Support My Blog

Friday, February 5, 2010

Peria Katak

                                                      Penanaman peria katak varieti 321 yang di Tanam oleh En Murad 
di Kelompok Kg Paya Mas Tangkak, Ledang Johor 
kelolaan Jabatan Pertanian.
Peria Katak (Momordica charantia) dari order Cucurbitaceae adalah sejenis sayuran menjalar yang mempunyai permintaan yang baik terutama digunakan sebagai ulaman untuk ubatan oleh masyarakat tempatan. Peria katak berbeza dengan peria biasa dengan ciri-ciri pada kulit yang mengerutu dan berwarna hajau gelap. Peria katak asli (Liar) tumbuh dikawasan yang mendapat sinaran matahari dan mengeluarkan buah yang kecil , berwarna hijau gelap serta sedikit. Jenis Peria Katak Komersial pada masa ini ditanam menggunakan benih hybrid Taiwan No 321 yang lebih komersial. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman peria katak untuk bacaan dan rujukkan pembaca semua.

Peria Katak No 321 merupakan satu varieti yang sesuai untuk di komersialkan dan harga satu tin benih hybrid antara RM 400.00 - RM450.00 satu tin yang hanya boleh ditanam sekali sahaja (F1). Pada masa ini terdapat seluas kira-kira 26 hektar CHE keluasan tanaman peria katak di usahakan di Daerah Muar dan Ledang. Kawasan tumpuan penanaman peria katak di sekitar Bandar Tangkak, Kg Solok, Sagil dan Sengkang. Kawasan lain adalah disekitar Pagoh, Ledang dan juga kawasan Sungai Balang, Muar. Peria Katak disukai penanam sayur kerana kurang kadar serangan oleh lalat buah jika ditanam dikawasan yang baru dibuka.

Pemeriksaan tanaman peria katak.
Pasaran dan permintaan peria katak adalah terhad dan jika bekalan terlebih maka pernah dilaporkan harga akan turun sehingga RM 0.60 sahaja satu kilogram sedangkan harga purata 'ex-farm' saya dapati tidak kurang RM 2.00.kg atau lingkungan pasaran antara RM 2.20 hingga RM 2.80 sekilogram.

Peria Katak di tanam diatas batas yang di bubuh lapisan plastik silvershine. Batas yang disediakan perlu digaul dengan baja organik (lazimnya tahi ayam) dengan kadar 2 tan satu hektar. Bubuh 2 biji benih setiap lubang dan jarak penanaman sebaris sejauh 1.5 meter dalam barisan. Kalau terlalu rapat maka penghasilan adalah tinggi tetapi pokok cepat mati berbanding jika ditanam dengan jarak lebih jauh. Baja vegetatif NPK 15:15:15 dan baja organik tahi ayam dibubuh peringkat awal penanaman. Baja buah jenis diberikan dengan baja NPK 12:12:17:2 mengikut kadar disyorkan. Penyiraman dijalankan 2 kali sehari dan kerja-kerja kawalan rumpai dijalankan. Kawalan rumpai dengan cara manual (menajak , mencabut) atau gunakan racun kimia secara terkawal.  Perbezaan antara peria katak dengan peria biasa ialah peria katak dikawasan terpencil tidak perlu dibalut. Kajian penulis jika kawasan tersebut "isolated" daripada kawasan tanaman jenis cucurbitaceae yang lain lebih baik. Bagaimanapun pastikan yang Lalat Buah (Daucus spp) sentiasa dipantau kehadirannya.

Buah Peria Katak yang matang dituai menggunakan pisau tajam dan di kumpulkan mengikut gred. Antara perosak tanaman peria katak ialah Ulat Pengorek Buah, Lalat Buah dan boleh di kawal jika kadar serangan tidak serious dengan perangkap methyl eugenol. Penyakit Layu Bakteria (Fusarium spp) merupakan masaalah utama peria katak. Petani mungkin tidak dapat hasil jika serangan layu fusarium berlaku pada peringkat awal. Kawalan rumpai hanya pada peringkat awal penanaman dan tidak menjadi masaalah jika pokok telah menutupi keselurohan kanopi.

Pengalaman penulis dengan En Murad yang telah menanam peria katak lebih 5 tahun menyatakan , beliau menjalankan penanaman peria katak bergilir-gilir dengan tanam petola, timun dan kacang panjang dan akan berubah kawasan penanaman. Kata Murad masalah untuk dapatkan benih yang baik, tanah yang subur dan ketulinan benih adalah isu utama dan bukannya masaalah amalan agronomi. Bekalan benih dari kedai penjual benih kadang-kadang sukar di perolehi. Oleh itu beliau ada memilih dan menyimpan benih sendiri untuk kegunaannya bagi penanaman akan datang. Kajian oleh penulis yang pernah berbincang dengan CEO Guthrie di Kuala Lumpur pada tahun 2007 menyatakan syarikatnya perlukan banyak peria katak untuk di proses bagi dijadikan pes ramuan bagi dijadikan ubat. Bagaimanapun harga ditawarkan cuma RM 0.30 - RM 0.40 sekilogram menjadikannya penanaman di Muar tidak viable. Kini syarikat tersebut banyak mengimpot bahan Charantia dari China.

Kandungan rasa pahit peria katak dipercayai secara klinikal dapat membantu mengawal penyakit kencing manis dan dipercayai dapat hindarkan HIV. Selain itu didakwa bahawa peria katak dikenali sebagai "INSULIN TUMBUHAN" yang kawal kandungan gula dan kencing manis. Kajian penulis mendapati anggaran pendapatan bersih sehektar peria katak sekitar RM 3,980.00 - RM 4,200.00 sehektar dan kos pengeluaran setiap kilogram peria katak sebanyak RM 0.90 dan pulangan setiapuran sebanyak ringgit pelaburan sebanyak RM 1,86 iaitu menguntungkan.


