Support My Blog

Monday, July 30, 2012

DURIAN VARIETI CHANEE (D123)

DURIAN (Durio zibethibus) merupakan sejenis pokok buah-buahan yang popular di negara kita selain daripda buah-buahan lain seperti Betik, Nangka, Pisang dan Rambutan. Terdapat lebih dari 200 varieti atau klon durian telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian di Malaysia dimana hanya sekitar 10 -12 varieti/ klon sahaja yang diminati oleh pengguna dan petani seperti Durian D24, Durian D123, Durian D197, Durian D99 dan sebagainya.  Antara Varieti Durian yang disukai adalah Varieti Chanee atau Klon D123 yang dimana varieti ini adalah diantara yang mempunyai kedudukan teratas di Malaysia. Terdapat seluas 101,960 hektar tanaman durian di negara kita pada tahun 2011 dengan jumlah penghasilan sebanyak 300,470 metrik tan. Keluasan keseluruhan tanaman buah-buahan di Malaysia adalah 278,493 hektar  (Laporan Jabatan Pertanian 2011). Tanaman durian adalah 34% daripada keseluruhan 26 jenis buah-buahan yang ditanam di Malaysia. Artikel petang ini saya menulis dalam 'Anim agro Technology' mengenai pencirian Durian Varieti Chanee atau Klon Durian D123 untuk rujukan semua yang berminat mengenai tanaman durian,


Durian Varieti Chanee atau nombor daftarnya D123 dalam senarai 'Variety National Listing' oleh Jabatan Pertanian telah didaftarkan pada tahun 1971 (umur saya baru 13 tahun) oleh En Pertab Singh yang mana varieti ini berasal dari Sungai Buloh, Selangor. Varieti ini mempunyai saiz buah yang Besar dengan anggaran berat antara 2.8 - 3.2 kilogram sebiji dengan bentuk buah yang bulat lonjong (Ovate). Pemerhatian saya di dusun durian kawasan Jementah dan Tangkak, Johor semasa bertugas di Johor dahulu menemui beberapa pokok durian varieti ini dan juga berpeluang merasa buah yang enak ini. Panjang buah sekitar 20 - 25 cm dengan lebar buah sekitar 18 - 22 cm dengan nisbah panjang buah kepada lebar dengan nilai 1.2:1.  Kalau dilihat foto diatas, didapati bahu buah dan hujung buah adalah berbentuk 'meruncing.' 


Susunan duri pada pangkal bahu buah atau dekat tangkai terdiri dari duri kasar yang bergabung dengan duri kecil (lihat foto sebelah) dengan warna duri hijau gangsa di pangkal dan tengah duri dan coklat perang dihujung duri. Susunan duri dibahagian hujung buah adalah duri-duri halus, pendek dan bergabung. Duri pada pangsa buah kelihatan nyata dengan bentuk duri kasar sederhana panjang. Duri pada pangsa buah juga kelihatan seakan bengkok kedalam dan bertaup.  Varieti ini mempunyai tangkai buah yang Panjang dengan kiraan sekitar 6 - 7 cm dan saiz garispusat tangkai yang kasar atau besar sekitar 1.8 - 2 cm ukurlilit. Durian Chanee merupakan durian berkualiti tinggi dimana ianya adalah antara durian kualiti ekspot di negara Thailand yang saya melawat pusat rawatan ekspot di Bangkok pada Mei 2012 bersama kumpulan KUAT Agrochallange 2012.


Isi dalam durian D123 berwarna kunig ke oren bergantung kepada lokasi penanaman dan pendebungaan yang berlaku diladang (Lihat foto sebelah). Isinya mempunyai saiz ulas yang besar dan rasanya manis serta mempunyai ketebalan isi yang sederhana. bagaimana pun pada saya ia juga boleh dikatakan mempunyai isi yang agak tebal. Semasa membuat ujirasa dengan D123 didapati ianya mempunyai rasa pahit sedikit dan rasa lemak yang sederhana sahaja.  Aroma isi buah ini sederhana sahaja dan tidak berapa kuat. Didapati tekstur isinya adalah sederhana iaitu tidak kasar dan tidak halus. Sementara itu tahap kepejalan isi dikategorikan sebagai Lembik. Buah varieti Chanee ini sederhana susah untuk di kopek dengan ketebalan kulit sekitar sederhana tebal sekitar 1 cm sahaja. Kadar berat isi dengan berat buah sekitar 0.256 sebagai perbandingan. Lazimnya mata kematangan varieti ini agak lama atau lewat berbanding dengan varieti lain yang di tanam di ladang.


Kajian dan pemerhatian di ladang durian di Kg Bekoh, Tangkak , Johor yang saya buat mendapati varieti chanee atau D123 ini mempunyai kebanyakannya 3 ulas dalam satu pangsa. Setiap ulas mempunyai kemungkinan biji penoh (80%). Biji separuh saiz (10%) dan tanpa biji atau Kesep (10%). Kalau makan satu biji seorang memang tidak boleh habis kerana isinya cukup banyak dan mengenyangkan. Bijinya adalah bersaiz besar dengan kulit biji berwarna coklat dan terdapat lapisan musilage pada bahagian embrio biji. Bijinya boleh di tanam untuk dijadikan pokok penanti dalam proses penyediaan anak benih cantum durian. Harga di pasaran varieti ini adalah sederhana tinggi dimana permintaan untuk varieti ini memang sangat menggalakkan. Kajian harga di Tangkak pada tahun 2010 mendapati harga bagi D123 antara RM 7.00 - RM 15.00 sekilogram kerana varieti ini gugur pada tahap penghujung musim durian.


DURIAN CHANEE... KLON D123 NAMANYA...
DAFTAR TAHUN 1971... DAH LAMA UMURNYA....
ISINYA MANIS.... 3 ULAS SEPANGSA DALAMNYA...
BOLEH DITANAM .... DIMANA KAWASANNYA....


By,
M Anem
Stesyen Pertanian Tangkak,
Tangkak, Ledang,
Johor, Malaysia.
(19 Ramadan 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...