Support My Blog

Wednesday, March 12, 2014

PAM AIR - JENIS PAM SALINGAN


PAM AIR (Water pump) merupakan sejenis mesin yang digunakan dalam banyak industri termasuk industri pertanian. Kegunaan pam air dalam kilang industri pembuatan, syarikat bekalan air, industri minyak dan gas, industri pengangkutan dan perumahan memang signifikan. Sektor pertanian yang menjadi nadi kepada bekalan makan juga amat bergantung kepada pam air untuk menyediakan air yang mencukupi bagi tanaman terus hidup subur mengeluarkan hasil makanan. Industri pam air juga dikira amat besar diseluruh dunia kerana ia dikira sebagai satu keperluan dalam kemajuan sesuatu negara. Selain daripada keperluan membeli pam air baru, lazimnya kita perlu buat penyelenggaraan pam air mengikut jadual. Pam biasanya digunakan bagi meningkatkan lagi tekanan sistem supaya bendalir bagi sistem tersebut dapat dipindahkan ke satu bahagian yang lain. Sebagai contoh keperluan untuk kita pindahkan air dari perigi ke paras mukabumi, dari sungai ke rumah kediaman dan dari lombong dipam kekawasan kebun pertanian atau kolam tangki simpanan. Fungsi utama pam hanya digunakan bagi menghantar bekalan bendalir dari satu kawasan yang rendah ke mana-mana kawasan yang lebih tinggi. Ini amat berbeza jika penghantaran air dari kawasan tinggi ke kawasan yang lebih rendah memng tidak perlu gunakan pam air kerana air akan disebarkan melalui tekanan graviti sahaja. Artikel tengahari Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai jenis pam air iaitu JENIS PAM SALINGAN (reciprocating pumps) dan fungsinya berdasarkan bahan ceramah ketika berkursus tidak berapa lama dahulu untuk rujukkan anda.

JENIS – JENIS PAM
Lazimnya terdapat dua jenis pam anjakan positif utama iaitu seperti berikut:

1. Pam Salingan (Reciprocating Pump)

Pam salingan mempunyai halaju (RPM) kendalian yang agak rendah. Walau pun begitu pam jenis ini mempunyai kapasiti yang tinggi untuk aliran atau untuk sesaran yang besar. Lazimnya walaupun terdapat aliran bertentangan dalam pam, ia masih beroperasi dengan cekap kerana jumlah isipadu bendalir yang besar boleh dipindahkan.

2. Pam berputar (Rotary Pump)
Pam jenis ini lebih ringkas pembinaannya berbanding dengan pam salingan. Ia boleh beroperasi sehingga halaju 7,000 rpm. Ia dibina dengan kapasiti yang tinggi untuk sesaran yang lebih banyak. Ruang operasinya lebih kecil berbanding dengan pam salingan tetapi kapasitinya yang boleh dimuat adalah sama. Ia boleh mengepam semua jenis cecair kecuali jenis cecair yang bersifat melelas.
Prinsip pam bekerja adalah dimana sewaktu suction stroke (penyedutan/ penarikan cecair), piston akan di tarik ke kiri menyebabkan check valve di suction line diantara reservoir dan pam silinder terbuka dan menyebabkan cecair masuk melaluinya. Sewaktu discharge stroke (pelepasan/ penolakan cecair), piston akan bergerak ke kanan, check valve di suction line akan tertutup manakala check valve discharge line akan terbuka. Jumlah cecair yang dipindahkan oleh pam dalam satu kitaran atau operasi (one suction stroke and one discharge stroke) adalah sama perubahan jumlah cecair yang di tarik ke arah kiri silinder dengan jumlah cecair yang ditolak kearah kanan silinder.


Jenis-jenis Pam Salingan

i. JENIS PISTON
Pam jenis ini memerangkap cecair dalam piston dan piston akan menyesarkannya juga. Pam ini mempunyai dua injap semakan iaitu injap sedutan dan injap aliran (Sila lihat rajah disebelah). Kedua-dua injap ini mengawal aliran cecair dengan kaedah perbezaan tekanan. Apabila piston ditarik maka injap sedutan akan terbuka kerana takanan tekanan di bahagian bawah injap tersebut lebih tinngi dari bahagian atas. Sejumlah cecair dengan isipadu yang sama dengan isipadu yang tersesar akan mengalir ke dalam silinder. Apabila piston tertolak lazimnya tekanan dari dalam silinder akan memaksa injap aliran terbuka dan mengalirkan kuantiti isipadu dalam silinder keluar. Untuk pam piston kembar, apabila injap sedutan yang pertama terbuka, injap aliran kedua akan terbuka. Apabila injap aliran pertama terbuka, injap sedutan kedua akan tertutup. Dan proses ini berlaku dengan bersongsangan apabila injap sedutan kedua dan injap aliran kedua terbuka.


ii. JENIS PLUNGER
Pam ini hampir sama dengan pam jenis piston. Bezanya ialah bahagian dinding plunger tidak menyentuh dinding selinder. Biasa ia digunakan pada keadaan yang memerlukan tekanan yang tinggi atau untuk mengepam cecair yang melekat atau melekit pada dinding silinder. Plunger bergerak secara salingan dalam perumah yang tetap dan tidak bergerak bagi mengelakkan kebocoran di antara bahagian plunger dan silinder. Plunger kembar mempunyai dua plunger yang disambung bersama dengan sambungan luaran dan rod melintang.


iii. JENIS GEGENDANG
Pam jenis ini beroperasi dengan mengubah gerakan berputar kepada gerakan bentuk salingan untuk menggerakkan pam. Gegendang merupakan satu benda yang bersifat fleksibel atau elastic. Pada lejang sedutan, lapisan ini akan mengekalkan sedikit tekanan pada bahagian sedutan bagi membenarkan cecair masuk. Pada lejang mampatan, lapisan akan menolak cecair keluar daripada kebuk pam. Biasanya ia digunakan untuk mengepam cecair pekat dan mengakis

Begitulah yang dapat saya kongsikan maklumat mengenai jenis-jenis Pam Air Salingan (Ada 3 jenis semuanya). Pada saya pengetahuan teknikal seperti ini setidak-tidaknya akan dijadikan bahan rujukkan kepada semua yang terlibat dalam sektor pertanian.  Wasallam!.

JENIS PAM AIR... IKUT GUNANYA...
JENIS ROTARY...ADA 3 SEMUANYA... 
SUDAH KENAL... DATANG IDEANYA...
MENJADI RUJUKKAN..BAGI SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(30 Rabiulakhir 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...