Peria Katak kini telah dikomersilkan dengan penghasilan produk 'ready to eat' seperti dalam bentuk kapsul, pil,  serbuk dan juga dalam bentuk larutan cecair. Produk tersebut dikategorikan sebagai makanan suplement kesihatan yang mudah didapati di farmasi-farmasi dan juga syarikat jualan terus. Saya percaya satu hari nanti  produk dari tanaman peria dan peria katak akan terus popular bagi penggunaan segar mahu pun dalam bentuk produk proses. 


KATAK OH KATAK...... PERIA KATAK?
KATAK APA.... KULIT MACAM KATAK PURU....
APA KHASIATNYA...... PAHIT JADI UBAT......
HARGANYA MAHAL...KAT SUPERMARKET 


Related articles:
1. Petola Segi (Klik disini)
2. Capsaicin yang pedas (Klik disini)
3. Petua (Klik disini)
4. Silvershine Plastic (Click here)
5. Seeds (Click here)
6. Sayuran Popular di Malaysia (Klik disini)


By
M Anim
Tangkak
Johor,
Malaysia

Jambu Air JOHOR


Buah Jambu Air Johor yang di Tanam di Lenga .

Pagoh merupakan jenis yang di promosikan oleh 
Projek Khas Pertanian Pagoh, Muar.

JAMBU AIR  (Syzygium aqueum) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang dipercayai berasal dari Malaysia, Indonesia atau Filipina. Jambu Air Merah atau kini saya panggil sebagai JAMBU AIR JOHOR merupakan tanaman saka dari keluarga Myrtaceae. Pokok jambu air adalah tumbuh menegak dimana ia mampu hidup sehingga setinggi 15 meter jika dibiarkan tumbuh tanpa kawalan. Kawasan yang sesuai untuk tanaman jambu batu adalah tanah bercerun yang mempunyai saliran yang baik dengan kemasaman tanah atau pH antara pH 4.5 - 6.0. Saya dapati tidak terdapat maklumat secara rasmi akan keluasan penanaman jambu air tetapi penulis sekitar 200 hektar CHE. Penaman jambu air lazimnya adalah secara sampingan terutama ditanam dikeliling rumah dikampong tradisional tetapi kini terlah terdapat petani yang menanamnya secara komersil berskala agak luas juga. Ini kerana telah ada pasaran khusus (Niche market) bagi buah jambu air ini seperti dikawasan perhentian R&R PLUS, pasar malam, pasaraya dan penjual rojak petis.  Saya berpeluang melaeat untuk membuat tinjauan teknologi penanaman jambu air secara komersil di Kluang, Labis (Johor), Perak dan Pahang untuk mengkaji tahap amalan teknologi pengurusan tanaman. Jambu Air mampu berbuah sepanjang tahun tetapi terdapat dua watu puncak yang tinggi pengeluarannya iaitu pada bulan Mei - Jun dan September/Oktober. Pokok ini perlukan penjagaan yang rapi untuk mempastikan buah jambu dapat dihasilkan dengan berkualiti. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" teknologi penanaman jambu air untuk bacaan dan rujukkan anda.

Buah jambu air mudah di serang Lalat Buah (Bactocera dorsalis) yang mnyebabkan buah akan rosak. Kerja membalut buah jambu air dijalankan dengan menggunakan pembungkus plastik berwarna terang (Lihat foto dibawah) dan ditandakan untuk memudahkan proses memetik buah yang matang. Pokok dicantas dan dilentur untuk pastikan ketinggian sentiasa sesuai untuk kerja membalut buah dan kawalan perosak. Pengalaman penulis semasa melawat ladang untuk memberikan khidmat kepakaran mengenai teknologi tanaman jambu air dengan pemilik dan pekerja mendapati, aktiviti dari tanaman ini adalah menguntungkan jika dapat diuruskan dengan baik. Bagaimana pun saya dapati diantara isu dalam pengurusan tanaman jambu air adalah kos tenaga buruh agak kritikal untuk kerja-kerja membalut buah dan juga tabiat pokok yang berbuah kadang--kadang mengikut musim.

Di Malaysia buah jambu air terkenal di jual di R&R PLUS di Tapah (Juga dikenali sebagai jambu loceng). Jambu berwarna merah ini dijual dengan harga antara RM 8.00 - RM10.00 sekilogram dan di percayai dibekalkan dari Thailand. Terdapat beberapa kebun di sekitar Ipoh, Kinta dan Tapah yang menanam jambu air ini dan untuk pengeluaran tempatan. Jambu air merah loceng ini berbentuk seperti loceng yang panjang dan berwarna merah pekat sementara Jambu Air Johor berbentuk pendek, lebar dan warna yang merah cair.

Di Johor terdapat seluas 49 hektar Jambu Air Johor yang direkodkan oleh Jabatan Pertanian. Kaedah penanaman kebanyakkannya secara monocrop dan sebahagian lagi bercampur dengan tanaman buah-buahan lain seperti ciku, jambu batu dan limau. Dibawah Projek Khas Pembangunan Pertanian Pagoh, jambu air Johor ini telah dipersetujui oleh Menteri Pertanian selaku pengerusi JKuasa Induk Projek sebagai Produk Segar Pagoh. Jabatan Pertanian telah memajukan seluas 8 hektar tanaman ini di Mukim Lenga dan Jorak untuk tujuan tersebut.


