Support My Blog

Tuesday, August 31, 2010

TENGGEK BURUNG (Part 1)

POKOK TENGGEK BURUNG (Euodia redleyi) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Rutaceae yang merupakan tumbuhan renek yang tumbuh secara semulajadi di Malaysia. Tumbuhan ini diberikan nama 'Tenggek Burung' kerana dipercayai burung kecil suka hinggap diatas pokok ini (seperti burung kelicap, burung murai, burung2 kecil) untuk makan bunganya dan menjalankan aktivitinya. Penulis ingin berkongsi pengetahuan mengenai tumbuhan ini yang dijadikan sebagai ULAM TENGGEK BURUNG yang mempunyai khasiat menakjubkan. Penulis mengenali tumbuhan ini semasa bertugas di MIADP Melaka dan membuat sedikit kajian ringkas ketika itu dan menjadikan ulam ini sebagai hidangan jika ada pelawat luar dari Melaka.

Keluasan tanaman pokok tenggek burung belum ada maklumat yang saya dapat cari. Kalau dibuat anggaran, agak-agak antara 10-15 hektar secara CHE mungkin ada. Saya belum dapat pluang melawat kebun yang menanam pokok tenggek burung secara monocrop dengan meluas. Saya ada melawat kawasan tanaman ini ditanam bercampur-campur dengan tanaman herba dan tanaman sayuran yang lain sahaja. Kawasan utama pokok ini dipercayai di Melaka, selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Tumbuhan Tenggek Burung merupakan tumbuhan yang hidup secara Liar (Wild crop) terutama di kawasan lembab di kawasan tepi parit JPS bersama-sama semak samun lain sebelum di tanam secara komersial. Batangnya berwarna hijau ketika muda dan menjadi coklat keperangan apabila menjadi kayu keras. Pokok ini mampu mencapai ketinggiaan 2-3 meter jika dibiarkan. Daunnya berwarna hijau pekat serta tebal. Pucuk pokok ini dipetik dan digunakan sebagai ulam yang berkhasiat. Bunganya berwarna putih (Lihat Foto disebelah) dan digemari burung untuk makannya serta ada biji apabila matang. Akar nya mempunyai sistem akar tunjang. Tumbuhan ini tahan dengan keadaan panas dan sukar mati dikawasan semulajadi.

Pembiakan pokok ini boleh dibuat secara keratan atau cabut anakbenih dari kawasan sedia ada. Kajian lebih lanjut mengenai kaedah pembiakan tumbuhan ini perlu di buat seperti Teknik Kultur Tisu dan sebagainaya. Anak benih boleh di alihkan kedalam pasu atau polibeg besar atau diatas batas jika hendak ditanam dikawasan rumah. Peringkat awal penanaman perlu di siram, Baja organik dan baja NPK 15:15:15 boleh digunakan peringkat pertumbuhan. Jika ditanam secara kommersial jarak penanaman yang sesuai ialah 1.5 m x 1.5 m dan pastikan sentiasa dicantas untuk memperbanyakkan cabang. Pembentukkan cabang dibuat dengan memetik pucuk atau dahan untuk sistem cabang seimbang.


Pokok tenggek burung tidak mempunyai banyak perosak dan penyakit. Bagaimana pun pada pemerhatian penulis ada sejenis ulat yang makan pucuk muda dan Ulat Pengerat Daun (Spodoptera litura). Bagi meningkatkan banyak pucuk muda dan daun banyakkan menggunakan baja organik atau sebaiknya tahi ayam proses. Kawalan rumpai dijalankan dengan kaedah manual. Elakkan menggunakan racun rumpai atau sebarang jenis racun kerana pucuk muda di makan sebagai ulam. Pucuk muda akan keluar dengan lebih kerap pada musim lembap dikawasan semulajadi tetapi jika di tanam sebagai program bumi hijau tiada masaalah.


Kajian para pegamal perubatan tradisional mendapati pucuk tenggek burung boleh digunakan untuk perubatan atau dianggap tanaman ulam untuk kesihatan (jika tidak dicemar dengan toksik). Pada asasnya ulam ini dipercayai dapat merawat tekanan darah tinggi. Selain itu juga khasiatnya ialah dapat meningkatkan organ seks bagi lelaki (melambatkan air mani, menegangkan zakar dan ....) serta juga memperbaiki pengedaran darah. Kajian secara saintifik mengenai kandungan kimia dalam ekstrak ulam tenggek burung perlu di pergiatkan. Kandungan lain seperti antioksidan mungkin ada pada ulam daun tenggek burung.

Penulis memetik ulam tenggek
burung di Kg Sg Miang, Pekan, Pahang
Ulam tenggek burung sesuai dimakan segar sebagai ulam dan mempunyai rasa PAHIT dan KELAT yang kurang sedap...oleh itu untuk menyesesuaiakan cara makan biasanya diambil 4-6 helai daun muda (pucuk) dan dimakan bersama-sama sambal belacan yang pedas dngan nasi panas. Hanya mereka yang benar-benar minat akan suka makan ulam daun tenggek burung. Pastikan ulam tersebut telah dibasuh dahulu sebelum dimakan ditakuti ada 'Tahi Burung" masih melekat akibat dari burung yang suka bertenggek di pokok tadi...!

Kajian penulis di melaka dan Muar mendapati seikat ulam tenggek burung direstoran dijual dengan harga RM 1.00 (mengandungi 5-8 pucuk) dan di pasar dijual dengan harga RM 2.00 - RM 2.50 satu ikat (mengandungi 15-20 batang pucuk). Belum ada rujukkan yangg saya temui mengenai kajian analisa kewangan untung rugi tanaman ini dibuat sama ada oleh usahawan atau jabatan kerajaan. Kalau ada penanam komersial yang ingin 'share' dengan saya mengenai kos pengeluaran, pendapatan bersih, NPV dn sebagainya adalah dialu-alukan.


Kajian lanjut mengenai potensi tanaman ini perlu dibuat untuk mempastikan ianya boleh dikomersialkan sebagai ulam segar atau boleh diproses untuk dijadikan Jus Tenggek Burung, Teh, Serbuk, Puree dan sebagainya. Kawasan tumpuan pengeluaran juga bolh diujudkan dan kawasan tersebut boleh memohon Sijil Perladangan Organik (SOM) Jabatan Pertanian untuk mempastikan kualiti ulam mnepati ciri-ciri yng dikehendakki demi keselamatan makanan.

MAKAN ULAM...ULAM TENGGEK BURUNG...
BANYAK KHASIAT...BUKAN MACAM TERUNG....
SEBAGAI UBAT...NANTI TAK MURUNG....
TANAM BANYAK...HANTAR PASAR BORONG.....

By
M Anem
Senior Agronomist
Jalan P11/D26, Presint 11, 
Putrajaya, Wilayah Persekutuan,
Malaysia
(12 Mac 2010)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...