Support My Blog

Saturday, January 18, 2014

KACANG TANAH REBUS

KACANG TANAH REBUS (Arachis hypogaea) merupakan satu jenis makanan ringan berkhasiat yang sering kita jumpa di RnR PLUS dan juga pasar malam. Makanan ini lazimnya dijual dalam keadaan panas dimana rasa enak sebenar akan dapat dinikmati. Apabila kacang rebus ini sudah sejuk, keenakkan akan berkurangan. Kacang Tanah Rebus diminati oleh semua golongan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja dan juga orang dewasa. Ia juga dibeli dan dimakan oleh semua kaum di Malaysia dan dijadikan 'jajan' semasa dalam kereta dalam perjalanan disepanjang lebuhraya. Daripada kajian yang saya lakukan, kebanyakkan kacang tanah yang hendak direbus datangnya daripada negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan juga Perak. Dianggarkan seluas 120 - 130 hektar kacang tanah ditanam di Malaysia setiap tahun dengan dua varieti popular iaitu Varieti Sawo Merah dan Varieti Margenta. Hanya kacang tanah segar yang di tuai dalam masa seminggu sebenarnya yang masih lazat rasanya. Kacang tanah yang disimpan lama iaitu lebih daripada 2 bulan lazimnya isinya sudah mengering. Jika direbus rasanya kurang lazat berbanding dengan kacang tanah rebus yang baru dituai. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kacang tenah rebus yang amat diminati oleh ramai orang di negara kita.


Kacang tanah adalah jenis umbisi kekacang yang dikaji mengandungi protin yang tinggi, zat besi, vitamin E dan kalsium,vitamin B kompleks dan Fosforus (Sila lihat foto sebalah). Kacang tanah juga kadang-kadang sering disalah anggap sebagai penyebab tumbuhnya jerawat pada bahagian muka dan dikepala (dalam rambut). Kajian menunjukkan kandungan protin dalam kacang tanah adalah jauh lebih tinggi dari kandungan protin daripada daging, telur dan juga kacang soya. Ia juga mengandungi amino asid yang tinggi. Minyak dari kacang tanah adalah sumber terbaik digunakan sebagai pencuci perut. Bagi menambah kandungan susu badan bagi ibu yang menyusukan bayinya, digalak mengambil kacang tanah yang dipanggang bersama susu kambing.Kacang tanah juga dikatakan mengandungi bahan yang dapat membina ketahanan tubuh bagi menentang penyakit batuk kering. Mengambil satu auns kacang tanah lima kali seminggu dilaporkan dapat mencegah penyakit jantung. Memakan segenggam kacang tanah setiap hari terutama pesakit kencing manis dapat membantu kekurangan zat.


Dalam menilai khasiat kacang tanah rebus saya telah meneliti beberapa laporan kajian di Malaysia dan Indonesia. Nama bahan makanan yang dipanggil sebagai Kacang Tanah Rebus lazimnya dianalisa (Food Weight) sebanyak 100 gram. Analisa menunjukkan bahagian yang boleh dimakan (Food Edible) sebanyak 100 % mempunyai tenaga 220 kkal dan kandungan Protein sebanyak 10.6 gram. Jumlah Kandungan Lemak Kacang Tanah Rebus sebanyak 18 gram, Karbohidrat ( 8 gram), Kalsium (89 mg), Posforus (273 mg) dan kandungan Zat Besi (1.9 mg). Sementara itu setiap 100 gram kacang tanah rebus didapati mengandungi banyak vitamin seperti Vitamin A (Tiada), Vitamin B1 Kacang (0.1 mg) dan juga Vitamin C (Tiada). Kacang adalah makanan yang mengandungi tahap kekenyangan tinggi. Nilai kenyang kacang tanah tidak semata-mata akibat dari lemak, serat atau protein sahaja tetapi melibatkan semua komponen diatas. 


Kacang tanah sebenarnya memang boleh dimakan mentah, direbus, digoreng atau disangan (goreng tanpa minyak). Selain boleh menyebabkan jerawat (pada sebagian orang), kacang tanah memang mempunyai banyak manfaat untuk meningkatkan kesihatan.  Kacang tanah yang kaya dengan lemak, mengandungi protein yang tinggi, zat besi, vitamin E dan kalsium, vitamin B kompleks dan Fosforus, vitamin A dan K, lesitin, kolin dan kalsium. Kandungan serat yang tinggi pada kacang tanah sangat baik untuk kelancaran fungsi usus. Kacang tanah mampu untuk membantu dalam menurunkan risiko kanser usus besar dan melawan proses pembentukan batu hempedu. Kacang tanah mengandungi jenis lemak baik yang menurunkan risiko penyakit jantung dengan cara menurunkan kolesterol jahat (LDL) dalam tubuh. Kandungan unsur Folate niasin, Manganese, protein, serta vitamin E  membolehkan maka kacang tanah sangat bermanfaat untuk kelancaran fungsi tubuh kita. Kacang tanah mengandung kalsium dan vitamin D dimana ia membantu menjaga kesihatan tulang, gigi dalam jangka panjang ia mampu untuk mencegah serangan osteoporosis.


Menyediakan kacang tanah rebus memang amat mudah sekali. Mula-mula dapatkan kacang tanah yang masih segar dari ladang atau beli sahaja dipasar. Basuh atau cuci dengan air bersih untuk membuang segala kekotoran tanah yang melekat. Pastikan kacang ini digosok dengan tangan sehingga tiada kesan tanah atau pasir yang akan menyebabkan kurang bersih. Masukkan air bersih kedalam periok dan panaskan apinya. Masukkan kacang tanah segar, garam, serbuk halia dan sedikit gula. Panaskan api selama 1 - 1.5 jam sehingga isi biji kacang tanah rebus menjadi empuk. Bagi penjual komersil, setelah kacang tanah tersebut masak ianya akan diletakkan diatas kukus agar sentiasa panas. Kacang tanah yang dikukus akan tahan lama dan tahan lama kesegarannya. Jualan kacang tanah rebus lazimnya disukat dengan cawan yang dibungkus dalam kertas surat khabar dalam bentuk 'kon'. Harga bergantung kepasa lokasi, saiz dan kualiti kacang tanah rebus diantara RM 1.50 sehingga RM3.00 sebungkus (Lihat foto diatas). Selamat makan kacang tanah rebus yang masih panas. Wasallam!.



KACANG TANAH...REBUS SAJA...
BUBUH GARAM...KUNYIT JUGA...
DIPANASKAN..KUKUS LAMA...
ENAK DIMAKAN...BERSAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
RnR PLUS Tapah, 
Tapah, Perak,
Malaysia.
(21 Rabiulawal 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...