Support My Blog

Friday, September 26, 2014

KELULUT - Trigona thoracica (Part 1)

KELULUT (Trigona sp) merupakan sejenis serangga kecil kumpulan lebah yang berwarna gelap dan tidak menyengat. Lebah kelulut atau kelulut ialah lebah tidak bersengat yang menghasilkan madu sama seperti lebah madu walau pun saiznya serangga ini kecil. Diseluruh dunia serangga ini dikatakan mempunyai hampir 500 spesis bergantung kepada lokalti dan cuaca persekitaran. Penulis mendapati bahawa lebah kini menjadi popular seperti 'goreng pisang panas' apabila promosi dilakukan oleh usahawan muda. Banyak kursus dan kempen memelihara kelulut walau pun ko permulaan untuk menyediakan kotak kelulut dan koloni kelulut agak tinggi . Kelulut boleh didapati di kebanyakan kawasan-kawasan tropika dunia daripada kawasan seperti di Australia, Afrika, Asia Tenggara dan kawasan tropika benua Amerika. Bagaimana pun di Malaysia kelulut tempatan memang telah ujud semenjak dulu kala tanpa diminati oleh penduduk dikampong. Peranan kelulut sebagai serangga pendebunga yang signifikan untuk bunga buah-buahan dan tumbuhan lain kurang diperkatakan secara khusus. Artikel malam Hari Malaysia ini (16 September 2014) ini dalam blog "Anim Agro Technology" say amempaparkan mengenai beberapa spesis kelulut untuk dijadikan bahan bacaan. 


Madu kelulut dikatakan mempunyai pelbagai khasiat dan lebih tinggi khasiatnya jika dibandingkan dengan madu lebah dimana kajian makmal ada menunjukkan dengan nyata perbezaan dari segi keasidan dan kandungan air berlainan. Kelulut lezimnya akan dapat menyimpan madu di dalam tempayan kecil yang dilapisi propolis berbeza dengan lebah madu yang menyimpan dalam kom yang ditutup lapisan lilin. Penulis maklum bahawa madu kelulut tidak putih atau jernih seperti madu lebah dimana ia banyak bergantung kepada sumber makanan, jenis kelulut dan juga faktor pada persekitaran. bagaimana pun ia gelap sedikit dengan madu lebah secara umum. Rasa madu kelulut masam sedikit berbanding madu lebah. Harga ladang dan harga runcit madu kelulut lebih tinggi sehingga mencecah RM200 sekilogram sedangkan madu lebah sekitar RM40 - RM 80 sekilogram. Ini kerana untuk mendapatkan madu kelulut adalah sukar akibat produktiviti rendah kerana saiz serangga amat kecil dan jarak penerbangannya juga terhad.


Lebah Kelulut ini penting sebagai agen pendebungaan di hutan-hutan bagi kebanyakan jenis buah-buahan, bunga, sayur dan tanaman lain. Foto sebelah menunjukkan kelulut pada bunga pokok senduduk yang mengeluarkan nektar dan debunga dikawasan kamppong. Kelulut ini sebanarnya merupakan keluarga lebah juga walau pun ia lebih kecil dan tidak bersengat. Seperti lebah, Kelulut ini juga membentuk koloni sosial yang kompleks. Pemerhatian penulis dan pembelajaran terhadap spesies kelulut ini mendapati negara kita ini mempunyai banyak spesies Kelulut. Di semenanjung Malaysia sahaja terdapat 21 spesies Kelulut dan di Sabah dan Sarawak tidak diketahui. Perkara ini disahkan oleh beberapa penyelidik MARDI dalam kertas teknikal yang dibentangkan semasa kursus penternakan kelulut anjuran Jabatan Pertanian yang saya bersama mendengarnya. Kelulut ini menghasilkan madu dan propolis yang kaya dengan antioksidannya. Propolis boleh berfungsi sebagai antikulat, antifungus, antibakteria dan antiradang yang biasanya digunakan sebagai bahan aktif dalam kosmetik, krim dan tablet. Antioksidan ini banyak fungsinya terutamanya dalam masalah penyakit kanser. Antara penyakit yang dilaporkan sembuh melalui kaedah rawatan tradisional mengunakan propolis pula ialah penyakit diabetis mellitus, strok, hepatitis, kanser, hipertensi, batu karang dan HIV/AIDS. Berdasarkan kajian yang dilakukan dibawah seliaan Prof. Madya Dr. Siti Amrah Sulaiman, dari USM menyatakan bahawa madu Kelulut ini mampu menurunkan paras glukos pesakit diabetes dan berkesan untuk menecegah kanser dan gout.


Trigona Thoracica

Geniotrigona thoracica ialah jenis lebah kelulut spesis endemik di Malaysia. Ia terdiri daripada kumpulan kelulut Indo-Malayan. Kelulut ini dikenal pasti sebagai salah satu agen pendebunga untuk tanaman seperti durian, rambutan, dan manggis. T. thoracica lazimnya akan membuat sarang di batang dan tunggul kayu. Madunya walau pun sedikit tetapi ia memang boleh dimakan. Ia melindungi sarangnya dengan lapisan propolis. Kajian dibeberapa lokasi mendapati daripada banyak jenis lebah kelulut didakwa spesis T. thoracica ini dapat di kelaskan sebagai jenis yang memang special kerana ia memiliki ukuran tubuh yang lebih besar jika dibandingkan lebah trigona lainnya. Kelulut jnis ini memiliki ciri yang mudah dibezakan pada warna tubuhnya yang didominasi warna hitam kecoklatan (brownies) dan bagian thorax yang berwarna coklat (Sila lihat foto sebelah)T. Thoracica bergenera Heterotrigona dimana ia pertama kali dijumpai oleh Smith tahun 1857 dan kemudian dalam beberapa eksplorasi lain iaitu oleh Cameron tahun 1902 dengan nama Trigona lacteifasciata Cameron. Nama lain pernah diberikan adalah seperti Trigona ambusta oleh Cockerell tahun 1918 dan juga sebagai Trigona borneensis oleh Friese tahun 1933 di Pulau Kalimantan.


Di ikalangan orang kampong, kelulut jenis ini sering dijumpai oleh para petani dan penduduk kampong dengan biasanya bersarang di tebing-tebing bukit atau tanah ladang yang mana kedudukannya agak curam. Ia juga bersarang dalam pokok kayu berlubang walau pun kini dilaporkan dalam keadaan semulajadi populasinya sudah jauh berkurang akibat pencerobohan kawasanan asalnya. Berdasarkan pemerhatian beberapa penyelidik, spesis T. Thoracica boleh diambil koloninya untuk dijinakan dan diternak dikawasan kampong yang mempunyai banyak sumber makanan. Kini banyak jenis kelulut ini telah dibiakan dan dijual sebagai spesis kelulut yang produktif dan menjadi rebutan ramai. Beberapa teknologi baru pembiakan atau pemecahan koloni kelulut T. thoracica telah berjaya dilakukan melalui pelbagai cara. Selain daripada teknik menggunakan kayu berlubang sebagai perangkap, teknologi Faif MUSTAFA didapati berjaya melakukannya dengan signifikan dalam pemecahan koloni kelulut. Artikel ini bersambung dengan Part 2 berikutnya. Wasallam.


KELULUT COKLAT..IA THORACICA...
DALAM LUBANG... BINA SARANGNYA...
KERJA... IA MENGUNJUNGI BUNGA...
HASILKAN MADU... AMAT BERGUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomi,
Ladang Herba Nasuha,
KM 16, Jalan Pagoh-Muar,
Muar, Johor,
Malaysia.
(18 Zulkaedah 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...