Support My Blog

Wednesday, January 24, 2018

POTENSI EKSPORT NANAS MD2 KECHINA - RM320 JUTA

NANAS (Ananas comosus) merupakan salah satu Sumber Kekayaan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2018 diparlimen pada Oktober 2017. Penyataan ini disekalikan dengan beberapa komoditi lain digelar sebagai sumber kekayaan baru dalam sektor pertanian seperti Durian, Tenusu, Jagung Bijian dan lain-lain lagi dengan bajet yang agak besar. Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang bertanggungjawab didalam pembangunan dan pengeluaran nanas untuk pasaran domestik dan eksport dipertanggungjawabkan dalam penanaman nanas. Tanaman nanas di Malaysia walau pun mendudukki tangga ke 21 didunia dari segi keluasan dan juga pengeluaran mempunyai lelebihan kerana mempunyai tanah yang subur, cuaca sesuai sepanjang tahun dan berhampiran dengan beberapa negara pengimport yang besar seperti negara China. Negara China telah meluluskan protokal pengeksportan buah nanas segar pada 13 Mei 2017 dimana penghantaran pertaman nanas MD2 ke China telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah LPNM, Dato Mohd Anim Hosnan di Syarikat Top Fruit, Batu Pahat, Johor. Sebanyak satu kontena telah dihantar pada masa pelancaran dan seterusnya banyak kontena dihantar setiap bulan. Nanas MD2 dari Malaysia mempunyai kelebihan dari  segi kualiti kerana ia lebih manis, lebih berjus dan segar untuk jangkamasa lebih lama. Program penanaman dan program meluaskan tanaman nanas MD2 dilakukan berterusan untuk bekalan bagi pasaran domestik (Harga ladang sekitar RM2.50 - RM3.00 sekilogram) dengan pasaran eksport (Harga ladang antara RM2.00 - RM2.50 sekilogram). Kini kadar permintaan nanas MD2 untuk pasaran domestik masih belum mencukupi tetapi usaha pengeluaran nanas MD2 giat dijalankan diseluruh negara termasuk di Sarawak. Satu Majlis pelancaran penanaman nanas MD2 dilakukan di Kg Padang Pan, Bau, Sarawak oleh Timbalan Menteri Sarawak dan dijangka nanas MD2 dari negari akan bertambah dalam masa terdekat ini. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis bagaimana beberapa akhbar tempatan membuat liputan majlis ini. 


(1) Laporan Akhbar 1
Utusan Malaysia - 
Eksport nanas RM320j menjelang tahun 2020

DOUGLAS UGGAH EMBAS (kiri) mendengar taklimat mengenai 
jenis-jenis nanas sambil disaksikan Samsolbari Jamali 
(dua dari kiri) selepas merasmikan Majlis Pelancaran 
Projek Perintis Nanas Premium Sarawak di Bau, 
baru-baru ini. 

BAU 15 Jan.2018 - Malaysia dijangka mampu meningkatkan nilai eks­port nanas mencecah RM320 juta menjelang 2020, berikutan permintaan pasaran yang luas ke China terutama nanas premium MD2. Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Samsolbari Jamali berkata, pihak­nya komited dalam usaha mening­katkan pengeluaran nanas secara komersial terutama untuk tujuan eksport, di samping melahirkan usahawan nanas berpendapatan tingi selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN). Beliau berkata, bagi mencapai matlamat itu, pendekatan Program Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan akan diperluaskan ke seluruh negara sebagai usaha me­ningkatkan pengeluaran dan jaminan bekalan makanan khususnya nanas sentiasa mencukupi, konsis­ten dan berterusan. “Pada masa itu (tahun 2020), pengeluaran nanas dijangka tumbuh pada kadar 22.1 peratus setahun dengan unjuran pengeluaran buah nanas sebanyak 700,000 tan metrik. “Sasaran nilai eksport nanas pada tahun 2020 adalah RM320 juta sejajar dengan pembukaan pasaran yang luas di China terutama MD2, manakala nilai pengeluaran nanas negara dijangka mencecah RM1 bilion,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Perintis Tanaman Nanas Premium Negeri Sarawak di Kampung Padang Pan di sini. Majlis dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek. Mengulas projek perintis tanaman nanas MD2 di Kampung Padang Pan, Samsolbari berkata, secara keseluruhannya, keluasan projek terbabit ialah 129 hektar tetapi hanya empat hektar diba­ngunkan dahulu sebagai Pusat Pembiakan Benih dengan peruntukan RM300,000. Pada tahun ini, LPNM memperuntukkan RM2 juta di bawah Insia­tif Sumber Kekayaan Baharu bagi membangunkan empat lagi usahawan benih MD2 pada keluasan 16 hektar dengan anggaran 800,000 benih jenis ini disalurkan kepada pengusaha berkenaan. “Secara keseluruhannya, sebanyak RM30 juta diperuntukkan kepada industri nanas pada 2018. Daripada jumlah itu, RM6.5 juta diperuntukkan kepada Sarawak termasuk RM2 juta sumber kekayaan baharu dan RM4.5 juta untuk Sabah. “Bilangan pengusaha nanas yang menerima manfaat melalui program kerajaan ini ialah 665 orang dan LPNM meletak sasaran meningkatkan keluasan tanaman seluas 3,500 hektar yang mana 827 hektar adalah nanas MD2 menjelang 2020,” katanya. Beliau berkata, pada 2020, Sarawak akan menjadi hab pemasaran nanas MD2 khususnya ke China dan dijangka mampu membekal 100 kontena dengan anggaran nilai eksport RM6 juta sebulan. Katanya, jumlah produktiviti penanaman nanas di Sarawak ialah 26 tan metrik per hektar dengan sasaran 45 tan metrik per hektar bagi tempoh sama.

