Support My Blog

Friday, July 30, 2010

BURUNG PIPIT - MAKAN PADI


BURUNG PIPIT (Anthus spp) merupakan sejenis kumpulan burung yang terdapat di Malaysia dengan mendiami didalam dipelbagai kawasan lapang dan belukar. Secara amnya terdapat 3 kategori burung pipit yang saya tahu mengikut habitat iaitu Jenis Burung Pipit Raya, Jenis Burung Pipit Rumah dan Jenis Burung Pipit Kepala Hitam. Bagi saya dikawasan jelapang padi dan kawasan tanah lapang di Malaysia terdapat dua jenis burung pipit yang habitatnya dikawasan tanaman padi iaitu Burung Pipit Uban (Lonchura maja) dan Burung Pipit Padi (Lonchura leucogastra). Saya memang gemar menangkap dan belajar mengenai burung pipit semanjak zaman kanak-kanak lagi. Burung pipit mempunyai nilai ekonomi kerana ada dijual dikedai-kedai jualan haiwan ternakan. Ramai peminat memelihara burung pipit didalam sangkar yang digantung dikawasan rumah sebagai hobi. Banyak kalangan penduduk kampong dan pendalaman dijadikan lauk makan. Artikel pada Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai burung pipit yang suka makan padi ketika musim menuai.

Dalam pembacaan saya mengenai burung pipit boleh dikatakan bahawa terdapat sebanyak 15 jenis burung pipit yang popular di Malaysia dan kebanyakkannya dinamakan mengikut rupabentuk fizikal, habitat, tempat populasi banyak ditemui dan warna bulu. Berikut adalah 15 jenis burung pipit iaitu Pipit Raya, Pipit Kepala Hitam, Pipit Kepala Putih, Pipit Rumah, Pipit Batu, Pipit Kuning, Pipit Dada Kuning, Pipit Jawa, Pipit Padi, Pipit Pinang, Pipit Rawa, Pipit Rimba, Pipit Tanah, Pipit Tuli dan Pipit Uban (Foto di kiri). Burung pipit kebanyakkannya terbang berkumpulan dan mendiami kawasan tanaman padi yang hampir masak. Kumpulan burung ini terbang beramai-ramai dan sering mengeluarkan bunyi yang kuat dan bersahutan. Burung ini mempunyai kepak yang kuat untuk terbang dengan sepasang kaki yang ada kaki untuk hinggap pada ranting atau daun. Burung pipit membiak dengan bertelur dalam sarang yang diperbuat daripada ranting dan daun rumput kering.


"Orang-orang" dipasang ditengah sawah dan digoyang untuk halau burung pipit.

Serangan burung pipit dikawasan tanaman padi terutama dikawasan penanaman padi di luar kawasan jelapang atau kawasan terpencil menjadi satu ancaman kepada pesawah. Jika serangan burung pipit tidak dikawal maka serangan oleh burung pipit mampu mnengurangkan hasil padi sehingga 40-70% jika tiada kawalan langsung. Biasanya petani akan membuat objek seperti "ORANG-ORANG" diletakkan tengah sawah iaitu tiang kayu yang di pasang dengan baju lama dan dipasangkan topi dan disambung dengan tali yang ditarik dari satu punca (Sila lihat foto diatas). Objek orang-orang ini akan bergerak-gerak seperti manusia sambil petani menjerit-jerit menghalau burung tersebut. Tali tersebut juga di gantung dengan tin-tin susu (2-3 tin) yang digantung dan akan mengeluarkan bunyi yang mengejutkan burung pipit lalu terbang. Pengalaman saya ketika menanam padi di Solok Komong Muar dan Sawah Ring, Muar, Johor dulu mendapati penat juga nak goyang tali kerana burung pipit yang lapar tetap terbang dan datang balik makan padi hingga kenyang. Sebenarnya burung pipiy pada musim menuai hanya aktif pada masa siang hari sahaja iaitu dalam cuaca panas yang baik. Ia kurang aktif pada masa hujan atau mendung.


Beberapa teknik mengurangkan serangan burung pipit juga dapat dilakukan dengan memasang jaring atau pukat dikawasan strategik. Burung yang terkejut akan terbang dan terlanggar jaring lalu melekat. Saya ada mendengar pengalaman seorang rakan daripada Sungai Rambai di Melaka iaitu En Zulkifli mengenai kaedah profesional yang menangkap burung pipit secara komersil menggunakan pukat atau jaring pipit. Rakan beliau ini perlu mendapatkan lesen dari JABATAN PERHILITAN untuk menangkap burung pipit kerana ia adalah dikawal dibawah akta tersebut. Katanya kaedah yang mereka digunakan mampu tangkap burung pipit pada musim puncak dengan jumlah yang banyak iaitu sehingga 300 - 400 ekor. Permintaan untuk memelihara burung pipit memboleh mereka menjual dengan harga RM 0.50 - RM 1.00 seekor di kedai jual burung atau individu yang berminat. Burung pipit dalam sangkar mampu menghasilkan bunyai kuat yang nyaring bergantung kepada spesisnya. 

Saya ada kaedah tersendiri menangkap burung pipit semasa zaman remaja dahulu. Saya gunakan getah pelekat yang diperbuat dari "damar batu" yang dihancurkan kemudian dipanaskan dan dicampur dengan susu getah untuk jadi getah pelekat. Cara lain buat getah pelekat ialah dengan campurkan minyak hitam terpakai dengan susu getah. Getah ini di pasang pada katu dimana diletakkan dilokasi burung pipit sering hinggap yang ada burung pipit pemikat atau dan kita bersiul untuk memanggil burung pipit datang. Apabila kaki burung hinggap pada ranting yang dibalut getah maka kakinya akan melekat pada getah tersebut dan kita datang dan kutip burung pipit tersebut. Buangkan getah pelekat dengan minyak dan kapas sehingga bersih dan masukkan kedalam sangkar (Sila lihat foto disebelah). Masukkan dalam sangkar yang diperbuat dari pelepah rumbia atau sangkar komersil yang dijual dikedai. Masa itu burung pipit dijual pada rakan dengan harga RM 0.30 seekor untuk pipit padi dan RM 0.50 untuk pipit uban pada awal tahun 1970'an.

Artikel burung pipit memberikan saya ingatan zaman dulu ketika menjaga sawah padi kerana masa itu pengeluaran bahan makanan ialah padi dan tanaman kontan dimana tanaman getah dan kelapa sawit belum sepopular seperti masa kini. Saya makan beras baru selalu yang sangat berzat (Proses padi jadi beras dengan lesung kayu : foto sebelah), makan ikan air tawar dari sungai depan rumah (Tiada makanan komersial), makan sayuran kampong (Daun ubi, paku pakis, batang keladi, meranti - tanpa baja kimia dan tiada guna racun) dan masak dengan kayu api. Mana nak cari anak kita sekarang?....Hai Burung Pipit... kalau digoreng berempah enaknya... Wasallam!.


BURUNG PIPIT....SAIZNYA KECIL LAGI....
TERBANG BERKUMPULAN...DISAWAH PADI....
KENANGAN SILAM....MENGINSAFI DIRI...
APA NAK BUAT....BUAT ARTIKEL LAGI....

By
M Anem

Senior Agronomist,
Sawah Ring, Gersik,
Muar, Johor,
Malaysia.
(Kemaskini pada 11 Januari 2015)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...