Support My Blog

Monday, February 27, 2012

BULOH REBONG

BULOH REBONG merupakan satu hasil daripada tumbuhan Pokok Buloh (Bambosa spp) yang mudah didapati dikawasan lembab di negara kita. Terdapat sebanyak 1,450 spesis buloh tumbuhan buluh yang ujud diseluruh dunia daripada 70 genera kesemuanya didalam keluarga POACEAE. Buloh adalah tumbuhan yang tahan lasak, cepat membiak dan dikategorikan sebagai 'rumpai' dalam sektor pertanian. Batang buloh yang mempuanyai ruas-ruas dan merupakan jenis kayu sederhana keras yang boleh tumbuh tinggi dalam susunan rumpun yang besar. Paling ajaib adalah bagaimana cepatnya pertumbuhan pokok buloh iaitu mampu tumbuh sehingga 100 cm (40 inci) dalam masa 24 jam sahaja dalam keadaan cukup air, sumber nutrien dan cuaca yang baik. Bagi jenis buloh untuk rebung atau perabut yang ditanam, agak perlahan sedikit pertumbuhannya iaitu sekitar 3-10 cm sehari. Artikel kali ini saya berkongsi maklumat mengenai pokok buloh dan juga sedikit maklumat pengalaman seorang petani yang mengusahakan tanaman buloh untuk pengeluaran rebung.


Pembacaan saya mendapati terdapat sebanyak 219 jenis atau spesis buloh yang lazim terdapat di Malaysia dan Indonesia serta kawasan Asia Tenggara yang lain. Senarai teratas dalam sistem pemberian nama jenis buloh adalah Aur Duri (Bambusa spinosa) sehinggalah kepada jenis buloh ke 219 iaitu Tiying Tabah yang tumbuh di Bali, Indonesia (Gigantochloa nigrociliata). Bagi jenis Buloh Besar dari kumpulan Gigantochloa spp. terdapat sebanyak 42 spesis yang tumbuh termasuklah kumpulan BULOH BETONG (Gigantochloa levis). Rebung dari buloh kumpulan ini menjadi kesukaan penduduk kampong kerana saiznya yang agak besar dan rasanya yang sangat lembut dan warnanya yang menarik. Saya semasa kecil dahulu memang selalu dapat makan rebung buloh jenis ini kerana terdapat beberapa rumpun dikawasan kebun dikawasan rumah yang tidak putus-putus menghasilkan rebung terutama dalam musim selepas banyak hujan. Pokok tersebut masih utuh sehingga hari ini walau pun telah beberapa kali dibakar untuk penanaman kelapa sawit.


Taburan pokok buloh di negara kita dari kawasan tanah rendah sehingga kepada ketinggian 1,000 kaki dari paras laut seperti dikiri kanan jalan pergi ke Cameroon Highland dan Bukit Frazer. Memang ramai orang asli yang menjual rebung buloh dikiri kanan jalan ke Pusat Peranginan Cameroon Highland, kalau berminat makan berhenti sahaja dan tanya berapa harganya. Kalau kita hendak menanam pokok buloh maka boleh sahaja ditanam dalam kawasan kebun kita. Hasil buloh adalah untuk tujuan mendapatkan rebung atau lain-lain kegunaan seperti bahan asas untuk mrmbuat perabut, pencucuk lidi sate, jambatan, rakit, kraftangan, lantai atau dinding rumah dan sebagainya. Paling penting perlu dipastikan mesti ada sumber air yang mencukupi. Keperluan air diperingkat awal penanaman buloh adalah kritikal. Sebaik-baiknya pilih kawasan tebing sungai, tanah agak berpaya dan ada jalan ladang sesuai dipilih untuk penanaman buloh rebong. Penanaman buloh boleh menggunakan bahan tanam daripada Biji atau secara pembiakan tampang (vegetatif) dengan percambahan rizom, pemotongan kulum atau pemotongan dahan menggunakan kaedah kultur tisu (tissue culture technique). Anak beni buloh juga ada dijual dinurseri swasta tetapi jangan silap kerana kebanyakan yang dijual adalah untuk tanaman hiasan bukan spesis untuk rebung buloh.


Perusahaan menanam buluh di beberapa negara seperti di China, Taiwan dan Jepun telah mencapai tahap maju dimana mereka menanam secara komersil buloh menggunakan spesis yang produktif, amalan agronomi lengkap dan mampu menghasilkan rebung sehingga boleh ditinkan dan diekspot sebagai komoditi penting.  Walau pun dari segi statistiknya keluasan pokok buloh di negara kita mungkin mencapai ribuan hektar tetapi saya dapati kebanyakannya adalah buloh jenis liar yang belum boleh dikomersilkan untuk pengeluaran rebong buloh. Tanah yang subur, air hujan yang banyak, pengurusan yang mudah serta potensi pasaran mungkin boleh dijadikan asas untuk industri penanaman buloh di Malaysia dimajukan pada masa akan datang. Pakej Amalan Pengurusan tanaman buloh dinegara kita masih ditahap belum lengkap untuk aktiviti penanaman buloh secara komersil seperti dinegara China dan juga Jepun.


Seorang pengusaha En Liew C.Y. yang berasal dari Johor telah mengambil peluang menanam pokok buloh di kawasan tanah seluas 8 hektar di Rembau , Negeri Sembilan setelah mendapat idea daripada lawatan peribadi beliau di Taiwan. Pokok buloh yang ditanam telah berumur 3 tahun kini dijaga dengan baik dan mampu menghasilkan sebanyak 2.5 - 3.5 tan  (2,500 - 3,500 kg) setiap 3 hari penuaian hasil. Ini bermakna dalam sebulan mengeluarkan purata 25-35 mt dan anggaran pendapatan kasar sebanyak RM 25,000 - RM 35,000 sebulan (Harga Ladang RM 1.00/kg bagi rebung belum proses). Pengeluaran rebung buloh ini tidak menentu jumlahnya dan kadang-kadang berkurangan pada waktu tertentu. Pemerhatian mendapati rebong yang telah mencapai ketinggian 50 - 70 cm keatas akan di potong dengan menggunakan parang panjang atau penyodok dari pangkal rumpun dan dikumpulkan. Kekerapan memotong rebung selalu sangat penting bagi menggalakan pengeluaran tunas baru untuk jadi rebung. Jika kurang diambil maka kadar pengeluaran tunas baru juga sedikit. Rebung ini akan dibuang bahagian kulit luarnya yang berwarna coklat hijau dan kadang-kadang gatal jika kena tangan dan perlu pakai sarung tangan. Rebung dikupas sehingga kelihatan warna putih bersih sebelum dijual. Batang buloh yang telah cukup umur juga berharga untuk dipotong dan dijual selepas pokok buloh ditaman melebihi 4 tahun. Harga batang buloh bergantung kepada saiz batang buloh, spesis, lurus atau bengkok, panjang ruas serta lokasi tanaman.


Rebung Buloh yang bersih perlu segera dihantar kepada pembeli untuk mengekalkan kesegarannya. Harga rebung segar bergantung kepada bekalan dan musim dimana jika bekalan kurang maka harga akan naik sedikit. Bagi mereka yang minat dengan 'Rebung Jeruk' perlu meracik rebong segar dan diperam dalam air bersih sehingga menjadi jeruk. Ada yang membubuh garam sebagai bahan pengawet dan ada yang menggunakan bahan lain. Rebung Jeuk walau pun baunya 'agak busuk' mendapat permintaan yang agak tinggi disekitar Negeri Sembilan dan Melaka untuk masak lemak cili padi. Saya tidak suka dengan rebung jeruk dan amat menyukai rebung segar. Semuga industri penanaman buloh untuk pengeluaran rebung akan menjadi satu sumber pendapatan yang baik dimasa akan datang.


