Support My Blog

Friday, March 11, 2016

HALWA BELIMBING BULUH

HALWA BELIMBING BULUH merupakan satu produk tradisional yang dibuat berasaskan kepada buah belimbing bukuh (Averrhoa bilimbi) yang popular terutama di Pahang. Belimbing buluh merupakan sejenis tanaman buah-buahan tropika yang dikategorikan sebagai Buah Nadir di Malaysia kerana ia kurang dikomersilkan semenjak lama dulu. Ia juga dipandang sepi sehingga Jabatan Pertanian dibawah projek NKEA Herba (EPP1) mengambil inisiatif untuk mengangkat tanaman belimbing buluh sebagai sejenis tanaman yang boleh dikomersilkan. Bagaimana pun penanaman belimbing buluh secara komersil belum dilihat sebagai satu pilihan terbaik daripada petani dan usahawan komersil dan agak sukar untuk melihat cadangan perancangan perniagaan (Business plan) mengenai tanaman ini disediakan. Pada penulis sehingga kini pun agak sukar untuk mendapatkan aliran wang tunai (Cashflow) tanaman belimbing buluh yang boleh digunapakai dalam menganalisa dayamaju projek. Buah belimbing ini adalah berbentuk kecil dengan bentuk bulat selinder atau seakan bersegi panjang dengan warna hijau muda ketika muda dan sedikit kekuningan apabila telah matang. Pada masa ini tidak ada maklumat tepat mengenai keluasan sebenar tanaman ini dilaporkan di Malaysia tetapi penulis mampu menganggarkan sekitar 20 - 30 hektar CHE (CHE bermakna Crop Hectarage Equivalent iaitu jumlah pokok ditanam yang di kira sebagai menyamai keluasan sehektar). Buah Belimbing ini jarang dimakan segar kerana rasanya terlalu masam menyebabkan ia sesuai untuk dijadikan bahan ramuan masakan atau diproses menjadi produk lain. Buah yang hampir masak biasanya digunakan sebagai penyedap rasa masakan dan sebagai ramuan sambal yang menjadi pencecah untuk sayuran tradisional seperti Sambal Hitam Belimbing Buluh yang terkenal di Pahang (Sila klik disini). Bagaimana pun penulis kali ini menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penggunaan belimbing buluh yang diproses menjadi HALWA BELIMBING BULUH yang enak dan dikomersilkan terutama di Pahang (Sila lihat foto diatas). Penulis telah beberapa kali menikmati halwa ini dengan cara mendapatkannya daripada beberapa projek IAT berasaskan belimbing buluh di Pahang.


Belimbing buluh juga digunakan sebagai ramuan masakan seperti masakan ikan kari asam pedas dan udang lemak kuning. Buah belimbing buluh dapat menghilangkan rasa hanyir ikan terutamanya untuk masakan dengan jenis ikan darat (ikan air tawar) seperti ikan baung, ikan patin dan sebagainya. Resepi masakan ikan patin temppoyak merupakan satu hidangan yang popular di Pahang yang dimasak dengan belimbing buluh (Sila lihat foto disebelah). Penulis sendiri memang suka makan nasi dengan ikan patin di Temerloh dan beberapa daerah lain yang enak dan lazat. Masakan istimewa ikan patin dengan belimbing buluh ini disukai oleh semua kaum di Malaysia dengan harga jualan juga mengikut kesesuaian. Buah belimbing buluh juga sering digunakan untuk beberapa jenis masakan orang Melayu dan orang Cina mengikut kesesuaian resepi. Bekalan belimbing buloh ini memang mudah didapati dipasar malam atau pasar tani dan ia selalunya ditanam sebagai tanaman keliling rumah sahaja. Terdapat laporan dimana beberapa petani dinegeri Pahang, Selangor dan Johor yang mana kini telah mula untuk mereka mengusahakan tanaman belimbing buluh secara monokrop dan komersil untuk jualan. Uniknya pokok ini mampu berbuah sepanjang tahun dan kurang diserang penyakit. Pada masa dulu dilaporkan apabila tiba musim belimbing buluh berbuah ia selalunya buah tersebut gugur dengan banyak terbiar begitu sahaja jatuh ke tanah dan tidak diambil peduli. Ini kerana ramai percaya buahnya yang masam tidak digemari oleh masyarakat kita untuk dimakan segar. Kalau ada pun cuma untuk dibuat sambal belacan atau dicampur dalam masak lemak ikan kembung. Kini ramai telah tahu akan kerugian dan bagi mengelakkan pembaziran buah belimbing boleh dijadikan halwa yang enak dan boleh dikomersilkan. Ia memberikan produk popular kerana rasanya yang masam-masam manis.