(2) Laporan Akhbar 2
Berita Sarawak - Sarawak Bakal Jadi Pengeksport Utama Nanas MD2
Published: Monday, 15 January 2018


KUCHING: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan menjadikan Sarawak sebagai hab pengeluaran nanas premium MD2 dengan peruntukan RM300,000 untuk membangunkan kawasan tanaman seluas 4 hektar. bagi tujuan eksport ke China. Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, daripada keseluruhan kawasan projek, 827 hektar daripadanya adalah untuk penanaman varieti MD2.  Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, negeri ini berpotensi besar untuk dimajukan dengan tanaman nanas memandangkan faktor ketersediaan tanah yang lebih luas, kos tenaga buruh lebih rendah serta jarak penghantaran yang lebih dekat. “Sektor ini juga mampu memberi manfaat kepada pengusaha terutamanya pekebun kecil,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perintis Tanaman Nanas Premium Negeri Sarawak di Kampung Padang Pan Bau, kira-kira 30km dari sini Sabtu lepas, menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat LPNM hari ini.  Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek; Pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri, Datuk Salehhuddin Hassan. Uggah menyuarakan harapan agar LPNM akan terus membantu pengusaha dan pekebun nanas bagi meningkatkan pendapatan mereka kepada RM 4,000 sebulan.-Bernama
(3) Laporan Akhbar 3:
Sinar Harian - Sarawak eksport utama nanas MD2
Published: Tuesday, 16 January 2018

KUCHING - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan menjadikan Sarawak sebagai hab pengeluaran nanas premium MD2 dengan peruntukan RM300,000 untuk membangunkan kawasan tanaman seluas 4 hektar. bagi tujuan eksport ke China. Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, daripada keseluruhan kawasan projek, 827 hektar daripadanya adalah untuk penanaman varieti MD2. Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, negeri ini berpotensi besar untuk dimajukan dengan tanaman nanas memandangkan faktor ketersediaan tanah yang lebih luas, kos tenaga buruh lebih rendah serta jarak penghantaran yang lebih dekat. “Sektor ini juga mampu memberi manfaat kepada pengusaha terutamanya pekebun kecil,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perintis Tanaman Nanas Premium Negeri Sarawak di Kampung Padang Pan Bau, kira-kira 30km dari sini Sabtu lepas, menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat LPNM hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek; Pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri, Datuk Sallehhuddin Hassan serta Ketua Pengarah LPNM Dato Mohd Anim Hosnan. Uggah juga ada menyuarakan harapan agar LPNM akan terus membantu pengusaha dan pekebun nanas bagi meningkatkan pendapatan mereka kepada RM 4,000 sebulan






