Support My Blog

Tuesday, June 4, 2013

SATAR

SATAR ialah sejenis makanan ringan yang diperbuat daripada isi ikan dengan ramuan lain seperti kelapa dan sebagainya (Foto diatas). Dahulu makanan ini hanya popular dikalangan masyarakat pantai timur khususnya Negeri Terengganu tetapi kini telah menjadi makanan nasional. Saya mula kenali dan minat makan satar sekitar tahun 2000 semasa saya bertugas di Daerah Mersing dimana terdapat beberapa usahawan membuat satar di Mersing (Khususnya di Kawasan Endau dan Mersing kanan) yang berketurunan Terengganu membuat satar. Kami memberikan khidmat kepakaran teknikal kepada mereka dengan menghantar kursus membuat satar dan memberikan banyak bantuan peralatan Industri Asas Tani kepada mereka sehingga berjaya. Bagaimana pun satar yang dijual di Mersing dan Johor khususnya agak berbeza sedikit dengan satar yang tradisional di Terengganu kerana kami lebih suka rasa pedas cili api dalam satar tersebut. SATAR sebenarnya adalah campuran ikan yang ditumbuk, dicampurkan dengan kelapa, halia dan lada yang dibalut dengan daun pisang. Bungkusan tersebut agak unik kerana ia seperti PIRAMID dengan dicucuk kepada besi dan dibakar seperti membakar satey gergasi. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai makanan satar untuk dikongsi pembaca berdasarkan pengalaman dan pembacaan.


CARA MEMBUAT SATAR
Resepi dari :http://warnawarniterengganu.blogspot.com

Cara membuat makanan satar adalah mudah dimana semua yang berminat mampu membuatnya (Lihat foto diatas). Asalkan ada minat dan ada duit untuk membeli bahan dan peralatan memang berbaloi membuat satar sendiri sama ada untuk dimakan oleh ahli keluarga atau pun jamuan. Kini satar boleh dibeli dimana-mana pasar malam daripada Johor Bahru, Melaka, Putrajaya sehingga ke Alor Setar dan Terengganu. Harga jualan, saiz, rasa dan keenakkan satar berbeza-beza mengikut lokaliti dan cara membuatnya. Di Kuantan, Mersing dan Melaka, anggaran harga sebiji satar diantara RM 0.40 - RM 0.60 dan dicucuk dalam besi sebanyak 4 - 6 biji. Makan satar yang masih panas selepas dibakar memang enak walau pun ada yang suka makan satar yang telah disimpan dalam peti sejuk. Terdapat gerai jual satar di Tanjung Lumpur, Kuantan yang saya selalu kunjungi setiap kali melawat bandar Kuantan semenjak 15 tahun dulu.

Bahan-bahan untuk membuat satar mestilah mudah didapati dan masih segar. Lazimnya kita boleh gunakan 400g isi ikan tenggiri (dibuang kulit & tulang), sebanyak 100 ml air asam jawa, 8 biji buah keras, 2 cm halia dicincang halus, 3 biji bawang merah dihiris, 1 biji atau ulas bawang putih di cincang, 150g kelapa parut putih, garam secukup rasa, 1/2 camca gula
1 camca belacan dan 2-3 biji lada merah dicincang. Selain daripada itu bahan ramuan lain adalah seperti 1-2 camca serbuk lada, 1 helai daun salam dimayang, 1 helai daun kunyit dimayang, Daun pisang dipotong empat segi yang perlu dilayurkan dan juga batang buluh halus sepanjang 30cm. Semua bahan-bahan diatas sebaiknya masih segar terutamanya ikan yang merupakan asas kepada satar. 

Adunan bahan Satar.
Pembuatan Satar adalah dengan memilih ikan segar yang dibersihkan dahulu dengan membuang kulit, perut , kepala dan ekornya untuk diambil bahagian isi sahaja. Rebus isi ikan sehingga masak dan kemudian ia perlu dihancurkan sehingga sesuai untuk diadun dengan bahan ramuan lain. Campurkan isi ikan dengan semua bahan ramuan yang telah dilumatkan dan gaul dengan rata (Lihat foto sebelah). Ramuan ini mestilah dalam bentuk melekit dimana ia boleh disenduk dengan sudu. Gunakan daun pisang (Daun Pisang Bengala paling baik - ia tebal dan tahan api) dan bentukkan daun pisang seperti kon atau piramid bulat. Isikan 2 - 3 sudu camca campuran ikan tadi dalam kon dan kemaskan. Adunan tersebut perlu dibungkus dengan kemas dan cucukkan pada batang buluh mengikut susunan rapat agar buluh tidak terbakar. Cucukkan 4 - 5 biji satar (Penjual komersil cucuk sehingga 14-15 biji satar) pada tiap satu batang buluh. Bakar diatas bara api sehingga kita dapat lihat daun pisang akan bertukar warna kepada warna keperang-perangan. Proses membakar harus berhati-hati jangan sampai daun pisang terbakar dan adunan akan hangus atau menjadi hangit menyebabkan satar akan rasa tidak enak dan rasa pahit hangus. Sebaiknya satar dimakan semasa panas dengan air kopi diwaktu petang hari. Wow! memang enak satar ciptaan tempatan... Wasallam!

NAMANYA SATAR... ASASNYA IKAN...
DIBUAT BENTUK KON...DICUCUKKAN...
DIBAKAR TELITI... HANGUS DIELAKKAN...
HARGA MURAH... MEMANG BERPATUTAN...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Room 263, Ritz Garden Hotel, Manjung,
Perak,
Malaysia
(25 Rejab 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...