REBONG BULOH....DIPOTONG SELALU...
DIBUANG KULIT...WARNA PUTIH GEBU...
MASAK LEMAK CILI API..SODAP TU...
ADA POTENSI DITANAM...UNTUNG TAHU...


By,
M Anem
Muar, Johor,
Malaysia.
(5 RabiulAkhir 2012)    

Saturday, February 25, 2012

TAHU KERING

TAHU KERING merupakan satu produk proses berasaskan kacang soya (Glycine max) yang digunakan sebagai bahan masakan khususnya sup, sayuran campur dan lain-lain kegunaan makanan. Tahu kering juga dipanggil sebagai 'Kembang Tahu' atau 'Yuba' di Indonesia yang diproses daripada air kacang soya yang dipanaskan pada suhu 80-90 darjah celsius diatas bara api yang kemudian akan membentuk satu lapisan seakan membeku dibahagian atas cecair dan diambil untuk dikeringkan. Lapisan ini yang berwarna kuning kecoklatan merupakan satu tindakbalas kompleks air kacang soya diantara protin dan lemak susu yang membeku. Lapisan yang terbentuk ini diangkat berhati-hati agar boleh digantung diatas tempat masak sehingga kering. Pemerhatian saya melawat projek membuat tahu kering bumiputra di Kg Tambak Paya, Melaka Tengah minggu lepas mendapati sebanyak lapan (8) kali pengutipan hasil dapat dijalankan setiap kali air soya dimasak. Artikel pagi Sabtu ini (artikel kedua hari ini) saya tulis mengenai satu industri yang agak menarik mengenai teknologi pembuatan dan kegunaan tahu kering yang saya ada.


Tahu Kering ini sangat popular di hasilkan oleh Negara Taiwan dan Hong Kong semenjak beratus tahun dahulu. Negara tersebut memproses dan menghasilkan tahu kering dengan menggunakan teknologi moden yang kebanyakanya sama ada semi automatik atau sepenohnya automatik yang bersih dimana boleh diekspot keluar negara. Terdapat 3 kaedah moden yang mereka gunakan iaitu Teknologi Na-Alginat, Teknologi Pengeringan Drum (Drum drying) dan Teknologi 'Belt Drying'.  Pemprosesan tahu kering di Malaysia dan Indonesia kebanyakannya di pelopori oleh Kaum Cina secara tradisional menggunakan teknologi mudah dengan kayu api dan agak kurang hygenik. Jumlah pengeluaran tahu kering di negara kita tidak ada maklumat rasmi yang dikeluarkan tetapi saya membuat anggaran sekitar 3 - 5 metrik tan setahun.  Pembuat tahu kering ini kebanyakannya merupakan 'family business' yang tidak didaftarkan dan cara pemasaran serta pembungkusan hanya untuk keperluan domestik sahaja. Mereka membuat kilang kecil dalam rumah atau dibelakang rumah menggunakan tempat masak dari takung zink yang mampu memproses antara 300 - 500 liter air sehari tahu mengikut kemampuan pengusaha.


Cara-cara membuat tahu kering secara Tradisional dimulakan dengan merendam kacang soya semalaman sebelum dikisar untuk mendapatkan bubur kacang soya menggunakan mesin 'grinder'.  Kadar air dengan biji kacang soya adalah 8 nisbah satu (8 Air : 1 Kacang soya). Air kacang soya disaring dari bubur tadi dengan kain kasa sehingga terpisah dengan hampas kacang soya. Tuang air kacang soya diatas takung besar (5 kaki x 6 kaki) mengikut kesesuaian pengusaha diatas bara api dengan suhu sekitar 80 - 90 darjah selsius. Lapisan atas akan mula membeku dan perlu diangkat berhati-hati dan dikeringkan. Lapisan berwarna kuning coklat ini apabila kering merupakan 'tahu kering'. Kajian menunjukkan air tahu yang sesuai untuk dijadikan tahu kering mesti mempunyai pH 7.0 - 8.0 dengan kandungan pepejal terlarut sekitar 5.6-5.7% serta kandungan protin sebanyak 2.4 -2.8%. Jika pH air soya masih rendah sekitar pH 6.6 - 6.7 perlu dinaikan dengan menambah larutan NaOH setitis demi setitis hingga sesuai. Kajian saya mendapati sekilogram kacang soya mampu menghasilkan sebanyak 400 - 550 gram tahu kering dengan teknologi sedia ada. Kandungan komposisi nutrien dalam tahu kering adalah 55% protin, 25% lemak, 9% Air dan 5% abu. 


Tahu Kering sesuai dimasak untuk Sambal Goreng , Masakan Lemak Lodeh, Sayur Campur, Masak Lemak Cili Api Peria dan macam-macam lagi. Di kalangan masyarakat Cina pula mereka suka jadikan tahu kering dibuat ramuan masakan sup. Kandungan tahu kering yang sangat tinggi dengan protin  juga sangat baik untuk mereka yang 'Vegetarian' sebagai pengganti kepada daging atau ikan. Sup tahu kering yang suam panas dicampur dengan beberapa ramuan lain amat menyelerakan jika dimakan dengan nasi putih. Resepi Sambal Goreng untuk nasi ambeng memang disediakan oleh masyarakat jawa di Johor. Sambal goreng ini mempunyai komponen utama tahu kering bersama dengan ramuan lain seperti cili, soon, kobis, dimasak untuk dimakan tengahari atau semasa kenduri kahwin dikampong.


Lodeh merupakan satu lagi masakan yang menggunakan tahu kering sebagai komponen penting. Lodeh yang dimakan bersama ketupat atau nasi himpit. Pada hari-hari biasa lodeh  dimakan bersama sate pagi yang popular di Bandar Maharani, Muar sebagai satu ikon bandar ini. Lodeh disediakan dalam bentuk lodeh putih atau lodeh kuning bergantung kepada selera tukang masak. Kalau hendak makan lodeh pergi saha ke Teksi Stand Muar Lama dimana kita akan jumpa beberapa gerai yang jual sate pagi dengan lodeh yang sedap. Industri pembuatan tahu kering perlu diceburi oleh lebih ramai usahawan bumiputra bagi bekalan yang dijamin halal dan bersih. Sehingga artikel ini ditulis saya dapati usahawan bumiputra islam yang terlibat dengan membuat tahu kering mungkin kurang dari 10%.  Selamat membaca!


TAHU KERING....DARI AIR KACANG SOYA....
WARNANYA KUNING...KERING PRODUKNYA...
DIBUAT LODEH...;.SUP PUN BOLEH JUGA...
HARGANYA MAHAL...DIKEDAI JANJI ADA...


