Support My Blog

Tuesday, July 15, 2014

HALIA - TANAMAN UBAT

HALIA (Zingiber officinale) adalah jenis tanaman umbisi dari keluarga Zingerberaceae. Tanaman halia bukan saja sering digunakan dalam masakan tetapi tumbuhan herba ini juga terkenal sebagai makanan kesihatan malah penyeri landskap. Penanaman halia mempunyai sejarah yang panjang dan dikatakan bermula di China sebelum tersebar ke Asia Tenggara, Afrika Barat dan kepulauan Caribbean. Halia mengandungi sehingga tiga peratus minyak pati yang memberikannya aroma. Rizom (akar) halia muda biasanya berjus dan mempunyai rasa pedas yang lembut. Halia jeruk boleh dimakan sebagai snek dan air halia yang ditambah dalam teh bersama-sama madu akan menambahkan keenakannya. Halia dapat dibezakan dengan jenis umbisi lain kerana seluruh atau sebahagian tertentu tumbuhan herba ini adalah aromatik. Halia tergolong dalam tumbuhan herba yang mempunyai rizom misalnya kunyit, halia bara dan lengkuas yang biasa digunakan dalam makanan. Keluarga daripada Zingiberaceae mempunyai saiz yang pelbagai dan boleh dibezakan dengan taburan padat di kawasan Asia Tenggara. Artikel malam Ahat ini adalah tulisan ke 2,600 dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman halia yang juga dikategorikan sebgai herba atau tanaman ubat yang menjadi penawar kepada banyak masaalah kesihatan.

Laporan kajian mendapati pada masa ini terdapat 350 spesies halia yang dikenal pasti di seluruh negara. Bagaimana pun dinegara jiran Thailand dikatakan telah pun mempunyai lebih 300 spesies yang telah dikomersilkan. Biasanya halis jenis Zingiberaceae terdapat di kawasan tropika dan subtropika dan juga terdapat lebih 52 genera dengan 1,300 hingga 1,500 spesies. Di Malaysia saja terdapat 21 hingga 22 genera dengan lebih 350 spesies dengan varieti Halia Bentong menduduki tempat paling popular semenjak lama dulu. Halia Benting mengalami proses pembiakbakaan (plant breeding) yang lama melalui pemilihan (selection) sehingga menjadi halia yang berkualiti tinggi. Pada saya disebabkan halia banyak digunakan dalam pelbagai budaya di seluruh dunia ia kini mempunyai kepentingan dalam ekonomi. Terdapat halia yang boleh dimakan dan biasanya ditambah dalam masakan seperti rempah atau sebagai ulaman.

Dalam dunia masakkan didapati bahan asas rempah ratus yang sering digunakan adalah seperti Kunyit (Cucurma domestica), Halia (Zingiber officianale), Buah Pelaga (Elettaria cardamimum), Lengkuas (Alpinia galanga), Kantan (Etlingera eliator), Cekur (Kaempteria galanga) dan jenis bawang. Selain dalam masakan dan minuman, keluarga halia juga banyak digunakan dalam perubatan tradisional yang menggunakan campuran herba. Sehingga kini terdapat 30 hingga 40 spesies halia yang direkodkan digunakan dalam perubatan tradisional. Kini masyarakat mungkin telah kenal dengan Zingiber zerumbet (lempoyang), Zingiber ottensini (lempoyang hitam), Zingiber officinale var rubrum (halia bara), Curcuma aeruginosa (Kunyit hitam/temu hitam), C. zanthorrhiza (temu lawak), C. mangga (temu pauh/mangga) dan juga C. zedoria (temu putih/kunyit putih). Semua bahan ini banyak digunakan sebagai campuran dalam perubatan tradisional. Halia yang mempunyai bentuk bunga yang cantik dan beraroma juga boleh dijadikan tanaman hiasan dan landskap. Beberapa tanaman halia seperti Alpinia purpurata (halia merah), Z. spectabile (cut flower), Alpinia zurember (shell ginger), A. mutica, A. malaccensis, A. latiladis (landskap), Kaemferia spp. sesuai dijadikan tanaman hiasan kerana mudah dikendalikan.

Kini tanaman halia yang mempunyai aroma merupakan sumber minyak pati bagi minyak wangi, perisa dan aroma terapi. Kajian perlu dijalankan dengan mendalam memandangkan halia boleh dijadikan sumber kanji manakala dalam dunia perubatan, keluarga halia didapati mempunyai aktiviti biologi yang baik sebagai anti kanser, anti mikrobial, anti oksidan dan anti radangan. Di negara jiran Indonesia, keluarga halia seperti temu, kunyit dan halia banyak digunakan dalam jamu, kosmetik dan teh. Kini semakin banyak produk dihasilkan daripada halia seperti teh, kosmetik, aroma terapi, krim wajah, krim pemutih dan krim anti penuaan. Pelbagai aspek kajian mengenai spesies yang baru ditemui dan terdapat kajian yang akan menjadi asas kepada etnobotanikal terutama dalam kepentingan perubatan. Ini akan menjurus kepada menemui dan memulihara spesies endemik yang masih tidak diketahui kegunaannya. Kajian mengenai spesies halia yang berpotensi bagi tumbuhan ornamental untuk dibiakbaka secara tisu kultur untuk dikomersialkan.

Halia dikatakan ditanam di China sejak berkurun-kurun lamanya. Malah, tanaman itu dikatakan berkemungkinan berasal dari negara tersebut. Masyarakat di China dipercayai telah menggunakan halia dalam amalan perubatan sejak 2,500 tahun lalu. Mereka bergantung kepada khasiat halia untuk mengatasi pelbagai penyakit terutama masalah kesejukan anggota badan terutama di bahagian tangan dan kaki. Gejala itu berpunca daripada gangguan atau masalah pengaliran darah. Khasiat halia dalam merawat pelbagai penyakit bukan saja diketahui menerusi kaedah tradisional malah dibuktikan oleh pakar-pakar perubatan moden. Menurut satu laporan, kandungan aktif dalam halia yang dikenali sebagai gingeroles memberi kesan apabila ia meresap ke dalam badan.  Halia kaya dengan kandungan kalium (125 miligram), fosforus (63mg) dan kalsium tenaga (52 kilokalori) selain protein, karbohidrat, gentian, vitamin C dan niasin. Di kalangan masyarakat Malaysia, halia bukan saja berkhasiat malah menjadi perisa atau sebahagian daripada ramuan masakan. Selain berbau harum, campuran halia dalam masakan menjadi pembuka selera makan. Selalunya halia ditumbuk atau dimayang halus, ditumis bersama perencah lain untuk masakan sup, kari, sambal, rendang dan tomyam. Begitulah hebatnya khasiat helia sebagai ubat untuk bahan bacaan. Wasallam.

UMBISI HEBAT ... ITU HALIA...
NAMA JAHE ... DI INDONESIA...
MUDAH DITANAM...JIKA DIJAGA....
SEBAGAI UBAT.. LANJUT USIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Ladang Halia Komersil,
Bukit Tinggi, Bentong,
Pahang, Malaysia.
(30 Syaaban 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...