Support My Blog

Tuesday, September 6, 2011

NILAM

Tanaman Nilam (Pogostemon cablin Benth) merupakan salah satu tanaman dari keluarga LAMIACEAE yang menghasilkan minyak ekstrak untuk dijadikan asas kepada industri minyak wangi. Minyak ekstrak ini juga dikenali sebagai ‘Patchouly Oil’. Minyak nilam bersama dengan 14 jenis minyak ekstrak lainnya adalah komoditi ekspot bernilai tinggi dari penanaman oleh beberapa negara. Tanaman ini native di kawasan Asia Tropika dan kini ditanam secara komersil di China, Indonesia, India, Malaysia (sedikit), Mauritius, Taiwan, Filipina, Thailand, Vietnam dan juga Afrika Barat. Penanaman nilam di Malaysia masih dijalankan pada skala kecil-kecilan dan Syarikat Nasuha di Pagoh, Muar, Johor ada menanam secara komersial untuk diekstrak. Artikel pagi 8 Shawal 1432 H ini saya menulis mengenai teknologi tanaman nilam berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan juga pembacaan dari beberapa sumber.


Laporan dari laman sesawang menunjukkan minyak nilam dihasilkan di Indonesia dan sudah terkenal sejak 65 tahun yang lalu dan Indonesia merupakan salah sebuah negara yang mengekspot minyak ini dengan kualiti tinggi. Jumlah ekspot minyak ekstrak dari negara tersebut terus meningkat pada tahun 2001 sebanyak 5,080 metrik tan dengan nilai USD 52.97 juta atau sebanyak 4.4% nilai perdagangan minyak nilam di dunia. Indonesia merupakan pengekspot minyak nilam dunia terbesar dimana ia membekalkan sebanyak 80-90% dari pengeluaran minyak nilam dunia. Penanaman nilam di negara tersebut dijalankan oleh petani dengan skala kecil-kecilan dan sederhana serta mempunyai kemudahan sistem memproses yang cekap dengan teknologi mudah.


Kajian saya mendapati keperluan minyak nilam (Ada orang sebut sebagai 'Lavender') didunia adalah sebanyak 1,200 ton/tahun dengan kadar pertumbuhan pada kadar 5%. Sebagai komoditi ekspot peringkat dunia, minyak nilam mempunyai prospek yang cukup baik kerana kadar permintaan akan minyak nilam sebagai bahan asas industri minyak wangi (perfume), kosmetik, sabun dan lainnya terus meningkat. Fungsi minyak nilam dalam industri minyak wangi adalah untuk memantapkan (fixation) bahan pewangi dan mencegah pengwapan sehingga bau wangi tidak cepat hilang. Industri minyak wangi di dunia tertumpu di USA, Jepun dan Eropah (Paris merupakan pusat minyak wangi dunia) terus berkembang.


Tanaman nilam sudah lama ditanam dan diperdagangkan dan merupakan sumber mata pencarian petani nilam dibeberapa negara tetapi di Malaysia ianya masih peringkat kecil-kecilan dan belum di eksploit sepenohnya. Dibeberapa negara seperti di Indonesia, India dan China, penanaman nilam masih dijalankan secara kecil-kecilan dan masih berbentuk perladangan berpindah-pindah. Ini disebabkan cara penanaman sementara atau tanaman kontan berpindah-pindah melibatkan kos lebih murah kerana kos pengurusan dan baja kurang , hasil lebih stabil dan kurangkan kadar serangan perosak dan penyakit. Bagaimana pun trend penanam dilokasi tetap telah menjadi amalan apabila harga minyak nilam terus meningkat naik (Hj. Nasuha dakwa kini harga minyak nilam tidak kurang dari RM 16,000 satu kg/liter).


Related articles:
1. Bakawali (Klik disini)
2. Cekur (Klik disini)
3. Pegaga (Klik disini)





Tanaman nilam dapat tumbuh dengan baik pada tanah yang mempunyai ketinggian dari 0 – 1,500 meter di atas permukaan laut dengan taburan curahan hujan antara 2,500 – 3,000 mm se tahun sepanjang tahun. Suhu udara antara 24 – 28 Celsius dengan kadar kelembapan yang tinggi lebih 75%. Cuaca dan iklim di Malaysia memang sangat sesuai untuk tanaman nilam dengan syarat harga bahan mentah dijamin dan menguntungkan petani. Hj Nasuha bayangkan harga kontrak yang ditawarkan sekitar RM 0.40 - RM 0.70 sekilogram pokok basah dan hanya akan mengandungi kadar perahan minyak sebanyak 1.5 - 2.5%% sahaja selepas di ekstrak. Ini bermakna ia jauh lebih murah dari menanam Bayam (Amaranthus sp.) dan Kangkong (Impomea aquatica) dimana saya dapati harga Ladang kedua-duanya pada purata RM 0.80 - RM 1.20/kg.


