Support My Blog

Friday, December 9, 2016

BINJAI - TESTIMONI

BINJAI (Mangifera caesia) atau lebih dikenali sebagai BUAH BINJAI adalah sejenis tumbuhan tropika iaitu dari keluarga ANACARDIACEAE yang tumbuh di negara kita. Pokok Binjai menghasilkan buah binjai dimana ia lazimnya mempunyai Rasa Masam walau pun didakwa ada varieti binjai yang agak Manis. Buah binjai boleh dimakan segar jika ianya manis dan kepada mereka yang suka makan tetapi paling sedap adalah untuk dibuat sambal buah binjai. Maklumat statistik asas mengenai tumbuhan binjai di Malaysia tidak ada kepastian tetapi saya menganggarkan sekitar 70 - 80 hektar CHE sahaja. Penulis blog juga mendapati sehingga kini belum ada penanaman pokok binjai secara komersil monokrop yang dijumpai kerana kebanyakan pokok binjai ditanam dikawasan rumah dalam dusun bercampur atau tumbuh liar dihutan. Nama lain bagi buah binjai adalah Jack ; Malaysian Mango (English), BinYaa ; Lamyaa (Thailand), Bayuno (Filipina), Binglu ; Palong (Bahasa Indonesia), Belunu (Brunei), Asam Kembawang ; Beluno; Balunoh ; Binjai ; Ondo; Wanchi ; Dendahan (Borneo) dan banyak lagi. Buah ini dijual dipasar basah dan juga di gerai tepi-tepi jalanraya disekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Berkemungkinan ralai dikalangan generasi muda yang tidak pernah melihat, memakan dan memanjat pokok binjai tetapi mungkin mereka melihatnya dari lamanweb sahaja. Pokok binjai yang tumbuh liar biasanya tinggi seperti sejenis pokok kayu balak.  Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu teknologi mengenai pokok binjai berpandukan pembacaan, pemerhatian dan pengalaman persendirian penulis dalam bidang pertanian selama 34 tahun.


Pokok Binjai adalah jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan banyak cabang merimbun dan ketinggian maksima 35-40 meter. Batangnya berbentuk bulat besar dan mempunyai kulit tebal berwarna coklat kelabu dengan beralur-alur semakin pokok jadi tua. Batang pokok binjai yang cukup tua dan besar boleh dijadikan kayu keras untuk pembinaan rumah dan perabot. Seperti pokok Keluarga Anacardiaceae yang lain, kulit pokok akan mengeluarkan cecair berwarna putih apabila dilukai dan bertukar menjadi beku beberapa lama kemudian apabila terdedah diudara. Cecair ini penulis blog mendapati apabila terkena kulit akan menyebabkan rasa gatal-gatal atau bahagian mata dan perlu dibasuh dengan air sabun segera. Rasa gatal ini akan juga menyebabkan tidak selesa. Daun pokok binjai berwarna hijau terkumpul dibahagian hujung dahan dengan ukuran sekitar 1.0-12.0 cm panjang dan 4-5 cm lebar. Daun ini berkilat dibahagian atas tetapi agak pudar serta kasar dibahagian bawah daun dengan bentuk 'lanceolate'. Akar tujang kukuh masuk kedalam bumi. Belum ada kajian khusus mengenai kegunaan daun pokok binjai dari segi perubatan dan khasiat sebagai herba. Penulis blog kali ini akan membentangkan beberapa testimoni mengenai buah binjai seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar tempatan untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan.

TESTIMONI 1:

