Support My Blog

Saturday, November 11, 2017

FENOMENA DURIAN DI CHINA (Part 1)

DURIAN (Durio zibethinus) merupakan sejenis buah tropika yang luas ditanam di Malaysia dan merupakan buah yang menerima gelaran 'Raja Segala Buah'. Kini terdapat seluas 110,000 hektar tanaman durian dilaporkan oleh Jabatan Pertanian dengan anggaran penghasilan sekitar 300,000 metrik tan setahun. Terdapat lebih daripada 200 varieti durian yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia dibawah 'Plant National Listing' bagaimana pun hanya sekitar 15 varieti sahaja yang dikomersilkan penanamannya. Antara varieti durian yang popular adalah Durian Musang King (D197), Durian Tekka, Durian Hajah Asmah (D168), Durian D24, Durian D16, Durian Merah, Durian Tembaga dan banyak lagi. Pada masa ini durian D197 yang didaftarkan dengan nama Durian Raja Kunyit atau nama lain Durian Musang King mendapat pasaran baik dalam pasaran domestik dan pasaran antarabangsa. Kualiti durian Musang King yang manis, tahan lama, aroma yang kuat dan disukai ramai memang dijual dengan harga lebih tinggi daripada varieti durian lain. Kawasan utama pengeluaran durian di Malaysia adalah di Daerah Raub, Pagang, Daerah Muar Ledang di Johor dan Daerah Batu Kurau di Perak. Kini buah durian dari Malaysia telah dipromosikan dimana ia dijangka akan menembusi pasaran ke China. Pasaran durian di China kini dimonopoli oleh Thailand yang telah lama mengeksport 3 varieti kenegara tersebut iaitu jenis Munthong, Chanee dan Kanyou. Bagaimana pun durian dari Thailand dipetik daripada pokok dengan indeks kematangan sederhana  sedangkan durian dari Malaysia masak ranum. Satu promosi Festival Durian Malaysia 2017 telah diadakan dari 3-5 November 2017 di Hang ang City Compleks, Nanning, China dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia dan Gobenor Guangxi Zhuang Autonomous Region. Promosi ini telah berjaya menarik lebih daripada 300,000 pengunjung untuk merasai durian Malaysia, Nanas MD2 dan juga Nangka Tekam Yellow yang di pamerkan. Sebanyak 20 gerai produk akanan berasaskan durian juga mempamerkan barangan mereka dalam festival ini. Artikel malam ini saya menulis beberapa laporan akhbar dalam "Anim Agro Technology" sebagai satu rekod untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan.


(a) Laporan Akhbar 1
Rakyat China gila Musang King
IZWAN ROSLIN
3 NOVEMBER 2017


Festival Durian Malaysia 2017 di Nanning China bermula hari ini hingga Ahad di Hang Yang City South Square. RAJA buah Malaysia, Musang King kini jadi kegilaan dan buruan rakyat China berikutan rasa serta kualitinya dianggap luar biasa. Atas permintaan tinggi terhadap Musang King di republik itu bakal membuka lembaran baharu pasaran eksport besar-besaran buah-buahan Malaysia, yang giat diusahakan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Dalam sidang akhbar, Timbalan Ketua Pengarah Fama, Mansor Omar berkata, Kerajaan Malaysia sedang menunggu kelulusan Kerajaan China untuk mengeksport durian itu secara berterusan. “Memang diakui mereka (rakyat China) sanggup tempah penerbangan ke Pulau Pinang semata-mata ingin merasa sendiri Musang King yang semakin popular. “Kerajaan yakin dengan beberapa rangka promosi dibuat sebelum ini, membolehkan pasaran durian mendapat tempat di China. “Kami berharap China dapat meluluskan segera eksport durian segar secepat mungkin yang mampu menggalakkan permintaan durian ke negara itu,” katanya pada sidang akhbar sempena Festival Durian Malaysia 2017 Nanning, di sini, semalam.  Menurutnya, ketika ini hanya produk durian dalam bentuk sejuk beku dibenarkan dieksport ke China, selain produk seperti kerepek, kopi dan aiskrim berasaskan durian.