(4) Laporan Akhbar 4:
Kosmo Online/ VARIA - 
Nanas MD2 masuk ke pasaran China

Pemeriksaan kualiti penting sebelum pengeksportan nanas dijalankan supaya syarat-syarat Sanitasi dan Fitosanitasi (SPS) negara pengimport dipatuhi. Jabatan Pertanian telah memulakan usaha untuk tujuan bagi mendapatkan laluan pasaran bagi komoditi tanaman Malaysia ke China seawal tahun 2005. Sehingga kini, komoditi seperti longan, manggis, laici, kelapa muda, tembikai, betik, rambutan, durian sejuk beku (pulp) dan buah-buahan freeze-dried (durian, rambutan, manggis dan nangka) antara yang sudah diluluskan untuk dieksport ke China manakala rundingan bagi laluan pasaran bagi nangka, durian (whole fruit), belimbing, pisang, lada benggala dan tomato masih berterusan. Menyedari potensi buah nanas yang popular di pasaran antarabangsa, Jabatan Pertanian selaku agensi bertanggungjawab memperoleh laluan pasaran bagi produk hortikultur tempatan telah memulakan rundingan bilateral untuk komoditi nanas dengan negara-negara membangun khasnya China. China dilihat sebagai destinasi penting memandangkan populasi penduduk dan permintaan pasaran yang tinggi bagi nanas varieti Golden Sweet. Ia juga lebih dikenali dengan nama MD2. Nanas MD2 dikenal pasti sebagai varieti premium untuk pasaran eksport berdasarkan karakter buah itu sendiri. Antaranya warna kulit menarik, isi berwarna kuning keemasan dengan rasa yang manis dan kandungan fiber yang tinggi. Selain itu, keasidan nanas ini rendah, bentuk seragam, tahap ketahanan yang tinggi dan jangka hayatnya yang lebih lama iaitu mampu bertahan sehingga lima minggu jika disimpan dalam peti sejuk. Usaha untuk mendapatkan laluan pasaran nanas ke China telah bermula sejak tahun 2007. Protokol eksport asal mensyaratkan fumigasi gas metil bromida sebagai rawatan kuarantin bagi menghapuskan koya (mealy bugs). Namun, rawatan ini akan memberi kesan fitotoksin kepada buah lantas menjejaskan nilai estetikanya.

Rawatan alternatif perlu dijalankan untuk pasaran eksport. Oleh itu Jabatan Pertanian komited dalam memastikan nanas yang dieksport bebas dan selamat daripada serangga perosak dan penyakit. Justeru, rawatan alternatif menggunakan kaedah kombinasi gas Vapormate dan cold treatment telah disyorkan. Kajian demi kajian dijalankan bagi memastikan kaedah ini efektif merawat buah nanas tanpa kesan sampingan yang memudaratkan buah. Pada masa sama, Jabatan Pertanian turut menjalankan persiapan rapi, termasuklah pengemaskinian dokumen dan rekod ladang serta bancian perosak di peringkat ladang, fasiliti pembungkusan dan rawatan kuarantin untuk tujuan lawatan audit dari China. Dedikasi dan komitmen selama sedekad membuahkan hasil kerana protokol pengeksportan nanas ke China berjaya ditandatangani oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, sempena lawatan Perdana Menteri ke Beijing, China pada 13 Mei lalu. Berdasarkan statistik Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), tahun 2017 akan menyaksikan berlaku peningkatan eksport nanas yang signifikan dengan kejayaan mendapatkan laluan pasaran baharu ini. Dengan anggaran penghasilan sehingga 35 hingga 45 tan metrik/hektar/tahun, Malaysia dijangka mampu membekalkan antara tiga hingga empat kontena nanas seminggu, khas untuk pengeksportan ke China pada peringkat permulaan. Pada jangka panjang, laluan pasaran ini akan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan eksport nanas sebanyak 10 peratus dengan nilai RM254 juta menjelang tahun 2020. Kejayaan ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana selain memartabatkan Malaysia sebagai pengeluar produk pertanian berkualiti tinggi, ia mampu memenuhi keperluan Sanitasi dan Fitosanitasi (SPS) negara membangun yang ketat seperti China. Justeru, kerjasama dan jaringan kukuh antara petani di ladang, pengeksport, agensi kerajaan yang bertanggungjawab seperti Jabatan Pertanian, LPNM dan kerajaan Malaysia harus diteruskan agar lebih banyak laluan pasaran nanas dapat diteroka.
Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
NANAS PREMIUM... MD2 NAMANYA...
DITANAM MELUAS...SELURUH NEGARA...
BENIH SULUR... TISU KULTUR ELAKNYA...
INDUSTRI BERKEMBANG...SEMUGA JAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 630, Hotel Dorsett,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(28 RabiulAkhhir 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...