Di Daerah Muar terdapat seluas 28 hektar tanaman Jambu Air Johor direkodkan pada 2009 dan hanya kira-kira 12 hektar yang telah mengeluarkan hasil. Kajian penulis di kawasan Kg Bt 25 Lenga mendapati bahan tanaman diperolehi dari pembekal tempatan dengan harga RM 16 sepokok. Benih ini ditanam dalam lubang penanaman dengan jarak 9 meter x 9 meter. Baja asas diberikan dalam lubang penanaman seperti TSP, Baja Organan dan sebagainya. Penyiraman dilakukan 2 kali sehari kecuali musim hujan. Pembajaan NPK 15:15:15 diberikan dengan kadar 20 gram/pokok sehingga pokok mula berbunga 18 bulan kemudian. Baja buah 12:12:17:2 diberikan untuk mempastikan pengeluaran bunga dan buah serta baja organan.

Cantasan pembentukkan peringkat awal sangat penting agar pokok mempunyai ketinggian 5-6 kaki untuk kerja-kerja membalut buah dan semburan. Dahan tengah dibuang dan biarkan dahan2 sisi tumbuh secara seimbang. Putik bunga di sembur dengan racun kulat dan racun serangga dan buat penjarangan sebelum dijalankan kerjaa-kerja membalut buah. Buah dibalut menggunakan plastik cerah dan tandakan bila jadual pengutipan hasil. Dahan yang terlalu lebat buah perlu di sokong dengan kayu atau di ikat dengan tali untuk sokongan agar dahan tidak sekah. Buah Jambu Air Johor yang masak akan di tuai dan di gredkan mengikut saiz, keseragaman, warna, kematangan dan juga kualiti kerseluruhannya. Buah jambu air sesuai dimakan segar atau dijadikan salad atau dibuat produk proses lain seperti jus minuman, halwa, salad dan sebagainya. 

JAMBU AIR MERAH...MERAH WARNANYA...
JAMBU AIR JOHOR.....PELBAGAI NAMA....
BENIH DIPILIH..... CARI VARIETI DIMANA....
MARI MENANAM.... FAEDAH BERGUNA...

Oleh,
M Anim
Senior Agrologist,
Jalan Istana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka,Malaysia.
(Kemaskini pada 26 Jun 2013)

Wednesday, February 3, 2010

Dendeng Jantung Pisang


Dendeng Jantung Pisang yang sangat sedap dan berpotensi untuk di buat di Malaysia.


Pokok pisang (Musa spp) merupakan tanaman yaang luas ditanam di negara-negara tropika. Terdapat seluas 81,130 hektar tanaman pisang di Malaysia pada tahun 2009 direkodkan oleh Jabatan Pertanian (Berapa banyak jantung pisang dihasilkan ?). Negeri utama kawasan tanaman pisang di Malaysia adalah seperti Johor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu. Terdapat berbagai jenis pisang di tanam di Malaysia dimana buah pisang digunakan sebagai makanan segar atau diproses untuk dijadikan pelbagai produk seperti kerepek, pisang salai, kuih tradisional (Jemput-jemput pisang) dan sebagainya. Daun pisang memang banyak digunakan sebagai bahan pembalut untuk buat kuih dan alas makan nasi. Penulis kali ini akan menceritakan dalam "Anim Agro Technology" satu projek selepas saya dan rombongan Johor berpeluang melawat satu projek di Indonesia iaitu MEMPROSES JANTUNG PISANG!


Projek tersebut terletak di Projek Kegiatan Belajar Masyarakat (PKBN) Jln Puri Indah Raya, Kacamatan Cimaniutara, Bandung, Indonesia. Projek ini saya kagum kerana belum pernah dengar yang Jantung Pisang di proses untuk dijadikan Dendeng Jantung Pisang yang sangat sedap yang diproses dengan mudah dan ringkas. Projek masyarakat ini dijalankan oleh Usahawan Bapak Eusof dan dibantu oleh 20 orang pekerja. Jantung yang digunakan seperti jantung pisang nipah dan beberapa jenis yang serupa di beli dari petani dari kampong sekitar. Jantung tersebut dikumpulkan dan di bersihkan. Jantung pisang tersebut di potong2 sebelum di masukkan dan mesin pengisar (Blender) sehingga hancur dan ditapis airnya.

Setelah air ditapis , proses seterusnya ialah mengaulkan jantung pisang dengan ramuan (Ramuannya terdiri dari jintan manis, ketumbar, gula, garam, sedikit lada sulah, hakia, kunyit - seperti masakan jawa) dan di gaul sehingga rata. Campuran ini kemudian di cetak empatsegi bujur sebelum dimasukkan dalam kuali untuk digoreng selama 7 - 10 minit sehingga masak. Dendeng Jantung Pisang yang telah di goreng akan di toskan minyak. Setelah minyak tos dendeng akan akan digredkan mengikut saiz (Ada yang pecah/ hancur semasa proses menggoreng) dan kemudian di bungkus menggunakan plastik dan pakaging yang sederhana menarik. Kilang ini mempunyai sijil Halal dari Kerajaan dan produk ini boleh di ekapot keluar negara.

Membentuk dendeng dengan cara manual sebelum di goreng.

Proses membuat dendeng jantung pisang memang mudah dan rasanya... Cukup Sedap! Bagi saya (Lidah J) memang suka dengan rasa tersebut sebab ada rasa manis, ketumbar, masin dan tak tahu bahawa bahan asas yang digunakan adalah Jantung Pisang. Snack tersebut sesuai dimakan sebagai makanan ringan atau di panggil Jajan. Satu bungkus mengandungi 4 dan 8 keping dijual dengan harha RM 1.50 dan RM 3.00.

Kita di Malaysia rasanya boleh buat kerja ini jika ada yang berminat. Kalau nak resepi boleh minta dengan saya!

