Saya mendapati ramai orang yang berminat dalam pertanian tetapi tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Bagi mereka yang baru menceburi bidang perkebunan saya dapati memang sukar untuk mengenali anak benih buah-buahan yang sihat dan cepat membesar. Anak pokok yang ditanam di dalam polibeg kelihatan sama sahaja dari segi ketinggian dan kesegarannya. Namun apabila diteliti dari dekat, memang ada perbezaan. Walaupun ketinggiannya kelihatan serupa, kecil atau besar saiz anak benih pokok tersebut bergantung pada sihatnya biji benih yang digunakan dan kandungan genetiknya. Selain itu, ia juga bergantung pada pengurusan anak benih di tapak semaian. Bagaimanakah kita hendak mengetahui ciri-ciri benih yang baik?.. Teruskan membaca artikel ini...
Saya sering memberi ceramah dan menerangkan bahawa memang perlun untuk kita memilih Anak Pokok Yang Sihat. Pada amnya saya dapati anak pokok yang sihat sama ada daripada jenis cantuman, biji benih atau tut sangat penting terutamanya untuk menghasilkan kemandirian sepenuhnya. Ini saya dapati akan menyebabkan ianya juga tahan terhadap serangan penyakit dan serangga serta cepat pulih daripada kejutan pengubahan. Sebelum ditanam, anak pokok harus menjalani proses Pengerasan (hardening). Lazimnya saya mengatakan bahawakaedah ini dapat menyesuaikan anak benih buah-buahan dari sinaran panas matahari apabila ditanam di ladang dan dapat hidup dengan subur. Kadar kematisn anak benih pokok buah-buahan berkurangan dan ini secara tidak langsung kos pengendaliannya dapat dikurangkan.
Bagaimanakah kita dapat mengenali Anak Pokok Yang Sihat dari peringkat awal?. bagi saya sebagai seorang yang pakar dalam bidang pertanian dan pengeluaran benih tanaman agak senang. Lazimnya anak pokok yang sihat mudah dikenali semasa membuat pemantauan di dalam nurseri. Ciri pertama dapat dilihat apabila anak benih tersebut masih mengeluarkan pucuk yang hijau muda. Ciri kedua pula dilihat pada batang pokok kelihatan kehijau-hijauan dan segar. Ciri ketiga pula kita akan lihat pada daun yang akan kelihatan berkilat. Jika ini dapat dikenali maka kita akan pasti yang akar di dalam polibeg belum mengalami pembatasan dan akar muda berwarna putih masih tumbuh dan dikelilingi oleh akar rerambut. Pertumbuhan pokok tidak terbantut dan jarak ruas daunnya besar, keluasan helaian daun juga besar dan berwarna hijau muda. Batang anak pokok berwarna hijau tua bukannya coklat atau perang. Senangkan apabila dah tahu?.
Saya juga akan memberitahu cara mengenali Anaki Benih Yang Kurang Baik. Lazimnya anak pokok yang terlalu lama di dalam polibeg di tapak semaian mengalami kesan 'pembatasan akar'. Keadaan ini terjadi apabila terlalu banyak akar terkumpul dan pembesaran akar di dalam polibeg telah mencapai tahap maksimum. Ini menyebabkan ruang di dalam medium polibeg menjadi sempit dan terbentuknya gumpalan akar. Akar kelihatan bersimpul-simpul, keras dan berwarna coklat mengelilingi polibeg. Tanah ini dalam polibeg pula menjadi mampat. Pokok akan terbantut, daunnya kehitam-hitaman, ruas dan lilitan batang mengecil dan pendek serta kurang pertumbuhan pucuk muda. kesan ini akan mengurangkan pengambilan air dan makanan, maka anak benih yang terbantut seperti ini lambat membesar.
Kalau kita jumpa anak pokok yang terbantut kita perlu dicantas akarnya. Polibegnya perlu ditukar kepada saiz yang lebih besar dengan campuran tanah yang sesuai atau diberi pembajaan melalui daun. Selain itu, dahan atau ranting yang kecil menjadi cepat tua. Kadangkala dahan-dahan tersebut diserang penyakit mati rosot. Oleh itu kita hendaklah berhati hati apabila memilih atau membeli pokok. Pemulihan anak benih juga dapat dilakukan melalui cantasan akar, iaitu akar yang tua dan keras yang 'berpusing-pusing' di sekeliling polibeg dibuang. Akar yang dibuang tidak akan memberi kesan pada pokok terutamanya pokok rambutan, mangga dan belimbing. Cantasan akar ini sesuai dilakukan pada pokok durian dan manggis. Akar rerambut baru yang berwarna putih akan tumbuh setelah cantasan dibuat dan ketumpatan akar dapat dikurangkan. Kesan pembatasan akar yang terlalu lama di tapak semaian, menyebabkan pertumbuhan akar dan pokok terganggu.
Ketulenan Anak Benih amat kritikal dalam pemilihan anak pokok buah-buahan. Pastikan kita hanya membeli anakbenih yang telah disahkan ketukinan dan kualitinya oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Skim Pengesahan Benih Tanaman (SPBT) ini dijalankan oleh pegawai pemeriksa dari jabatan Pertanian yang berpengalaman menentukan kualiti benih dan diberikan sijil. Cara mudah untuk mengenal pasti anak benih yang tulen sangatlah sukar melainkan melalui kepakaran. Pembekal benih atau nuseri buah-buahan memohon skim ini secara sukarela dan tidak melibatkan kos tambahan kepada benih tersebut. Buat apa kita tanam buah-buahan yang tidak terjamin ketulinannya kerana ianya mengambil masa lama sehingga pokok berbuah. Pastikan dapatkan benih yang telah disahkan.
Pemilihan anak pokok yang seragam dan sihat akan dapat menghasilkan keseragaman pertumbuhan di ladang dan kesuburan tanah serta mengurangkan kos penjagaan. Pokok yang cepat membesar mudah dijaga berbanding dengan pokok yang kecil. Pokok yang sihat mempunyai pertumbuhan akar yang cepat untuk menyerap nutrien dan air dari tanah. Dianggarkan bahawa kos penjagaan dapat dikurangkan sebanyak 10-30% sekiranya pokok yang bakal ditanam itu sihat.
By,
M Anem
Presint 11, Putrajaya,
Malaysia
(12 Rejab 1433)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.