Support My Blog

Sunday, February 14, 2016

PERANGKAP LALAT - INOVASI HEBAT


PERANGKAP LALAT (Flies Trap) merupakan satu alat yang digunakan untuk memerangkap lalat yang berkeliaran sama ada dirumah, dikebun atau direstoran. Lalat adalah jenis serangga dari ordo Diptera (berasal dari bahasa Yunani 'di' bererti dua dan 'ptera' bererti sayap). Lalat merupakan sejenis serangga yang boleh terbang dengan pantas dan banyak hala. Lalat makan dengan memuntahkan air liurnya keluar dan kemudian akan menyerap kembali makanan yang separuh hadam masuk kedalam perutnya melalui alat belalainya. Lalat merupakan sejenis serangga yang mampu menyebarkan penyakit, disebabkan cara permakanannya dan sifatnya yang sering terbang ketempat yang kotor seperti dalam tandas, tempat kotoran sampah dan sebagainya. Lalat adalah salah satu jenis serangga dikelaskan sebagai sejenis makhluk perosak yang paling mudah dijumpai. Namun begitu jenis lalat buah dan lalat bunga tidak di kategorikan sebagai pembawa penyakit kepada manusia. Tabiat lalat adalah suka menghinggapi tempat yang kotor, tong sampah dimana ada lalat hitam umpamanya hanya akan suka terbang dan hinggap dipersekitaran kompos untuk tujuan mengawan dan bertelur. Terdapat pelbagai jenis lalat diantaranya adalah Jenis Lalat Rumah atau biasanya dikenali sebagai 'lalat' sahaja. Kedua adalah jenis Lalat Hijau, Lalat Tsetse (Biasanya menghisap darah manusia dan binatang dan menyebarkan penyakit tidur), Lalat Bunga, Lalat Buah (Fruit fly) dan Lalat Hitam. Semua orang rasa geli dan tidak selesa apabila mereka hendak makan nampak lalat berkerumun. Lalat memang suka bau busuk atau bau yang kuat untuk mencari makanan dan bertelur. Terdapat banyak cara untuk menghapuskan lalat dipersekitaran sama secara kimia, mekanikal, manual dan sebagainya. Artikel subuh ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu inovasi membuat perangkap lalat yang murah dan praktikal dikawasan kebun durian hasil inovasi seorang petani En Han daripada Johor untuk dijadikan panduan.    


Perangkap lalat konvensional ada dijual dipasar malam, kedai runcit dan juga dipasaraya dimana ianya adalah buatan tempatan dan diimport. Penulis dapati penggunaan Racun Serangga Aerosol merupakan jenis racun berbentuk kabus yang disembur terus kepada lalat atau nyamok lipas dan lalat yang mempunyai pelbagai jenama dan amat mudah dibeli. Kesannya adalah serangga tersebut akan terus mati dengan serta merta setelah disembur racun tersebut. Terdapat banyak jenama racun aerosol seperti Shieldtox, Ridsect, Baygon, H20 dan banyak lagi berharga RM 7.00 - RM10.00 satu tin bergantung kepada kuantiti dan jenama. Racun aerosol juga merbahaya kepada serangga berfaedah (Benefecial insects) dan tidak mesra alam. Kertas Pelekat Lalat pula merupakan sekeping kertas yang di sapu dengan gam dan umpan dimana ia dijual dikedai runcit dan pasar malam. Semua lalat yang hinggap dipermukaan kertas bergam ini akan melekat pada gam dan memang amat jarang terlepas semula. Apabila kepaknya terlekat pada gam lazimnya ia akan mati lambat laun kemudian. Kertas pelekat ini lebih mesra alam berbanding dengan racun aerosol. Alat lain yang digunakan untuk mengurangkan populasi lalat adalah Racket Eletronik (Sila lihat foto disebelah). Racket ini mempunyai bateri dimana dawainya yang jarang akan menyebabkan lalat yang melihat cahaya akan datang kepada racket dan kena kejutan eletrik. Konsep sama juga digunakan bagi perangkap lalat statik menggunakan mentol ultra-violet ungu yang sering dipasang dikantin dan restoren. Kos untuk kawal polulasi lalat memang mahal tetapi fungsinya akan berterusan. 


