Support My Blog

Saturday, April 23, 2011

GAMET (Rosel Palsu)

GAMET (Hibiscus acetosella) adalah sejenis tumbuhan yang di gelar ' Rosel Palsu' dan hampir serupa dengan Roselle Sebenar (Hibiscis sabdariffa) dari keluarga MALVACEAE yang boleh tumbuh dikawasan tropika seperti di Afrika, Amerika Selatan dan juga kawasan Asia Tenggara termasuk di Malaysia. Nama lain bagi rumbuhan ini adalah False Roselle ; Red Leaf Hibiscus ; Cranberry Hibiscus; Bronze Hibiscus (English), Fausee oseille de Guinea (Perancis) dan Gamet (Indonesia). Tumbuhan ini dipanggil 'Gamet' di Indonesia dimana pucuk dan daun muda digunakan sebagai 'sayur salad' atau ulaman yang di makan dengan nasi putih. Rasanya yang masam dan agak berlendir memerlukan beberapa bahan perasa lain yang sesuai ketika memakannya seperti garam atau bahan lain. Tumbuhan ini juga digunakan sebagai tanaman hiasan dan daunnya yang berwarna merah serta bunga yang menarik menjadikan tumbuhan ini adalah ornamental tang sesuai untuk landskap. Artikel ini saya berkongsi maklumat tumbuhan gamet ini untuk tatapan pembaca.


Tumbuhan yang dipercayai berasal dari Angola dan Zaire di Afrika ini juga terdapat tumbuh liar di Asia Tenggara. Pokok tumbuh menegak dengan bercabang sama ada jernis herba atau parennial jangka pendek dengan ketinggian 0.5-2.5 meter. Keseluruhan pokok berwarna merah gelap dengan daunnya yang susnan bersilang berukuran 0.5-10 cm panjang berbentuk lebar atau binocular-ovate dengan tepi daun yang bergigi tajam (Lihat foto sebelah). Bunga Gamet berbentuk kembang seperti bunga raya dengan 6-8 kelopak berwarna wine-red atau merah cerah berukuran 1-2 cm panjang dan ada nektar ditengahnya. Bunga ini digunakan sebagai salad di kawasan Amerika dengan rasa masam dan warna menarik jika di campur dengan jenis salad lain.


Buah Gamet adalah jenis kapsul yang berukuran 1-2.5 cm x 1-1.5 cm berbentuk 'densely tuberculate', hispid dan mengandungi biji benih yang banyak yang berwarna juga Merah Gelap. Biji tumbuhan ini berbentuk reinform atau globular berukuran 3-5 mm garispusat berwarna coklat gelap. Bunga gamet menjalankan pendebungaan sendiri (self pollination) walau pun berlaku juga pendebungaan silang (cross pollination). Kultivar paling banyak di tanam sama ada untuk kegunaan manusia atau sebagai tanaman hiasan adalah jenis ' Red Shield' yang hampir keseluruhan tumbuhan tersebut berwarna merah (Lihat foto dibawah). Terdapat juga jenis gamet liar (Hibiscus surattensis) yang tumbuh untuk dikutip sebagai sumber fiber di Afrika dan Asia Tenggara.


Penanaman Gamet lazimnya menggunakan biji benih tetapi juga boleh di biakkan dengan KERATAN. Oleh kerana belum ada usaha menanam tumbuhan ini secara komersil untuk hasil produk pertanian maka tidak ada kajian bertulis mengenai Amalan Agronomi seperti jarak tanaman, pembajaa, kawalan musuh perosak dan penyakit serta kaedah pengutipan hasil. Bagi Rosel Sebenar (Hibiscus sabdariffa) telah di komersilkan di Malaysia semanjak dulu lagi dan Jabatan Pertanian telah mempunyai Pakej Teknologi Tanaman yang lengkap. Tanaman Roselle Sebenar tersebut telah saya tanam di Daerah Mersing semenjak tahun 1998 lagi sebagai komoditi penting di daerah tersebut dan penanaman masih dijalankan sehingga kini. Penyakit yang mungkin menyerang adalah seperti serangan Kulat Reput Batang (Rhizoctonia solani) atau Kulat Sclerotium rolfsii terutama pada musiam hijan atau lembab.


Tumbuhan ini mungkin agak kurang penting pada masa kini untuk di komersilkan tidak seperti Roselle sebenar yang telah maju untuk dijadikan tanaman menghasilkan minuman dan sebagainya. Kepentingan tanaman ini hanya untuk tanaman ornamental landskap dan mungkin dalam koleksi janaplasma bagi tujuan penyelidikan pada masa akan datang. Tanaman Gamet kurang dikenali oleh kebanyakan orang yang menyangka ianya hanya untuk hiasan sahaja. Sesipa yang ingin menanam tumbuhan ini sebagai untuk sumber sayuran daun dan pucuk atau sebagai tanaman ornamental atau tanaman hiasan boleh mendapatkan maklumat lanjut dalam laman web dan bertanya. Semuga tumbuhan ini akan di kenali ramai yang baca blog ini...

JENIS ROSELLE....'GAMET' TIDAK SAMA....
POKOKNYA MERAH....CANTIK DAUNNYA....
DALAM TAMAN...TERSERLAH UJUDNYA....
DAH KENAL NI...APA LAGI NAK TANYA.....

By,
M Anem
Putrajaya
MALAYSIA
(Sabtu 23.4.11 jam 10.15 pagi)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...