Dalam perkembangan lain, beliau juga berkata, Musang King mampu menjadi sumber kekayaan baharu negara seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Bajet 2018, baru-baru ini. “Bayangkan di Malaysia, Musang King boleh dijual harga pasaran mencecah RM120 sekilogram. Jika di Hong Kong, durian tersebut boleh dijual RM700 sekilogram. "Berkemungkinan di China boleh dijual RM900 sekilogram, lebih dua kali ganda harga di Malaysia,” katanya. Bagaimanapun katanya, kerajaan sebenarnya tidak menyasarkan jualan tinggi, asalkan akses pemasaran untuk ke China berjaya.  Menurutnya, kerajaan menyasarkan nilai eksport pelbagai jenis durian dengan nilai RM100 juta menjelang akhir tahun ini di seluruh dunia. Sementara itu, festival julung kali dianjurkan kementerian bersama beberapa agensi dan jabatannya, diadakan bermula hari ini hingga Ahad di Hang Yang City South Square di sini, bagi memperkenalkan durian Malaysia kepada pengguna dan pihak industri negara itu. Idea program itu pertama kali dicadangkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semasa pertemuan dengan Naib Gabenor Wilayah Guangxi Zhuang pada November tahun lalu, dan terus mendapat persetujuan semua pihak.  Sebanyak 250 jenama produk berasaskan raja buah membabitkan 50 usahawan Malaysia, termasuk buah-buahan lain seperti nangka, manggis, nanas dan sarang burung walit akan dipamerkan pada festival itu.
-------------------------------------------------------------------


(b) Laporan Akhbar 2
Pesta durian Malaysia di China raih kontrak RM2.87 bilion
November 7, 2017
Sin Chew Daily
PETALING JAYA: Hanya dalam tempoh 3 hari, pengusaha durian tempatan berjaya memeterai perjanjian dianggarkan berjumlah RM2.87 bilion menerusi Pesta Durian Malaysia 2017 yang dianjurkan di Nanning, China mulai 3 November lalu. “Jumlah urus niaga Pesta Durian Malaysia 2017 pada 2 hari pertama mencecah 4 bilion yuan (RM2.5 bilion),” katanya penganjur bersama pesta itu, Dominic Su yang dipetik Sin Chew Daily. Ketua pegawai eksekutif Regal International itu berkata, jumlah pelawat yang mengunjungi acara 3 hari itu mencecah 165,000 orang berbanding sasaran 100,000 orang. Katanya, ada sanggup terbang khas dari Liaoning atau memandu selama 5 jam ke Nanning semata-mata untuk menikmati durian Musang King atau menemui pengusaha raja buah itu. “Pesta durian yang diadakan julung kali ini mencapai prestasi di luar jangkaan sehinggakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganggap ini satu kejayaan.” Sehubungan itu, beliau berharap pesta durian ini boleh dijadikan acara tahunan dan Nanning boleh dijadikan asas mereka sebelum diperluaskan ke bandar lain. Su berkata, bandar Nanning yang terletak di wilayah Guangxi mempunyai jolokan “Bandar Musang King Malaysia” kerana ia merupakan laluan yang didapati boleh menyambungkan 10 negara Asean dalam inisiatif “One Belt One Road”. Katanya, Guangxi boleh menjadi pusat pengedaran Musang King, buah-buahan tropika dan produk berkaitan durian ke Nanning dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia di tenggara China. Pada masa sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut menemui pegawai tertinggi beberapa syarikat besar di China, termasuk Jingdong Group Co Ltd yang merupakan salah satu peruncit atas talian terbesar di negara itu dan Fusido Holding Group Co Limited.  Antara isu dibincangkan mereka ialah cara memasarkan durian, kopi, nanas, sarang burung dan makanan laut diproses ke negara itu, termasuk secara atas talian.  Penganjur bersama pesta itu berkata, ada sanggup terbang khas dari Liaoning atau memandu selama 5 jam ke Nanning semata-mata untuk menikmati durian Musang King atau menemui pengusaha raja buah itu.
-------------------------------------------------------------------