En Han See Hoon merupakan petani senior beralamat di Pekan Kelapa Sawit, Sedenak, Kulai, Johor yang mempunyai kebun durian dewasa yang luas (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya setiap musim durian beliau akan membuka kebunnya kepada pelancong luar dalam konsep 'Agrotourism'. Pelancong ini disasarkan khususnya daripada mereka dari Singapura dan sekitar Johor Bahru untuk makan durian segar dalam dusunnya. En Han dulu mengalami masaalah kehadiran lalat dikebunnya setiap kali musim durian dengan populasi banyak dimana ini menganggu pelangannya yang juga menyebabkan ia kurang disenangi pelancong. Kehadiran lalat ini kerana ada beberapa buah reban ayam yang tidak berapa jauh daripada kawasan kebunnya yang dipercayai menjadi tempat untuk pembiakan lalat yang aktif. Reban Ayam Terbuka dipercayai menjadi sumber pembiakan lalat jika tidak diuruskan dengan baik. Masaalah kehadiran lalat yang banyak menganggu dan memberikan imlikasi negatif pengunjung yang datang untuk makan durian segar didusun setiap kali musim durisn sekitar bulan Jun - Julai setiap tahun. Dahulu beliau telah banyak cara mengawal lalat seperti dengan cara menggunakan racun aerosol, kertas perangkap lalat, raket elektronik dan menyembur minyak diesel keatas tanah dan pelbagai cara lagi tetapi ia masih kurang berkesan dan melibatkan kos yang banyak. Akhirnya kini beliau senang hati apabila dapat mencipta sejenis alat perangkap lalat yang murah, berkesan dan mesra alam.  


Alat hasil inovasi ini amat mudah disediakan dan semua orang boleh membuatnya sendiri. Bahan yang diperlukan hanya plastik botol air mineral atau botol plastik minyak masak 5 liter terpakai, pisau lipat dan gunting sahaja. Botol ini sebaiknya telah tiada isinya dan dicuci dahulu daripada kekotoran. Jumlah botol yang hendak dibuat bergantung kepada polulasi lalat yang hendak diperangkap. Jika banyak lalat yang datang musim tersebut maka lebih banyak botol ini yang digunakan. Mula-mula potong 1/4 bahagian atas botol (Ada penutup) dengan pisau lipat atau gunting sehingga terputus dua (Sila lihat foto disebelah). Kemudian penutup botol dibuang dan ia dimasukkan pula kedalam potongan bahagian bawah botol sehingga pangkal botol menjadi separas. Buat lubang sekitar 1cm lebar dan 1 cm tinggi untuk laluan lalat masuk kedalam botol. Sebanyak 4 lubang disediakan disetiap bahagian bawah botol dengan kaedah menggunakan gunting. Botol ini sudah sedia untuk diguna dimana-mana lokasi untuk memerangkap lalat. Alat ini telah dipertandingkan dalam Pertandingan Inovasi Pertanian di Jabatan Pertanian 2015 dimana penulis adalah seorang yang hadir menilai inovasi tersebut.



Perangkap Lalat ini amat praktikal dan mudah digunakan. Lalat adalah serangga yang hanya boleh terbang kehadapan dan keatas sahaja. Lalat tidak boleh terbang mengundur kebelakang dimana ini telah dijadikan asas pembuatan perangkap ini. Perangkap yang siap ini perlu di letakkan dilokasi strategik dengan lapik kertas atau kayu untuk meletakkan umpan. Cara meletak umpan yang boleh menarik agar lalat suka datang seperti hirisan buah nenas, isi buah durian, ikan busuk atau daging berbau hamis. Bau ini akan menarik lalat untuk datang mencari makanan melalui lubang-lubang yang berada dibawah botol. Apabila lalat kenyang atau terbang ia akan naik keatas melalui lugang corong dan ia seterusnya terperangkap dalam botol. Lalat tersebut tidak akan dapat keluar daripada botol tersebut sehingga ia akan penuh (Sila lihat foto paling atas). Apabila sudah penoh maka perangkap tersebut diambil dan digantikan dengan perangkap baru (jika masih banyak lalat berkerumun dalam kebun atau dirumah). Bagi memusnahkan lalat dalam botol amat mudah sahaja dilakukan iaitu dengan memasukkan air kedalam botol untuk menengelamkan semua lalat. Lalat yang masih hidup akan mati lemas. Cabut corong dari perangkap dan keluarkan lalat. Ia boleh diguna semula sejirus selepas itu. Penulis yang telah buat sendiri dan letak dirumah mendapati ia amat berkesan mengawal dan memerangkap lalat. Pilih jenis umpan yang digunakan dan signifikan dalam manarik lalat untuk datang dan ia akan terperangkap didalamnya. Inovasi ciptaan En Han yang mudah, simpel dan praktikal ini memenangi saguhati dalam pertandingan tersebut. Sesiapa yang ingin menghubungi En Han boleh berhubung dengan Pejabat Pertanian Daerah Kulai, Johor. Selamat mencuba dan tahniah kepada perekacipta alat ini. Wasallam!.
PERANGKAP LALAT...MR HAN CIPTA...
MUDAH DIBUAT...MURAH SAHAJA...
SANGAT PRAKTIKAL...BILA DIGUNA...
PENULIS GEMBIRA... LALAT DERITA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Dewan Auditorium ILPP,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(12 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...