Support My Blog

Friday, March 21, 2014

VARIETI - DUKU, DOKONG DAN LANGSAT

DUKU, DOKONG dan LANGSAT (Lansium domesticum) merupakan sejenis buah-buahan bermusim di Malaysia yang ditanam daripada keluarga Meliaceae. Kumpulan yang sama dengan dokong adalah seperti Duku, Langsat, Duku-Langsat dan Duku Johor. Walau pun setakat ini belum ada varieti atau klon yang disyorkan untuk penanaman tetapi beberapa klon telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian. Keluasan bagi penanaman Dokong, Duku dan Langsat di Malaysia adalah 16,130 hektar yang menghasilkan 32,400 metrik tan pada 2012 (Sumber: Laporan Statistik Jabatan Pertanian 2013). Kajian penulis menunjukkan kawasan utama penanaman pokok dokong di Malaysia adalah di Daerah Gua Musang, Kelantan (2,040 ha) diikuti dengan Daerah Kuala Krai (1,950 ha) dan Daerah Jeli, Kelantan (1,438 ha). Dokong ditanam agak luas juga dinegeri-negeri lain seperti di Terengganu, Perak, Pahang dan Johor. Bagi buah duku pula, ia banyak ditanam di Terengganu (Duku Terengganu) dan di Johor (Duku Johor). Tanaman langsat tidak banyak dilaporkan didalam penerbitan rasmi pihak berkaitan kerana jumlahnya adalah kecil. Mungkin ramai antara kita yang keliru dengan Duku-Langsat kerana tiada kepastian akan buah ini. Saya yang mengetuai pasukan pemeriksaan buah-buahan mendapati buah duku langsat hanya pada sebutan sahaja dan sepatutnya dipisahkan kepada buah duku dan buah langsat. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai senarai varieti tanaman duku, dokong dan langsat untuk tatapan pembaca berdasarkan pengalaman, pembacaan dan juga rujukan beberapa buku teknikal.


Jadual 1 diatas menunjukkan 4 jenis duku yang terdapat di Malaysia dimana hanya 1 varieti sahaja yang telah didaftarkan dalam senarai pendaftaran varieti. Duku varieti DL2 (Duku Terengganu) telah didaftarkan pada tahun 1998 dan dipercayai berasal daripada Kelantan. Selain itu buah duku varieti Duku Johor, Duku Kelantan dan Duku Palembang masih belum didaftarkan oleh mana-mana pihak. Pokok duku adalah berbentuk rendang, padat dan bercabang rendah (0.3 – 1.5 m) dari aras tanah. Bentuk kanopi agak bulat bujur atau bujur melebar. Bentuk buahnya bulat, berkulit tebal dan tidak bergetah. Saiz buah duku lebih besar daripada langsat dan duku langsat, iaitu 3.5 – 5.0 cm garis pusatnya. Kulit buahnya berwarna perang atau kuning keperangan apabila masak. Isinya berjus dan kebanyakannya berasa manis, tetapi ada juga jenis yang agak masam. Saya banyak juga menulis mengenai tanaman duku sebelum ini Buah Duku (Sila klik disini) dan Duku - Cara memetik (Sila Klik disini). Buah duku dikeluarkan sekitar bulan Julai - September mengikut lokasi dan keadaan pengurusan kebun.



Jadual 2 diatas menunjukkan 6 jenis dokong yang terdapat di Malaysia dimana hanya 3 varieti sahaja yang telah didaftarkan dalam senarai pendaftaran varieti. Duku varieti DO1 (Dokong Tempatan), DO2 (Dokong Kering) daqn DO3 (Kongkosan) telah didaftarkan pada tahun 1989 dan 1992 dipercayai berasal daripada Pahang, Thailand dan Selangor. Selain itu buah dokkong varieti Dokong Air dan Dokong Biji Butir masih belum didaftarkan oleh mana-mana pihak.  Dokong yang dipercayai berasal dari Thailand dan kini banyak terdapat di beberapa negeri seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ciri-ciri buah dokong adalah dari ciri pertengahan iaitu di antara duku dan langsat. Walau bagaimanapun, buah dokong mempunyai rasa yang lebih enak dan lebih manis dibandingkan dengan langsat dan duku. Duku mempunyai isi yang agak kering manakala dokong mempunyai isi yang lebih berair. Bentuk buahnya bujur panjang, berkulit nipis dan tidak bergetah. Pokok dokong mempunyai kanopi berbentuk bujur atau lanseolat. Cabang pertamanya pada 0.5-2.0m dari aras tanah. Buahnya hampir bulat atau obovat. Warna buahnya kuning pucat apabila masak. Daunnya berbentuk elips obovat. Buah dokong berbentuk obovat dan berwarna kuning gelap apabila matang. Saya benyak menulis mengenai buah dokong sebelum ini dimana anda boleh baca pada pautan berikut iaitu Bahan Tanaman Dokong (Sila Klik disini), Agronomi Tanaman Dokong (Sila klik disini), Penuaian Hasil Dokong (Sila Klik disini) dan Dokong Chantaburi (Sila klik disini). Kesemua artikel tersebut mampu memberikan lebih mendalam mengenai buah dokong. 


Jadual 3 diatas menunjukkan 4 jenis langsat atau Duku Langsat yang terdapat di Malaysia semua varieti telah didaftarkan dalam senarai pendaftaran varieti. Duku varieti DL1 (Duku Langsat Koria) telah didaftarkan pada tahun 1989 dan DL2 (Duku Langsat Terengganu) berasal dair Selangor didaftarkan pada 1989. Selain itu buah duku langsat varieti LA8 dan LA9 pernah didaftarkan tetapi tidak ada maklumat berkaitan varieti ini. Pokok langsat atau duku langsat tumbuh menegak dengan ketinggian 9-10 meter dari aras tanah. Kanopi kecil berbanding dengan pokok duku (kanopi paling luas) dan dokong (kanopi sederhana luas). Warna daun pucat dan ketebalan lai daun yang nipis. Saiz batang lebih kecil berbanding dengan duku dan dokong. Kulit buah langsat mempunyai cecair seperti getah pada peringkat muda dan matang. Ketebalan kulit juga nipis berbanding duku dan dokong. Jambak buah mempunyai kepadatan menyerupai dokong tetapi saiz setiap biji buah adalah lebih kecil dan tangkai buah yang agak pendek. Warna buah yang masak adalah kuning yang digelar ‘kuning langsat’. Buah yang belum cukup masak mempunyai rasa yang lebih masam berbanding dengan duku dan dokong. Saya ada menulis mengenai buah langsat sebelum ini (Sila klik disini). Setiap biji langsat mempunyai isi yang agak berair dengan rasa manis setelah masak ranum (bacaan brix meter 16°-18°). Setiap buah mempunyai antara satu hingga dua biji yang amat pahit jika digigit berbanding duku dan dokong. Pada keseluruhannya hasil pengeluaran buah langsat adalah rendah berbanding dengan duku dan dokong. Selamat menanam dan makan buah-buahan tempatan dimusim buah tahun ini. Wasallam!.



