Support My Blog

Wednesday, August 12, 2015

HERBA - TEA TREE (Part 2)

TEA TREE (Melaleuca alternifolia Cheel) merupakan sejenis tanaman herba yang diimport dari luar negara khususnya dari Australia untuk ditanam di Malaysia sebagai sejenis herba berguna. Nama lain herba ini adalah Gelam wangi, Tea tree (lnggeris) iaitu daripada keluarga Myrtaceae. Kali pertama saya melihat tumbuhan ini semasa melawat projek tersebut di Selangor dan mendapati ia sesuai ditanam di negara kita untuk tujuan komersil. Antara ciri tumbuhan ini atau juga dipanggil sebagai pokok gelam wangi Australia atau juga dikenali dengan panggilan komersialnya sebagai pokok tea tree merupakan pokok tumbuhan berkayu dengan ketinggian mencapai 4-7m. Kulitnya seakan-akan kertas dan boleh disiat dalam bentuk kepingan yang memanjang dengan mudah. Saiz daunnya yang kecil dan berbentuk 'lanceolate' itu tersusun secara susunan berlingkar (spiral) di sepanjang ranting. Pada permukaan bawah daun terdapat dua baris bintik kecil sel minyak tersusun memanjang dari hujung hingga ke pangkal daun. Didapati tanaman ini yang tumbuh baik kawasan utara Semenanjung Malaysia akan mengeluarkan bunganya yang berwarna putih itu kembang ketika bulan Mac hingga April. Penulis dapat info mengenai tumbuhan 'Tea tree' ini iaitu ia adalah tumbuhan jenis saka yang berasal dari benua Australia. Sehingga kini sebanyak 230 spesis Melaleuca telah dikenal pasti. Daripada jumlah banyak bilangan spesis ini yang terdapat di Australia dan hanya tiga spesies sahaja iaitu Melaleuca alternifolia, M.linarifolia dan M. dissitifloria yang mempunyai komposisi kimia yang tepat terkandung di dalam minyaknya  iaitu bahan dikenali sebagai Terpinen-4-ol yang tinggi dan kineole yang rendah. Minyak tea tree di hasilkan dengan cara menyuling daun segar selepas sahaja dituai. Artikel subuh 27 Ramadan ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman 'tea tree' untuk mendapatkan info dengan baik.

Tanaman tea tree memerlukan iklim tropika yang panas dan lembap bagi pertumbuhan yang baik. Julat suhu yang sesuai ialah 18-31 C. Kawasan tanaman sebaiknya mempunyai taburan hujan 1,200-1,600 mm setahun. Tumbuhan ini boleh juga ditanam di kebanyakan jenis tanah yang mempunyai saliran baik serta kapasiti memegang air yang baik. Tanah yang lembap dan kesuburan tanah yang optimum membantu pertumbuhan akar dan mempercepat proses pertumbuhan pokok. Tea tree yang ditanam di tanah yang subur lebih cepat membentuk kanopi yang lebat. Aktiviti penyediaan tanah yang baik adalah mustahak dan merupakan titik mula menjamin kejayaan penanaman tea tree. Penyediaan kawasan untuk tanaman haruslah bermula dengan membersihkan dan juga memusnahkan segala halangan anak kayu dan tunggul kayu sekiranya terdapat dalam kawasan tanaman. Sebaiknya sistem perparitan untuk penyaliran air perlu diadakan untuk mengelakkan kemungkinan air bertakung ketika hujan lebat. Pembajakan tanah dilakukan dengan satu pusingan bajak piring sedalam 25 cm. Ini diikuti dengan satu pusingan bajak putar 14 hari kemudian untuk memecahkan ketulan tanah supaya menjadi lebih halus dan gembur. Pembajakan ini perlu disusuli dengan satu pusingan bajak sisir untuk tujuan meratakan tanah. Pemilihan jenis tanah yang rata diperlukan untuk penggunaan jentera kemudian. Kawasan bekas tanah sawah padii sesuai dipilih untuk tujuan penanaman herba jenis ini seperti yang dilakukan di Selangor dan Kedah.


