Support My Blog

Thursday, December 19, 2019

PACAT DAN LINTAH - KENALKAH ANDA?

PACAT DAN LINTAH adalah sejenis haiwan anelid yang merangkumi subkelas Hirudinea. Terdapat pelbagai jenis lintah dan pacat seperti Lintah Air Tawar, Lintah Air Laut, Lintah Daratan dan Pacat di daratan. Seperti golongan Oligochaeta yang lain lazimnya lintah akan menampakkan anggota klitelum (bahagian kelenjar yang membengkak pada kulit anelid) sama seperti cacing tanah yang merembeskan kokun dan bahan nutrien untuk embrio. Lintah dan Pacat lazimnya juga merupakan haiwan hermafrodit (mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina sekali) seperti cacing. Dilaporkan ada sesetengah jenis lintah mempunyai kegunaan dalam perubatan menghisap darah sejak ribuan tahun dahulu akan tetapi kebanyakan lintah atau pacat tidak menghisap darah begitu saja. Lintah penghisap darah selalu hinggap pada perumahnya sehingga kenyang dan selepas itu turun untuk menghadam makanan. Badan lintah umumnya terdiri daripada 34 segmen. Penghisap anterior (mulut) terbentuk pada enam segmen terhadapan badannya dan yang akan digunakan untuk berpaut pada perumah sambil ianya akan mengeluarkan 'bendalir bius'  agar perumah tidak merasa hinggapan lintah (Sila lihat foto diatas). Lintah juga biasanya mengeluarkan campuran mukus dan lekapan dari otot-otot sepusat di keenam-enam segmen tersebut agar terus berpaut dan merembeskan enzim pencegah pembekuan darah dalam sistem darah perumah. Kebanyakan kita memang sangat 'Takut' dan 'Geli' bila digigit lintah atau pacat yang sudah kenyang dengan darah. Lazimnya lintah lebih besar daripada pacat. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan ilmu mengenai pacat dan lintah untuk bahan rujukan anda.

Kalau anda biasa tinggal di kampong, pergi kehutan atau masuk bendang atau  bersawah sememangnya pernah melihat atau kena gigitan pacat atau lintah.  Lintah dan Pacat di Malaysia dari Filum Annelida iaitu Kelas Hirudinea dengan mempunyai ciri-ciri seperti LINTAH akan hidup di dalam air, manakala PACAT pula akan hidup di daratan. Badan nya terdiri dari 34 segmen badan dimana lintah mempunyai mulut serta organ pelekap iaitu penghisap anterior dan penghisap posterior (Sila lihat rajah sebelah). Dalam pada itu Lintah dan pacat ádalah haiwan ektoparasit iaitu parasit di luar perumah. Ia ádalah pemangsa yang khusus kerana ia melekat pada kulit perumahnya untuk tempoh masa yang sebentar sahaja bagi mendapatkan darah. Lintah dan pacat boleh menghisap darah sebanyak 3 kali ganda berat badannya dimana selepas ia mengambil darah maka ia akan menanggalkan dirinya dari perumah dan lalu jatuh dan mula mencari pasangan. Darah perumah tempat gigitan akan terus sentiasa mengalir keluar pada bekas gigitannya untuk beberapa ketika dan penulis blog pernah kena sehingga 3 jam lamanya darah tidak boleh berhenti mengalir. Ini kerana semasa ia menghisap darah, lintah atau pacat ini akan mengeluarkan “Hirudin” dari organ kelenjar liurnya yang akan menghalang darah dari membeku. Ini yang menyebabkan pengkelasan lintah dan Pacat untuk dikelaskan dalam Kelas Hirudinea. Biasanya selepas makan darah dengan secukupnya maka ia boleh hidup untuk beberapa bulan malahan sehingga selama satu (1) tahun
tanpa mendapat kan darah lagi. Lintah dan pacat adalah haiwan hermaphrodile ataupun ada dua jantina. Seekor lintah atau Pacat boleh mempunyai kedua-dua organ iaitu organ jantan dan organ betina, dimana ia bertelur di dalam air. Haiwan  Induk akan membawa anak dari telur di dalam kantung yang terbentuk melalui lipatan permukaan bawah badannya. Subhanallah!.. Kadang kala pula anaknya melekat dibawah cuaran di bawah badan induk.