VARIETI DUKU, DOKONG... DAN LANGSAT...

KURANG MAKLUMAT... PERLU KENA SIASAT..
TANAM DIMANA... VARIETI PERLU TEPAT...
MUSIM BERBUAH ... PASTI AMAT LEBAT...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Kg Kesang Laut,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(16 Ramadan 1434H)
Kemaskini pada 20 March 2014

Thursday, March 20, 2014

VARIETI - JAMBU BATU DI MALAYSIA

Jambu Batu (Psidium guava) merupakan sejenis buah yang popular di Malaysia terutama di sekitar tahun 80'an di Perak sebagai satu komoditi utama. Pada masa itu jambu batu ditanam diatas tanah mineral atau tanah pasir bekas lombong di sekitar Bidor Daerah Batang Padang, Perak. Kini tanaman Jambu batu ditanam diseluroh negara dengan negeri utama seperti Johor, Selangor dan Pahang. Di Negeri Johor seluas 409 hektar jambu batu ditanam tahun 2008 dengan Daerah Muar direkod menanam 241 hektar (60% dari keluasan Johor) dengan anggaran pengeluaran sebanyak 8,000 mt/tahun. Saya dapati antara jenis yang popular ditanam di Daerah Muar / Ledang ialah GU 8 atau dipanggil Kampuchea oleh petani tempatan. Terdapat 2 bentuk buah iaitu Oval dan bulat. Jabatan Pertanian telah mendaftar sebanyak 15 jenis Klon Jambu Batu pada tahun 2005 iaitu dari Klon GU 1 sehingga Klon GU 15 dimana Klon GU 1-GU 11 adalah klon jambu batu berbiji dan Klon GU 12- GU 15 jambu tanpa biji. Rekod menunjukkan Jabatan Pertanian mengesyorkan cuma Klon GU 8 ,Klon GU 9 dan GU 10 (Berbiji) dan tidak mengesyorkan semua jenis jambu tanpa biji atas kestabilan pokok tersebut dan pakej teknologi yang tak lengkap. (Foto jambu tanpa biji di bawah). Anda boleh membaca mengenai artikel jambu batu yang saya tulis sebelum ini Jambu Batu - Potensi proses (Sila Klik Disini) dan Jambu Batu (Sila Klik disini). Artikel kali ini saya menulis pengalaman saya dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa varieti jambu batu yang ujud di Malaysia untuk dijadikan maklumat sebagai bacaan dan rujukkan anda.


Penulis di Ladang jambu Varieti Lohan.
Jambu batu ialah tanaman yang tahan lasak dan mudah dijaga. Saiznya kecil iaitu dari 2-10m sahaja tingginya dan tempoh vegetatifnya juga pendek. Pokok Jambu Batu berbuah tahun pertama atau tahun kedua selepas ditanam. Pokok jambu batu berbunga dan berbuah lebat hampir sepanjang tahun. Untuk mendapatkan buah yang agak besar, penjarangan bunga atau putik buah yang berlebihan perlu dilakukan. Batang pokok jambu batu berwarna hijau keperangan, kulit luarnya berkeping-keping nipis dan tanggal dari masa ke semasa menampakkan lapisan yang licin di bawahnya. Bunga jambu batu berwarna putih dan cantik oleh stamen yang banyak. Bunganya sama ada tunggal atau berkelompok 3-5 kuntum di celah daun atau di hujung ranting muda. Buah jambu batu jenis beri dan berbiji banyak. Bentuknya bulat, bujur seperti buah pir. Tempoh matang (sesuai untuk dipetik) bagi jambu batu daripada berputik ialah 2-3 bulan. Kini terdapat juga varieti jambu batu tanpa biji. Kebanyakan jenis mempunyai kulit buah berwarna hijau kekuningan. Isinya berwarna putih, krim atau merah jambu. Isinya lembut tetapi diselangi biji yang kecil dan keras. Selain itu, terdapat juga variti jambu batu isinya bewarna merah jambu yang telah dikomersilkan menjadi jus jambu batu. Anda boleh baca mengenai Jambu Batu Merah (Pink Guava) dalam artikel saya sebelum ini Pink Guava di Malaysia (Sila Klik disini), Pink Guava produknnya (Sila klik disini) dan Guava Clones (Sila klik disini). Malaysia merupakan salah satu negara pengeluar signifikan produk jambu batu merah didunia oleh syarikat Sime Darby Food and Bevereages yang mempunyai ladang lebih 1,200 hektar di Perak. 


Jadual 1 diatas saya paparkan 14 varieti jambu batu yang telah didaftarkan didalam senarai pendaftaran varieti tanaman. Saya dapati varieti GU3 (Jambu Kapri) telah didaftarkan pada tahun 1951 yang berasal dari Perak. Tiada maklumat mengenai Nombor Daftar GU1 dan GU2 didapati dimana mungkin ia telah pupus setelah begitu lama didaftarkan akibat serangan perosak atau masaalah lain. Pada masa ini varieti jambu batu paling luas ditanam adalah GU8 (Jambu Batu Kampu-chea) dan varieti paling terakhir adalah GU 16 (Jambu Batu Lo Han atau juga dipanggil Jambu Batu Giant). Artikel mengenai Jambu Batu Lo Han telah saya tulis sebelum ini dan boleh dirujuk untuk mengatahui akan kehebatannya 'Jambu Batu Lo Han' (Sila Klik Disini). Jambu Batu merupakan buah yang banyak khasiat dan perlu penjagaan rapi untuk mempastikan hasilnya banyak dan berkuaiti. Selain dimakan segar, jambu batu kini diproses untuk dijadikan makanan ringan dan juga jus jambu batu. Produk jambu batu segar dipromosikan sebagai Jambu Batu 88, Jambu Batu 99 dan banyak lagi yang menjuak jambu batu segar secara franchais. Selin daripada kangungan vitamin dan mineral yang tinggi, jambu batu juga memounyai pelbagai kelebihan untuk dimakan oleh rakyat Malaysia. Semuga anda mendapat info berguna didalam sektor pertanian khususnya untuk varieti jambu batu. Wasallam!.