Ramai yang hendak tanya ....berapa banyak jantung pisang untuk dapatkan satu kilogram dendeng? Yang pasti projek ini membantu petani untuk menggunakan jantung pisang yang banyak terbuang dan memberikan pekerjaan kepada penduduk tempatan.

UMPAMA MAKAN HATI ....... BERULAM JANTUNG.....
PROSES JANTUNG PISANG .... BUAT DENDENG.....
MAKAN DENDENG ..... MEMANG GANTENG......
NAK RESEPI DENDENG ...... BOLEH UNTUNG....

By
M Anem
DOA Muar
Jalan Kamariah, Muar,
Johor,
Malaysia

Tuesday, February 2, 2010

Benih Kelapa MATAG

Benih Kelapa MATAG di Pusat Pengeluaran Kelapa MATAG Jabatan Pertanian di Muar, Johor.



Apa itu Kelapa MATAG ?


Mana nak dapatkan benih Kelapa MATAG?
Ramai petani di Malaysia berlumba-lumba untuk mendapatkan benih Kelapa MATAG. Kelapa (Cocos nucifera) merupakan sejenis tanaman saka yang dikenali sejak zaman dahulu kerana dikatakan sebagai pokok pelbagai guna. Pengeluaran buah kelapa didunia adalah sebanyak 57 juta biji setahun daripada seluas 12.48 juta hektar kawasan penanaman. Pengeluar utama kelapa dunia adalah Indonesia (3.9 juta hektar) diikuti dengan Filipina (3.2 juta hektar ) dan India (1.9 juta hektar). Di Malaysia terdapat seluas 110,000 hektar tanaman kelapa dimana kawasan tumpuan penanaman adalah di Johor , Selagor, Perak, Sabah dan Sarawak. Dari pucuk daun hingga buah, batang dan akarnya pokok kelapa boleh digunakan. Buah kelapa antara bahagian yang paling berguna kerana hampir semuanya digunakan. Produk seperti Santan, sabut, tempurung, air kelapa, cocopeat, hampas kelapa semuanya boleh digunakan dan diproses. Kebanyakan varieti kelapa sedia ada yang ditanam di Malaysia ialah dari Jenis Malayan Tall yang tinggi yang berhasil sederhana. Jabatan Pertanian pernah menjalankan program penanaman kawasan kelapa di seluroh negara iaitu Program RPSKK semanjak tahun 1970'an lagi. Kelapa lain yang ada seperti Kelapa MAWA, Kelapa MRD, Kelapa MYD, Kelapa Pandan Wangi dan beberapa jenis lagi. Artikel ini saya menerangkan teknologi penyediaan benih kelapa MATAG dan perkara berkaitan dengannya berdasarkan pengalaman di Stesyen PTIF Jorak iaitu satu-satunya stesyen Jabatan Pertanian yang aktif dalam menghasilkan benih kelapa MATAG di Malaysia.




Produk Minyak Kelapa Dara (VCO - virgin coconut oil) merupakan satu produk paling popular masa kini di Malaysia dengan khasiatnya tersendiri. Ramai pengusaha yang telah menjalankan projek memproses minyak VCO dengan tunjukajar dari beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dengan menghasilkan Produk seperti VCO Aliff (Batu Pahat) dan banyak lagi syarikat2. Harga pasaran lingkungan RM 25.00 satu botol mengandungi 250-300 ml. Minyak VCO mengandungi pelbagai khasiat untuk digunakan sebagai makanan kesihatan. Kandungan Asid Lauric didalamnya didapati sangat sesuai untuk menambahkan kesihatan kepada penggunanya. Lain-lain kandungan dalam VCO ada di nyatakan dalam kajiann oleh MARDI yang berjaya menghasilkan 'Enriched VCO' dengan tambahan beberapa nutrien dalam produk tersebut.

MATAG adalah singkatan nama Kelapa Hibrid baru iaitu Kelapa Hibrid di antara Kelapa Renek Asal Malaysia dengan Kelapa Asal Filipina (Tagnanan). Kelapa Malaysia (Malaysian Yellow Dwarf -MYD atau Malaysian Red Dwarf - MRD) merupakan kelapa jenis rendah atau Kelapa Renek (Sumber Bunga Betina) yang akan di kacukan dengan debunga jantan dari Kelapa Tinggi Tagnanan (Berasal dari Filipina dan ditanam di Malaysia) . Proses pengeluaran benih Kelapa MATAG adalah rumit dan memerlukan kepakaran yang tinggi. Pengalaman penulis (Pegawai Pertanian Daerah Muar dari 1996-2010) yang telah beberapa kali melawat proses pengeluaran benih kelapa MATAG di Stesyen Pertanian Jorak, Muar , Johor dan United Plantation Estate Jenderak, Teluk Intan di Perak mendapati untuk mengeluarkan sebiji benih kelapa MATAG memerlukan kos, kesabaran, ilmu teknikal, sumber tulin debunga, sumber tulin induk MYD/MRD yang matang serta kepakaran pekerja pendebunga. Kini permintaan uuntuk benih kelapa MATAG adalah sangat tinggi dan bekalan tidak mencukupi.


