Support My Blog

Tuesday, February 24, 2015

PADI - SEMAKAN TANAMAN PADI (Part 2)



SEMAKAN TANAMAN PADI (Rice Check) adalah satu panduan untuk menguruskan tanaman padi (Oryza sativa) mengikut sasaran yang ditetapkan. Terdapat 10 peringkat yang ada dimana setiap peringkat Rice Check Utama mesti ditepati untuk pertumbuhan tanaman padi yang baik ke arah penghasilan yang lebih tinggi. Aktiviti pemantauan dan pemerhatian pokok padi dan status sawah/ ladang dari segi pertumbuhan, pengurusan air, pembajaan, serangan rumpai dan perosak dan tuaian adalah faktor yang penting untuk mengenalpasti masalah dan perlu untuk mengambil tindakan penyelesaian masalah. Pertumbuhan tanaman padi perlu diperhati, diukur dan disimpan data untuk panduan pengurusan musim selanjutnya. Kita perlu belajar dari pengalaman dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk dapat mempertingkatkan pengurusan ladang setiap musim. Pengamalan semakan tanaman padi merupakan satu dari Amalan MyGAP yang perlu diamalkan oleh pesawah diseluruh Malaysia sama ada dikawasan jelapang padi mahu pun dikawasan luar jelapang padi. Jadual 1 dibawah menunjukkan purata pengeluaran padii negara sekitar 4,476 kg sehektar (4.4 mt/ha) yang melibatkan seluas 194,356 hektar kawasan utama jelapang padi di Malaysia. Kawasan MADA merupakan kawasan pengeluaran utama padi negara dengan keluasan 96,558 hektar dan purata pengeluaran 5,038 kg/ha dengan jumlah pengeluaran padi sebanyak 963,189 mt pada tahun 2010. Pengamalan semakan tanaman padi oleh pesawah dikawasan jelapang padi amat penting bagi meningkatkan prodiktiviti padi negara. Artikel subuh Ahad ini saya berkarya lagi dalam "Anim Agro Technology" pemahaman penulis mengenai 'Rice Check' untuk dikongsi bersama anda semua.

Jadual 1: Maklumat Pengeluaran Padi diKawasan Jelapang Padi 2010



RICE-CHECK UTAMA 4

JADUAL PENGAIRAN

Konsep ke 4 adalah "Ikut jadual pengairan untuk menjimatkan air". Lakukan aktiviti penyediaan tanah selaras mengikut fasa pertumbuhan padi seperti jadual pengairan yang dikeluarkan oleh MADA. Patuh kepada jadual ini juga membantu penuaian dijalankan secara berperingkat-peringkat. Pihak berkuasa dalam sistem pengairan akan mengeluarkan jadual sistem pengairan dan dieritahu kepada semua pesawah melalui ntis dan ketua-ketua blok. Adalah malang jika penanaman padi tidak dapat mengikuti jadual sistem pengairan yang telah disturkan.



RICE-CHECK UTAMA 5

PENYEDIAAN TANAH
Konsep kelima dalam Rice check adalah keupayaan dalam proses "Penyediaan tanah yang sempurna asas kepada pertapakan benih yang seragam".
Kerja membajak dengan Bajak Putar tanah sehingga kedalaman 10 cm - 15 cm (4 inci - 6 inci). Sebelum menabur benih pastikan keadaan tanah lumat dan bersaiz kurang dari 2.5 cm (1 inci).
Tanah sawah perlu rata. Perbezaan kerataan tanah mestilah lebih kurang 5 cm (2 inci). Buang jerami padi, tunggul padi, rumpai atau anak padi batat yang masih tertinggal di dalam petak. Buat lorong kerja pada jarak 10 kaki antara lorong.


RICE-CHECK UTAMA 6

MENABUR BENIH
Konsep ke6 dalam semakan ini adalah "Benih terbaik menjamin hasil yang tinggi". Pastikan menggunakan benih padi terbaik dan berkualiti yang didapati dari sumber yang sah. Peratus percambahan benih mestilah tidak kurang dari 80%.
Rendam benih dengan bahan penggalak percambahan bagi membantu pertapakan anak benih yang baik. Tabur 140 kg/hektar (40 kg/relong) bagi mendapatkan sekurang-kurangnya 400 bilangan anak benih yang bercambah untuk 1 meter persegi. Guna penyembur berjentera untuk mendapatkan sebaran benih yang seragam (Sila lihat foto disebelah). Kerja menabur benih perlu dilakukan mengikut jadual yang sesuai dengan jadual pengairan dan keseragaman dengan pesawah lain dilokasi yang sama. Bersambung pada artikel Rice-check pada Part 3. Wasallam.

SEMAKAN TANAMAN PADI.... ADA...
10 PERKARA... MUDAH SAHAJA...
AMALAN MYGAP... SYARATNYA...
HASIL TINGGI... HATI GEMBIRA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 212, Hotel Tandop, Jalan Langgar,
Alor Setar, Kedah,
Malaysia.
(13 Rabiulawal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...