SEBANYAK 16..VARIETI JAMBU BATU...
PALING POPULAR... 'LO HAN' IA BARU...
JENIS KAMPUCHEA... HASIL TINGGI...
RANGUP MANIS... BUAH BERKUALITI...

By,
M Anem 
Senior Agronomist,
Ladang Jambu, Kelompok Jambu Kg Solok 3,
Jalan Solok, Tangkak,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(17 Ramadan 1434H)
Kemaskini pada 20 Mac 2014

Wednesday, March 19, 2014

VARIETI - KELAPA DI MALAYSIA

KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Arecaceae (dulu dinamakan keluarga Palmae) yang tumbuh di Malaysia dan dianggap sebagai tanaman penting. Ia juga merupakan satu jenis tanaman atau aktiviti pertanian yang dilaksanakan oleh ramai petani tradisional di Malaysia semenjak berkurun dahulu. Sejarah tanaman kelapa bermula kebanyakannya untuk kegunaan sendiri dimana kawasan utama penanaman adalah dikawasan persisir pantai dan sebagai tanaman keliling rumah. Pada masa ini terdapat seluas 110,000 hektar kawasan tanaman kelapa di Malaysia (Perangkaan Jabatan Pertanian 2011) dengan pengeluaran sebanyak 527,422 metrik tan kelapa. Keluasan ini adalah berkurangan jika dibandingkan dengan keluasan tanaman kelapa pada tahun 2005 seluas 121,011 hektar, tahun 2007 (119,701 ha) dan menurun lagi kepada tahun 2009 (100,362 hektar). Penurunan luas kawasan penanaman kelapa kerana ramai petani tradisional telah menukarkan tanaman kelapa kepada tanaman kelapa sawit yang lebih mudah diuruskan dan menguntungkan. Beberapa estet swasta yang dahulu menanam kelapa seperti di Perak, Melaka, Sabah dan Johor juga telah menukar tanaman kelapa kepada tanaman kelapa sawit. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa varieti tanaman kelapa di Malaysia berdasarkan laporan daripada sumber rasmi dan pengalaman penulis sendiri.


Kelapa merupakan sejenis tumbuhan palma tunggal. Satu pokok terhasil daripada sebiji buah. Pokok Kelapa terbahagi kepada 2 jenis iaitu Kelapa Tinggi dan Kelapa Rendah. Secara botani, buah kelapa merupakan "buah kering" yang dikenali buah drup. Mesokarpa terdiri daripada gentian yang dikenali sebagai sabut dan terdapat tempurung (endokarpa). Tempurung keras mempunyai tiga liang percambahan yang jelas kelihatan di permukaan luar apabila sabutnya dibuang. Melalui salah satu darinya pucuk keluar apabila embrionya bercambah. Kebiasaannya, buah kelapa muda boleh diminum terus dan buah tua dijadikan santan. Jambak bunga pula boleh ditoreh bagi menghasilkan air nira untuk diminum segar atau dijadikan gula Melaka.

Jadual 1 diatas menunjukkan 16 varieti kelapa yang baru sahaja selesai proses pendaftaran oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Varieti kelapa tidak seperti varieti buah-buahan semua didaftarkan sekitar bulan Jun 2013 selepas proses untuk mendokumenkan pencirian varieti kelapa mengikut standard antarabangsa UPOV iaitu kaedah pencirian DUS (Distinctiness, Uniformity dan Stability) selesai dijalankan. Paling dominan varieti kelapa yang lama di tanam di Malaysia adalah Varieti CN1 (Kelapa Malayan Tall) yang mempunyai pokok yang tinggi dan hasilnya sederhana serta lasak. Kelapa jenis renek lazim banyak digunakan untuk pembiakbakaan dan juga tanaman hiasan (ornamental) seperti Varieti CN4 (Malayan Red Dwarf), CN5 (Malayan Yellow Darf) dan juga lain-lain varieti. Sejenis kelapa tinggi jenis kumpulan varieti Tagnanan sering digunakan sebagai bahan baka untuk menghasilkan kelapa hibrid Matag. Kelapa Tagnanan mempunyai CN7 (Tagnanan Green), CN8 (Tagnanan Orange) dan CN9 (Tagnanan Gold). Kelapa pandan yang dibawa masuk daripada Thailand didaftarkan dengan nombor rujukkan CN 6 (Kelapa Pandan) khusus untuk diambil airnya bagi diminum segar. Bagi CN10, CN11 dan CN12 dimiliki oleh kelapa dari varieti Rennel. Kelapa Matag mempunyai 3 varieti yang sesuai ditanam iaitu CN13 (Matag Green), CN14 (Matag Orange) dan CN15 (Matag Gold). Senarai terakhir dalam varieti kelapa adalah CN16 (Varieti kelapa SGG) atau kelapa yang 'mutant' di Kg Sungai Gulang-gulang, Batu Pahat Johor sebagai varieti baru. Varieti Tacunan yang popular di Sabah dan Filipina juga masih belum didaftarkan di dalam senarai diatas. Semuga artikel ini memberikan pendedahan kepada anda semua mengenai varieti pokok kelapa di Malaysia. Wasallam!



VARIETI KELAPA... 16 SEMUANYA...
ADA YANG TINGGI...RENDAH JUGA...
KELAPA MATAG... AMAT TERKENAL...
SYOR DITANAM...BENIHNYA MAHAL...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Pusat Pertanian Ulu Dusun,
Sandakan, Sabah,
Malaysia
(22 Julai 2013) 
Kemaskini pada 19 Mac  2014

VARIETI - LIMAU KASTURI

Limau Kasturi (Citrus microcarpa) adalah sejenis tanaman dari keluarga Rutaceae iaitu Keluarga Limau. Limau Kasturi juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Calamansi, Acid Orange, Panama Orange dan Calamodin Orange. Tanaman ini banyak didapati dan ditanam di Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina, Indonesia dan lain-lain lagi. Keluasan tanaman Limau Kasturi di Malaysia direkodkan seluas 1,109 ha (2006) telah menurun kepada cuma 640 hektar (2009) dan anggaran pada 2010 cuma 700 hektar sahaja. Jumlah pengeluarannya juga menurun daripada 6,486 mt (2006) kepada cuma 5,380 mt pada tahun 2009. Penurunan pada keluasan tanaman limau kasturi ini mungkin disebabkan oleh bencana alam (Banjir 2006/ 2007 yang musnahkan banyak tanaman di Muar, Batu Pahat, Kota Tinggi, Pontian dsb), Masaalah Serangan Penyakit CGD, Masaalah harga Pasaran dan sebagainya. Artikel subuh Isnin ini selepas bersahur, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu tajuk mengenai beberapa varieti tanaman Limau Kasturi yang telah direkodkan dalam National Listing untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan anda semua.