Binjai masih digemari
Oleh KAMARUDIN HAMZAH


BESUT 12 Ogos - – Kini musim buah binjai. Buah yang sama ada anda menyukai atau membencinya kerana rasa dan bentuknya itu. Bagi penggemar, menyebut namanya sahaja sudah cukup membuatkan kecur liur apatah lagi pada bulan Ramadan ini. Rasanya yang masam manis, dengan aroma harum menusuk mampu menggamit selera. Ada yang gemar makan begitu sahaja atau dijeruk atau dijadikan ramuan masakan tradisi serta pelengkap sambal atau adunan tempoyak. Bagi segelintir penduduk kampung di kawasan Hulu Besut, buah binjai yang mula gugur sejak dua bulan lalu turut memberikan rezeki tambahan dan dijual di gerai-gerai di tepi jalan. Mat Daud Mustaffa, 40, dari Kampung Bukit Mali, dekat sini, menjual buah binjai di tepi jalan di kampung itu sejak lebih sebulan lalu dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Katanya, walaupun kini tidak ramai yang menggemarinya namun bagi sesetengah orang yang jugaa gemarkan benda-benda yang masam manis, buah binjai menjadi pilihan sama ada untuk dimakan segar atau pun ia dijadikan sebahagian daripada campuran masakan. Menurut Mat Daud, buah binjai juga boleh dijadikan jus dengan cara dipotong isinya dan dimasukkan ke dalam alat pengisar dengan ditambah pemanis mengikut sukatan yang disukai.

“Pokok binjai kini telah berkurangan kerana tidak lagi ditanam oleh golongan muda sebaliknya merupakan hasil daripada peninggalan orang tua atau nenek moyang mereka yang meneroka kampung itu lebih 50 tahun lalu,’’ katanya di sini baru-baru ini. Menurut beliau, dia sendiri mendapatkan buah daripada pokok milik bapa saudaranya yang terletak tidak jauh dari situ yang boleh dikatakan berbuah lebat hampir sepanjang masa. “Pokok binjai ini memang besar serta tinggi dan saya anggarkan terdapat lebih 2,000 biji yang terpaksa dikait menggunakan galah khas bagi mengelakkan ia jatuh dan pecah,’’ katanya. Dengan harga RM1.00 sebiji, dia mampu meraih lebih RM30.00 sehari dan kadang kala dia memperoleh lebih daripada itu terutama pada waktu hujung minggu apabila ramai orang yang melalui kawasan disitu. Kampung itu menjadi laluan utama ke dua buah lagi lokasi pelancongan menarik di Hulu Besut iaitu Hutan Lipur Lata Tembakah dan Kolam Air Panas Kampung La yang sering dikunjungi orang ramai. “Di kampung ini dan kampung berdekatan terdapat beberapa orang yang menjual buah binjai di tepi-tepi jalan dan harganya pula bergantung kepada saiz buahnya,” ujarnya. Mat Daud bernasib baik kerana dua anaknya Mohd. Safuan, 16 tahun dan Mohd. Shahiran, 12 tahun tidak segan untuk membantunya menjual buah binjai di gerai miliknya itu pada sebelah petang dan pada hujung minggu.


TESTIMONI 2:
Buah Binjai di sukai ramai

MUAR 11 Okt - Binjai adalah pohon buah sejenis mangga dengan bau yang harum menusuk dan rasa yang masam manis. Buah ini juga dikenal dengan beberapa nama lain seperti bin-yaa, lam-yaa (Th.), belenu (Mly., beluno (Sabah), baluno, bauno, bayuno (beberapa bahasa di Filipina), binglu (Sd.), dan wani (Bl.). Nama ilmiahnya adalah Mangifera caesia. Binjai terutama ditanam untuk buahnya, yang biasa dimakan segar setelah buah itu masak atau dijadikan campuran es. Binjai juga digunakan sebagai campuran sambal, terutama untuk masakan ikan sungai. Buah binjai yang masih muda tidak dapat dimakan kerana sangat tajam (sangat masam) dan menggatalkan. Bijinya kadang-kadang dikeringkan dan diolah sebagai lauk makan nasi. Kayu binjai dapat digunakan sebagai papan lantai dan bahan konstruksi ringan. Binjai menyebar tumbuh secara alami di Sumatra, Kalimantan dan Semenanjung Malaysia; sebahagian pakar meyakini ia dari Kalimantan adalah lokasi asal-usulnya. Dari wilayah-wilayah ini, binjai dibawa dan dibudidayakan orang di Bali, Filipina dan Thailand, serta agak jarang di Jawa bahagian barat. Binjai terutama menyebar di dataran rendah di bawah 400 m, jarang hingga 800 m dari paras laut. Jenis ini tahan terhadap penggenangan, dan seringkali didapati dekat tepi sungai. Kerepek binjai merujuk kepada kerepek yang dihasilkan dari buah binjai. Buah binjai yang dikopek akan ditumbuk bagi menghasilkan kepingan dan dikeringkan. Sekiranya buah binjai yang digunakan itu kecil, beberapa biji buah akan dikapuh menjadi satu dan ditumbuk untuk membentuk sekeping kerepek. Kerepek binjai yang telah dikeringkan akan digoreng sebelum dihidangkan. Kerepek binjai goreng mempunyai rasa sedikit pahit yang mungkin tidak berapa digemari oleh mereka yang tidak biasa memakannya, tetapi bagi mereka yang biasa memakannya, rasa itu yang menyebabkan mereka menggemarinya. Terdapat juga kerepek binjai yang digoreng dan disira dengan air gula bagi menghasilkan kerepek binjai sira. Kerepek binjai dan kerepek binjai sira amat digemari oleh penduduk pantai timur, terutamanya di Terengganu.

