Support My Blog

Wednesday, March 7, 2012

TURUNKAN KOS PENGELUARAN

KOS PENGELUARAN dalam aktiviti pertanian salah satu faktur yang menentukan keuntungan didalam menjalankan usaha pertanian. Kebijaksanaan seorang petani atau usahawan dalam mengawal kos pengeluaran akan menentukan kadar untung-rugi sesuatu bidangusaha pertanian selain daripada skil pengurusan dan Amalan Pertanian baik yang dibuat. Pendapatan atau hasil kebun atau ternakan atau perikanan serta Industri Asas Tani dikira dengan jumlah hasil yang boleh dijual mengikut gred dan harga yang mampu diperolehi diperingkat ladang atau diperingkat selepas pasca tuai. Kos Pengeluaran terdiri daripada pelbagai komponen seperti Kos Pembangunan Asas, Kos pembelian Bahan Input, Kos Upah Tenaga Pekerja, Kos Pelbagai dan juga Kos Kontigengsi. Jumlah Kos Pengeluaran merupakan jumlah semua kos diatas dimana jumlah tersebut akan menentukan keuntungan kasar setelah ditolak dengan Pendapatan Kasar Ladang (Gross Farm Income) yang dipanggil sebagai Untung Bersih Ladang (Net Farm Income). Artikel subuh ini saya menulis beberapa faktur yang membolehkan kita menurunkan kos pengeluaran ladang bagi meningkatkan keuntungan.


Kos Pembangunan Ladang atau Kebun untuk membuka kawasan tanaman yang baru merupakan antara kos yang paling signifikan didalam keseluruhan kos pengeluaran. Kerja-kerja seperti pembukaan hutan atau belukar serta penyediaan kemudahan ladang merupakan aktivitii asas dimana memerlukan kos yang tinggi ketika pembukaan kebun baru. Ini amat ketara berbanding dengan keadaan dimana bidangusaha dilaksanakan dikawasan penanaman sedia ada. Pembinaan jalan ladang, sistem perparitan dan saliran, pembajakan tanah, penyediaan sistem pengairan, rumah pekerja, setor ladang, pagar dan kolam pengairan memerlukan kos yang tinggi. Anggaran kos untuk kerja-kerja asas pembangunan ladang di Semenanjung Malaysia sekitar RM 15,000 - RM 20,000 sehektar bergantung kepada lokasi kawasan, jenis hutan, jenis terain, jenis tanaman yang akan diusahakan dan jenis sistem pengairan. Kos Pembangunan Ladang boleh dikurangkan dengan cara mengupah secara kontrak pada skala lebih luas (sesuai untuk perlaksanaan berkelompok) atau penggabungan banyak kawasan yang hendak dimajukan. Kos yang tinggi terpaksa dibayar jika kawasan yang hendak dimajukan bersaiz kecil, jauh dipendalaman dan tiada laluan masuk (no access road).


Kos Bahan Input seperti pembelian baja, racun kimia, anak benih tanaman, bahan api untuk pam air dan peralatan ladang juga merupakan keperluan asas dialam pembukaan kebun terutama untuk tanaman makanan. Bahan-bahan input berasaskan kimia seperti baja, hormon dan racun telah meningkat dengan purata sebanyak 100% - 250% daripada tahun 2000 sehingga 2012. Kenaikan harga ini memang tidak boleh dielakkan selepas kenaikan harga petrol dunia yang sangat tinggi pada tahun 2007-2008 yang merupakan bahan asas untuk racun dan baja tanaman.  Contohnya baja sebantian impot (Fast release fertilizer) pada tahun 2000 dijual sekitar RM 70 - RM80 satu beg 50 kg telah meningkat sehingga RM 160 - RM 180 satu beg 50 kg pada tahun 2008. Kini harga baja yang sama berharga sekitar RM 120 - RM 160 satu beg dan masih ditahap sederhana dari segi peningkatan kos pada keseluruhannya. Baja impot walau pun mahal masih mendapat permintaan tinggi daripada petani khususnya penanam sayuran dan buah-buahan kerana keberkesanannya (high efficiency) serta terbukti memberikan hasil lumayan berbanding dengan baja 'slow release' yang ada dan dikeluarkan oleh kilang tempatan.  Salah satu jenama yang saya survei mempunyai permintaan tinggi dikalangan petani buah-buahan adalah seperti "YARA MILLA' yang memang mahal tetapi ianya berkesan.