Proses menyediakan benih kelpa MATAG dimulakan dengan debunga jantan perlu di sembur setiap hari kepada mayang bunga betina pokok Kelapa MRD atau MYD yang terbuka (Bunga betina terbuka berperingkat2). Proses pendebungaan ini dibuat dengan menggunakan tangga dari satu pokok ke pokok lain oleh pekerja mahir dan dari satu mayang dan kemudian di balut atau tutup dengan plastik telus cahaya. Tujuan menutup mayang tersebut adalah untuk mengelakkan debunga kelapa dari pokok sama atau pokok lain masuk kepada mayang tersebut. Kalau tak berjaya boleh di bubuh debunga lagi berulangkali pada hari berikutnya. Kerja ini perlu dijalankan dalam cuaca kering atau tidak hujan kerana jika hujan akan menyukarkan aktiviti pendebungaan dan menurunkan prestasi kejayaan. Penggunaan plastik pembalut telus cahaya memudahkan kerja-kerja pemeriksaan sama ada pendebungaan yang dijalankan berjaya atau tidak. Adalah perlu diteliti jambak bunga betina yang berjaya menerima debunga setiap hari selama seminggu sebelum berhenti menjalankan pendebungaan pada jambak yang sama.

Kelapa MATAG memang banyak buah dan sesuai untuk di tanam di Malaysia. Gambar buah kelapa MATAG di Projek Tanaman Kelapa MATAG di Sg Balang ,Muar bantuan Pejabat Pertanian Muar 2008.



Benih yang berjaya di debungakan akan dibuka plastik penutup dan dibiarkan sehingga 6-8 bulan untuk menjadi buah kelapa hibrid. Pembajaan pokok perlu di buat mengikut jadual standard untuk mempastikan benih kelapa MATAG dapat dihasilkan dengan baik. Baja NPK 12:12:17:2 digunakan dengan kadar 100-150 gram sekali sebanyak 4 kali setahun.. Buah yang telah matang di tuai dan yang berkualiti sahaja di susun dalam tapak semaian. Kelapa yang rosak, deform dan tak elok tidak diambil sebagai sumber benih. Buah kelapa yang dipilih akan di semai selama 4-5 bulan ditapak semaian sehingga daun pucuk 3-5 helai keluar dan kemudian dibuat pemilihan (culling) sama ada ianya F1 (MATAG) atau pun benih menjadi pokok induk MRD/MYD atau macam pokok induk Tagnanan. Kajian di Stesyen Jorak, Muar mendapati purata untuk jadi benih MATAG F1 yang tulin 100% cuma lingkungan 40 - 45 % sahaja. Maknanya jika kita berjaya mengeluarkan 1,000 biji kelapa hasil kacukan tadi cuma 400-450 biji sahaja yang akan jadi kelapa MATAG tulin selainya tidak boleh dijual atau ditanam.


Kelapa MATAG merupakan kelapa jenis baru dipercayai mampu mengeluarkan sehingga 40,000 biji sekhektar setahun. Projek kelapa MATAG di Kg Sg Gulang2 Batu Pahat yang saya pantau dan di tanam pada tahun 2001 mendapat hasil setangkai sehingga 15 biji (terdapat 4-6 tangkai pada satu pokok). Isi kelapa MATAG adalah tebal dan kandungan santan yang tinggi. Daerah Sabak Bernam (Selangor), Bagan Datok (Perak) dan Batu Pahat (Johor) merupakan tumpuan projek penanaman kelapa MATAG oleh Jabatan Pertanian. Penulis telah beberapa kali melawat projek tersebut untuk melihat kejayaannya.
Di Johor kawasan tumpuan adalah Batu Pahat, Muar dan Pontian melibatkan kawasan penanaman antara 100 -150 hektar setahun. Bantuan berbentuk bahan input, anak benih, baja, tanaman kontan dan prasarana asas dengan kadar yang ditetapkan Program Tanaman Baru atau Program Tanaman Semula. Kawasan lain yang menanam kelapa MATAG seperti di Mersing dan Kota Tinggi. Selain dari penanaman kelapa, tanaman lain seperti pisang, nenas, serai, kontan di usahakan bagi mempercepatkan pendapatan petani. Petani lebih minat menanam kelapa sawit berbanding menanam kelapa kerana faktur pendapatan dan jaminan pasaran.



Penulis (kiri) dengan pokok kelapa MATAG berumur 2.5 tahun di Endau Mersing April 2010.


Permintaan benih kelapa MATAG adalah tinggi berbanding bekalan berdasarkan maklumat diatas. Dapatkan nasihat daripada pegawai2 Jabatan Pertanian khususnya dari cawangan PTIF atau Pejabat Pertanian Daerah bagi mengetahui sumber-sumber kelapa MATAG yang tulin. Sukar bagi petani biasa mengenalpasti sama ada benih kelapa itu MATAG atau bukan jika tidak tahu punca dan ciri-ciri khasnya.Kepada mereka yang berminat untuk beli benih kelapa MATAG boleh berhubung dengan Pejabat Pertanian Daerah atau Nurseri yang disahkan mempunyai benih yang tulin. Mereka juga boleh berhubung dengan Pengurus United Plantation Estate di Teluk Intan Perak yang merupakan syarikat swasta pengeluar tunggal terbesar di negara ini. Harga kontrak dengan Jabatan Pertanian Malaysia dengan UP Estate dulu cuma RM 6.40 sepokok tetapi kini harga pasaran antara RM 10.00 hingga RM 15.00 bergantung kepada kontrak perjanjian dan jumlah dibeli serta tarikh tempahan (booking). Pastikan anda menanam kelapa MATAG menggunakan benih yang benar-benar tulin dan disahkan agar mandapat hasil sewajarnya!
Sekian...Selamat mencuba...


NAK MENANAM KELAPA?.....PILIH KELAPA MATAG.....
NAK BELI BENIH MATAG.... KAT MANA NAK MINTAK....
NAK BELI BENIH YANG TULIN..... KENA PAKAI OTAK....
BILA BUAH KELAPA KELUAR ..... PASTI BERSORAK.....