By,
M Anem
Purtajaya, Malaysia
(3 Rabiulakhir 1433H)

MEE SIPUT

MEE SIPUT mupakan sejenis produk proses berasaskan tepung yang popular dikalangan rakyat Johor terutamanya di Daerah Muar, Batu Pahat dan Daerah Ledang semenjak lama dahulu. Kini mee siput telah terkenal di seluruh Selatan Tanah Air sebagai satu jenis makanan ringan yang diminati. Di negeri lain pula ada mee seakan mee siput yang dipanggil sebagai 'Mee Sanggul' walau pun rupabentuk dan saiznya serta kegunaannya agak berbeza sedikit. Semasa saya di sekolah rendah dulu di SKBR, Parit Raja, Muar memang selalu membeli mee siput di kantin sekolah. Masa itu mee siput cuma berharga 5 sen sahaja sekeping sekitar tahun 1970'an. Pagi tadi sempat makan mee siput goreng sendiri dirumah yang dibeli dikampong minggu lepas dan dimakan dengan sambal kicap dan memang sedap (Lihat foto diatas). Mee Siput yang baru lepas digoreng memang sedap dan rangup dimakan untuk sarapan pagi atau minum petang sebagai satu pilihan. Artikel pagi ini saya menulis mengenai mee siput berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan kajian persendirian.


Mee Siput Johor disediakan dengan menggunakan bahan asas tepong gandum yang diuli menggunakan mesin penguli tepong dan ramuan membuat mee kuning kemudian diproses menjadi mee kuning biasa. Mee kuning yang panjang ini akan digulong berbentuk bulat (lihat foto disebelah) yang berukuran sekitar 8 - 10 cm dan akan dikeringkan menggunakan mesin pengering atau dijemur dibawah cahaya matahari. Terdapat beberapa pengusaha di Lenga dan Panchor yng menggunakan 'pencetak' untuk mendapatkan bulatan dengan saiz yang seragam dan kelihatan cantik. Apabila mee siput ini cukup kering akan dimasukkan didalam bekas plastik yang kedap udara dan dibungkus sebelum dihantar ke pusat jualan.  Semasa bertugas di Muar beberapa tahun dulu, saya telah berjaya membantu seramai 18 orang usahawan IAT membuat mee siput dengan memberikan khidmat nasehat teknikal dan memberikan bantuan peralatan seperti peralatan mesin, cara kawalan kualiti dan juga promosi pemasaran. 


Satu bungkus mee siput Johor yang mengandungi 10 keping (Kecil) dan 20 keping  (Sedang) dijial sekitar RM 3.00 - RM 6.00 sebungkus bergantung kepada lokasi jualan (Lihat fotoo kiri). Terdapat juga bungkusan untuk jualan borong (sekitar 50 keping) untuk jualan kepada peniaga kantin sekolah dan juga kantin kilang. Kalau tinggal di Putrajaya dan Lembah Kelang ini agak sukar hendak dapat bekalan mee siput Johor berbanding di Muar yang memang terdapat hampir disemua kedai runcit dan juga pasaraya. Mee Siput pernah dijadikan ikon produk bagi Parlimen Pagoh dahulu kerana banyaknya pembuat mee siput dikawasan tersebut. Mee Siput tahan lama jika dibungkus dan disimpan dengan betul. Mee Siput juga boleh dibawa untuk 'travelling' keluar negara jika mahu kerana ianya tahan dan kering.


Cara makan mee siput paling popular adalah dengan kaedah menggoreng menggunakan minyak panas. Pastikan minyak betul-betul cukup panas dan masukan sekeping mee siput dimana akan kelihatan mee mengelembung dan membesar. Angkat mee siput apabila bertukar warna cantik dan jangan terlalu lama kigoreng sampai coklat kerana ianya akan terasa pahit sedikit. Mee Siput Goreng yang baru digoreng adalah sangat rangup dan boleh terus dimakan. Bagaimana pun untuk lebih sedap perlu di siram dengan sambal kicap atau sambal tumis diatasnya. Biarkan beberapa lama sambal kicap atau sambal tumis agar lembut sedikit untuk dimakan. Terdapat gerai menjual mee siput yang dibungkus dalam plastik siap dengan sambal.  Seorang peminat mee siput boleh makan sehingga 5 keping sekali dan selepas minum air akan rasa kenyang seperti makan nasi. 


Mee Siput juga sangat enak untuk dijadikan 'MEE KENDURI' iaitu sejenis masakan seakan mee goreng yang dihidangkan bersama Nasi Ambeng atau di makan begitu sahaja semasa kenduri di Muar Johor. Mee Siput direbus dahulu dengan air panas dan kemudian diceraikan berasingan. Sediakan ramuan mee kenduri iaitu bawang merah, bawang putih, lada hitam dan bilis yang ditumbuk dalam lesung sehingga lumat. Panaskan minyak dan goreng ramuan sebelum dimasukkan mee siput yang telah dileraikan tadi dan tuang dengan kicap lemak manis. Bahan taugeh, daun sup, daun bawang dan hirisan cili besar dimasukkan sebelum mee kenduri siap untuk diangkat. Resepi Mee Kenduri berasaskan mee siput lebih lazat berbanding dengan resepi mee kenduri menggunakan mee kuning biasa. Kalau masak menggunakan kayu api akan menambahkan lagi kelazatan mee kenduri ini.


Industri Asas Tani membuat Mee Siput perlu digalakan lagi dengan memberikan bantuan khidmat teknikal berkaitan cara memproses dan bantuan peralatan.  Promosi makan mee siput goreng juga perlu diperluaskan lagi keseluruh negara sebagai satu usaha mengembangkan makanan tradisi ini. Mungkin ramai dikalangan kita terutamanya generasi baru yang tidak kenal akan mee siput yang dahulu menjadi makanan pilihan di kantin sekolah. Pengenalan Amalan Pengilangan Baik (APB) terutamanya dalam proses membuat mee siput boleh ditingkatkan dengan menggunakan peralatan dan mesin yang sesuai terutamanya ketika proses pengeringan dan pembungkusan. Semuga dengan membaca artikel ini menambahkan ilmu anda mengenai mee siput.


MEE SIPUT...BULAT LEPER BENTUKNYA....
KALAU DIGORENG...RANGUP RASANYA....
DIBUBUH SAMBAL...TAMBAH ENAKNYA...
DIBUAT MEE KENDURI....JANGAN TANYA....


Related articles:
1. Nasi Ambeng (Klik disini)
2. Membuat Mee Kuning (Klik disini)
3. Gandum (Klik disini)
4. Industri Asas Tani di Malaysia (Klik disini)
5. Mee Bandung Muar (Klik disini)


By,
M Anem
Panchor, Pagoh,
Muar, Johor, Malaysia.
(3 Rabiul Awal 1433H)

Friday, February 24, 2012

UMBUT BATANG PISANG

PISANG (Musa spp) merupakan sejenis tumbuhan buah tropika penting dalam ekonomi dunia dimana terdapat beberapa negara di Carribean dan Kepulauan Pasifik yang bergantung kepada tanaman pisang sebagai punca pendapatan utama. Tumbuhan ini mampu tumbuh dari kawasan tanah pamah rendah sehingga kawasan tanah tinggi dipergunungan yang mempunyai suhu antara 25 - 30 celsius. Terdapat beratus-ratus jenis kultivar pisang dari jenis yang boleh dimakan (edible) sehingga jenis tidak boleh dimakan (non-edible) dan banyak kultivar yang digunakan untu tanaman hiasan (Ornamental crops).  Banyak bahagian pokok pisang yang boleh digunakan daripada bahagian buah, jantung, daun, batang dan juga umbutnya. Buah pisang dimakan segar dan diproses untuk pelbagai produk hiliran sementara jantung pisang digunakan sebagai sayuran sementara daun pisang sebagai alas pelapik makanan. Artikel petang ini saya membincangkan mengenai umbut batang pisang untuk pengetahuan bersama.


