Support My Blog

Saturday, January 9, 2016

PADI BUKIT - ADA LAGI?


PADI BUKIT atau PADI HUMA (Hill paddy) merupakan sejenis padi yang ditanam dikawasan tanah mineral atau tanah tanpa genangan air dikawasan lereng bukit. Amalan agronomi padi bukit tidak sama dengan apa yang dilakukan terhadap tanaman padi sawah. Pada masa ini kebanyakan industri penanaman padi di negara kita adalah dari jenis Padi Sawah (Wet paddy). Padi bukit kebanyakannya hanya di tanam di kawasan pendalaman oleh masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan juga penduduk pribumi di pendalaman Sarawak serta Sabah. Tanaman padi ini masih menjadi tanaman penting oleh pribumi tempatan sebagai salah satu tanaman yang diusahakan sejak dahulu untuk menampung bekalan makanan mereka selain daripada ubikayu, jagung dan keladi. Merujuk kepada statistik Jabatan Pertanian, keluasan tanaman padi huma di Malaysia tidak dapat dipastikan kerana tidak direkodkan. Statistik Jabatan Pertanian secara rasmi melaporkan terdapat seluas 673,745 hektar kawasan tanaman padi pada tahun 2010 dengan hasil padi sebanyak 2,548,309 metrik tan tetapi tidak dicatitkan berapa sumbangan daripada tanaman padi bukit. Bagaimana pun dalam laporan lain penulis rujuk dianggarkan keluasan tanaman padi bukit sentiasa turun naik bergantung kepada cuaca dan isu semasa sekitar 80,000 hektar setahun dimana di Sarawak sahaja seluas 58,000 hektar melibat seramai 80,000 orang petani (Sumber: Laporan CCS Padi, Jabatan Pertanian Malaysia 2014). Ia melaporkan  padi bukit luas ditanam di Sarawak (seluas 58,000 ha) dan Sabah (seluas 14,000 ha) dan bakinya di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. Kajian saya tanaman padi bukit sebenarnya hanya terdapat di negeri Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu dan sedikit di Johor. Penanaman padi bukit ini walau pun hasilnya rendah tetapi ia adalah tanaman yang signifikan untuk kawasan pendalaman yang agak sukar untu mendapatkan bekalan beras dari luar pada waktu dahulu. Artikel pagi ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman padi bukit sama ada ia masih relevan dan masih ada untuk bacaan semua.

Pengalaman penulis dipama pada hujung tahun 1960'an dan awal 1970'an arwah bapa saya menanam padi bukit di Kg Gunung Sari, Gersik semasa saya berumur 7- 8 tahun. Tanaman padi jenis 'Bukit Gantian' ini ditanam selama hampir 5-6 bulan untuk mendapatkan hasilnya. Ia lebih lama daripada tempoh menanam padi sawah yang umurnya hanya sekitar 110 hari untuk dituai (3 bulan sahaja). Benih Padi Bukit ini perlu di tugal dan dimasukkan kedalam lubang yang di buat dengan menggunakan sebatang kayu lurus yang ditajamkan sedalam 2-4 cm dalam (Lihat foto disebelah). Masukkan sekitar 3-6 biji setiap lubang penanaman dan kambus dengan tanah atas untuk elakan biji padi dimakan burung atau serangga lain. Benih perlu dicampur dengan racun semut dan racun kulat. Waktu menanam padi bukit mesti disesuaikan dengan musim hujan. Bagi kurangkan pertumbuhan rumput perlu gunakan racun pra cambah atau tanah di bersihkan dengan rumpai dengan membakar rumput atau gunakan cangkul atau tajak. Saya terpaksa menjaga kawasan tanaman padi bukit ini bersama adek beradek yang lain terutama ketika bulan terakhir dimana padi hampir masak. Pembajaan padi bukit menggunakan baja asas seperti baja getah bantuan RISDA walau pun kurang sesuai tetapi tiada pilihan ketika itu. Kadang-kadang dapat juga beli baja padi dari Syarikat Kerjasama Padi Sawah Ring seperti baja Urea, Amophos dan beberapa jenis racun serangga.