Buah belimbing buluh selalunya berwarna hijau tetapi ada juga yang bertukar menjadi kekuningan apabila buah tersebut masak (Sila lihat foto disebelah). Pokok yang matang dan subur mempunyai potensi untuk berbunga dan berbuah sepanjang tahun. Terdapat dua jenis belimbing buluh secara umumnya iaitu JENIS HIJAU dan JENIS KUNING. Bagi tujuan membuat halwa kedua-dua jenis ini sesuai digunakan sebaga  bahan mentah.Buah yang matang selalunya padat, mempunyai warna kulit berkilat dan rangup apabila dipicit. Buah tersebut sesuai dipetik tidak kira besar ataupun yang kecil kerana ia mempunyai kualiti yang hampir sama untuk diproses. Buah yang dipetik perlu dibersihkan dengan air bersih dan kemudian perlu ditoskan. Bagi tujuan membuat halwa dari belimbing buluh pastikan memilih buah yang cukup matang dan boleh juga dicampur dengan buah separa natang dan buah kurang matang. Variasi kematangan buah belimbing ini akan menghasilkan warna halwa yang berbeza-beza dimana ini menambah kecantikan halwa yang disediakan. Teknik memetik buah belimbing buluh ini masih manual dimana buah yang rendah akan dipetik dengan tangan dan buah yang itnggi akan dijokok dengan galah yang ada katung dibawahnya. Jika buah ini jatuh ketanah akan menyebabkan ia lebam dan mengurangkan kualiti buah jika diproses untk dijadikan halwa.


Proses membuat halwa belimbing buluh seterusnya adalah dengan merendam buah belimbing buluh yang bersih tadi didalam balang berisi air. Pastikan dalam balang air tersebut telah dicampur dengan tiga sudu makan garam dan sesudu makan kapur sirih selama satu malam. Pada keesoknya hari maka keluarkan dan cuci belimbing itu bersih-bersih untuk menghilangkan rasa kapur dan juga rasa masin garam. Kelebihan mengikut kaedah ini kita tidak perlu mencucuk buah belimbing dimana ia bertujuan supaya rasanya tidak terlalu manis nanti. Langkah seterusnya adalah dengan memasakk sekitar suku balang air dengan sekilo (1kg) gula pasir hingga larutan mendidih. Kemudian adalah dimasukkan sedikit pewarna kuning telur untuk menghasilkan warna produk halwa yang ceria. Sebaiknya disejukkan air gula lebih kurang satu jam. Langkah seterusnya adalah dengan memasukkan air gula ke dalam balang yang telah berisi belimbing yang telah dibersihkan tadi. Biarkan selama dua hari di dalam peti ais bersuhu 13C (Celcius). Setelah dua hari maka tuangkan air gula dari balang yang berisi belimbing (belimbing tersebut tidak perlu dikeluarkan) ke dalam periuk dan panaskan hingga mendidih. Kemudian sejukkan semula selama kira-kira satu jam. Seterusnya masukkan semula air gula itu ke dalam balang berisi belimbing. Ulang proses memanaskan air gula ini selang seminggu pula sehingga rasa belimbing berubah menjadi masam-masam manis. Rupa halwa belimbing buluh yang siap diproses sudah boleh dimakan atau dibungkus dengan cara pembungkusan dan perlabelan menarik (Sila lihat foto disebelah). Langkah seterusnya iaitu untuk mendapatkan halwa yang kering sebaiknya ditoskan air gula dan jemur halwa belimbing di panas matahari. 


Daripada tinjauan penulis kepada beberapa usahawan halwa belimbing buluh yang ditemui di Pahang mereka menyatakan bahawa halwa ini adalah berkkhasiat. Syarikat Arwis Sdn Bhd sebagai contoh telah mengkomersilkan produk halwa belimbing buluh dengan dipaparkan maklumat nutrisi (Sila lihat foto disebelah). Halwa belimbing buluh yang dianalisa di makmal sains menyatakan setiap 100 gram halwa ini mengandungi sebanyak 277 kcal, 66.8 gram Karbohiderat, 1.4 gram protin dan 0.49 gram lemak. Bagaimana pun tidak dinyatakan kandungan fiber, vitamin dan bahan-bahan khasiat lain yang mungkin boleh meningkatkan daya pasaran produk ini. Penulis yakin produk halwa belimbing buluh ini berpotensi untuk dikembangkan dengan syarat bekalan bahan mentah untuk diproses menjadi halwa ini mencukupi, peningkatan kualiti produk halwa dan program promosi yang berterusan. Syarikat Arwis yang mempelopori produk halwa belimbing buluh juga menghasilkan produk Sambal Hitam iaitu sejenis sambal yang diperbuat daripada belimbing buluh yang merupakan makanan tradisi masyarakat di Pahang Utara. Kepada mereka yang belum pernah menikmati produk halwa belimbing buluh boleh menghubungi Syarikat Arwis dam membuat tempahan. Semuga artikel ini berguna kepada pembaca blog Anim Agro semia. Wasallam!....

Penulis di kebun belimbing buluh di Mukim Telang, Lipis.

BELIMBING BULUH...MASAM RASANYA...
BANYAK DIPOKOK....IA DIPETIK TUA...
BOLEH DIPROSES... MENJADI HALWA...
ENAKK DIMAKAN... RAMAI YANG SUKA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Pamah Rawas,
Ulu Dong, Raub,
Pahang, Malaysia.
(2 JamadilAkhir 1437H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...