Support My Blog

Thursday, February 20, 2014

AYAM KAMPONG BERTELUR

TELUR AYAM KAMPONG merupakan sejenis telur yang dikeluarkan oleh ayam kampong betina. Ramai penduduk bandar sekarang ini sukar untuk mendapatkan 'telur ayam kampong' kerana ia agak sukar didapati dari penjual di pasaraya, pasar basah atau pun kedai runcit biasa. Saya juga mendapati beberapa tempat jualan telur ayam kampong seperti di Pasar Tani, Pasar Lambak, Pasar Minggu atau Pasar Tamu mereka menjual telur ayam kampong asli dengan kuantiti yang sedikit. Seingat saya semasa kecil dulu memang selalu makan telur ayam kampong kerana masa iatu 'telur ayam karen' masih sedikit dipasaran kampong saya tahun 1970'an. Mungkin generasi sekarang pun kurang kenal akan telur ayam kampong yang lazimnya bersaiz kecil dengan kulit yang berwarna putih seperti warna kulit telur itik. Seekor ayan kampong betina mampu bertelur dengan jumlah antara 10 - 20 biji telur sahaja setiap kali musim bertelur. Ayam kampong betina ini akan berbunyi semasa bertelor dalam reban atau sarang yang kita bina. Sebaiknya ayam kampong betina disediakan sarang untuk bertelur dengan menyediakan kotak kayu, kotak kertas, bekas besen plastik yang dilapik dengan rumput kering atau kain. Ayam betina akan bertelur beberapa hari dan kemudian ia akan mengeramnya sehingga telur ayam tersebut menetas menjadi anak ayam. Semasa ayam betina ini keluar mencari makan selalunya kita akan datang kesarangnya dan mengambil beberapa biji telur untuk dimasak (Macam 'curi' sahaja caranya). Selalunya ayam betina akan diam sahaja bila balik kesarangnya walau pun dia tahu telurnya telah hilang atau telah berkurangan daripada asalnya. Apa hendak buat kerana ayam betina kita tidak pandai mengira dimana mereka tidak belajar matematik. Kebanyakan telur ayam kampong adalah jenis organik kerana ayam kampong makan makanan semulajadi yang ada disekelilingnya atau diberi makan bijirin jagung. Ia tidak dibubuh ubat seperti ayam telur moden yang tidak payah mengawan tetapi bertelur setiap hari. Ayam kampong jika tidak berkejaran untuk mengawan antara ayam jantan dengan ayam betika maka kita pun 'tidak merasa' telur ayam kampong. Harga telur ayam kampong memang patut lebih mahal daripada telur ayam telur moden kerana jumlahnya sedikit dan sukar untuk mendapat mengikut jadual yang cuba diaturkan. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai info telur ayam kampong untuk bacaan dan pengisian minda anda.


Ayam Kampong mempunyai banyak jenis dan spesis daripada yang jenis agak besar seperti ayam Saigon sehingga ayam Katek seperti saiz Ayam Serama. Setelah ayam betina dewasa masa ia bersedia untuk mengawan dengan ayam jantan (Ayam Jago) yang mengejar sehingga ayam betina keletihan. Kemudian ayam betina tersebut akan mula mencakar-cakar tanah, lantai kayu atau kertas menandakan ia bersedia mencari sarang untuk bertelur. Kalau kita prihatin dengan ayam betina ini sebaiknya buatkan sarang atau kotak untuk mereka bertelur. Buatkan kotak dengan papan berbentuk empatsegi sama atau empatsegibujur dengan anggaran 1 kaki x 1.5 kaki dan alaskan dengan rumput kering (Sila lihat foto sebelah). Sebaiknya sarang ini diletakkan setingga 2-4 kaki dari paras tanah untuk elakkan daripada telur ayam dicuri oleh mangsanya. Ayam betika akan terbang atau berjalan melalui titi yang kita sediakan. Periksa sarang ini kerana jika ada telur pecah maka akan menyebabkan banyak hama atau kutu yang hadir dan ia menyebabkan kita juga kena gatalnya akibat digigit kutu yang kami panggil "GUREM". Antara musuh utama yang ayam sangat geram kerana mencuri telurnya adalah seperti Biawak, Ular, Burung, Anjing, Musang dan sebagainya. Bagaimana pun didapati manusia merupakan pemangsa telur ayam kampong paling utama.