Batang Pisang merupakan komponen utama dalam pokok pisang yang mempunyai beberapa lapisan kulit dan tumbuhmenegak tanpa cabang. Batang pisang mengandungi air yang banyak dan ada ruang udara didalamnya. Dibahagian tengah batang pisang adalah bahagian tisu lembut berwarna putih yang dipanggul sebagai 'Umbut Pisang' atau ada juga orang kampong panggil sebagai 'Empulur Pisang'. Pokok pisang yang telah menghasilkan buah akan dipotong atau ditebang bagi mengambil tandan pisang dan  memberikan anak pokok pisang yang baru tumbuh. Dalam amalan ladang komersil hanya 2-3 anak pokok sahaja yang akan dibiarkan membesar untuk mendapatkan buah pisang yang berkualiti. Batang pisang digunakan sebagai makanan ternakan haiwan dengan meracik-racuk dan boleh digunakan sebagai bahan asas untuk baja kompos. Hampir 90% batang pisang yang ditebang dinegara kita dibiarkan begitu sahaja untuk pereputan selepas menebang pokok pisang.


Umbut Pisang boleh diperolehi dengan memotong batang pisang (pilih jenis pisang yang sesuai seperti Pisang Nipah,  Pisang Berangan, Pisang Awak) dansebaginya untuk dijadilan umbut pisang.  bagi kegunaan sendiri batang pisang dtpotong sepanjang 1.0 - 1.5 meter dan dibuang bahagian kulit luar berwarna coklat kehitaman selapis demi selapis sehingga sampai kebahagian umbut pisang dibahagian tengah yang berwarna putih cerah. Pemerhatian saya semasa melawat di Surabaya,  Indonesia dahulu pernah melihat bagaimana umbut pisang dipotong sepanjang 1.5 - 2.0 meter dan dibawa kepasar dengan kerta untuk dijual kepada penggemar makan umbut pisang. Memang mudah untuk mendapatkan bekalan umbut pisang berbanding dengan mendapatkan bekalan umbut batang kelapa, umbut batang nipah, umbut batang Nibung atau umbut rebung buloh. Belum banyak maklumat mengenai kandungan permakanan atau nutrisi yang terkandung dalam umbut batang pisang tetapi saya percaya 70-80% adah air dan bakinya serat serta bahan mineral dan pelbagai vitamin lain. Makan umbut pisang juga selamat.


Orang tempatan sejak zaman dahulu menggunakan umbut pisang sebagai satu sumber makanan iaitu sebagai sayur-sayuran dalam Majlis Kenduri Kendara.  Antara yang paling popular adalah 'GULAI DAGING KAWAH UMBUT PISANG' yang disediakan untuk majlis keramaian. Gulai ini popular dibeberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah yang dimakan dengan nasi putih. Gulai kawah batang pisang menggunakan umbut pisang yang dipotong-potong dan dibersihkan sebelum dimasak bersama-sama dengan daging (lazimnya daging bahagian tetel bersama dengan tulang). Rempah seperti pelbagai rempahratus, kari, santan, kerisik dan serbuk perasa dicampurkan ketika memasak. Pastikan anda memasak dengan menggunakan kayu api untk mendapatkan aroma dan citarasa yang lebih enak.  Apabila kuali cukup panas dan masakan telah siap renehkan lebih lama untuk dapatkan citarasa sebati antara daging dengan umbut batang pisang. Wow! memeng sedap makan daging gulai kawah batang pisang ketika dihidangkan didalam majlis kenduri kahwin.


Umbut Batang Pisang juga sesuai untuk dijadikan ulam. Penulis blog www.myrasa.com ada mempaparkan bagaimana menyediakan ulam umbut batang pisang yang saya agak sedap rasanya (Lihat foto sebelah). Resepi ini disediakan menggunakan bahan seperti 300 gram umbut dari pokok pisang muda, 100 gram ikan bilis, 80 gram terung pipit, 50 gram daun bawang, 5 biji cili padi dan limau nipis serta garam secukup rasa. cara menyeiakannya juga sangat mudah iaitu bermula dengan  meramas umbut pisang sehingga hancur kemudian satukan kesemua bahan-bahan diatas dalam satu bekas dan gaul sehingga sebati. Masukan air perahan jus limau nipis dan sedikit garam perasa kedalam ramuan.  Setelah sebati masukan kedalam mangkuk hidangan dan boleh dimakan dengan nasi panas.


Terdapayt pelbagai resepi lain yang boleh digunakan berasaskan kepada umbut pisang. Kunjungan saya dinegara jiran mendapati pelbagai kaedah makan umbut pisang seperti masakan Ayam Pansuh Umbut Pisang, Popor Umbut Pisang, Dendeng Umbut Pisang dan banyak lagi yang saya tidak dapat sebutkan. Pertama sekali melihat masakan popor batang pisang di Malang, Surabaya 2 tahun dulu macam tidak mahu makan tetapi apabila menjamahnya...wah sedap sekali rasanya! (Lihat foto popor pisang disebelah). Ini kerana penyediaan makanan tersebut mungkin ada kena mengena dengan lidah penulis yang datuk dan moyangnya dulu pun berasal dari Tanah Jawa. Banyak kajian boleh dijalankan mengenai kegunaan dan khasiat umbut batang pisang.


BATANG PISANG...ADA UMBUTNYA...
BERWARNA PUTIH...TAWAR RASANYA.....
GULAI KAWAH...KENDURILAH JAWABNYA...
ENAK DIMAKAN...BERSELERA RASANYA....


Artikel berkaitan:
1. Banana (Click here)
2. Balut tandan pisang (Klik disini)
3. Daun Pisang (Klik disini)
4. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
5. Banana in Malaysia (Click here)
6. Pisang Tanduk (Klik disini)
7. Penyakit Moko Pisang (Klik disini)
8. Dendeng jantung Pisang (Klik disini)
9. Jantung Pisang (Klik disini)
10. Kultivar Pisang di Malaysia (Klik disini)


By,
M Anem
Putrajaya,
Malaysia
(2 Rabiulakhir 1433H).

Thursday, February 23, 2012

BALUT BELIMBING

BELIMBING (Averrhoa carambola) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang mengandungi banyak nutrien untuk kesihatan manusia terutama mereka yang menghadapi masaalah tekanan darah tinggi dan kencing manis. Terdapat seluas 1,310 hektar tanaman belimbing di Malaysia pada tahun 2011 (Laporan Statistik Jabatan Pertanian Malaysia) dengan kawasan utama pengeluaran sekitar Selangor, Negeri Sembilan , Pahang dan Johor. Buah belimbing mempunyai kulit yang sangat lembut dan amat disukai oleh Lalat Buah (Bactocera carambolae) atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai 'Fruit Fly'. Sejenis lagi lalat buah dari spesis dipanggil sebagai Daucus sp yang juga menyerang buah belimbing. Buah belimbing perlu dibalut bagi mengatasi masaalah serangan lalat buah agar tidak dirosakkan dan boleh dijual untuk pasaran ekspot atau pasaran domestik. Saya telah meninjau teknologi terkini aktiviti membalut buah belimbing di 3 buah ladang komersil di TKPM Semenyih hari ini untuk meneliti amalan terkini membalut buah belimbing untuk rujukan semua.