Menanam nilam tidaklah susah kerana tanaman nilam boleh ditanam dalam pelbagai jenis tanah dan lokasi seperti di pekarangan rumah, tanah sawah, kebun sayur dan kawasan lapang didusun. Namun untuk mendapatkan penghasilan yang tinggi sebaiknya tanaman nilam ditanam pada tanah yang dalam, subur, kaya dengan bahan organik atau humus, berstruktur gembur dan sistem saliran yang baik. Kajian saintis mendapati tanaman nilam yang ditanam dikawasan rendah mempunyai kandungan minyak lebih tinggi dari tanaman nilam pada tanah tinggi. Bagaimana pun kandungan “patchoully alkohol” agak rendah. Tanah yang mengandungi bahan organik yang tinggi dapat memberikan hasil yang lebih baik tetapi tanah yang sering terendam air dengan kelembaban yang tinggi menyebabkan serangan penyakit seperti cendawan (Phytophtora sp) atau pun bakteria.


Pemerhatian di Ladang Nilam Nasuha di Pagoh mendapati tanaman nilam ada tindakbalas terhadap naungan. Tanaman nilam yang ditanam di bawah naungan mempunyai daun lebih lebar dan nipis dengan warna lebih kehijauan tetapi mempunyai kandungan ekstrak minyak yang rendah. Pokok yang ditanam dikawasan terbuka sebaliknya menjadikan pokok kurang rimbun dan rumpun yang lebih kecil, daun lebih tebal dan berwarna kekuning-kuningan sedikit merah namun mempunyai rendemen minyak yang tinggi. Laporan saintis di Indonesia menunjukkan nilam paling sesuai dimajukan dengan keperluan berikut : Ketinggian 100 – 400 dari paras laut, jenis tanah andosol dan latosol, Saliran baik, tekstur lempung, kedalaman air tanah > 100 m, pH tanah 5.5 – 7.0, Karban Organik 2 – 3%, Potasium 16 – 25 ppm, Kaliam > 1,0 me/100mg, CEC 17 me/100mg, Taburan curahan hujan 2,300 – 3,000 mm/tahun, kekerapan hari hujan 120 – 180 hari per tahun, bulan basah 9 bulan, kelembaban 70 – 90% dan suhu 26 Celsius.


Tujuan utama menanam nilam ialah untuk dapatkan ekstrak minyak yang berkualiti bukannya jumlah bahagian pokok yang hendak dituai. Pemilihan benih tanaman dengan mutu genetik lebih dominan dari pada mutu fisiologi atau yang hasil tinggi. Tanaman nilam biasa dibiakan dengan kaedah vegetative iaitu dengan mengambil keratan dari pokok dewasa sedia ada. Benih atau keratan yang baik untuk ditanam harus berasal dari pokok induk yang sehat berasal dari bahan tanaman jenis unggul dan dijamin terbebas dari penyakit dan perosak. Serangan perosak dan penyakit utama menyebabkan kerugian hasil sehingga 100%.


Keratan yang diambil dari bahagian pucuk dengan mengandungi 5 pasang daun dimana dua pasang daun termuda dibuang. Keratan ini mempunyai tiga pasang daun dimana setiap helai daun ditinggalkan separuh (dipotong) lalu keratan ditanam kotak nurseri mengandungi pasir. Celup pangkal kertan dengan Penggalak Akar seperti NAA 500 ppm selama 30 minit. Pastikan menyiram agar nursery tetap lembab sebanyak 2 – 3 kali sehari dan disungkup dengan plastik. Selepas 2-3 minggu keratan sudah mulai keluar akar. Selepas umur satu bulan keratan tadi sudah boleh dipindah ke polibag berisi tanah campuran dan baja asas (Kadar 1 : 1). Masukan keratan dalam polibeg selama 1 – 1.5 bulan dibawah naungan. Anakbenih untuk ditanam keladang mestilah subur dan telah berumur 6 – 12 bulan dimana pucuknya dapat dipotong setiap dua bulan. Potensi hasil keratan pucuk 3 kali ganda lebih banyak dari anakbenih dari keratan batang atau keratan dahan.


Related articles:
1. Mas Cotek Tanah Gambut (Klik disini)
2. Pegaga Embun (Klik disini)
3. Stevia (Klik disini)


Tanaman nilam termasuk tanaman yag memerlukan baja yang cukup tinggi. Hasil analisa menunjukkan pemberian baja menentukan kandungan minyak ekstrak nilam. Tanpa pembajaan pengeluaran hasil akan menurun secara drastik dan masa penuaian akan lebih pendek. Baja dengan kadar 120 kg N + 80 kg P2O5 + 100 kg K2O dapat menghasilkan berat kering 4,058 kg (pada umur tanaman 4 bulan setelah tanam) manakala penghasilan telah meningkat 275% . Penggunaan sungkupan dengan jenis plastik silvershine dilaporkan akan meningkatkan hasil minyak ekstrak nilam sebanyak 160 %– 200%.