Related Articles:
1. Kelapa Pandan  (Klik disini)
2. Minyak Kelapa Dara (Klik disini)
3. Rumpai di Dusun (Klik disini)
4. Cashflow Tanaman Kelapa (Klik disini)
5. Coconut (Klik disini)
6. Kopra (Klik disini)
7. Racun Rumpai (Klik di sini)
8. Petani Malaysia (Klik di sini)
9. VCO Technology (Klik disini)
10. Pembiakan Tampang Tumbuhan (Klik disini)




By
M Anem
DOA Muar
Johor
Malaysia

Monday, February 1, 2010

Rambutan


Rambutan (Nephelium lappaceum Linn) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang dipercayai berasal dari Malaysia dan Indonesia. Buah rambutan ini di percayai berasal dari nama " Buah dan Rambut" yang mempunyai isi dan biji dan dimakan segar atau diproses. Pokok rambutan dari jenis pokok saka yang mana boleh mencapai sehingga 20 meter ketinggian. Pokok rambutan yang diurus dengan baik mampu mencapai umur sehingga 25 tahun atau lebih. Industri tanaman rambutan di Malaysia kini kurang popular kerana saya dapati ia memberikan pulangan keuntungan yang amat rendah berbanding dengan tanaman lain. Rambutan boleh ditanam daripada biji atau dari benih cantuman yang baik mempunyai kanopi terbuka. Penulis mempunyai pengalaman memberikan khidmat pengembangan teknikal dalam tanaman rambutan semasa menjalankan projek pemulihan buah-buahan di Johor dan Melaka. Artikel ini saya menulis didalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman rambutan untuk bacaan semua berdasarkan buku dan pengalaman. 


Di Malaysia seluas 24,749 hektar keluasan tanaman rambutan dengan pengeluaran sebanyak 79,540 metrik tan direkodkan pada tahun 2009 dan meningkat kepada 26,946 hektar dengan pengeluaran sebanyak 86,085 metrik tan pada tahun 2010. Negeri2 pengeluar utama rambutan seperti Kelantan, Johor, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah. Stastitik Jabatan Pertanian menunjukkan pada tahun 2009 dan 2010 kawasan diDaerah Larut Matang/Selama di Perak paling luas kawasan tanaman rambutan iaitu seluas 846 hektar diikuti dengan Daerah Kuala Kerai Kelantan (654 ha) dan Daerah Dungun Terengganu (473 ha). Di Johor pula seluas 2,354 hektar di tanam pada 2009 dimana paling luas di tanam di Daerah Muar (428 ha) diikuti Daerah Mersing (409 ha), Daerah Kota Tinggi (400 ha) dan Segamat (350 ha).


Rambutan "Anak Sekolah'
Buah rambutan ini sesuai dimakan segar atau pun untuk tujuan proses sepertin ditinkan dalam sirap manis. Bagi tujuan dimakan segar biasanya dipilih rambutan yang manis, lekang, segar, pejal dan harga yang murah atau sederhana. Antara klon popular jenis dimakan segar seperti Anak Sekolah, Deli Baling, Deli Cheng, Gula Batu dan Gading Muar. Belum banyak rambutan yang di proses terutama untuk ditinkan di Malaysia kerana masaalah harga dan musim pengeluaran. Thailand merupakan pengeluar utama rambutan dalam tin didunia dengan pasaran seluroh dunia. Kajian saya mendapati musim penghasilan buah rambutan jika berlaku pengeluaran serentak menyebabkan berlakunya lambakkan buah akibatnya banyak yang tidak dipetik.


Pokok rambutan mampu tumbuh sehingga ketinggian 20 meter merupakan pokok saka yang ada kanopi rendang dan rimbun. Lazimnya pokok rambutan yang dijaga dengan haik mampu produktif sehingga 25 tahun. Pokok rambutan klon lama kampong ada yang masih tumbuh dengan buah yang masam dan sering digunakan sebagai baka kacukan sahaja. Pokok rambutan sekarang yang ditanam hanya jenis klon terpilih yang dicantum dan mempunyai dahan yang lebih rendah dan sistem cabang yang terbuka tengah.

Musim berbunga bagi rambutan di Malaysia bermula bulan Mac-Julai dan musim kedua pada Julai-November. Kebanyakan bunga rambutan adalah HEMAPRODIT iaitu ada bunga jantan dan betina pada satu jambak. Pendebungaan berkacuk adalah terbaik untuk hasilkan buah berkualiti dan dilaksanakan oleh agen-agen pendebungaan seperti Semut (Companatus spp), Kerengga (Oceophylla smaradgina), Kelulut (Trigona spp) , Lebah (Apis cerana) dsb. Buah rambutan terbentuk pada hujung ranting yang berbentuk bulat berukuran 5 cm yang berwarna hijau masa muda dan bertukar kuning atau merah apabila masak. Tempoh masa matang dari peringkat berbunga natara 100 - 130 hari.


Benih dari klon terpilih di tanam dengan jarak 9 meter x 9 meter berbentuk Tiga Segi (142 pokok/ha) atau empat segi (123 pokok/ha) atau bentuk sesiku keluang. Antara klon yang disyorkan oleh jabatan Pertanian adalah Rambutan Anak Sekolah/Rong Rien (R191), Rambutan Deli Cheng (R170), Rambutan Gula Batu (R3), Rambutan Gading Muar (R156) dan Deli Baling (R193). FAMA syorkan rambutan Anak Sekolah di promosikan untuk pasaran ekspot keluar negara kerana ciri-ciri komersial seperti tahan lama, manis, lekang dan pejal.