KHASIAT BUAH BINJAI
Buah binjai yang mengandungi banyak sari buah dan asam-manis rasanya dapat dimakan dalam keadaan segar setelah buahnya matang dan sebagai pencuci perut. Baunya memang wangi…dari jauh pun boleh terhidu aromanya, sungguh wangi …tapi rasanya sangat masam bila dimakan mentah dan segar. Di Terengganu, ia biasanya dijadikan asam dijadikan asinan dan diawetkan dalam garam
dan disimpan dalam botol untuk membuat sambal jika tidak sedang musim buah.


TESTIMONI 3:
Sambal belacan binjai

Sambal binjai yang sangat enak dan lazat.
ALOR GAJAH 11 OKT - Musim buah binjai datang lagi. Di Pasar Besar Melaka, harga sekilo binjai saya dapati sekitar RM10.00. Ada buah binjai yang didapati masam dan ada juga yang manis. Buah yang masam kita boleh buat sambal belacan tetapi buah yang manis memang ia boleh dimakan begitu sahaja. Dalam makanan tradiosional, didapati sambal buah binjai merupakan satu kegemaran ramai. Bagi saya untuk buat sambal belacan binjai kita perlu cuma bakar belacan (saya guna belacan Melaka). Kemudian ditumbuk dengan beberapa biji cili padi (ikut kepedasan masing-masing) dan di masukkan sedikit gula pasir (Bahan garam tidak perlu masuk sebab belacan dah masin). Bila ramuan sudah lumat maka kita boleh masukkan isi buah binjai  yang telah dibuang kulit. Kemudian ia perlu di tumbuk sambil lenyek-lenyek binjai bersama sambal dan sebaiknya ia akan digaul dengan rata.  Ada cara lain buat sambal binjai ini iaitu dengan menghiris beberap keping binjai. Sebaiknya jangan buang kulit. Kemudian ia dijerukkan sehingga jeruk binjai sedia untuk dimakan. Lazimnya di tumbuk cili (merah atau cili padi) bersama belacan bakar dan ambil beberapa keping binjai jeruk. Letakkan ramuan tersebut atas pinggan. Bagi menyedapkaan rasa kita tabur dengan sedikit gula. Sambal belacan letak di samping jeruk tadi. Lazimnya bila hendak makan 'colet ' sambal tadi dengan binjai jeruk. Ia sedap dimakan dengan nasi putih. Sedap lagi kalau ada ulam seperti petai, jering, jantung pisang rebus, ulam raja, selom, tenggek burung dan sebagainya. Sekian. Wasallam!!!..

BUAH BINJAI... COKLAT KULITNYA...
BUAH MANIS... MAKAN SEGAR SAJA...
YANG MASAM...SAMBAL JADINYA...
BUAH NADIR.. BERMUSIM ADANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1205, Kinta Riverfront Hotel and Suites,
Jalam Lim Boon Seng,
Ipoh, Perak,
Malaysia.
(15 Muharam 1435H)
Posted from Room 211, Hotel Bestari,
Kuala Lipis , Pahang pada 9 Dec 2016

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...