Pokok limau kasturi adalah kecil iaitu mencapai ketinggian 4m dimana ia mempunyai sistem percabangan yang tersebar. Kebiasannya pokok ini tidak berduri. Daun-daunnya kecil, 3-6cm panjang manakala tangkainya kira-kira 1cm, berbentuk sayap yang sangat kecil atau tiada lansung. Hujung daun tumpul atau tirus sedikit dan tepinya bergerigi. Bunganya kecil iaitu kira- kira 2cm lebar, mempunyai lima kelopak yang berwarna putih dan berbau wangi. Bunga-bunga ini dikeluarkan dalam kelompok 5-6 kuntum dihujung atau dicelah daun. Buahnya kecil 2.0-3.5cm berbentuk bulat, hijau semasa muda tetapi apabila masak bertukar menjadi kuning. Kulit buah nipis. Ada beberapa jenis limau kasturi iaitu mempunyai kulit buah yang licin dan ada pula yang agak kasar. Isinya berwarna kuning hingga jingga pucat dan mempunyai rasa jus yang masam. Setiap buah mempunyai 6-8 ulas yang mudah diasingkan. Kebanyakkan mempunyai biji yang kecil dan terdapat juga jenis yang sedikit bijinya


Hanya 2 varieti Limau Kasturi yang didaftarkan di Malaysia sehingga kini untuk jenis limau kasturi makan. Terdapat banyak jenis limau kasturi untuk hiasan (ornamental tree) seperti Kalamansi Tree yang popular semasa sambutan Tahun Baru Cina. Limau Kasturi Varieti LK1 (Kasturi Hijau) telah didaftarkan pada tahun 1990 yang ditanam masa itu di Negeri Selangor. Varieti LK2 (Kasturi Langkap) sesuai dengan namanya berasal dari kawasan Langkap, Perak didaftarkan pada tahun 1990. Setakat ini belum ada varieti yang telah dibuat pengesyoran varieti. Limau Kasturi sering digunakan untuk dijadikan penyedap makanan (diperah ketika makan mee goreng, ikan masin, sambal kicap) dan juga dibuat jus minuman atau diproses untuk pelbagai jenis makanan ringan. Terdapat banyak limau kasturi yang diproses menjadi halwa, jeruk dan juga makanan ringan lain. Saya memang sentiasa menanam beberapa pasu limau kasturi dalam pasu dikawasan keliling rumah untuk kegunaan sendiri tetepi tidak pasti sama ada ia LK1 atau LK2 atau varieti yang belum didaftarkan lagi. Wasallam!. 


Varieti Limau Kasturi apakah ini?.....
VARIETI LIMAU KASTURI... SEDIKITNYA...
KASTURI HIJAU .... 1990 DAFTARNYA...
KASTURI LANGKAP... PERAK ASALNYA...
SENANG DITANAM... DALAM PASU SAJA..

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Kuarters Precint 11, 
Putrajaya,
WP, Malaysia.
(19 Ramadan 1434H)
Kemaskini pada 18 Mac 2014

Tuesday, March 18, 2014

VARIETI - CIKU DI MALAYSIA

CIKU (Achras sapota Linn) atau (Manikara sapota Mill) adalah sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Sapotaceae yang tumbuh dinegara kita Malaysia. Nama Ciku di Indonesia dikenali sebagai Buah SAWO. Kajian saya mengenai statistik mendapati keluasan tanaman ciku di Malaysia pada tahun 2012 adalah sebanyak 1,115 hektar dengan hanya sekitar 515 hektar sahaja yang menghasilkan buah. Sebanyak 6,050 metrik tan ciku dihasilkan pada tahun 2010 yang bernilai sekitar RM 18,149,940 (atau mudahnya disebut RM 18.1 juta). Anggaran purata hasil tanaman ciku di Malaysia adalah sebanyak 11.7 mertik tan sehektar. Tanaman ciku banyak di Pahang (226 hektar), Johor (176 ha), Kelantan (173 ha), Terengganu (145 ha), Selangor (104 ha) dan Kedah (128 ha). Lain-lain negeri ada menanam ciku kurang dari 100 hektar CHE. Pasaran ciku kebanyakannya adalah untuk pasaran domestik sahaja walau pun ada sebahagian kecil yang diekspot ke Singapura dan Brunei. Artikel pada pagi Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai varieti ciku yang telah didaftarkan didalam senarai pendaftaran varieti untuk makluman dan rujukkan anda semua. 



Jadual 1 diatas saya paparkan sebanyak 21 varieti buah ciku yang telah didaftarkan dalam senarai pendaftaran varieti nasional. Berapa ramai diantara kita pernah mencuba menanam semua varieti ciku diatas?. Dimanakah kita hendak mendapatkan anak benih semua ciku yang telah disenaraikan diatas?. Kalau hendak menanam ciku secara komersil, apakah varieti yang paling sesuai, dimana ia mudah diuruskan, berhasil tinggi dan pulangan yang paling menguntungkan?. Itu antara beberapa persoalan yang mungkin kita fikir setelah membaca artikel ini. Jadual 1 juga menunjukkan ia dimulakan dengan varieti C4 yang telah tiada maklumat dalam senarai. Dimanakah varieti tanaman buah ciku daripada daftar C1 sehingga C29 yang tiada dalam daftar. Berkemungkinan ciku yang tiada dalam daftar telah 'pupus' atau berlaku cara lain (mungkin ditolak semasa pendaftaran) didalam sistem pendaftaran ciku. Ciku C4 iaitu varieti Liew Kiow didaftarkan pada tahun 1937 berasal dari Pulau Pinang. Varieti seterusnya adalah C53 (Ciku Negeri Sembilan) yang didaftarkan pada tahun 1949 berasal dari Johor. Ini diikuti dengan Ciku C54 (Ciku Bentong), C55 (Ciku Sawa) dan C56 (Ciku Kelantan). 