Anak benih ditanam dalam lubang yang telah disediakan dan dimasukkan baja asas TSP (200 gm/lubang) dan perlu ditutup dengan sungkupan. Siram air 2x sehari (Kecuali hujan) atau sebaiknya ada sistem pengairan titis. Program pembajaan dijalankan dengan NPK 15:15:15 (kadar 500 gm/pk) ditambah dengan baja foliar pada tahun pertama dan naik kepada 1 kg/pokok (tahun kedua) . Bubuh baja NPK 12:12:17:2 (baja buah) pada tahun ketiga sebanyak 1.5 kg/pk dan naik 0.5 kg setiap tahun berikutnya. kawal rumpai dengan racun Rumpai (Glufosinate ammonium). Buat cantasan pembentukkan dari peringkat awal untuk dapatkan "open centered" dan pada tahun kedua buat cantasan pembentukkan kanopi. Pada tahun ketiga dan seterusnya dibuat cantasan pembentukan dahan yang kuat.

Penyakit utama rambutan ialah Cerana Batang (Dolabra nepheliaceae) yang berbentuk keruping pada batang dan dikawal dengan GAP, Kikis dan sembur racun kulat fosetyl aluminium (Alliete) atau sulfur (Kumulus) atau Copper oxychloride (Coppocide). Penyakit Kulapok Hitam (Meliola nelhellii) pula serang pada buah disebabkan koya dan kawalan dengan racun sulfur. Penyakit Kulapok berdebu (Oidium nephelii) serang buah dikawal dengan Sulfur atau Copper. Serangga yang menyerang rambutan ialah Ulat Pengorek buah Rambutan (Conopomorpha cramevella) , Ulat Lipat Daun (Muda), Kumbang makan daun (Muda), Tupai, Monyet dan Keluang. Kawalan menggunakan jaring, ditembak atau pasang perangkap.



Pokok rambutan secara teorinya berbuah selepas 275 - 300 hari lepas tanam. Rekod Jabatan menunjukkan purata pengeluaran hasil rambutan di Malaysia lingkungan 3.2 - 3.5 mt/ha. Analisa penulis di Muar mendapati kos penjagaan pokok rambutan dewasa adalah sekitar RM 2,237.00 sehektar setahun (Tidak termasuk kos pembangunan awal) manakala pendapatan kasar ladang sebanyak RM 4,200 ha/tahun manjadikan untung bersih sebanyak RM 1,963 ha/tahun atau cuma RM 163.00 sebulan sehektar. Kos pengeluaran setiap kilogram rambutan sebanyak RM 0.65. Tanaman rambutan bukan satu busines yang sangat menguntungkan jika dijual segar jika dibandingkan dengan tanaman lain kecuali jika di proses atau ada aktiviti lain dalam kebun rambutan.

TANAM RAMBUTAN.... DAPAT MAKAN .....
HASIL RAMBUTAN ... ADA DIBIARKAN ...
JENIS ANAK SEKOLAH...JADI PILIHAN...
MAS GADING MUAR... KUNING DITELAN...


Related articles:
1. Klon Rambutan di Malaysia (Klik disini)
2. Kenapa Rambutan ? (Klik disini)
3. Rambutan Gading Muar (Klik disini)
4. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)

By
M Anem

Agronomist,
Gersik, 

Muar, Johor, 
Malaysia.
(Kemaskini blog pada 1 Mac 2013)

Tanaman Keladi


KELADI (Colocasia esculenta L.) merupakan sejenis tanaman umbisi yang di percayai berasal dari Malaysia atau India yang hidup subur di kawasan rendah (khususnya tanah gambut) dan mempunyai saliran yag baik seperti di kawasan tanah gambut sederhana dalam. Keladi adalah tumbuhan umbisi dari keluarga Araceae. Tanaman Keladi atau juga di panggil Taro (Indonesia), Callalo, Coco dan Cocoyam digunakan sebagai sumber makanan ramai penduduk semanjak dulu kala. Tumbuhan ini menghasilkan umbisi dimana ada beberapa negara yang menjadikannya sebagai bahan makanan ruji atau makanan asasi. Penulis yang lama bertugas dalam bidang pertanian sebenarnya mempunyai pengalaman dalam sistem penyampaian teknologi menanam keladi. Artikel kali ini saya akan membincangkan tanaman keladi dari sudut pengalaman penulis selama 34 tahun dalam bidang pertanian, rujukan buku, risalah dan minat makan keladi goreng. Keladi banyak zat mineral dan vitamin seperti Thiamin, Riboflavin, Zink, Posforus, Kalium, Manganese dan juga  Zat Besi. Kandungan vitamin pula dalam keladi seperti Vitamin C, Niacin, B6 dan juga asid Oksalik. Umbisi Keladi mempunyai sumber Kanji yang sangat tingggi. Dibeberapa negara seperti Irian Jaya, Papua New Guinea, Timor Leste dan beberapa masyarakat di Afrika menjadikan keladi sebagai makanan ruji mereka. Ini telah menjadikan tanaman keladi amat penting dinegara mereka dengan ditanam untuk sumber makanan negara. Artikel pada kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman keladi untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Tanaman keladi merupakan sejenis tanaman umbisi yang mempunyai daun lembut berwarna hijau gelap dan juga mengeluarkan umbisi dibahagian pangkal pokok dibahagian dalam tanah. Terdapat dua jenis keladi iaitu Keladi yang tidak boleh dimakan (Digunakan sebagai pokok ornamental atau tanaman hiasan) dan jenis keladi yang boleh di makan. Di Malaysia keladi yang popular di tanam adalah seperti Keladi Minyak, Keladi Cina, Keladi Mawar, Keladi Sarawak, Keladi Taro, Keladi Ais Kerim dan sebagainya yang ditanam secara komersial. Beberapa keladi lain yang diambil bahagian batang sahaja untuk dibuat sayur seperti Keladi Lambuk atau Keladi Kemumu dan Keladi Kemahang. Walau pun jenis keladi sayur ini semakin kurang digunakan tetapi ia masih popular terutama di Pahang (Daerah Kuala Lipis, Raub) dan juga di Lenggong, Perak. Keladi ini dimasak gulai dengan tempoyak bersama ikan patin atau bahan lain. Dalam industri makanan pencuci mulut, pembuatan Ais Kerim perasa keladi biasanya berwarna Ungu oleh Syarikat Marigold atau beberapa jenama lain. Rasa aiskrim keladi memang sedap dan diminati ramai dijual di Hypermarket dan banyak lokasi lain.


