Support My Blog

Saturday, November 19, 2016

SENARIO TERKINI INDUSTRI KELAPA

KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tanaman penting dibanyak negara dimana ia dikelaskan sebagai 'tanaman pelbagai guna' atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai 'tree of life'.  Pokok kelapa yang dijadikan tanaman ladang dan keliling rumah daripada keluarga Arecaceae mempunyai pelbagai kegunaan daripada bahagian buah, daun, batang dan sebagainya. Tanaman kelapa di Malaysia merupakan tanaman ke 4 terpenting selepas tanaman kelapa sawit, getah dan padi. Penulis yang pernah terlibat terus dalam industri kelapa mendapati jumlah keluasan kawasan penanaman kelapa di Malaysia telah pun menunjukkan trend yang menurun dalam tempoh 10 tahun lepas disebabkan oleh persaingan dengan tanaman lain terutama kelapa sawit. Penulis juga merujuk kepad testimosi akhbar tempatan di Utusan Malaysia bertajuk 'Ingin tahu senario terkini industri kelapa' yang diterbitkan pada 18 November 2016 selain daripada berpuloh rencana dalam blog penulis sendiri. Di Malaysia penulis dapati keluasan bertanam kawasan kelapa pada tahun 2006 adalah seluas 119,465 hektar (ha) dan dianggarkan akan menurun kepada 80,360 ha pada tahun 2016. Pada ketika ini, dianggarkan seramai 68,000 keluarga tani yang terlibat dengan tanaman kelapa. Taburan keluasan sebanyak 63 peratus kawasan adalah di Semananjung Malaysia, manakala 20 peratus di Sabah dan 17 peratus di Sarawak. Berdasarkan statistik semasa antara negeri yang mempunyai kawasan keluasan penanaman terbesar pokok kelapa adalah Sabah diikuti Sarawak, Johor, Selangor dan Perak. Daripada penelitian penulis dalam beberapa laporan yang disediakan didapati secara keseluruhannya, produktiviti adalah agak rendah iaitu sebanyak antara 5,000 hingga 6,000 biji sehektar setahun. Pada masa ini kadar penggunaan kelapa tempatan adalah dianggarkan sebanyak 640 juta biji setahun manakala pengeluaran adalah sebanyak 538 juta biji. Sementara itu didapati baki keperluan sebanyak 102 juta biji lagi adalah diimport dari Indonesia. Artikel petang Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai status terkini penanaman kelapa sekadar berkongsi infoo dengan pembaca semua.

Apakah sebenarnya cabaran utama yang dihadapi industri kelapa masa kini?. Pada kajian penulis mendapati terdapat beberapa cabaran dan isu yang dihadapi industri kelapa negara ini. Di antaranya ialah dimana petani atau pekebun kelapa sedia ada telah berumur iaitu purata 55 tahun ke atas atau mereka hanya mewarisi tanaman pokok kelapa dari keluarganya. Pada masa ini dikalangan golongan muda tidak berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian yang dianggap kurang menarik berbanding dengan bekerja di KFC atai pun kerja kilang. Rata=rata pemilikan saiz kebun yang kecil (antara 0.2 hingga dua hektar) dan tidak ekonomik menyebabkan pendapatan daripada tanaman kelapa tidak dapat memberikan pendapatan yang tinggi kepada petani. Purata keluasan milikan petani adalah dalam 1.2 hektar sahaja dimana mereka kebanyakannya masih menggunakan varieti Kelapa Malayan Tall (CN1). Terdapat juga ancaman perosak dan penyakit dimana perkara ini merupakan salah satu cabaran yang tidak boleh dipandang rendah. Serangan Kubang Jalur Merah (Red Palm Weevil) memberikan kesan teruk terhadap pokok kelapa dewasa. Beberapa negeri seperti Terengganu dan Kelantan diserang Kumbang RPW dengan serius yang menyebabkan kematian banyak pokok kelapa. Kumbang Merah Palma atau pun dikenali dengan nama Rhynchophorus ferrugineus ini telah didapati menyerang tanaman kelapa dan telah diisytiharkan sebagai wabak di negeri Terengganu pada Julai 2011. Jabatan Pertanian telah memperuntuk sebanyak RM4 juta untuk membendung, mengawal dan menghapuskan perosak tersebut dan sehingga kini perosak tersebut telah dapat dikawal daripada merebak ke negeri-negeri lain. Dalam pada aspek pengurusan ladang yang tidak sistematik atau masih lagi mengamalkan pengurusan tradisional seperti tidak membaja pokok dan hanya kutip hasil tunggu buah tua jatuh (Sila lihat foto disebelah untuk ladang diurus dengan baik). Kajian penulis mendapati pokok kelapa sedia ada bukan pokok baru sebaliknya kebanyakannya adalah jenis kelapa tinggi Malaya (Malayan Tall) dengan hasil yang diperoleh adalah di antara 3,000 - 4,000 biji sahaja dalam sehektar. Di samping itu juga pokok ini telah mencapai ketinggian antara 50 hingga 60 kaki dan menyukarkan proses mengait buah atau menuai hasil. Penanaman Kelapa Matag (CN13, CN14 dan CN15) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian kini mampu meningkatkan produktiviti pokok kelapa.

