Support My Blog

Saturday, June 18, 2016

GETAH - KAEDAH CANTASAN

POKOK GETAH (Hevea brasiliensis) ialah pokok dalam famili Euphorbiaceae dan ahli terpenting dalam genus Hevea. Pokok ini penting dari segi ekonomi kerana hasil seperti lateks boleh dikumpulkan dan merupakan sumber utama getah asli. Getah merupakan sejenis tanaman yang boleh hidup dikawasan tropika dan memerlukan hujan sebanyak 180 cm - 250 cm setahun. Ia juga memerlukan suhu diantara 25 - 30 darjah Celcius. Kesesuaian ketinggian tanah dari paras muka laut yang boleh ditanam dengan getah ialah 500 meter. Semakin tinggi getah ditanam maka akan semakin berkurangan perolehan hasil dan kecergasan pertumbuhannya. Keperluan tanah yang sesuai untuk tanam getah ialah jenis loam yang mempunyai saliran yang baik, tidak asidik, tidak banjir da tanah subur. Pokok getah ialah jenis pokok saka dan ketinggiannya boleh mencapai 18 meter. Umur pokok getah yang ekonomik ialah diantara 20 hingga 30 tahun. Pokok getah menghasilkan lateks (getah asli) yang penting dalam industri tayar dan lain-lain industri berasaskan getah. Selain daripada itu, kayunya adalah terdiri daripada jenis separuh keras dan boleh dijadikan perabut. Dalam pada itu lazimnya pokok getah mampu mengeluarkan lateks putih atau kuning terhasil dalam salur lateks pada kulit pokok, terutamanya pada floem luar. Saluran ini berpilin naik pada batang pokok menurut pusingan ke kanan yang selalu membentuk 30 darjah pada ufuk. Pokok getah mencapai usia 5-6 tahun boleh diitoreh dengan goresan dibuat secara ortogon pada salur lateks. Dengan kedalaman yang hanya mencukupi untuk mengambil lateks tanpa menjejaskan pertumbuhan pokok. Sap itu dikumpulkan di dalam baldi yang kecil. Pokok-pokok yang lebih tua menghasilkan lebih banyak lateks. Pokok getah pada mulanya hanya tumbuh di Amazon kini menjadi tanaman penting di Malaysia dimana peningkatan permintaan semenjak tahun1839 dan telah pun mendorong perkembangan ekonomi. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi cantasan tanaman getah untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan anda. 

Cantasan Dahan pada tanaman pokok getah merupakan satu amalan yang mesti dilakukan. Antara tujuan cantasan dahanadalah untuk memperbaiki bentuk dan keseimbangan jemala terutama anak pokok getah semasa kecil lagi. Cantasan yang dijalankan juga selalunya mampu mengurangkan pokok getah akibat oleh kerosakan angin. Ia juga berperanan didalam meningkatkan tumbesaran batang anak pokok getah diperingkat vegetatif. Beberapa alatan untuk mencantas pokok getah seperti scateurs, gergaji cantasan (pruning saw), Pisau cantasan, parang dan sebagainya. Cantasan yang dijalankan ekan memperoleh ketinggian batang pokok getah yang cukup bagi tujuan penorehan dan hasil balak. Pokok getah yang tidak dicantas selalunya menyebabkan ia tidak seimbang agihan dahan pokok dimana ini menyebabkan masaalah lain. Cantasan pokok juga mampu memendekkan tempoh muda supaya pokok cepat ditoreh dan cepat berhasil. Walau pun ada dikalangan pekebun kecil yang kurang faham mengenai kaedah cantasan, mereka kini perlu melakukannya terutama terhadap beberapa klon getah yang baru. Kini ada klon getah untuk menghasilkan kayu balak dimana kaedah cantasan mungkin disesuaikan dengan klon baru ini.