Ciku yang didaftarkan sekitar tahun 1970'an adalah C61 (Ciku Betawi), C62 (Ciku Jantung) dan C63 (Ciku Subang). Dua varieti ciku iaitu C62 dan C63 telah diluluskan didalam pengesyoran varieti tanaman ciku di Malaysia semenjak lama dahulu lagi. Saya dapati beberapa varieti ciku baru ada didaftarkan selepas era tahun 2000 seperti Ciku Mega CM19 (C64), Ciku Raja (C65), Ciku Kerasoi (C66), Ciku Ampang Tinggi (C67) dan Ciku Kampuchea (C68) semuanya didaftar pada tahun 2012. Bagi varieti baru ini akan dijalankan kajian VCU bagi menentukan sama ada ianya boleh disyorkan untuk penanaman komersil di Malaysia. Penanaman ciku lazimnya kurang diminati oleh petani kerana menghadapi masaalah kelewatan dalam menunggu untuk menuai hasil kerana ia memerlukan peringkat vegetatif agak lama. Bagaimana pun beberapa teknologi didapati mampu mempercepatkan jangka menuai hasil. Selamat mencuba!.
VARIETI CIKU ... 21 SEMUANYA....
ADA POPULAR...LAIN MACAMANA...
DAPAT MAKLUMAT..TANYA SIAPA...
MINAT MENCARI... VARIETI APA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Stesyen Pertanian Ampang Tinggi,
Daerah Kuala Pilah, Kuala Pilah,
Negeri Sembilan,,
Malaysia
(Ditulis pada 16 Ramadan 1434H)
Kemaskini pada 18 Jamadilawal 1435H

Monday, March 17, 2014

VARIETI - BELIMBING DI MALAYSIA

BELIMBING (Averrhoa carambola) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang mengandungi banyak nutrien untuk kesihatan manusia terutama mereka yang menghadapi masaalah tekanan darah tinggi dan kencing manis. Terdapat seluas 1,310 hektar tanaman belimbing di Malaysia pada tahun 2012 (Laporan Buku Statistik Jabatan Pertanian Malaysia) dengan kawasan utama pengeluaran sekitar Selangor, Negeri Sembilan , Pahang dan Johor. Buah belimbing mempunyai kulit yang sangat lembut dan amat disukai oleh Lalat Buah (Bactocera carambolae) atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai 'Fruit Fly'. Sejenis lagi lalat buah dari spesis dipanggil sebagai Daucus sp yang juga menyerang buah belimbing. Buah belimbing perlu dibalut bagi mengatasi masaalah serangan lalat buah agar tidak dirosakkan dan boleh dijual untuk pasaran ekspot atau pasaran domestik. Terdapat banyak varieti belimbing yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia dan dimasukkan didalam National Listing. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai varieti belimbing yang ujud dalam sistem pendaftaran varieti tanaman di Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan semua yang berminat.



Terdapat sebanyak 22 varieti buah belimbing yang telah pun dikenalpasti di Malaysia tetapi hanya 19 varieti belimbing sahaja yang telah didaftarkan dalam National variety listings. Dua lagi varieti yang tidak didaftarkan adalah varieti BP1 dan BP2 yang ada ditanam dalam petak Pusat Repositori Stesyen Pertanian Air Hitam, Batu Pahat, Johor. Merujuk kepada Jadual diatas, Varieti pertama belimbing iaitu Varieti B1 didaftarkan pada tahun 1937 iaitu varieti Yong Toh Yin yang berasal dari Perak. Varieti B2 pula adalah MAHA 66 yang merupakan varieti yang disyorkan untuk ditanam sebagai khas untu membekal debunga atau  'pollinator variety'. Varieti B10 (tiada nama khas varieti) yang berasal dari Negeri Selangor merupakan varieti paling popular serta disyorkan ditanam didaftar pada tahun 1968 untuk pasaran domestik dan pasaran ekspot.Varieti B10 merupakan varieti yang paling banyak ditanam di Malaysia. Varieti B17 iaitu Belimbing Madu didaftarkan pada 1988 merupakan varieti yang disyorkan dengan kualiti yang manis dan berasal dari Triang, Pahang. 



Tanaman belimbing banyak berada di Selangor dan sedikit di Pahang dan Perak. Teknologi tanaman belimbing secara komersil telah banyak di sesuaikan diantara varieti B10, B17 dimana pokok varieti B2 sering digunakan sebagai sumber debunga kepada varieti B10 dan B17. Saya ada menulis mengenai teknologi tanaman belimbing sebelum ini (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Ini disebabkan faktur keserasian (compatibility) antara kombinasi bunga belimbing tersebut adalah perlukan percampuran pokok dalam ladang komersil. Penanaman pokok belimbing varieti B2 boleh dibuat dengan selang seli dengan pokok belimbing varieti B!0 atau B17 atau dibuat cantuman dewasa pada setiap dahan pokok belimbing. Gambar dibawah menunjukkan 3 varieti belimbing yang ditanam di Malaysia untuk pasaran domestik dan ekspot. Malaysia merupakan salah satu negara didunia yang banyak menanam buah belimbing untuk pasaran ke Eropah. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada rakan-rakan semua. Wasallam! 



VARIETI BELIMBING...19 SEMUANYA...
ADA YANG MASAM... MANIS PUN ADA ...
HANYA 3 VARIETI... POPULAR ADANYA...
PUSAT PERTANIAN...REPOSITORINYA..

By,
M Anem
Senior Agrologist
Petak Repositori Tanaman Belimbing, 
Stesyen Pertanian Jabatan Pertanian,.
Air Hitam, Johor, 
Malaysia
(12 Ramadan 1434H)

Sunday, March 16, 2014

VARIETI - CEMPEDAK DI MALAYSIA (Part 2)


CEMPEDAK (Artocarpus chempeden syn Artocarpus integer) merupakan sejenis buah tropika bermusim yang popular di tanam di Negara-negara Asia Tenggara seperti di Malaysia. Cempedak merupakan buah dari kelurga Keluarga Moraceae memang natif di Asia Tenggara terutamanya dari Malaysia kerana nama botaninya membawa kepada 'cempeden' atau dekat dengan 'cempedak'. Cempedak ditanam secara monokrop atau secara dusun campuran dengan tanaman lain sebagai dusun bercampur. Terdapat seluas 11,050 hektar tanaman cempedak dengan hasil sebanyak 53,010 metrik tan di Malaysia berdasarkan laporan oleh Jabatan Pertanian Malaysia (2012). Kebanyakan tanaman cempedak ditanam di Johor, Pahang, Sabah, Sarawak dan juga Perak. Berdasarkan kajian penulis, kebanyakan varieti cempedak yang ditanam adalah jenis tempatan yang benihnya dibeli daripada pihak nurseri swasta, bantuan dari Jabatan Pertanian atau rakan sekampong yang menanam cempedak. Buah cempedak bermusim dan lazimnya akan menghasilkan buah dari bulan Jun - Ogos setiap tahun bergantung kepada lokaliti. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai varieti cempedak yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia untuk dijadikan rujukkan dan bacaan anda semua. Terdapat 29 varieti cempedak yang ada di Malaysia dimana sebanyak 25 varieti telah didaftarkan dan 4 varieti belum didaftarkan. Daripada jumlah tersebut 3 varieti teah lulus Jakuasa Pengesyoran Varieti Tanaman.