Apabila padi mula bunting perlu untuk pasangkan 'orang-orang' iaitu kayu berpalang yang dipakaikan dengan Baju Lama dan Topi serta di gantung beberapa buah tin susu yang diikat batu didalamnya (Sila lihat foto disebelah). Tiang pada orang-orang ini akan dikat dengan tali panjang bersambungan antara satu sama lain sehingga sampai di pondok dikawasan tengah kebun. Oleh kerana kawasan kebun berada ditengah-tengah kawasan kebun getah maka apabila padi hendak masak selalunya banyak burung yang datang untuk makan terutama burung PIPIT UBAN dan PIPIT HITAM. Anda boleh baca mengenai burung pipit (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Kelompok burung ini datang berkumpulan dan makan padi yang hampir masak atau sedia untuk dituai dan ia perlu dihalau dengan menarik tali tadi. Apabila tali ditarik maka bunyi tin serta gerakan orang-orang mengejutkan geromdolan burung pipit dan mereka dan lari terbang. Bagaimana pun ia akan datang balik beberpa minit kemudian dan tali perlu terus ditarik untuk menghalaunya. Kami yang berada dalam pondok akan melaung sekuat hati menghalau burung tersebut. Tetapi kerja ini berterusan kerana kelompok burung pipit tetap akan datang lagi di lokasi lain dan perlu dihalau berkali-kali setiap hari.


Padi Bukit yang telah cukup masak akan dituai dengan memotong tangkai padi menggunakan sejenis pisau khas yang dibuat sendiri dipanggil sebagai 'ani-ani' atau disesetengah kawasan dipanggil 'ketam' (Sila lihat foto disebelah). Ia boleh dibuat dengan mengunakan besi lembut dipanaskan dan diketuk sehingga nipis dan dibengkokkan sebelum dipasang pada papan. Alat ini digenggam dengan tangan kanan dan tangkai padi dipotong dengan menarik tangkainya dan akan putus. Ia dimasukkan kedalam bakul sebelum dibawa pulang. Tangkai padi dipotong dibahagian tangkai dan diikat dalam bentuk gumal. Tangkai padi ini di ikat dengan tali (dulu guna tali dari pelepah pisang) dan digantung didalam pondok untuk pengeringan. Kaedah lain memotong rumpun padi bukit dengan sabit dan terus dibanting dalam alat khas untuk terus meleraikan biji padi dengan tangkai juga sesuai dilakukan. Padi bukit ini perlu dijemur sebelum di tumbuk dalam lesung kayu besar dengan alu kayu. Kulit padi yang pecah dan terpisah perlu di tampi untuk membuang kult dengan beras. Beras yang terhasil boleh dimasak atau untuk simpanan diddalam kepok padi. 


Cara memproses padi bukit lazimnya menggunakan kaedah tradisional. Padi bukit ini dijemur dibawah sinaran matahari sehingga cukup kering. Kemudian ia dimasukkan dalam lesung kayu yang sederhana besar dan ditumbuk dengan alu kayu. Apabila kulit padi sudah terlucut dari isi beras maka ia diambil lalu ditampi bertujuan untuk mengasingkan kulit padi yang ringan keluar. Kemudian ia perlu ditimbuk semula untuk buang kulitnya beberapa kali sehingga semua kulit terlucut dari biji padi. Bergantung kepada tahap kekeringan padi, kemahiran menumbuk padi dan kecekapan menampi, kadar beras hancur berbeza-beza. Kalau kurang mahir mungkin kebanyakkan biji beras akan hancur. Kini mereka kebanyakkanya telah memotong hasil padi menggunakan mesin pengisar moden. Beras padi huma memang agak sedap dimasak menggunakan kadar air yang sedikit. Rasanya sedikit berbeza dengan nasi dari padi sawah. Walau pun rasa dan aromanya agak berbeza tetapi sebenarnya ada bekalan beras untuk selama 3 tahun dengan menanam beras dari padi bukit. Hasil padi bukit memang rendah sekitar 1.0 - 1.2 mt/ha dan jangkamasa menanamnya juga lama. Tanaman padi huma juga mudah diserang musuh terutama burung, babi hutan (babi akan menyondol dan menumbangkan rumpun padi), Belalang, Pianggang, Kesing, Tikus, Benah dan sebagainya. Tanaman padi bukit sebenarnya masih menjadi tanaman penting terutama di pendalaman Sarawak dan Sabah serta beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sebagai tanaman makanan.
Wasallam!...
PADI BUKIT...JARANG TANAMNYA...
DIPENDALAMAN ...IA  MASIH ADA...
BERASNYA KERAS..ENAK RASA...
HASIL RENDAH... MAKIN PUPUS DIA..

By,
M Anem
Senior Agronomist
Aras 13, Desaminium Flora,
Seri Kembangan, Selangor
Malaysia.
(25 RabiulAwal 1437H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...