Dalam pada itu kajian saintis tempatan (rakan penulis) yang penulis bog rujuk dari UPM Serdang dan Jabatan Pertanian Ma;aysia ada menyatakan Lintah dan pacat di Malaysia terbahagi kepada 2 kumpulan. Pertama adalah Kumpulan  Rhyncobdella iaitu jenis yang  mana ia  mempunyai organ mencucuk atau belalai pada mulut seperti jarum. Kedua adalah jenis  Arhyncobdella iaitu yang mempunyai rahang dan gigi. Saintiis juga nyatakan dimana beberapa spesies Lintah di Malaysia adalah seperti Spesis Batracobdella reticulata yang berukuran 5 mm dimana ia akan memindahkan parasit darah yang ditemui pada haiwan liar dan tidak memparasitkan haiwan invertebrata tapi membunuh mereka terus. Spesis ini boleh digunakan dalam kawalan biologi pada siput.  Spesis kedua adalah jenis Lintah Hirudinaria manillensis yang mana ia selalu ditemui di paya, sungai dan bendang diman ia akan menghisap darah kerbau dan kadang kala manusia dan buaya dan lintak ini orang kampong saya panggil dia sebagai  “Lintah kerbau”. Jenis ke 3 yang ditemui adalah jenis Pacat Haemadipsa sp. yang saiznya lebih kecil dari lintah kerbau dan selalu tinggal di kawasan lembap atau dia suka menyorok di celah tanah apabila kering. Pacat akan  keluar untuk menghisap darah haiwan berdarah panas dan ia bergerak secara menjengkalkan badannya. Selalunya pacat akan menghisap darah mamalia, kadangkala burung dan haiwan berdarah sejuk (reptilia). Saintis kemuidan nyatakan dimana ada 4 spesies Haemadipsa sp. yang dijumpai di Malaysia iaitu jenis Haemadipsa zeulanica,  Haemadipsa subagilis, Haemadipsa sylvestris (berwarna hijau dipanggil pacat siamang) dan Haemadipsa picta. Mereka semua adalah jenis perosak haiwan domestik dimana akan menyebabkan kehilangan darah dan jangkitan sekunder serta menjangkitkan penyakit berjangkit.

Lazimnya lintah dan pacat yang melekap atau menggigit anggota tubuh kita akan terus melekap sehinggalah darah yang dihisap memenuhi kantung tubuhnya. Namun ada keadaan yang lebih membimbangkan sekiranya lintah dan pacat memasuki rongga tubuh termasuklah melalui bahagian seperti kemaluan serta dubur. Antara tanda atau gejala adalah terdapat kesan gigitan dan pendarahan mungkin berlaku akibat tusukan giginya. Namun lazimnya pada peringkat yang lebih serius akibat kehilangan banyak darah dimana mangsa akan kelihatan pucat dan lesu. Enzim yang dikeluarkan oleh lintah dan pacat menyebabkan pendarahan tidak akan berhenti dalam waktu yang singkat (Sila lihat foto disebelah)Bahaya boleh mengancam ada mangsa khususnya yang mengalami masalah anemia sekiranya diserang oleh sejumlah lintah dan pacat. Paras sel darah merah akan berkurangan sekiranya setiap seekor lintah dapat menghisap sebanyak 0.7mg/dL. Selain daripada itu, mereka (pesakit) yang mengambil ubat untuk mencairkan darah juga akan berhadapan dengan pendarahan yang teruk. Luka gigitan juga boleh menyebabkan kegatalan yang teruk. Rawatan awal boleh dilakukan oleh mangsa sendiri atau dengan bantuan orang disekeliling. Sebarang risiko dapat dielakkan sekiranya langkah-langkah berikut dapat diambil dengan segera seperti sepatuntnya mangsa bertenang atau perlu di tenangkan mangsa dan pastikan sebarang petua yang digunakan untuk menanggalkan lintah dan pacat hendaklah bebas daripada sebarang pencemaran dan kekotoran. Sebaiknya cuci luka dengan air yang bersih jika ada. Tekan menggunakan kain bersih pada lokasi luka supaya darah tidak keluar. Jika ada rasa gatal pad kawasan gigitan jangan garu pada lokasi gigitan. Ambil kain panas dan tuamkan dengan air di bahagian yang terasa gatal kerana ia juga boleh mengurangkan bengkak. 

Sebaiknya jika diserang lintah dan pacat yang banyak, dapatkan bantuan dan rawatan daripada anggota perubatan di klinik atau hospital berdekatan atau hubungi talian 999.
Doktor akan memberikan rawatan perubatan seperti memberi ubat penahan sakit, gatal dan antibiotik (jika perlu). Krim pelembap juga akan diberikan untuk disapu di bahagian yang gatal bagi mengurangkan kegatalan. Sebagai langkah pencegahan sebaiknya jika ada ancaman diserang lintah dan pacat dapat dielakkan sekiranya perkara-perkara berikut diberi perhatian. Pertama cuba mengelakkan diri daripada menghampiri kawasan lembap dan basah. Sentiasa jangan merendam anggota badan di dalam lumpur, paya dan sebagainya terlalu lama. Sentiasa berwaspada dan juga memeriksa tubuh badan terutamanya pada bahagian kaki jika berada di kawasan lembap dan basah. Selalu gunakan pakaian, alat dan bahan-bahan pelindung diri ketika melalui atau berada di kawasan yang lembap khususnya kawasan yang terdapat lintah dan pacat. Sebagai langkah pemulihan (Rehabilitasi), pastikan tempat luka sentiasa bersih dan elak daripada menggunakan minyak atau bahan-bahan yang diragui kebersihannya. Sentiasa bersihkan diri dan juga persekitaran tempat tinggal. Selalu amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang dan kawal paras gula terutamanya bagi mereka yang menghidap diabetes. Sentiasa pastikan kesihatan tubuh badan di tahap optima. Semuga anda mendapat info yang berguna dari anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
LINTAH DAN PACAT... MENGHISAP DARAH...
DIKAWASAN LEMBAB... ELAKKAN ZIARAH...
KALAU KENA GIGIT.... MENGHISAP DARAH...
DAPATKAN RAWATAN ...  SEGERA DIKERAH...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(20 RabiulAkhir 1441H).


 

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...