Jadual 2 diatas menunjukkan 12 lagi varieti daripada 25 varieti yang telah didaftarkan.Jadual diatas menunjukkan varieti cempedak CH26 iaitu varieti Paya Jaras yang amat popular ditanam dikalangan petani. Anda boleh baca artikel cempedak mengenai klon buah-buahan popular ditulis sebelum ini (Sila klik disini). Seterusnya adalah CH27, CH28 dan CH37 yang didapati dan dipercayai telah pupus daripada simpanan kerana pokok telah tidak dapat dikesan lagi. Mengikut rekod, 3 varieti yang telah disyorkan adalah CH28, CH30 dan CH33 dan terdapat kekeliruan dengan data diatas dimana CH28 adalah diberi nama Paya Jaras yang mungkin disyorkan. Ch30 adalah varieti diberi nama Kuang 5 yang disyorkan untuk dikomersilkan bersama CH33 iaitu varieti Chin yang juga disyorkan. Pada masa ini cempedak CH35 dan CG36 merupakan varieti yang belum begitu popular ditanam di Malaysia. Beberapa varieti yang belum didaftarkan dalam senarai 'National Listing' adalah seperti varieti ST5, Air Mas dan Cempedak Durian. Saya terlibat dalam mendaftarkan varieti Cempedak Durian dengan KU Hortikultur Perak dan anda boleh baca mengenainya dalam artikel yang saya tulus (Sila klik disini). Senarai diatas merupakan beberapa kajian semula yang saya dapat kutip daripada buku-buku dan risalah lama di Jabatan Pertanian Malaysia. Mungkin maklumat ini boleh diperbaiki lagi dengan menggabungkan maklumat yang ada di Jabatan Pertanian Sarawak dan Jabatan Pertanian Sabah untuk dijadikan maklumat nasional yang lebih baik. Semuga anda mendapat info yang berfaedah dengan anda membaca maklumat disini. Wasallam!.



VARIETI CEMPEDAK...29 SEMUANYA...
ADA YANG PUPUS...TINGGAL NAMA...
PALING POPULAR...PASTI CIRINYA...
CH28, CH30, CH 33...ITU ANTARANYA...

By
M Anem
Senior Agronomist
Serdang Agriculture Station
Serdang, Selangor,
Malaysia
(DItulis pada 22 Julai 2013)
Kemaskini pada 13 Jamadilawal 1435H

Saturday, March 15, 2014

VARIETI - CEMPEDAK DI MALAYSIA (Part 1)

CEMPEDAK (Artocarpus chempeden syn Artocarpus integer) merupakan sejenis buah tropika bermusim yang popular di tanam di Negara-negara Asia Tenggara seperti di Malaysia. Cempedak merupakan buah dari kelurga Keluarga Moraceae memang natif di Asia Tenggara terutamanya dari Malaysia kerana nama botaninya membawa kepada 'cempeden' atau dekat dengan 'cempedak'. Cempedak ditanam secara monokrop atau secara dusun campuran dengan tanaman lain sebagai dusun bercampur. Terdapat seluas 11,050 hektar tanaman cempedak dengan hasil sebanyak 53,010 metrik tan di Malaysia berdasarkan laporan oleh Jabatan Pertanian Malaysia (2012). Kebanyakan tanaman cempedak ditanam di Johor, Pahang, Sabah, Sarawak dan juga Perak. Berdasarkan kajian penulis, kebanyakan varieti cempedak yang ditanam adalah jenis tempatan yang benihnya dibeli daripada pihak nurseri swasta, bantuan dari Jabatan Pertanian atau rakan sekampong yang menanam cempedak. Buah cempedak bermusim dan lazimnya akan menghasilkan buah dari bulan Jun - Ogos setiap tahun bergantung kepada lokaliti. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai varieti cempedak yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia untuk dijadikan rujukkan dan bacaan anda semua. Terdapat 29 varieti cempedak yang ada di Malaysia dimana sebanyak 25 varieti telah didaftarkan dan 4 varieti belum didaftarkan. Daripada jumlah tersebut 3 varieti teah lulus Jakuasa Pengesyoran Varieti Tanaman.


Jadual 1 diatas menunjukkan 14 daripada 25 varieti cempedak yang telah didaftarkan dalam senarai pendaftaran varieti di Jabatan Pertanian.  Beberapa varieti (yang bertanda merah - tiada maklumat) didapati telah tiada mungkin telah 'PUPUS' atau hilang akibat bencana alam, banjir, peperangan dunia kedia atau tidak disimpan didalam petak repositori. Varieti yang telah tiada adalah terdiri daripada CH1, CH2, CH3, CH14, CH18, CH19 dan CH20. Saya juga kurang pasti bagaimana varieti CH5 hingga CH13 tidak ada didalam senarai daftar dan berkemungkinan baka varieti tersebut telah 'pupus' sebelum dibuat semakan semula senarai varieti tanaman bagi cempedak atau kesilapan semasa proses pendaftaran (Mungkin permohonan pendaftaran ditolak ketika itu). Pada saya yang paling istimewa dalam Jadual 1 adalah CH17 iaitu varieti Cempedak Nangka yang merupakan satu varieti popular pada satu masa dahulu. walau pun kini baka cempedak ini masih ada ditanam, ianya kurang dikomersilkan oleh petani atas pelbagai sebab dan alasan. Bersambung pada varieti cempedak di Malaysia Part 2. 


VARIETI CEMPEDAK...29 SEMUANYA...
ADA YANG PUPUS...TINGGAL NAMA...
PALING POPULAR...PASTI CIRINYA...
CH30, CH 35......ITU ANTARANYA...