Penyediaan bahan tanaman tea tree atau pengeluaran anak benih dimulakan dengan menyediakan batas semaian yang berukuran 1.0 m x 10m dengan ketinggian 10 cm. Campuran medium pengakaran ialah pasir sungai dan tanah gambut pada nisbah 1:1. Lapisan permukaan atas batas ditambah dengan lapisan tanah gambut sahaja setebal biji benih. Untuk mengelakkan risiko penyakit akar adalah disyorkan rawatan secara fumigasi pada batas yang telah tersedia. Bahan kimia seperti Dazomet pada kadar 40 g per meter persegi didapati berkesan membasmi patogen yang menghuni dalam tanah. Semaian biji benih di permukaan batas dilakukan dengan kadar 0.5 g per meter persegi. Biji benih lazimnya akan bercambah selepas 7-10 hari . Lakukan semburan dengan racun kulat dimana ia digalakkan pada masa tersebut bagi mengelakkan kejadian jangkitan penyakit melecuh. Anak benih yang telah mempunyai 5-7 peringkat daun perlu dipindahkan ke dalam polibeg (10 cm x 15 cm) atau dulang polistirena (Sila lihat foto disebelah). Teknik penanaman ke ladang boleh dilakukan selepas anak benih berumur tiga bulan di dalam polibeg. Penanaman anak benih tea tree sebaiknya dilakukan pada permulaan musim hujan atau boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sekiranya infrastruktur pengairan dapat disediakan. Penanaman boleh dilakukan dengan menggunakan jentera penanaman atau secara manual. Jarak tanaman bagi amalan dua baris dan berlorang ialah 0.6 meter di antara baris dan 0.4 meter dalam baris. Jarak di antara lorong ialah 1.5 meter. Sistem jarak tanaman memberi kepadatan populasi tanaman sebanyak 23,810 pokok sehektar. Kepadatan ini adalah sesuai sebagai komersil.

Pengurusan tanaman tea tree ini termasuk pengurusan air, Pembajaan, Kawalan perosak dan juga penyelenggaraan ladang secara keseluruhannya. Lazimnya keperluan air adalah kritikal bagi bulan pertama selepas ditanam di ladang. Kekurangan air ini terutama jika menanam ditanah bris atau berpasir akan melambatkan pertumbuhannya. Oleh itu lazimnya sistem pengairan dengan menggunakan sistem pengairan dengan 'rain gun' yang didapati sesuai bagi tujuan menjimatkan kos.  Program pembajaan perlu dilakukan mengikut jadual dan kadar ditentukan. Anak tea tree memerlukan pembajaan yang rapi untuk memulakan pertumbuhan dengan kadar yang cepat pada peringkat awalnya. Berdasarkan kajian yang dijalankan, pembajaan pada kadar 150-200 kg N/ha, 50 kg P20S' 70 kg K20/ha disyorkan bagi memperoleh pertumbuhan dan hasil daun yang tinggi. Kadar ini bersamaan dengan baja sebatian NPK sebanyak 1.125 t/ha. Baja boleh ditabur di antara baris dalam 4 pecahan sama terdiri daripada baja NPK sebatian 15:15:15 sebanyak 250 kg/ha dan juga baja NPK Sebatian 12:12:17:2 + Te sebanyak 313 kg/ha diselang-seli iaitu pada bulan pertama, ketiga, keenam dan kesembilan selepas ditanam di ladang bagi tanaman utama. Manakala untuk cara pembajaan tanaman ratun seterusnya kadar yang sama diberi daripada dua jenis sebatian yang sama. Artikel ini akan bersambung pada Part 3. Wasallam!.  
NAMA 'TEA TREE'...APAKAH DIA...
POKOK HERBA...DARI AUSTRALIA...
MUDAH DITANAM...MUDAH DIJAGA...
BOLEH PROSES... AMBIL PATINYA...

By,
M Anem,
Senuir Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(27 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...