Ramai orang mendakwa makan telur dalam jumlah yang banyak boleh menjejaskan kesihatan kerana tahap kolesterol yang tinggi. Namun adakah benar fakta tersebut?. Adakah anda merujuk kepada telur ayam kampong atau telur ayam moden. Ada kajian yang mendapati mengamalkan memakan telur ayam kampong adalah baik kerana banyak khasiatnya. Ia adalah makanan asli yang ideal dan diterima sebagai diet harian manusia di seluruh dunia. Sejak turun-temurun lagi, telur ayam kampong telah menjadi bahan makanan menyihatkan dan ubat bagi pelbagai penyakit. Cara kita untuk menyediakannya juga mudah. Ia boleh dimasak dengan pelbagai cara sama ada separuh masak, tiga suku masak, rebus, goreng, sambal, kari dan sebagainya. Telur ayam kampung boleh dijadikan penawar atau ubat tradisional bagi merawat pelbagai penyakit. Permintaannya sangat tinggi kerana ia mengandungi vitamin dan galian yang mencukupi hasil daripada pemakanan haiwan tersebut yang asli dan organik, iaitu bebas daripada bahan kimia. Sebiji telur ayam kamppong lazimnya mengandungi lebih kurang 10 peratus cangkerang, 30 peratus kuning telur dan 60 peratus albumen (mengikut berat). Kandungan kimia telur ayam, telur itik dan telur puyuh tidak terlalu berbeza antara satu dengan lain, kecuali kandungan kolesterol bagi telur itik adalah lebih tinggi sedikit iaitu lebih kurang 16.20 miligram bagi setiap gram kuning telur. Bahagian putih telur mengandungi protein albumin yang juga merupakan vitamin larut lemak.


Apa yang agak unik mengenai nutrisi telur termasuk telur ayam kampong adalah ia mengandungi sejenis lagi protein yang dipanggil avidin iaitu sejenis bahan antibiotik semula jadi. Bahan ini amat berguna untuk melawan jangkitan mikro organisma yang dapat merosakkan telur tersebut. Antibiotik ini wujud bersama-sama dengan biotin dan akan musnah apabila dimasak. Kadar lemak dan kalori dalam telur adalah rendah tetapi ia kaya dengan sumber protein dan vitamin A. Bahagian kuning telur ayam kampong merupakan makanan yang mengandungi zat yang berbagai dan seimbang. Selain kolesterol, ia mengandungi banyak zat-zat makanan yang penting, antaranya adalah 67 miligram sulfur atau lapan peratus daripada keperluan seharian. Kita akan gembira jika tinggal dirumah kampong dan mendengar ayam jantan sedang mengejar ayam betina dengan bunyi bising. Kita juga akan faham jika ayam betina mula mencakar-cakar lantai rumah atau direban maknanya dia memberi isyarat hendak bertelur. Maka buatkanlah sarang untuk bertelur dengan sempurna. Apabila telur sudah ada, jangan ambil semua kerana yang lain akan dieramkan sehingga menjadi anak ayam. Apabila anak ayam menetas maka ibunya akan menjaga sehingga ia mampu berdikari. Bagaimana pun pemangsa anak ayam akan mengurangkan bilangan anaknya sehingga keperingkat dewasa. Orang dulu menyanyi lagu "Anaklah Ayam Turun Sepuluh, hilang satu Tinggal Sembilan dan seterusnya....". Barulah pusingan lengkap dan bilangan ayam kampong kita akan bertambah lagi. Wasallam!



TELUR AYAM...AYAM KAMPONG....
WARNA PUTIH...ATAS SARANG...
AYAM BETINA...KOKOK GARANG...
ENAK SEKALI...MAKAN JARANG...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 224, FELDA Hotspring,
FELDA Sg Klah, Sungkai,
Perak, 
Malaysia.
(17 RabiulAkhir 1435H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...