Pengurusan tanaman pokok belimbing mesti dijalankan mengikut Pakej Amalan Pertanian Baik (APB) yang meliputi pelbagai aspek dari mula menanam sehingga aktiviti lepas tuai. Benih tanaman berkualiti yang disahkan terdiri dari Varieti atau Klon B10 atau B17 sebagai pokok utama diselangkan dengan pokok Klon B2 sebagai sejenis klon pendebunga. Penanaman klon pendebunga boleh ditanam setiap 5 barisan B10 dengan sebaris B2 atau sepokok klon B2 dikelilingi beberapa pokok B10. Terkini disyorkan agar pokok yang berumur lebih 5-8 tahun atau lebih muda dicantum dewasa terus klon B2 pada setiap pokok B10 atau klon B17 (Klon komersil). Amalan ladang seperti sistem pengairan ladang, kawalan musuh dan penyakit serta kawalan rumpai dijalankan mengikut Pakej Amaalan Teknologi Tanaman Belimbing. Naja NPK 15:15:15 ditabur selepas mencantas diikuti dengan baja NPK 16:16:16 untuk menggalakan pembungaan. Jenama baja 'Yara Mila' didapati menjadi pilihan ramai penanam belimbing kerana kualitinya dan keberkesanannya walau pun harganya agak mahal. Baja tahi ayam sebanyak 1 guni sepokok diberikan setiap tahun. Terdapat juga dikalangan petani yang berikan tahi ayam proses untuk pokok belimbing. Sistem pengairan dipasang menggunakan sistem pengairan titis (HDPE 3/4 inci) yang dipam dari kolam utama dengan kekerapan mengikut keadaan cuaca. Jika cuaca panas dipam 2 kali sehari iaitu pada pagi dan petang. Khidmat nasehat teknikal yang saya berikan menjadi medan pertukaran amalan teknologi dan pengubahsuaian amalan teknologi sedia ada bersama petani dan pekerja ladang.


Buah Putik belimbing (Lihat foto)  perlu dipilih dari buah yang lurus, tidak cacat dan cantik sebelum dibalut. Pemerhatian saya mendapati setiap jambak bunga mengandungi antara 5 -15 putik buah yang berukuran 1-2 cm panjang dan akan gugur secara semulajadi apabila putik membesar. Buang semua putik dan tinggalkan satu putik sahaja yang berukuran 4-5 cm untuk dibalut. Kajian menunjukkan putik berumur 2 minggu selepas terbentuk atau saiz sesuai perlu dibalut dan pilih yang belum diserang lalat buah. Pilih SATU sahaja buah pada ranting yang berjuntai kebawah untuk dibalut dengan ketinggian yang kita boleh capai. Putik yang tumbuh pada batang utama atau dahan utama (Main trunk) memang banyak tetapi tidak digalakkan untuk dibalut kerana tangkai jambak yang pendek melambatkan proses membalut dan kadang-kadang akan putus. Musim panas dan pokok yang telah dibaja mampu mengeluarkan beratus tangkai bunga. Bunga banyak keluar (Peak season) pada bulan Febuari-Mac dan Ogos-September setiap tahun. 


Salah satu cara mengurangkan populasi lalat buah dalam kebun belimbing adalah dengan memasang perangkap Lalat Buah dengan menggunakan methyl eugenol. Pada masa ini plastik bekas botol air mineral ditebuk lubang dibahagian tengah botol dan kapas atau span yang dicelup dengan methyl eugenol digantung dibahagian tengah dalam botol. Lalat buah yang tertarik dengan baunya akan datang mendekati dan masuk kedalam botol dimana ianya tidak boleh keluar dan akan mati lalu jatuh dibahagian bawah botol. Ada yang isikan air atau racun serangga dibahagian bawah didalam botol tersebut. Setiap pokok digantung satu botol bagi pokok yang padat kanopinya atau bagi pokok yang kanopinya jarang dipasang setiap 4-5 pokok satu botol. Ganti kapas dengan kapas baru yang mengandungi methyl eugenol setiap 2 minggu. Pemeriksaan saya mendapati didalam botol yang telah diletak 10 hari diladang ini mengandungi sebanyak 150 -300 ekor lalat buah yang telah mati dan ada yang hidup masih berterbangan dalam botol plastik. Kaedah ini berkesan dalam mengawal populasi lalat buah dalam ladang belimbing.



Kerja membalut buah belimbing perlu ada kemahiran tersendiri dimana seorang pekerja mahir mampu membalut antara 700 - 1,000 biji buah sehari. Kepantasan aktiviti membalut buah belimbing ini bergantung kepada pengalaman pekerja, ketinggian pokok, bilangan putik pada pokok dan keadaan cuaca. Kertas pembalut adalah dari suratkhabar lama yang dipotong berukuran 20 cm x 30 cm dilipat dua dan digamkan di dua bahagian hujungnya. Kertas ini dimasukkan dalam bekas kain yang diikat pada pinggang dan dawai sepanjang 10 - 12 cm panjang diikat pada tangan kiri pembalut buah (1 gulong kawat dapat 700 helai dawai pengikat). Langkah pertama adalah memilih putik buah yang sesuai untuk dibalut dengan membuang buah lain dan tinggalkan sebiji sahaja. Masukan mulut kertas kedalam putik buah dan ikatkan dengan kawat tadi. Bahagian bawah kertas ditolak masuk kedalam untuk memberikan bentuk kertas menjadi bulat (Bukan leper). Ini akan menyebabkan putik buah bebas bergerak dalam ruang yang luas. Jika tidak dikembongkan maka pembentukan buah jadi tidak cantik dan buah mudah gugur bila kena hujan atau angin kencang. Pekerja mahir perlukan masa 3-10 minit untuk membalut sebiji buah belimbing.


Pada 2-3 tahun lepas ladang ini menggunakan kertas warna (kuning, merah, hijau, biru) yang mana mudah untuk menentukan waktu menuai mengikut kod warna. Kajian mendapati kertas ini menyebabkan kesan sisabaki racun pada buah belimbing apabila dibuat analisa makmal Jabatan Pertanian untuk persijilan SALM. Kesan racun ini dipercayai berpunca dari semburan racun rumpai atau racun serangga atau racun kulat yang diserap oleh kertas tersebut dan terkena pada kulit belimbing.  Kini petani telah beralih menggunakan kertas suratkhabar lama yang didapati lebih praktikal, murah dan tiada kesan sisabaki racun pada buah belimbing seperti amalan terdahulu. Pokok di ladang ini yang berumur 4 tahun saya kira ada sebanyak 700 - 800 biji putik yang telah siap dibalut (Lihat foto). Buah ini akan masak pada bulan April 2012 dan pekerja akan mula memetik berdasarkan saiz dan warna.  Sebiji buah beratnya sekitar 200 - 300 gram untuk pasaran ekspot dan untuk pasaran domestik mengikut gred ( Gred A, Gred B atau Gred C).


Harga ladang belimbing dari ladang ini berbeza-beza mengikut gred dan tujuan pasaran sama ada domestik atau untuk ekspot antarabangsa. Buah yang dipetik disusun dalam bakul sebelum dibawa ke pusat pengumpulan dan dijalankan penggreddan. Gred untuk pasaran ekspot lazimnya pada indeks 2-3 yang masih berwarna hijau. Buah untuk ekspot akan dipilih mengikut gred dan dimasukkan dalam kotak mengikut saiz kotak dan bilangan buah dijual pada harga purata RM 50.00 sekotak (Ikut bilangan buah).  Buah untuk pasaran domestik pula akan dimasukan dalam bakul yang disusun sebanyak 3-4 lapisan dipisahkan dengan kertas suratkhabar. Buah ini dijual dengan harga RM 1.50 - RM 2.00 sekilogram bergantung kepada gred.