Menjawab kepada beberapa pertanyaan dari orang ramai mengenai apakah langkah-langkah atau usaha yang dilaksanakan bagi memulihkan industri kelapa negara?. Sejak tahun 1960-an lagi kerajaan telah memperkenal program Penanaman Semula dan Pemulihan Kawasan Tanaman Kelapa sedia ada iaitu menerusi program Skim Pembangunan Pekebun-pekebun Kecil Kelapa dengan memperkenal penanaman varieti Malayan Tall. Seterusnya menerusi Rancangan Penanaman Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) varieti hibrid MAWA (Malayan Red/Yellow Dwarf X West African Tall) pada tahun 1980-an. Bagaimana pun program ini telah diberhentikan pada awal tahun 1980'an apabila Dasar Pertanian Negara digubal. Pada tahun 1990-an iaitu sepanjang Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) Jabatan Pertanian telah memperkenalkan jenis kelapa hibrid Matag telah diperkenal bagi menggantikan kelapa MAWA yang boleh memberikan hasil yang lebih tinggi di samping dapat memberikan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kelapa. Pada RMK-8 (2000-2014) pula telah pun diujudkan Pelan Pembangunan Kelapa juga telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dimana dokumen ini telah digunakan oleh Jabatan Pertanian sebagai panduan bagi melaksanakan semua program pembangunan tanaman kelapa di negara ini. Pelan tersebut memberi penekanan kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil dan meningkatkan kualiti produk yang dikeluarkan bagi meningkatkan pendapatan melebihi RM1,000 sebulan. 

Pelan Pembangunan Kelapa tersebut telah diteruskan sehingga ke RMK-11 dimana kadar insentif yang diberikan kepada pekebun termasuk dalam Program Pengeluaran Benih, Program Penanaman Semula, Program Pemulihan Tanaman Kelapa dan juga Program Integrasi tanaman kelapa dengan tanaman lain. Paling utama adalah Program Pengeluaran Benih dimana ia adalah salah satu program yang amat penting memandangkan industri kelapa negara pada masa ini mengalami kekurangan bekalan anak benih yang berkualiti dan boleh memberikan hasil tinggi iaitu anak benih kelapa Hibrid Matag. Isu ini juga telah menjejaskan program penanaman semula tanaman kelapa Matag yang memerlukan kepakaran tinggi dan satu jangkamasa lama untuk menghasilkannya. Sebiji kelapa matag hibrid F1 memerlukan masa selama 16 bulan untuk disediakan dan amat sedikit yang mampu dihasilkan. Pada masa ini hanya Jabatan Pertanian, United Plantation Estates dan NLFCS Estates yang mengeluarkan benih kelapa Matag F1 tulin. Banyak petani tertipu membeli benih kelapa Matag yang dijual oleh nurseri swasta kerana ianya adalah benih kelapa Matag F2 atau F3. Kini Jabatan Pertanian telah pun memperluas lagi kawasan pengeluaran benih kelapa hibrid Matag dengan membangunkan kawasan ladang pokok induk seluas 90ha di Pusat Pertanian Lekir pada tahun 2012 selain 40ha yang sedia ada di Pusat Pertanian Jorak, Pagoh, Johor bagi meningkatkan lagi pengeluaran anak benih kelapa.

Program Penanaman semula juga sedang giat dijalankan oleh Jabatan Pertanian iaitu menggantikan Malayan Tall dengan Matag dan kelapa terpilih lain seperti Pandan, Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan Malayan Red Dwarf (MRD). Insentif yang disediakan adalah bantuan berbentuk pembangunan infrastruktur dan bahan input yang juga berbentuk 'in-kind' untuk tempoh empat ahun sebanyak RM20,000 sehektar. Program pemulihan adalah aktiviti memulihkan kawasan-kawasan kebun yang masih produktif untuk meningkatkan hasil. Insentif yang disediakan ialah bantuan input berbentuk in-kind untuk tempoh tiga tahun berjumlah RM5,500. Program integrasi adalah aktiviti penanaman tanaman lain selain seperti pisang, nanas, kopi dan tanaman singkat masa di kawasan kelapa bagi memberikan pendapatan tambahan kepada pekebun. Dalam menjawab isu bagaimana strategi pemasaran dalam meningkatkan hasil eksport kelapa negara, kini Jabatan Pertanian sentiasa menggalakkan pengusaha dan pengilang untuk terlibat dengan aktiviti pemprosesan produk kelapa seperti santan, kerisik, minyak kelapa, air kelapa dan produk yang berpotensi untuk dieksport seperti karbon teraktif, sabut dan sebagainya. Dan pada masa ini minyak kelapa dara (VCO) juga mendapat permintaan yang amat tinggi dari negara-negara Europah dan Amerika Syarikat. Namun kebanyakan pengusaha yang terlibat hanya menjalankan perusahaan ini secara kecil-kecilan. Sekiranya dapat dilaksanakan dengan skala yang besar ia akan dapat meningkatkan pendapatan dan ekonomi negara. Selain itu beberapa kajian oleh pihak universiti tempatan juga telah membuktikan bahawa minyak kelapa juga mempunyai khasiat yang baik dari segi kesihatan dan dengan adanya promosi yang baik produk-produk ini akan meningkatkan lagi eksport negara. Jika ada teknologi baharu yang diperkenal kepada petani maka ianya mungkin dapat meningkatkan keluaran seperti kaedah pembajaan dan memetik kelapa muda yang lebih menguntungkan. Jabatan Pertanian sehingga kini sentiasa memberikan khidmat nasihat teknikal kepada petani dari segi amalan agronomi dan juga lepas tuai bagi meningkatkan hasil dan juga kualiti hasil yang dikeluarkan. Penggunaan mesin pengupas kelapa juga telah diperkenal kepada petani supaya kerja-kerja tersebut labih efisien dilaksanakan. Artikel ini ditulis bertujuan memberikan sedikit info kepada pembaca semua. Wasallam!!!.

TANAMAN BERGUNA... POKOK KELAPA...
MALAYAN TALL... VARIETI SUDAH TUA....
KELAPA TEMPATAN... YANG IMPORT ADA...
BACA ARTIKEL...INFO MASUK KEPALA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1404, Hotel Holliday Inn Melaka,
Bandar Hilir, Melaka,
Malaysia.
(18 Safar 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...