(c) Laporan Akhbar 3
Tahukah anda...ini gara-gara durian Malaysia di China
09 NOVEMBER 2017 
BY WARTAWAN AGENDADAILY
Ini satu cerita agar menarik. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,Datuk Seri Shabery Cheek bagitau kisah ini dalam sidang Dewan Rakyat Khamis. Tahukah anda setakat ini ada dua benda di China yang telah buat orang berbaris sangat panjang. Satu ialah untuk beli telefon bimbit baru iPhone X ... dan satu lagi untuk beli durian dari Malaysia. Shabery baru saja pulang dari Naning ,China untuk hadir acara prpmosi durian Musang King Malaysia di sana. (Gambar atas) dimana orang ramai di Naning. China terpaksa berbaris sekitar tiga jam untuk rasa seulas durian Malaysia. Gambar ini dipetik dari facebook Datuk Seri Shabery Cheek semasa acara promosi durian Malaysia. 
Beliau beritahu demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) masa sesi soal jawab. Ini ekoran Lim Guan Eng (DAP-Bagan) telah menyalahkan kerajaan mengeksport durian ke China penyebab harga durian tempatan naik. Shabery menjelaskan pengeluaran durian yang kurang 20 pada musim ini adalah penyebab kenaikan harga dan bukan kerana eksport ke China. Beliau memberitahu permintaan durian di China merupakan sumber kekayaan baru kepada petani Malaysia. Sebenarnya usaha untuk eksport durian ke China telah dipelopori oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 
 -------------------------------------------------------------


(d) Laporan Akhbar 4
Durian Malaysia jadi fenomena di China
 9 Nov 2017 12:46PM 

Peniaga durian Allen Sia menunjukkan isi Musang King yang boleh mencecah harga sehingga RM128 sekilogram. Durian Musang King terkenal itu mendapat sambutan hangat ketika berlangsungnya Festival Durian Malaysia 2017 di Nanning, China. DURIAN Malaysia terutama "Musang King" mendapat sambutan luar biasa di China apabila lebih 150,000 rakyat negara itu mengunjungi Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017) di Nanning, baru-baru ini untuk menikmati keenakan durian Malaysia, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata sungguhpun eksport "raja buah" itu ke China masih lagi kecil, ia menunjukkan potensi yang besar dan boleh dijadikan sumber kekayaan baharu negara.  "Penganjuran festival durian di Nanning baru-baru ini berjaya menarik lebih 150,000 pengunjung yang datang semata-mata untuk merasa seulas durian kita dan ia dianggap suatu fenomena.  "Namun, pengeksportan durian ke China masih lagi di peringkat yang rendah. Kalau dilihat paten eksport ke China pada 2015 adalah sekitar RM23 juta berbanding RM18 juta pada tahun lepas, ia adalah kecil berbanding keseluruhan jumlah eksportsekitar RM74 juta," katanya pada persidangan dewan rakyat hari ini. Beliau menjawab soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) mengenai status terkini pengeksportan durian ke negara China dan kesan kepada industri serta pekebun durian tempatan. Penganjuran festival tersebut merupakan inisiatif proaktif serta faktor daya tolak untuk mempercepat kelulusan laluan pasaran ke China. "Kita sedang berusaha mendapatkan kelulusan pihak berkuasa China bagi pengeksportan durian sejuk beku dalam bentuk biji berikutan permintaan yang semakin meningkat di negara itu," katanya. Ahmad Shabery berkata pihaknya yakin isu tersebut dapat diatasi dan jumlah durian yang dieksport akan meningkat pada masa akan datang. Beliau berkata pengeksportan durian ke negara luar tidak boleh dilihat sebagai suatu yang negatif kerana ia mampu meningkatkan pendapatan pengusaha selain dapat mewujudkan pelbagai jenis pekerjaan baharu.  
---------------------------------------------------------------