BALUT BELIMBING....PERLU DILAKUKAN....
LALAT BUAH....MEMANG MEROSAKAN....
SURATKHABAR LAMA....PERLU DIPASANGKAN...
KASIL BERKUALITI...EKSPOT DIPASTIKAN...


Related article:
1. Starfruit (Klik disini)
2. Carambola agronomic practices (Klik disini)
3. Cashflow Carambola (Klik disini)
4. Klon Belimbing di Malaysia (Klik disini)
5. Starfruit Farm (Klik disini)


By,
M Anem
TKPM Semenyih, Semenyeh,
Ulu Langat, Selangor,
Malaysia
(1 RabiulAkhir 1433H)

Wednesday, February 22, 2012

KELAPA MATAG

KELAPA MATAG (Cocos nucifera) merupakan sejenis varieti kelapa yang di galakkan untuk ditanam di negara kita oleh pihak kerajaan. Kelapa adalah dari keluarga Arecaceae atau Keluarga Palmae merupakan tumbuhan pelbagai guna dari bahagian batang, buah, daun, sabut, air, tempurung dan isinya oleh ramai penduduk terutama di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik. Sebut sahaja kelapa maka kita akan terbayang pokok yang tumbuh menegak tanpa cabang dengan daun yang banyak jejari dan lazimnya ditanam dikawasan tanah persisir pantai. Di Malaysia terdapat beberapa varieti kelapa yang tumbuh sendiri atau ditanam secara komersil semenjak dahulu yang dikenali dengan jenis 'Malayan Tall'. Terdapat seluas 110,000 hektar tanaman kelapa di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran sebanyak 527,650 metrik tan yang bernilai sekitar RM 264 juta.  Walau pun keluasan tanaman kelapa telah berkurang daripada 121,011 hektar pada tahun 2005 (Kurang hampir 10,000 hektar) tetapi pengeluaran kelapa masih ditahap memuaskan dari 538,807 mt kepada 527,650 sahaja. Ini kerana penanaman kelapa MATAG dipercayai meningkatkan hasil pengeluaran setiap hektar. Apa itu Kelapa MATAG?. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi tanaman kelapa MATAG untuk dikongsi bersama anda semua.


Kelapa MATAG adalah nama singkatan bagi kacukan antara kelapa jenis MALAYAN TALL dangan kelapa jenis TAGNANAN yang dicantumkan menjadi 'MATAG'. Industri tanaman kelapa di negara kita merupakan satu industri penting dikalangan petani yang menyumbang kepada sosio-ekonomi dalam pembasmian kemisikinan dikalangan pekebun kecil kelapa. Kebanyakan mereka mananam kelapa jenis Malayan Tall yang telah tua dan tidak produktif lagi dengan penghasilan yang sangat rendah. Seramai lebih 80,000 petani dilaporkan terlibat dengan penanaman kelapa pada 2010 dengan keluasan mencapai 110,000  hektar terutama di beberapa kawasanseperti di Johor, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak.  Kebanyakan mereka kini telah mula mengubah tanaman kelapa kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan dusun campuran kerana jaminan pendapatan yang rendah. Bagaimana pun pengenalan jenis kelapa Matag telah membantu mengekalkan penanaman kelapa  di negara kita kerana permintaan kelapa terus meningkat. 


Penanaman kelapa Matag telah mula dikomersilkan di sebuah Estet Swasta di Perak dengan keluasn sekitar 2,200 hektar semenjak dulu dan mampu mengeluarkan beratus juta biji kelapa setahun. Ladang Jendarata milik United Plantation menanam kelapa Matag ini untuk pengeluaran kelapa segar dan juga merupakan satu-satunya pengeluar anakbenih tulin kelapa matag di negara kita secara komersil. Jabatan Pertanian juga ada mengeluarkan benih kelapa matag yang tulin dari beberapa Stesyen Kelapa.  Pada satu masa dahulu Ladang Jenderata membekalkan sebanyak 66% daripada jumlah keperluan penanaman kelapa matag kepada Jabatan Pertanian dalam Program Penanaman Semula Kawasan Kelapa. Pada peringkat awal kos bagi  pembelian anakbenih kelapa matag cuma RM 6.50 sepokok dan kemudian telah meningkat kepada RM 15.00 sepokok 2-4  tahun lalu dan kini pada tahun 2012 telah mencecah kepada RM 22.00 sepokok!. Permintaan yang tinggi, kos pengeluaran yang meningkat dan keadaan cuaca yang banyak hujan menyebabkan peratusan kejayaan untuk mendapatkan anakbenih kelapa matang rendah menyebabkan kos jualan anakbenih kelapa matag telah banyak meningkat.


Anakbenih tulin merupakan asas kepada kejayaan penanaman kelapa matag. Petani perlu mendapatkan bekalan anak benih matag daripada pembekal yang disahkan mampu menyediakan benih tulin iaitu Jabatan Pertanian dan Ladang Jenderata (UP) sahaja. Walau pun ada nurseri swasta yang dakwa mempunyai anakbenih kelapa matag, kita perlu awasi kerana peratus kejayaan proses pendebungaan kelapa matag sekitar 45 -50% sahaja yang jadi kelapa matag. Selainnya tidak 50% lagi tidak menjadi kelapa matag mungkin jadi kelapa MRD atau Tagnanan atau lain-lain. Penyediaan anakbenih kelapa matag adalah menggunakan debunga dari Pokok Jenis Tagnanan (Tinggi) dengan Pokok Jenis Malayan Red Drawrf (MRD) atau Malayan Yellow Dwarf (MYD) yang rendah dan renek. Debunga Tagnanan di sembur kepada bunga betina MRD/MYD dan ditutup rapat. Lazimnya selepas setahun baru kita akan dapat anak benih matag selepas proses pemilihan (Culling) pokok yang bukan jenis matag. 


Jarak penanaman kelapa matag adalah mengikut jenis tanah tetapi lazimnya sekitar 8.1 meter x 8.1 meter dengan kadar kepadatan sebanyak 178 pokok sehektar. Pokok kelapa memerlukan 100% cahaya matahari untuk memberikan hasil yang optima. Sediakan lubang penanaman dengan ukuran 0.45m x 0.45m x 0.45m sebelum menanam dan berikan baja organik dan 200 gram baja Fosfat digaul kedalam lubang penanaman. Penanaman kelapa sering diintergrasikan dengan tanaman selingan seperti pisang, nenas, tanaman kontan seperti jagung, sayur-sayuran, keledek , keladi dan sebagainya. Kaedah ini akan mempastikan petani mendapat pendapatan lebih cepat sementara menunggu pokok kelapa matag berbuah. Aktiviti penternakan seperti menternak ayam, kambing atau lain-lain yang sesuai juga digalakan dalam program pemulihan kawasan kelapa oleh kerajaan. Program pembajaan kelapa matag diberikan sebanyak 1 kg sepokok dengan NPK 15:15:15 pada tahun pertama dan ditambah kepada 1.5 kg/pokok pada tahun kedua dan seterusnya. Baja NPK 12:12:17:2 diberikan sebanyak 5 kg/pokok/ tahun setelah pokok mula berbuah pada tahun ke-4 atau tahun ke-5. Pengapuran sebanyak 2-3 mt/ha/ tahun disyorkan untuk diberikan terutama dikawasan tanah persisir pantai.  