Terdapat beberapa cara dan kaedah membuat cantasan pada pokok getah. Aktiviti cantasan ini mengunakan alat yang khusus seperti yang disebutkan diatas dan sedikit ilmu kemahiran untuk membuat cantasan. Pertama sekali pilih pokok getah yang sesuai untuk dibuat cantasan lazimnya mengikut umur dan tujuan membuat cantasan. Pokok getah mudah yang baru ditanam perlu dibuat cantasan dengan menggunakan alat cantasan dimana kita perlu untuk memotong dahan sama paras dengan batang utama atau sampai ke pangkal dahan pokok getah (Sila lihat foto disebelah). Selalunya keratan ini akan dibuat menyerong bagi tujuan mengelakkan air hujan bertakung dikawasan cantasan yang boleh menyebabkan serangan kulat. Sebaiknya jangan tinggalkan tunggul dahan pada batang utama untuk mengelakkan dahan bertunas semula. Ini dilakukan dengan mempastikan tunggul tidak dapat untuk mengeluarkan tunas baru. Sebaiknya dengan segera pekebun getah atau pekerja ladang perlu menyapukan bahan seperti tar atau wound dressing pada permukaan luka. ini juga bertujuan untuk melindungi batang getah daripada serangan patogen lain.

Terdapat bebertpa kaedah dalam membuat cantasan untuk pokok getah iaitu Cantasan Pembentulan dan Cantasan Terkawal. Cantasan Pembetulan adalah aktiviti cantasan yang dilakukan bagi membetulkan tabiat perdahanan batang dan dahan yang tidak memuaskan. Apa yang dimaksudkan dengan tabiat perdahanan yang perlu diperbetulkan adalah seperti jika ada cabangan berbentuk 'V' di hujung batang maka apa yang dilakukan adalah mencantas dahan yang kurang subur dan tinggalkan satu dahan untuk jadi batang utama (Sila lihat rajah diatas). Seterusnya jika dahan sisi yang subur berlaku disebelah pokok sahaja masa ia akan menyebabkan pokok getah menjadi condong. Oleh itu apa yang dilakukan adalah dengan memotong dahan yang berat sedikit demi sedikit bermula di pertengahan dahan supaya dahan tidak terkopak. Seterusnya dipotong dahan di bawah kelompok mata tunas. Pusaran dahan tumbuh di satu tempat tanpa dahan utama. Jika keadaan ini berlaku di bahagian batang yang rendah makan sebaiknya ia ditinggalkan satu dahan paling subur untuk jadi batang utama. Jika berlaku pada bahagian batang yang tinggi, tinggalkan 3 hingga 4 dahan yang subur dengan kedudukan berjauhan antara satu sama lain.

Cantasan Terkawal dilakukan bagi bertujuan untuk mendapatkan pokok yang mempunyai batang utama yang tegak dan kuat serta tidak berdahan pada paras 8 hingga 12 kaki dari paras tanah. Pokok akan mempunyai perdahanan seimbang, semua dahan sisi lebih kecil daripada batang dan dahan keluar pada sudut yang lebar (Sila lihat foto disebelah). Proses Cantasan sering dilakukan apabila pokok mempunyai empat pusaran dahan. Cantas dahan paling rendah supaya pokok kekal dengan tiga pusaran dahan. Aktiviti tersebut perlu dilakukan dan akan diulangi cantasan setiap enam bulan sehingga mendapat pokok getah dewasa yang seimbang dan sesuai tabiat pertumbuhannya. Aktiviti cantasan ini dielakkan untuk membuat pada masa cuaca panas dan sangat kering kerana ia berkemungkinan akan menjejaskan pertumbuhan pokok getah tersebut. Program lain yang oerlu diperhatikan berkait dengan cantasan adalah seperti program pembajaan, kawalan rumpai dan penyakit pokok tersebut sebelum cantasan dibuat. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda pembaca semua. Wasallam!.
CANTASAN POKOK.. GETAH JUGA...
POTONG DAHAN... BATANG UTAMA...
POKOK SEIMBANG... STABIL DIA...
BACA ARTIKEL... JUGA BERGUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Latihan RISDA,
Kg Awah, Maran,
Pahang, Malaysia.
(19 Rejab 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...