(e) Laporan Akhbar 5
Nikmati durian cara kampung di China
Oleh Bernama
-November 4, 2017
QINZHOU: “Durian Malaysia adalah yang terbaik di dunia,” kata Setiausaha Parti Komunis China (CPC) Jawatankuasa Qinzhou, Wang Gebing semasa kunjungan hormat delegasi Malaysia diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Walaupun Malaysia masih belum mendapat kelulusan kerajaan China untuk mengeksport durian segar terutama jenis Musang King yang popular, Wang berkata raja buah itu sentiasa diminati rakyat China, lebih-lebih lagi masyarakat Qinzhou, dan mereka tidak sabar menunggu hasil positif rundingan berhubung perkara itu. Ahmad Shabery, yang kini berada di China sempena Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017) di Guangzi, menjawab bahawa durian adalah simbol kasih sayang dan kebahagiaan di Malaysia dan kerajaan memutuskan untuk menganjurkan festival itu bagi berkongsi kegembiraan dengan rakyat China. “Semasa (lawatan awal pada 2016) saya bertanya setiap orang yang saya temui di China, adakah anda suka durian? Saya terkejut dengan jawapan positif yang diberikan, sebab itu saya cadangkan untuk anjurkan festival durian di sini. Kerana di Malaysia, ia dipanggil raja buah, melambangkan kasih sayang dan kebahagiaan. “Lawatan kali ini saya bawa sekali pihak industri dalam perniagaan durian dan sarang burung untuk memberi kebahagiaan dan berkongsi apa yang disukai oleh rakyat Malaysia. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada China atas hubungan mesra ini dengan menganjurkan festival durian ini,” katanya kepada pemimpin tertinggi Qinzhou itu. Menteri itu yang diiringi Duta Besar Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya, Konsul Jeneral Malaysia di Nanning Bong Yik Jui, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohd Sallehuddin Hassan dan pegawai kanan lain.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin juga membincangkan tentang kemungkinan lain untuk meningkatkan hubungan Malaysia-China melalui Qinzhou, termasuk mengukuhkan industri makanan halal di China, sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan untuk perubatan herba serta perdagangan produk marin. Bercakap kepada media kemudian, Ahmad Shabery menyampaikan penghargaan tertinggi kepada kerajaan China kerana sangat menyokong inisiatif Malaysia untuk mengeksport durian segar serta mengeksport semula sarang burung mentah, terutama setiausaha CPC jawatan kuasa Qinzhou itu sendiri, sudi bertemu dengannya.  “Ia satu pertemuan yang hebat kerana dalam konteks sistem politik China, biasanya pemimpin kalau daripada peringkat kementerian dan sebagainya hanya berjumpa kerajaan. Pada asalnya saya dijadualkan berjumpa gabenor (sewaktu di Guangxi semalam), tapi perubahan terakhir saya bertemu setiausaha parti bagi provinsi (Guangxi) ini. “Ertinya satu kedudukan lebih tinggi dan ketika di sini (Qinzhou) saya berjumpa setiausaha parti di peringkat sini, lebih tinggi daripada datuk bandar itu sendiri. Ini satu penghormatan besar kepada Malaysia, dan mereka percaya melalui pertanian, dapat eratkan hubungan antara dua negara, dan bagi saya, ini ruang untuk kita memasuki pasaran terbesar dunia,” katanya lagi. Semasa lawatan delegasi Malaysia ke Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia kemudian, menteri itu juga diberi peluang untuk merasmikan pembukaan Pangkalan Perdagangan Pemprosesan Sarang Burung CMQIP. Menurut kenyataan media kementerian itu, Malaysia menyasarkan untuk menghasilkan 1,000 tan metrik (MT) sarang burung, yang terdiri daripada produk mentah dan diproses setiap tahun menjelang 2020, dengan nilai eksport kira-kira RM20 bilion. Malaysia masih dalam usaha rundingan dengan kerajaan China untuk membenarkan mengeksport semula sarang burung mentah belum bersih ke negara itu apabila komoditi tersebut dijangka mencecah 600MT menjelang 2020 dengan nilai RM1.7 bilion. Semuga semua laporan ini memberi info berguba kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
FESTIVAL DURIAN... DARI MALAYSIA...
ADA NANAS... JUGA BUAH NANGKA...
MEREKA MINAT... PASARAN TERBUKA...
LAPORAN AKHBAR...DI PAPARKAN DIA...

By,
M Anem,
Senior Agaronomist,
Festival Durian Malaysia 2017,
Hang Yang City Complexs,
Nanning, China.
(6 November 2017)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...