Support My Blog

Thursday, April 26, 2012

KLON DAN VARIETI TANAMAN

TUMBUH-TUMBUHAN merupakan hidupan yang ujud didunia daripada pelbagai jenis dan mempunyai sistem pengkelasan tersendiri daripada pengelasan paling atas sehinggalah Kelas yang paling rendah. Tahap paling atas adalah KELAS (Class), SUB-KELAS (Sub-Class), SUPERORDER, ORDER, KELUARGA (Family), SUB-FAMILI, TRIBES, SUB-TRIBE, GENUS, SPESIS (Species), VARIETI (Variety), FORM dan KULTIVAR (Cultivar). Kita di Malaysia lebih suka memanggil KLON (Clone) terutama untuk buah-buahan seperti Durian, Rambutan dan sebagainya. Ramai rakyat Malaysia kenal dengan Klon Durian D24, Klon Durian D197, Klon Rambutan R191, Klon Mangga MA 224, Klon Limau Bali PO52 dan sebagainya. Merujuk kepada sistem pengkelasan diatas sebenarnya TIDAK ADA pun nama 'CLONE' disebut. Artikel malam ini saya menulis penjelasan penggunaan mengenai KLON dan VARIETI untuk pengetahuan bersama yang lebih tepat dan betul.


VARIETI adalah suatu kumpulan tumbuhan dalam satu taksonomi botani tunggal daripada peringkat rendah yang diketahui. Ianya dapat ditakrifkan dengan pemaparan ciri-ciri hasil daripada satu genotaip tertentu atau satu gabungan genotaip.  Varieti dapat dibezakan daripada mana-mana kumpulan tumbuhan yang lain dengan pemaparan sekurang-kurangnya satu daripada ciri-ciri sedemikian. Varieti juga boleh dianggap sebagai suatu unit berkenaan dengan kesesuaiannya untuk dibiakkan tanpa sebarang perubahan.  Keterangan diatas adalah satu penjelasan yang dipetik dalam Akta Varieti Perlindungan Baru Tumbuh-tumbuhan 2004 (Akta 634).  Mengambil Contoh Durian kita belajar kaedah pengkelasan yang betul :


Nama Botani :   Durio zibethinus 
Nama Biasa  :  Durian
Nama Varieti : Raja Kunyit
Nombor Pendaftaran Varieti : D 197
Nama lain Varieti :  Kunyit, Maou'Sang King, dll


KLON (Clone) pula ditakrifkan sebagai tumbuhan yang dibiakkan secara 'asexual' daripada satu punca pokok induk. Kaedah Pembiakan ini akan memberikan bahan tanaman yang sama genotaipnya dengan pokok induk (mother plants) melalui pelbagai cara pembiakan seperti Keratan, Tut, Cantuman dan sebagainya. Mengambil contoh kepada pokok Durian tadi, Klon Raja Kunyit  atau Klon Durian Mao'sang King merupakan panggilan biasa, adalah lebih tepat kalau kita sekarang panggil sebagai 'Klon Varieti Raja Kunyit' atau 'Klon Varieti Mao'sang King' sahaja. Dari segi saintifik dan ketepatan bahasa sebenarnya perkataan klon yang diatas merujuk kepada kaedah anak pokok atau pokok tersebut dibiakkan atau lebih tepat sebagai Varieti Raja Kunyit dihasilkan.


NOMBOR RUJUKAN PENDAFTARAN pula merupakan satu sistem pendaftaran varieti tumbuhan diujudkan dalan Senarai Tumbuhan Nasional (National Listing) yang di kelolakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Sistem Pendaftaran ini telah dimulakan semenjak tahun 1930'an lagi dengan mendaftarkan banyak jenis tanaman teutamanya buah-buahan tropika. Nombor Pendaftaran kebanyakanya mempunyai Kod Abjad dan kod Nombor dibelakangnya. Contohnya D 197 akan dibaca sebagai buah Durian (D) dan kedudukannya sebagai nombor pendaftaran ke 197 dalam senarai daftar buah durian. Jika D 24 adalah Durian yang nombor susunan ke 24 dalam senarai tersebut. Semua maklumat asas ciri-ciri botani, marfologi tanaman dan keterangan hasil dipaparkan dalam senarai tersebut. Terdapat juga beberapa varieti yang mempunyai gambar atau foto yang akan menjelaskan varieti tersebut. Semua orang yang mempunyai varieti tanaman (Baru di jumpai melalui penyelidikan, baru dibawa masuk, telah establish) boleh memohon untuk mendaftarkan varieti tanaman kepada Jabatan Pertanian secara percuma menggunakan borang DK-1 yang boleh dimuat turun daripada laman web (http://pvpbkkt.doa.gov.my/). Pendaftaran adalah secara percuma dan selepas pemeriksaan oleh pegawai audit dan diluluskan baru permohonan akan didaftarkan.


Pendaftaran tanaman makanan yang kita ada masih belum lengkap dan perlu ada banyak lagi proses pendaftaran daripada pegawai, penyelidik, petani, usahawan, syarikat atau individu yang mempunyai varieti tanaman yang sesuai untuk didaftarkan. Beberapa negara maju dan negara jiran telah mempunyai sistem pendaftaran yang baik dan maklumat dapat digunakan untuk pelbagai tujuan. Semuga selepas membaca artikel ini kita semua akan lebih faham dalam menggunakan perkataan VARIETI dan KLON untuk tujuan penanaman, promosi jualan dan sebagainya. Sekian . Wasallam.


DULU ANDA KENAL KLON....KINI VARIETI...
VARIETI DURIAN...RAJA KUNYIT DIBERI...
NOMBOR DAFTAR...D 197 LEBIH DIKENALI...
MAOU'SANG KING...NAMA LAIN VARIETI....


By,
M Anem
Bilik Zamrud, PLPP Air Hitam,
Air Hitam, Kluang,
Johor.
(4 Jamadil Akhir 1433H)     

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...