Kaedah lain iaitu penggunaan bahan mikroorganisma berfaedah (Beneficial microbes) seperti larutan EM (Effective microrganism),  NF (Natural Farming), IMO (Indegenous Microorganism), BMO (Beneficial microorganism) dan banyak lagi jenama dipasaran didakwa dapat mengurangkan kos untuk pembelian baja dan racun. Walau pun banyak syarikat dan individu yang berjaya menjual dengan banyak kuantiti larutan mikrob, tetapi belum banyak laporan teknikal bertulis secara saintifik yang dapat membuktikannya dengan jelas akan keberkesanannya mikrob terhadap pengeluaran hasil meningkat, ketahanan pokok dan hasil yang lebih berkualiti.   
Kaedah penggunaan agen mikrob berfaedah ini serta kos yang murah merupakan satu alternatif yang dikatakan pilihan agak baik bagi menggantikan cara kawalan kovensional menggunakan racun kimia.  Belum banyak petani atau syarikat di Malaysia.yang telah mendapat persijilan Skim Organik Malaysia (SOM). Pengguna di Malaysia masih pada tahap rendah untuk membeli atau makan produk organik tempatan kerana kurang percaya akan dakwaan organik produk tersebut. Rakan saya dari Sri Lanka Dr Wijetendera Rashun baru-baru ini berbincang dengan saya bahawa perladangan organik di Sri Lanka terutama untuk produk teh, herba, kayu manis dan sebagainya telah mencapai tinggi sehingga diterima untuk pasaran ekspot di Eropah.


Penggunaan bahan dan alatan terpakai diladang juga mampu mengurangkan kos pengeluaran ladang atau kebun kita, Bagi tujuan pembinaan infrastruktur ladang pula boleh menggunakan kayu, tiang, zinc atau peralatan kecil alatan pertanian (pam air, rotovator, kereta sorong, cangkul, mesin grading dan sebagainya) dari barang terpakai atau boleh didpati dengan murah atau percuma. Anda juga boleh meminjam beberapa keperluan ladang daripada rakan-rakan jika sesuai dan memenuhi syarat-syarat pinjaman. Pengurangan kos bahan input memang paling significan kerana perlu ada perancangan dan penelitian sebelum sebarang pembelian dan pembaziran.


Penjimatan kos untuk buruh boleh ditentukan melalui kerja pajak, kerja borong atau pun bayaran upah tetap bulanan. Kaedah bayar setelah siap kerja kini menjadi pilihan ramai petani kerana nilai produktiviti dan kuantiti serta kualiti hasil. Rakan saya Hj.Sahabudin dari Segamat yang merupakan seorang penanam sayur berjaya mengamalkan konsep perkongsian dengan pekerja ladang dimana modal dan pengurusan dibuat oleh beliau dan keuntungan dibahagikan sebanyak 25% kepada pekerjanya. Cara ini menyebabkan pekerja kerja kuat demi mendapatkan keuntungan berlebihan dari jualan sayur tersebut. Mereka diberikan pendapatan lebih RM 1,000 sebulan atau lebih lagi dengan cara ini berbanding dengan orang lain yang bayar gaji tetap bulanan cuma sekitar RM 400 - RM 500 sahaja sebulan.  


Kos Pengeluaran juga boleh dikurangkan dengan amalan pertanian baik dimana konsep Pengawalan Perosak Bersepadu (IPM) dijalankan mengikaut pakej amalan tekknologi. Penyemburan racun merupakan pilihan terakhir dalam mengawal perosak tanaman setelah kaedah lain seperti Kawalan secara biologi, mekanikal, amalan kultura dan sebagainya dilaksanakan. Ini dapat menjimatkan banyak kos penbelian racun yang harganya memang agak mahal dan keberkesanannya juga kadang-kadang belum tentu. Penggunaan Burung Pungguk Jelapang Padi contohnya mampu mengawal populasi tukus dalam sawah jika dipasangkan rumah burung pungguk dikawasan sawah. Tidak perlu lagi membeli racun tikus. 


PENGURUSAN LADANG....SIMPAN REKOD LADANG....
KOS MENINGKAT....MAKA UNTUNG BERKURANG...
KOS DIKURANGKAN...BERTAMBAH UNTUNG....
PETANI PERLU TAHU....JANGAN BIMBANG....


By,
M Anem
Puchong Lestari,
Seri Kembangan, Serdang,
Selangor, Malaysia.
(13 Rabiulawal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...