By
M Anem
Senior Agronomist
Serdang Agriculture Station
Serdang, Selangor,
Malaysia
(22 Julai 2013)
Kemaskini pada 12 Jamadilawal 1435H

Friday, March 14, 2014

PAM AIR - JENIS PAM BERPUTAR

PAM AIR (Water pump) merupakan sejenis mesin yang digunakan dalam banyak industri termasuk industri pertanian. Kegunaan pam air dalam kilang industri pembuatan, syarikat bekalan air, industri minyak dan gas, industri pengangkutan dan perumahan memang signifikan. Sektor pertanian yang menjadi nadi kepada bekalan makan juga amat bergantung kepada pam air untuk menyediakan air yang mencukupi bagi tanaman terus hidup subur mengeluarkan hasil makanan. Industri pam air juga dikira amat besar diseluruh dunia kerana ia dikira sebagai satu keperluan dalam kemajuan sesuatu negara. Selain daripada membeli pam air baru, lazimnya kita perlu buat penyelenggaraan pam air mengikut jadual. Pam biasanya digunakan bagi meningkatkan lagi tekanan sistem supaya bendalir bagi sistem tersebut dapat dipindahkan ke satu bahagian yang lain. Sebagai contoh keperluan untuk kita pindahkan air dari perigi ke paras mukabumi, dari sungai ke rumah kediaman dan dari lombong dipam kekawasan kebun pertanian atau kolam tangki simpanan. Fungsi utama pam hanya digunakan bagi menghantar bekalan bendalir dari satu kawasan yang rendah ke mana-mana kawasan yang lebih tinggi. Ini amat berbeza jika penghantaran air dari kawasan tinggi ke kawasan yang lebih rendah memng tidak perlu gunakan pam air kerana air akan disebarkan melalui tekanan graviti sahaja. Artikel tengahari Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai jenis-jenis PAM AIR BERPUTAR berdasarkan bahan ceramah ketika berkursus tidak berapa lama dahulu untuk rujukkan anda.
JENIS – JENIS PAM
Lazimnya terdapat dua jenis pam anjakan positif utama iaitu :

1. Pam Salingan (Reciprocating Pump)

Pam salingan mempunyai halaju (RPM) kendalian yang agak rendah. Walau pun begitu pam jenis ini mempunyai kapasiti yang tinggi untuk aliran atau untuk sesaran yang besar. Lazimnya walaupun terdapat aliran bertentangan dalam pam, ia masih beroperasi dengan cekap kerana jumlah isipadu bendalir yang besar boleh dipindahkan.

2. Pam berputar (Rotary Pump)
Pam jenis ini lebih ringkas pembinaannya berbanding dengan pam salingan. Ia boleh beroperasi sehingga halaju 7,000 rpm. Ia dibina dengan kapasiti yang tinggi untuk sesaran yang lebih banyak. Ruang operasinya lebih kecil berbanding dengan pam salingan tetapi kapasitinya yang boleh dimuat adalah sama. Ia boleh mengepam semua jenis cecair kecuali jenis cecair yang bersifat melelas. 
Prinsip pam bekerja adalah dimana sewaktu suction stroke (penyedutan/ penarikan cecair), piston akan di tarik ke kiri menyebabkan check valve di suction line diantara reservoir dan pam silinder terbuka dan menyebabkan cecair masuk melaluinya. Sewaktu discharge stroke (pelepasan/ penolakan cecair), piston akan bergerak ke kanan, check valve di suction line akan tertutup manakala check valve discharge line akan terbuka. Jumlah cecair yang dipindahkan oleh pam dalam satu kitaran / operasi (one suction stroke and one discharge stroke) adalah sama perubahan jumlah cecair yang di tarik ke arah kiri silinder dengan jumlah cecair yang ditolak kearah kanan silinder.


JENIS-JENIS PAM BERPUTAR (Rotary pump)

i. LOBE PUMP
Pam jenis  ini mempunyai dua rotor dan setiap rotor mempunyai lebih daripada dua lobe yang dipasang pada aci yang berbeza. Kedua-dua aci berputar dalam arah yang berbeza. Cecair memasuki bahagian sedutan dan akan terperangkap di antara dinding dan lobe berputar secara gelincir di dalam perumah. Kelegaan di antara bahagian lobe serta perumah menggelincirkan cecair yang terperangkap dan ia lazimnya akan dipindahkannya ke bahagian aliran. Gelinciran bertambah pada tekanan yang tinggi.


ii. SLIDING VANE PUMP
Pam jenis ini mempunyai satu set bilah yang menggelongsor keluar minima dalam rotor. Rotor ini dipasang secara longgar di bahagian tengah perumah. Semasa bilah berputar, cecair akan masuk dan terperangkap oleh dinding perumah, bilah gelongsor dan rotor. Semasa putaran diteruskan, cecair yang terperangkap akan terus disesarkan ke bahagian sesaran. Dinding perumah menyebabkan bilah gelongsor masuk dan menggelongsor ke dalam rotor dan menolak salah satu hujung bilah ini ke bahagian aliran dan salah satu lagi ke bahagian sedutan.


iii. PAM GEAR
Dalam pam jenis ini, cecair dipindahkan oleh sepasang gear yang berputar pada arah yang berlawanan. Salah satu gear adalah pemacu dan satu lagi gear adalah gear bebas yang dipacu oleh gear pemacu tersebut. Semasa pemacu berputar, gear pemacu menggerakkan gear bebas dalam arah yang bertentangan. Pada bahagian sedutan, cecair akan masuk dan terperangkap di antara gigi gear dan perumah. Gear ini direkabentuk untuk menahan tekanan yang tinggi sehingga 1500 Psi. Disebabkan terdapat beberapa perbezaan tekanan yang tinggi dalam arah jejarian untuk gear pemacu, ia diletakkan untuk mengawal keadaan vakum daripada bahagian sedutan. Gear jenis herringbone digunakan untuk operasi yang melebihi 1,750 rpm.


iv. PAM SKRU
Pam jenis ini terdapat dalam beberapa saiz, pam skru yang bersaiz kecil digunakan untuk mengepam cecair yang pekat atau mempunyai benda asing di dalamnya. Terdapat dua cara pam skru memindahkan cecair iaitu secara selari dengan atau secara serenjang dengan paksi batang skrunya.

Begitulah yang dapat saya kongsikan maklumat mengenai jenis-jenis Pam Air Jenis Berputar (Ada 4 jenis semuanya). Pada saya pengetahuan teknikal seperti ini setidak-tidaknya akan dijadikan bahan rujukkan kepada semua yang terlibat dalam sektor pertanian.  Wasallam!

