Support My Blog

Monday, June 10, 2013

MANGGA - ULAT PENGOREK BATANG

ULAT PENGOREK BATANG MANGGA (Rhytidodera simulans)  merupakan sejenis serangga perosak tanaman mangga (Mangifera indica) yang mampu merosakan tanaman mangga jika tidak dikawal dengan betul. Serangga ini adalah dari keluarga Cerambicidae dalam order Coleoptera (Beetles). Serangga dewasa jenis KUMBANG ini mempunyai kitaran hidup sehingga satu tahun (Laporan Kondo and Razak, 1993) berdasarkan kajian yang dijalankan di Ladang Mangga di Perlis. Kumbang dewasa tidak merosakkan tanaman tetapi peringkat larva akan masuk kedalam batang pokok mangga sehingga pokok boleh mati jika ia tidak dikawal dengan baik. Terdapat laporan di Cirebon di Pulau Jawa dimana serangan serangga ini mampu membunuh sehingga 20$ tanman mangga akibat serangan ulat pengorek batang. Spesis yang menyerang adalah kategori yang sama dengan spesis yang terdapat di Malaysia. Perosak ini merupakan diantara cabaran bagi penanam mangga di negara kita dan juga negara jiran yang perlu diketahui dan dikenali serta bagaimana simptom serta kaedah kawalan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis serangga perosak iaitu Ulat Pengorek Batang tanaman mangga untuk dibaca dan dijadikan rujukkan.


Rhytidisera simulan dewasa - ihsan PelitaKabad.
Serangga dewasa Rhytidodera simulans merupakan kumbang yang mempunyai sepasang sesungut  yang panjang dan kulit keras berwarna coklat gelap dengan beberapa bintik (Lihat foto diatas). Serangga dewasa ini suka bersembunyi dikawasan himpunan daun-daun kering yang mana mempunyai warna sama dengan warna kumbang tersebut. Serangga berukuran 2.5 - 3.0 cm panjang ini ada yang berbentuk panjang dengan segmen kepala, badan dan abdomen dan sepasang kepak. Spesis ini juga ada yang mempunyai warna bahagian bawah agak keputihan. Serangga sewasa akan bertelur pada bahagian pucuk atau pelepah dahan mangga dimana telur yang menetas menjadi larva. Larva ini akan menyerang bahagian ranting muda yang berwarna coklat dengan sedikit kehijauan. Larva akan terus mengorek kebawah kebahagian yang lebih besar sehingga ke batang utama. Larva akan mengorek lubang di permukaan dahan atau ranting sebagai lubang pernafasan dan mengeluarkan fras. Fras yang basah menunjukkan larva masih hidup di dalam batang atau dalam dahan. Apa yang saya perhatikan, lazimnya hanya terdapat satu larva dalam satu terowong. Serangan akan menyebabkan ranting atau bahagian yang diserang patah dan mati, daun layu dan kering.


Kawalan perosak ini perlu dijalankan kerana beberapa pokok mangga varieti Chok Anan yang saya tanam di Kg Tehel, Jasin , Melaka dulu mati akibat lewat dirawat semasa saya berkebun di Melaka dulu. Batang pokok saya dapati berlubang-lubang sehingga ada beberapa pokok mati (Lihat foto sebelah). Setelah menyemak dengan buku Pakej Amalan Teknologi, saya dapati terdapat dua kaedah kawalan perosak ini iaitu Cara Kawalan Kultura (Cultural practices control) dan juga kaedah Cara Kawalan Kimia (Chemical control). Cara kawalan kultura yang kita boleh jalankan adalah dengan menjalankan sanitasi ladang. Pastikan kawasan pokok mangga mesti sentiasa bersih dari sebarang semak yang membolehkan kumbang dewasa bersembunyi dan akan membiak pada pokok mangga. Kebersihan kawasan kebun hendaklah dijaga dengan rapi. Kaedah kedua adalah dengan kit asentiasa melakukan pemangkasan pokok dengan sempurna agar dahan mangga mendapat sinaran matahari mencukupi dan sistem pengudaraan yang baik.Jika dahan terlalu padat dengan tidak dibuat cantasan ia akan memudahkan serangan perosak ini kerana tersembunyi. Kaedah ketiga adalah dengan memeriksa dahan yang telah diserang dan kemudia ia dicantas. Dahan pada bahagian pokok yang diserang yang dipotong perlu dikumpulkan dan dikawasan khas. Cara keempat kawalan kultura perosak ini dengan membakar semua ranting, dahan dan daun mati yang gugur. Setelah semuanya dikumpul ia mesti dibakar sehingga semua larva, telurnya musnah.


Kaedah kawalan secara kimia boleh dijalankan terhadap serangan Ulat Pengorek Batang pada tanaman mangga. Lazimnya syor kawalan adalah dengan melakukan kawalan secara kimia dimana ia perlu dijalankan dengan berhemah dengan mematuhi peraturan di label. Jenis racun yang digunakan mengandungi bahan perawis aktif yang disyorkan adalah iaitu Dimethoate (10ml daripada larutan 1 bahagian racun dalam 10 bahagian air). Larutan ini perlu disuntik kedalam bahagian batang yang diserang yang ada tanda fras yang masih basah melalui lubang yang kita telah kenalpasti. Jika ada banyak lubang, pastikan pilih lubang paling atas agar larutan turun kebawah walau pun kalau kita masukan dari lubang terbawah pun OK juga kerana ia akan dibawa keseluruhan bahagian batang tumbuhan. Kemudian tutup lubang dengan palstisin atau tanah liat sehingga rapat. Ulangi sekiranya tidak ada tanda-tanda perosak telah mausnah atau mati. Jika pokok masih berbunga atau berbuah, elakkan dari makan buah yang masak kerana ia mengandungi sisa residu racun yang merbahaya untuk dimakan. Sekian nukilan kali ini.
Wasallam!

PENGOREK BATANG... IA SERANGGA...
KUMBANG DEWASA..COKLAT WARNANYA...
DALAM BATANG... MENGOREK LARVANYA...
POKOK ROSAK...PERLU KAWALANNYA... 

By,
M Anem
Senior Agronomist
Room F-8-2, Glory Beach Resort,
Port Dickson, Negeri Sembilan,
Malaysia.
(2 Syaaban 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...