Pengalaman saya melaksanakan program penanaman semula kelapa matag di Muar dulu mendapati masaalah serangan Kumbang Tanduk (Oryctes rhinocerous) merupakan ancaman peringkat awal penanaman yang perlu dikawal (Lihat foto sebelah). Kumbang tanduk yang masuk kedalam anak pokok yang baru ditanam memakan umbut dan menyebabkan pokok akan mati jika tidak dikawal. Kawalan dengan cara manual (musnahkan perumah) atau gunakan racun yang sesuai seperti carbofuran. Perosak lain tanaman kelapa seperti Kumbang Jalur Merah (Rynchoporus schach) yang juga serangga merosakan batang dan pucuk kelapa matag dikawal dengan racun monocrothopos atau metamidophos (5-10 mil/pokok) iaitu cara 'trunk injection'. Masaalah lain seperti serangan ulat beluncas, serangga Coconut Leaf Miner (Artona catoxantha) dan beberapa perosak lain.


Kelapa Matag lebih cepat mengeluarkan hasil berbanding dengan kelapa jenis Malayan Tall sedia ada dimana dalam pemerhatian saya ada petani seawal 3-4 tahun mula memetik dan menjual hasil (Contoh foto En Saat bin Saji dari Sg Ayam, batu Pahat yang menunjukkan hasil kelapa matag dikebunnya).  Berdasarkan laporan penilaian yang dibuat Jabatan Pertanian mendapati seluas lebih 67 hektar kelapa matag ditanam di Perak, Johor dan Selangor pada tahun 2009 dimana melibatkan sebanyak 17,000 pokok dibuat kajian. Kebanyakan petani menanam dengan tanaman selingan seperti pisang, herba, koko, sayur-sayuran malahan ada yang menanam dicelah-celah kelapa sawit. Kajian tersebut menyatakan sebanyak 992,120 biji kelapa telah dihasilkan dengan produktiviti pengeluaran hasil kelapa matag sebanyak 9,532 biji /ha/tahun (umur pokok 7 tahun), sebanyak 12,941 biji/hektar/tahun (umur 8 tahun) dan sebanyak 23,757 biji/hektar / tahun (umur pokok 9 tahun). Purata penghasilan bagi ketiga-tiga tahun tersebut adalah sebanyak 14,937 biji/hektar /tahun. Hasil pengeluaran terus meningkat saban tahun dengan penjagaan yang baik. 


Kajian tersebut juga melaporkan sebanyak 44% peserta telah mendapat pendapatan bersih bulanan melebihi RM 1,000 sebulan dan menyatakan bahawa projek penamanan semula kelapa matag adalah dianggap berjaya. Data diatas menunjukkan bahawa penanaman kelapa matag telah mengubah sasaran penghasilan kelapa di negara kita daripada sebanyak purata 3,500 biji/ hektar /tahun oleh kelapa Malayan tall kepada sebanyak lebih dari 22,000 biji sehektar setahun melalui penanaman baru atau pennaman semula kelapa. Pencapaian program penanaman semula kelapa dalam RM ke 8 dan RM ke 9 dilaporkan adalah sebanyak 5,517 hektar dengan sebanyak 340 projek yang melibatkan seramai 6,500 petani. Program pemulihan kawasan kelapa pula melibatkan kawasan seluas 1,250 hektar dengan seramai 1,700 orang petani.


Semasa saya bertugas di Johor dulu pernah melawat kebun En Saat bin Saji yang menanam seluas 2.9 hektar di Kg parit Lapis, Sungai Ayam, Batu Pahat , Johor DT. Beliau telah menerima bantuan daripada jabatan Pertanian dalam bentuk kos penyediaan kawasan, input baja, benih, racun dan khidmat nasehat teknikal dari pegawai pertanian. Penanaman kelapa matag di mulakan pada tahun 2001 dengan sebanyak 550 anak benih termasuk untuk sulaman dan kini mampu menjana pendapatan bulanan melebihi RM 5,000.000 sebulan hasil dari jualan kelapa biji dan pendapatan lebih banyak dari aktiviti membuat Gula Melaka. Seorang lagi peserta (gambar disebelah) iaitu En Md Yazid bin Sadek dari Kg Tampok Laut, Rengit, Batu Pahat, Johor yang menanam seluas 3 hektar kelapa matag pada tahun 2005 telah mula mendapat pendapatan bersih melebihi RM 1,500 sebulan.


Malaysia masih merupakan pengguna tegar produk kelapa untuk kegunaan harian. Banyak menu makanan harian menggunakan asas produk santan kelapa seperti Nasi Lemak, Masakan kari, Kueh Mueh, Masak lemak cili padi, masak lemak  putih dan bermacam lagi jenis masakan. Santan segar atau santan siap proses kini terdapat dipasaran  dengan harga yang berpatutan. Keperluan produk kelapa dimusim perayaan seperti Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji bertambah berlipat kali ganda untuk masak rendang serta lain2 menu menyebabkan berlaku pengimpotan buah kelapa dari negara jiran (terutamanya dari Indonesia) untuk menampong kekurangan. Program menambahkan kawasan atau menanam kelapa jenis baru seperti kelapa matag dijangka dapat memenuhi keperluan kelapa untuk rakyat Malaysia pada masa akan datang.


KELAPA MATAG....HASIL TINGGI....
BENIH MAHAL...SUSAH NAK CARI...
BENIH HIBRID...TULIN F-1 DIPASTI...
JABATAN PERTANIAN...MEMBERI...


Related articles:
1. Coconut (Klik disini)
2. Kelapa Komeng (Klik disini)
3. Air Nira (klik disini)
4. Gula Melaka (Klik disini)
5. Ketupat (Klik disini)
6. Cocopeat (Klik disini)
7. Air Kelapa Muda (Klik disini)
8. Kelapa pandan (Klik disini)
9.  Benih Kelapa Matag (Klik disini)


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Jalan Kamariah,
Muar, Johor,
Malaysia.

(28 Rabiulawal 1433H)
Kemaskini pada 22 Oktober 2014,

Tuesday, February 21, 2012

DURIAN D24

DURIAN (Durio zibethibus) merupakan sejenis pokok buah-buahan yang popular di negara kita selain daripda buah-buahan lain seperti Betik, Nangka, Pisang dan Rambutan. Terdapat lebih dari 200 klon durian telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian di Malaysia dimana hanya sekitar 10 -12 klon sahaja yang diminati oleh pengguna dan petani seperti Durian D24, Durian D123, Durian D197, Durian D99 dan sebagainya.  Antara Durian yang disukai adalah klon D24 yang dimana klon ini adalah diantara yang mempunyai kedudukan teratas di Malaysia. Terdapat seluas 101,960 hektar tanaman durian di negara kita pada tahun 2011 dengan jumlah penghasilan sebanyak 300,470 metrik tan. Keluasan keseluruhan tanaman buah-buahan di Malaysia adalah 278,493 hektar  (Laporan Jabatan Pertanian 2011). Tanaman durian adalah 34% daripada keseluruhan 26 jenis buah-buahan yang ditanam di Malaysia. Artikel petang ini saya menulis mengenai pencirian Klon Durian D24 untuk rujukan semua yang berminat mengenai tanaman durian,


POKOK Durian D24 yang saya kenal ini mempunyai tabiat pertumbuhan batang pokok menegak dan merupakan pokok jenis saka. Dahannya tumbuh menegak dan juga bersudut mengikut keadaan kanopi dan sistem penanaman. Bentuk kanopi durian Klon D24 adalah seperti 'Kubah' yang rendang (Lihat foto sebelah). Ketinggian pokok begantung kepada sistem penanaman dan mampu setinggi 20-30 meter walaupun ketinggian bukan faktur jumlah buah durian yang akan dihasilkkan. Terdapat beberapa petani di Jalan Pagoh-Bukit Pasir di Muar, Johor yang membuat cantasan atas (Topping) pokok durian D24 dan membenarkan sekitar 7-12 meter sahaja ketinggian pokok.