JENIS PAM AIR... IKUT GUNANYA...
JENIS ROTARY...ADA 4 SEMUANYA... 
SUDAH KENAL... DATANG IDEANYA...
MENJADI RUJUKKAN..BAGI SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(30 Rabiulakhir 1435H)

Thursday, March 13, 2014

PAM AIR - JENIS PAM EMPAR

PAM AIR (Water pump) merupakan sejenis mesin yang digunakan dalam banyak industri termasuk industri pertanian. Kegunaan pam air dalam kilang industri pembuatan, syarikat bekalan air, industri minyak dan gas, industri pengangkutan dan perumahan memang signifikan. Sektor pertanian yang menjadi nadi kepada bekalan makan juga amat bergantung kepada pam air untuk menyediakan air yang mencukupi bagi tanaman terus hidup subur mengeluarkan hasil makanan. Industri pam air juga dikira amat besar diseluruh dunia kerana ia dikira sebagai satu keperluan dalam kemajuan sesuatu negara. Selain daripada membeli pam air baru, lazimnya kita perlu buat penyelenggaraan pam air mengikut jadual. Pam biasanya digunakan bagi meningkatkan lagi tekanan sistem supaya bendalir bagi sistem tersebut dapat dipindahkan ke satu bahagian yang lain. Sebagai contoh keperluan untuk kita pindahkan air dari perigi ke paras mukabumi, dari sungai ke rumah kediaman dan dari lombong dipam kekawasan kebun pertanian atau kolam tangki simpanan. Fungsi utama pam hanya digunakan bagi menghantar bekalan bendalir dari satu kawasan yang rendah ke mana-mana kawasan yang lebih tinggi. Ini amat berbeza jika penghantaran air dari kawasan tinggi ke kawasan yang lebih rendah memng tidak perlu gunakan pam air kerana air akan disebarkan melalui tekanan graviti sahaja. Artikel tengahari Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai jenis-jenis PAM EMPAR berdasarkan bahan ceramah ketika berkursus tidak berapa lama dahulu untuk rujukkan anda.



APA DIA PAM EMPAR
Pam empar beroperasi menambahkan kelajuan cecair dengan menggunakan daya empar. Pam empar mempunyai satu impeller (pendesak) yang berputar untuk memperolehi tekanan dan halaju. Air akan mengalir dari bahagian tengah kemasukan ke tepi impeller dan seterusnya kepada pembaur. Penggerakan air tadi dapat menukarkan tenaga kinetik kepada tekanan tekanan kerana kekurangan laju. Pam empar ialah sejenis mesin yang menggerakan cecair dengan daya empar. Daya empar ini hihasilkan oleh jasad yang berputar di mana jirim-jirim cecair bergerak keluar menjauhi pusat putaran. Dalam pam empar, cecair bergerak dari mata (pusat putaran) dan bergerak melalui bilah dan keluar dari impeller. Jirim cecair ini mempunyai dua halaju iaitu halaju tangen dan halaju jejarian. Paduan kedua-dua halaju ini akan menghasilkan halaju paduan yang berarah di mana cecair bergerak keluar dari impeller ke perumah pam dan menjadi semakin kekurangan. Manakala cecair dari bakalan akan mengisi semula ruang yang kekurangan tersebut. Sejumlah besar tenaga halaju ini akan ditukarkan kepada tenaga tekanan bagi menghasilkan tekanan yang lebih besar pada bahagian keluaran pam.


JENIS – JENIS PAM EMPAR
Daripada beberapa rujukkan saya dapati memang terdapat dua jenis pam empar iaitu Jenis Pam Ufuk (HORIZONTAL) dan Kedua adalah Jenis Pam Menegak (VERTICAL). Kedua-dua jenis pam ini dibezakan dengan rekabentuk pam yang bercirikan kedudukannya. Beberapa jenis pan ufuk adalah seperti (a) Pam Servis Am Tenggelam, (b) Pam Kimia, (c) Pam Dua Sedutan, (d) Pam Peringkat, (d) Pam Pelbagai Peringkat, (e) Pam Self-Priming dan (f) Pam Hampagas. bagi jenis Pam Menegak pula ada beberapa jenis iaitu (a) Pam Separa, (b) Pam Jenis Sump, (c) Pam Inline, (d) Pam Can dan (e) Pam Turbin.


MAKSUD PENYEBUAN DALAM PAM EMPAR
Dalam bahasa teknikal, Penyebuan bermaksud adalah satu keadaan di mana sejumlah air akan dimasukkan ke dalam ruang pendesak sedikit demi sedikit bagi mengelakkan udara terperangkap dalam sistemnya. Tujuan air dimasukkan adalah bagi menghasilkan ‘seal’ yang baik antara bilah dan perumah. Dengan adanya ‘seal’ yang baik, maka vakum yang lebih tinggi akan terhasil dan akan dapat menyedut air yang lebih banyak dari punca bekalan. Ini akan dapat membolehkan kecekapan pam meningkat dan seterusnya berfungsi dengan baik.
Tekanan yang dihasilkan oleh impeller adalah berkadar terus dengan ketumpatan cecair di dalam perumah. Oleh itu, dalam keadaan kering, impeller hanya memusingkan udara dalam perumah dan tekanan yang dihasilkan adalah tidak mengcukupi untuk menyedut air dari bekalan. Dengan itu, cecair perlu terlebih dahulu diisi ke dalam pam (priming) untuk membolehkan ia beroperasi. Bagi memastikan pam empar sentiasa dalam keadaan penyebuan dan tidak diselubungi gas, kebanyakan pam empar diletakkan atau ditempatkan bawah aras punca (air) di mana pam tersebut melakukan sedutan.


FAKTOR PEMILIHAN PAM
Berikut merupakan faktor-faktor pemilihan pam yang boleh dijadikan panduan jika kita hendak membeli pam. Pertama sekali adalah berkaitan tekanan maksimum bagi tujuan pengendalian yang dikehendaki. Ia juga berkait dengan kadar penghantaran air yang maksimum yang dikehendaki. Seterusnya dalam memilih pam perlu dilihat dari segi jenis, tahap kebisingan dan tahap kelajuan pam. Selain itu perlu dikaji akan kadar kecekapan pam dan kerintangan haba tinggi. Dalam kesa lain perlu dikaji akan kos asal pembelian pam dan juga kos penyenggaraan. Keupayaan menahan lebihan bebanan dan kerja mengejut perlu juga dikaji. Sebaiknya mendapatkan alat ganti mudah didapati dan senang ditukar. Bagi pam jenis-jenis cecair dan kerja yang hendak dilakukan hendaklah menggunakan pam yang khusus dan sesuai. Sekian untuk tulisan kali ini. Wasallam!


JENIS PAM AIR... IKUT GUNANYA...
JENIS ROTARY...ADA 4 SEMUANYA... 
SUDAH KENAL... DATANG IDEANYA...
MENJADI RUJUKKAN..BAGI SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(30 Rabiulakhir 1435H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...