Support My Blog

Sunday, October 2, 2011

SENTUL

SENTUL (Sandoricum koetjape ) merupakan sejenis tumbuhan yang terdapat di Malaysia dari keluarga MELIACEAE. Pokok sentul dipercayai berasal dari kawasan Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Laos, Filipina, Vietnam dan Indonesia serta Kemboja. Keluasan tanaman sentul di Malaysia tidak dapat dipastikan kerana tiada data rasmi tetapi penulis menganggarkan sekitar 100-120 hektar CHE. Belum ada kawasan penanaman sentul secara monokrop dan yang ada Cuma tanaman selingan dikawasan dusun, tumbuh liar disekitar kampong dan didalam hutan. Hanya kawasan Stesyen Pertanian sahaja kita dapati pokok sentul ditanam dan di jaga dengan sempurna. Artikel mala mini saya menulis berkaitan pokok sentuk untuk tatapan pembaca yang berminat.


Pokok Sentul adalah pokok saka yang sederhana besar dengan ketinggian mencapai 30 meter (hampir 100 kaki) terutama yang tumbuh dikawasan hutan. Batangnya adalah jenis kayu keras dengan pokok dewasa mempunyai ukurlilit batang sehingga 90 cm serta kulitnya mempunyai getah putih. Daun sentul berwarna hijau gelap berkilau dan bahagian bawahnya berwarna hijau pucat. Bentuk daun adalah majmuk ‘Trifoliate’ dimana sehelai daun mempunyai 3 anak daun dengan susunan berselang seli. Pemerhatian saya mendapati yang panjang tangkai daun sekitar 18-20 cm dengan 5-25 cm panjang dan lebarnya 3-14 cm. Bunga sentul berwarna hijau kekuning-kuningan dengan sifat dwijantina (Hermaprodite) berukuran 10-25 cm panjang dalam jambak pada ketiak daun. Buah sentuk berbentuk berry dengan ukuran garispusat 5-7 cm yang berwarna kuning keemasan serta berbulu lembut. Kulitnya tebal dan berisi serta liat. Rasa buahnya adalah kelat manis dengan isi warna putih yang lembut mengelilingi bijinya.


Kajian daripada saintis menunjukkan setiap 100 gram buah sentul mengandungi 84 gram air, 14 gram karbohiderat, 0.7 gram lemak, 1.1 gram serabut, 328 mg kalium, 11 gram kalsium, 0.7 gram protin, 20 mg Posforus dan 14 mg Vitamin C serta banyak Vitamin B. Bahagian kulinya pula mengandungi bahan seperti sandorikum iaitu bahan pahit serta alkaloid yang juga toksik kepada manusia. Kandungan bahan kimia ini berbeza-beza mengikut variety atau baka pokok serta lokasi. Khasiat permakanan buah sentul dimana buah yang masak dimakan mentah bersama-sama kulitnya atau ada yang makan dimana isinya dicecahkan dengan garam atau sambal belacan. Saya tidak berapa minat makan buah sentul. Kepada mereka yang kreatif memproses buah sentul untuk dijadikan jem sentul, jelly, acar, halwa manisan atau ada yang suka buat jeruk sentul. Jenis variety sentul yang berbeza-beza dari segi ketebalan kulit, tebal isi dan rasanya juga menentukan cara untuk memakannya.


Penanaman pokok sentul boleh dilakukan dengan biji benih atau pun cara TUT atau KERATAN. Paling mudah dibuat adalah dengan mengambil biji buah sentul yang elak dan disemai dalam polibeg atau nurseri. Biji setul akan bercambah dalam masa 18 – 22 hari dan sedia untuk ditanam. Jarak tanaman sama seperti pokok durian antara 10 -12 meter dalam barisan dan 12-14 meter antara barisan. Pokok sentul cepat tumbuh dikawasan tanah subur dan akan berbuah dalam masa 5-7 tahun selepas ditanam. Pengalaman saya dengan seorang petani di Labis mendapati pokok sentul menggunakan anak benih TUT atau KERATAN berbuah lebuh cepat iaitu dalam masa 3-4 tahun. Pokok sentul tahan lasak dan akan subur dalam keadaan kemarau atau musim lembab. Tanah lom berpasir dan taburan hujan sepanjang tahun amat sesuai dengan pertumbuhan pokok sentul.


Laporan beberapa artikel tempatan menyatakan pokok sentul boleh diserang kanker batang disebabkan oleh kulat. Antara serangga yang menyerang adalah sejenis hama yang menyerang bahagian daun yang menyebabkan berbonjol-bonjol. Serangga lain adalah Lalat Buah (Bactocera spp) yang merosakkan kulis buah sentul. Jarang-jarang dijalankan kawalan kimia pokok sentul yang telah tinggi. Pembajaan boleh dijalankan dengan baja organic setiap 6 bulan sekali pada kadar sesuai. Baja NPK 15:15:15 diberikan dari umur 1-5 tahun dan baja buah NPK 12:12:17:2 diberikan mengikut kadar disyorkan. Pastikan kawalan rumpai dibuat sepanjang tahun sama ada kaedah manual atau cara semburan kimia.


Kegunaan tanaman sentul adalah untuk menghasilkan buah segar yang boleh di makan. Batang kayu yang keras adalah kategori ‘kayu balak’ yang boleh dijadikan Tiang Rumah, Papan lantai dan dinding rumah, Perabot dan banyak lagi. Saya ada merujuk beberapa buku seperti tulisan oleh Ong Hean Chooi yang mengatakan akar pokok sentul yang direbus boleh diminum dan memberikan rawatan cirit birit, disentri, bengkak usus besar, kejang otot, tonik melegakan perut dan sesuai dijadikan tonik untuk ibu selepas bersalin. Buahnya pula dijadikan jus sangat baik untuk rawatan disenteri. Daun segar boleh dijadikan ubat rawatan gatal-gatal kulit, dicampur dengan daun lain untuk dijadikan ramuan mandian bagi meredakan demam panas. Orang Asli ada yang menggunakan kulit kayu pokok sentul dijadikan serbuk bagi rawatan kurap pada kulit. Begitulah khasiat pokok sentul yang perlu diselongkar. Saya rasa jika ada saintis atau usahawan bijaksana akan memproses khasiat sentul tadi dijadikan pil, kapsul, jus, ekstrak, daun-daun siap sedia di paket untuk digunakan oleh masyarakat moden pada masa akan datang. Insyaalah!

POKOK SENTUL….BUAHNYA BULAT….
POKOKNYA TINGGI…SUSAH NAK PANJAT….
HARGANYA MURAH…SIAPA BERHAJAT….
NAK TANAM DIMANA….TIADA TEMPAT….

Related article you may like to read:
1. Delima (klik disini)


 By,
M Anem
Senior Agronomist,
256, Thistle Port Dickson Resort,
Teluk Kemang, PD, NS
Malaysia
(3 Zulkaedah 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...