DAUN pokok Durian D24  mempunyai orientasi mendatar kepada ranting pokok berbentung 'Oblong'. Pangkal daun adalah berbentuk 'akut' dengan hujungnya pula adalah berbentuk 'acuminate' atau pun dalam bahasa kita berbentuk tirus tajam.  Sekali pandang daunnya mempunyai sifat separuh berlipat dengan bentuk tepi daun yang memang ketara licin. Permukaan daunnya juga licin dengan tekstur daun yang lembut. Warna di bahagian permukaan atas daun adalah hijau dan warna dibahagian permukaan bawah daun hijau keperangan. Dari segi urat-urat pada daun akan kelihatan jelas dimana uratnya adalah seakan sedikit timbul (Rujuk foto)


BUNGA durian D24 berbentuk ovat dan mempunyai kudup yang tajam. Musim bunga bagi klon D24 lazimnya adalah pada bulan Feb-April untuk penghasilan pada musim utama walau pun kini pengeluaran bunga tidak menentu masanya. Terdapat pokok durian D24 yang menghasilkan bunga pada waktu lain kerana telah berlaku perubahan cuaca dan teknologi amalan agronomi yang semakin maju. Warna kudup bunga adalah hijau kekuningan (Lihat foto sebelah) dimana ianya mempunyai tangkai kudup yang agak panjang. Bentuk tangkai kudup bunga adalah berbentuk selinder yang purata panjangnya sekitar 4 cm. Kalau diteliti dengan betul kita akan dapat lihat ruang antara epikalik (epicalyx) dan kalik (calyx) adalah sedikit atau pun hampir tiada.  Rupa bentuk 'style'  bunga adalah membengkok sedikit dan berkedut dibawah stigma. Warna pistil bunga adalah kuning sehingga oren. Bunga berkembang dan didebungakan pada waktu tengahmalam sehingga subuh oleh serangga (kupu-kupu).


BUAH Durian D24 memang idak sukar untuk dikenali oleh mereka yang pakar durian. Klon ini mempunyai bentuk buah yang Bulat sehingga Oval dimana ciri utama dilihat pada bahu buah yang dikatakan 'Bulat'. Bentuk pada hujog buah juga dikatakan sebagai 'Bulat' (Lihat foto sebelah). Saiz buah adslah sederhana besar dengan purata saiz sekitar 19 cm panjang dan 17 cm lebar (buah yang standard saiz dan pengurusan kebun).  Pengalaman saya di Segamat dan tangkak mendapati purata berat buah klon D24 adalah sekitar 1.5 kg sebiji walau pun adal juga yang lebih besar sampai 2 kg sebiji dikawasan Jementah, Segamat dulu saya jumpai. Warna kulit hijau sehingga hijau keperangan dipengaruhi dengan sistem tanaman, lokaliti dan cara pengurusan kebun.  tangkai buah berbentuk selinder dengan purata panjang tangkai buah sekitar 4 cm. Susunan duri dikeliling tangkai buah adalah halus dan bergabung tetapi tidak tajam. Susunan duri dihujung buah kulitnya tidak berduri seakan ada serpihan dari bunga. Duri pada kulit pangsa besar, tirus dan tajam  dimana ada duri yang kecil diantara duri yang besar.  Durian D24 sedang untuk dibuka dan ketebalan kulit sekitar 0.7 cm dan ketebalan empulur sekitar 3 cm. 


ISI durian D24 paling istimewa bagi saya kerana warnanya yang krim sehinga kuning emas. Saiz ulas juga dikatakan kategori BESAR iaitu berukuran purata 5 cm lebar dan 4.5 cm panjang. Paling baik dimana isinya yang tebal sekitar 1.0 - 1.2 cm dan rasa Lemak, manis serta ada rasa Pahit.  Tekstur isinya adalah Halus dengan tahap kelikitan isi sebagai Tidak Melekit.  Baunya kuat selaras dengan kepejalan isi yang dikatakan sebagai 'lembut'.  Kalau lori membawa durian lalu didepan kita dengan membawa semua klon D24, memang tidak dinafikan baunya sangat kuat. Purata berat isi dengan buah adalah sebanyak 26% (maknanya setiap 1,000 gram buah mempunyai 260 gram isi). Lazimnya klon ini mempunyai sebanyak 5 pangsa dengan setiap pangsa mempunyai 1-3 ulas bahagian isi.


BIJI durian klon D24 adalah 90% berbiji penoh dan boleh dikatakan tiada yang berbiji separuh . Bagaimana pun kajian oleh Jabatan Pertanian di Stesen Pertanian Tangkak mendapati terdapat sekitar 10% biji KESEP. Purata berat biji adalah sekitar 26 gram iaitu agak sederhana besar dengan bentuk yang bulat atau Ovat.  Kulit biji adalah coklat kekuningan dan mempunyai lapisan kulit biji yang licin. Saya paling suka makan biji durian yang telah direbus dimana mempunyai rasa yang lemak (tetapi jangan makan bahagian tunas) yang agak pahit sedikit. Biji durian D24 mudah disemai untuk dijadikan pokok penanti untuk dicantum dengan klon lain kelak. Beberapa percubaan telah dibuat semasa saya di Muar dulu untuk memproses biji durian D24 bagi dijadikan kerepek tetapi kurang sedap jika dibandingkan dengan biji dari Klon Munthong untuk dibuat kerepek.


Semuga artikel ini memberikan sedikit maklumat kepada pembaca dan peminat durian mengenai pencirian durian D24. Harga ladang durian D24 diladang dan jualan runcit bergantung kepada kualiti, saiz dan paling kritikal adalah musim atau waktu pengeluaran serta lokasi. Pada keadaan buah banyak harga durian D24 tidak kurang dari RM 4.00 - RM 5.00 sekilogram dan kalau buah telah kurang mampu mencecah sehingga RM 10.00 - RM 12.00 sekilogram dikawasan Tangkak, Muar dan kawasan sekitar.  Saya pernah membeli dengan harga RM 15.00 sekilogram klon ini kerana ada permintaan khas dari pihak tertentu yang pada masa itu memang sukar untuk dapatkan durian D24. Kini mungkin ramai yang mula kurang makan durian kerana telah banyak pilihan buah-buahan lain dipasaran.


DURIAN D24 ...MEMANG POPULAR NAMANYA....
BENTUK BUAHNYA BULAT...TAJAM DURINYA...
SENANG DIBUKA..KUAT DAN MANIS ISINYA...
PERGI LAWAT KEBUN...MAKAN FREE SYOKNYA...


Artikel berkaitan:
1. Durian (Klik disini)

2. Durian Clones in Malaysia (Klik disini)
3. Durian 'Musang King' - (Klik disini)
4. Durian Clones (Click here)
5. Durian Belanda (Klik disini)
6. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
7. Dadih Durian (Klik disini)


By,
M Anem
Tangkak, Ledang, 
Johor, Malaysia
(Cuti balik kampong)
27 Rabiulawal 1433H

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...