Penyediaan tanah untuk penanaman nilam dilakukan sebelum atau bersamaan dengan persiapan anak benih keratan (Jangkamasa sedia anakbenih selamat 1 – 1.5 bulan). Tanah perlu dibajak, dibuat batas (jika perlu) dan dipasang plastic silvershine serta jika ada modal lebih dipasang dengan sistem pengairan (sama ada pengairan titis atau sprinkler). Ini akan meningkatkan kos pengeluaran. Di Indonesia kerja ini mesti murah untuk mendapatkan keuntungaan optima. Jarak tanam yang disyorkan adalah 75 – 100 cm antara barisan dan 50 – 75 cm dalam barisan.


Penanaman dapat dilakukan dengan menanam anakbenih diladang dengan menggali lubang mengikut kesesuaian. Ada petani yang menanam keratan terus diladang dengan meletakkan sebanyak 2 – 3 keratan satu lubang (Pilih keratan yang baik dan ada sistem pengairan). Sebaiknya berikan baja asa dilubang penanam awal satu minggu sebelum menanam. Setelah tanam tanah disekitar tanaman dipadatkan agar anakbenih tidak mudah rebah. Satu bulan setelah anakbenih ditanam maka tunas-tunas baru sudah mulai tumbuh. Penuaian hasil pertama dilakukan apabila berumur 6 – 8 bulan dan akan diteruskan setiap 3 – 4 bulan sampai tanaman berumur tiga tahun. Kerja menuai sebaiknya dilakukan pada pagi atau menjelang malam hari agar kandungan minyaknya tetap tinggi. Jika memetik hasil dijalankan waktu tengahhari berlaku proses fotosintesis menyebabkan kandungan minya kurang, daun kurang elastik dan mudah koyak atau pecah. Penuaian sebaiknya dilakukan sebelum daun nilam menjadi coklat atau warna kemerahan kerana kandungan minyak sudah berkurang.


Kajian mendapati yang kandungan minyak paling tinggi terdapat pada 3 pasang daun termuda yang masih berwarna hijau. Alat untuk menuai biasanya menggunakan sabit dengan cara memangkas tanaman pada ketinggian 15 – 30 cm dari permukaan tanah. Ada baiknya kalau setiap kali memetik hasil ditinggalkan satu tanaman terus tumbuh untuk merangsang tumbuhnya tunas-tunas baru pada fasa selanjutnya. Hasil pangkasan dipotong-potong sepanjang 3 – 5 cm kemudian dijemur selama 1 – 2 hari atau dijemur 5 jam dan dikering anginkan selama 2 – 3 hari untuk mengurangi kadar airnya sampai 15%. Tebal lapisan penjemuran sekitar 50 cm dan harus dibalik 2 – 3 kali sehari.Daun yang telah cukup kering dapat disimpan atau dilakukan penyulingan. Elakkan proses pengeringan yang terlalu cepat atau terlalu lambat. Pengeringan yang terlalu cepat membuat daun menjadi rapuh dan sukar disuling. Kalau terlalu lambat seperti musim hujan maka daun menjadi lembab dan mudah terserang cendawan sehingga mutu minyak yang dihasilkan rendah.


Penghasilan tanaman nilam bergantung pada jenis/varieti yang ditanam, keadaan tanah dan kadar pertumbuhan tanaman. Laporan menunjukkan hasil yang baik dapat mencapai 15 – 20 metrik tan/ha daun basah atau 5 metrik tan/ha daun kering. Dengan kandungan minyak nilam pada kadar 2.5 – 4.0 % di Indonesiamaka hasil ekstrak minyak nilan dijangka sebanyak 100 – 200 kg/ha/tahun. Pemerhatian saya mendapati bahawa penghasilan minyak nilam dari Ladang Herba di Pagoh Muar dan Kajian MARDI di Stesyen Linggi, Melaka agak rendah iaitu cuma 1.5-2.5% sahaja.


Tanaman nilam secara berpindah–pindah di Indonesia yang dijalankan oleh ramai petani selama ini dianggap lebih menguntungkan kerana tidak memerlukan kos baja dan sistem pengairan. Hasil sebanyak 5 metrik tan daun kering/ha/tahun dan harga RM 0.80 /kg di Indonesia dimana hasil penjualan daun kering sebesar RM 3.00 dengan kos pengeluaran sekitar RM 2.45 maka pendapatan petani sebesar RM 4,600/ha/tahun pada tahun pertama. Pada tahun ke II dan ke III pula menjadi kurang dan pendapatan akan meningkat. Jika petani mempunyai kemudahan untuk memproses sendiri daun nilam secara konvensional maka pendapatan petani akan meningkat. Mana tahu penanaman nilam di Malaysia akan menjadi satu pilihan oleh usahawan minyak nilam pada masa akan datang? Diharap artikel ini dapat memberikan sedikit maklumat mengenai teknologi tanaman nilam kepada pembaca blog ini.


TANAMAN HERBA…ADA POKOK NILAM…
MUDAH DITANAM…MINYAK DIHASILKAN…
PERMINTAAN TINGGI….HARGA LUMAYAN….
TUNGGU APA LAGI…MARI KITA MULAKAN…


Related articles from this blog :
1. Pokok Kadok (Click here)
2. Neem (Click here)
3. Asam Jawa (Click here)
4. Cili Padi (Click here)
5. Serai (Click here)




By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(10.20 pagi, 8 Shawal 2011)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...