULISKAN...TAHU CARA SEDIA...

By,
M Anem
Dataran Tinggi Dieng,
Kabupaten Wonosobo, 
Jawa Tengah,
Indonesia.
(12 JamadilAkhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...