Pada zaman dulu keladi digunakan sebagai sumber makanan utama dengan merebus sahaja dan kemudian akan dimakan terus. Di Malayisia keladi lebih banyak dimakan atau digemari dengan di goreng sama ada disalut dengan tepong (70% kegunaan masa kini) atau digoreng begitu sahaja dicampur dengan rempah seperti jintan dan ketumbar untuk menambah keenakannya. Bagaimana pun penulis dapati keladi juga popular untuk di proses menjadi kerepek keladi yang enak dan rangup. Keladi juga diproses sebagai bahan asas membuat kueh tradisional. Pucuk keladi atau batang keladi yang umbisinya boleh dimakan selalunya boleh digunakan sebagai sayuran. Batang keladi amat enak dimasak gulai atau lemak cili api bergantung kepada cara masak dan jenis keladi digunakan. Bahagian akar keladi lazimnya akan menghasilkan struktur yang di panggil 'SULUR' sangat enak untuk dijadikan sayuran dikalangan maysrakat Jawa di Muar, Batu Pahat, Melaka dan beberapa lokasi lain selalu meneliti bagaimana amalan agronomi tanaman ini dijalankan petani (Sila lihat foto disebelah). Keladi dilaporkan banyak mengandungi kabohiderat dan protin serta nutrient lain serta antiokisdan. Penulis dapati pengalaman petani dalam menanam keladi penting untuk mempastikan tuaiaian yang baik.   


Daripada 11,860 hektar kategori tanaman kontan di Malaysia dalam tahun 2010 yang dimajukan , seluas 4,520 hektar (38%) merupakan tanaman keladi (Sumber: Laporan statistik tanaman 2010, Jabatan Pertanian Malaysia). Negeri Johor dan Selangor merupakan penyumbang utama pengeluaran keladi di Malaysia. Negeri Johor pada tahun 2010 menanam seluas 685 hektar tanaman keladi iaitu di Daerah Kota Tinggi (303 ha), Muar (41 ha) dan bakinya di daerah2 lain sementara Daerah Kuala Langat, Selangor menanam seluas 22 ha pada tahun yang sama. Kebanyakan kawasan penanaman padi di Johor dan Selangor adalan dari jenis tanah gambut. Jenis keladi yang popular ditanam di Johor adalah Keladi Mawar, Keladi Minyak dan ada sedikit jenis Keladi Sarawak. Ia ditanam secara bercampur dan monokrop. Selain daripada pasaran domestik, penulis daimaklumkan petani banyak juga keladi yang dieksport ke Singapura terutama daripada Daerah Pontian, Kota Tinggi dan Johor Bahru. Ia dijual dalam bentuk keratan umbisi bersama batangnya agar tahan lama (Sila lihat foto disebelah). Harga jualan runcit keladi ini sekitar RM5.00 - RM8.00 sebiji mengikut saiz.

Kebanyakan keladi ditanam diatas tanah gambut (Gambut sederhana atau gambut cetek). Selain daripada dijual segar sebagai "fresh produk" didapati keladi ini dihantar kekilang proses ais kerim dan sebahagian lagi di buat kerepek keladi yang popular terutama Hari Raya Puasa. Keladi Mawar merupakan jenis keladi yang disukai pengguna terutama disekitar daerah Muar dan Batu Pahat serta Melaka kerana keladi jenis ini mempunyai pasaran yang baik. Harga ladang bagi keladi jenis ini ditawarkan sehingga RM 1.30 - RM 1.60 sekilogram dan kajian penulis pada tahun 2015 ia meningkat kepada RM2.00 - RM2.50 sekilogram. Ada beberapa petani Cina yang menanam keladi jenis ini diatas tanah mineral tetapi mesti dibuat batas agar pembentukkan umbisi keladi dapat membesar. Semasa penulis membuat lawatan teknikal ke Kahang, Kluang, Johor saya berpeluang bagaimana Mr Lee menanam keladi diatas tanah mineral seluar 4 hektar ditanam berselingan dengan tanaman pisang berangan. Petani tersebut menanam keladi dengan membuat batas setinggi1.5 kaki dengan panjang mengikut barisan sepanjang lebar kebun. Penanaman dilakukan dengan jarak 1m x 1m dimana benih akan diletakkan diatas batas mengikut baris. Jika tanah mineral jenis liat berpasir ditanam dengan keladi ada kemungkinan dimana jika tidak dibuat batas maka pembentukkan umbisi keladi kurang menjadi.


Benih keladi di perolehi daripada sulur anakbenih pokok berumur lebih 4 bulan dan dikutip dengan memotong sepanjang 4 - 6 inci (Buang daun dan umbisi keladi). Kos bagi benih keladi sekitar RM0.30 - RM 0.50 satu sulur bergantung kepada saiz dan jenis keladi. Kawasan penanaman di tanah gambut yang telah dibersihkan di buat lubang dengan menggunakan tugal kayu tajam berukurlilit 4-6 inci untuk membuat lubang sedalam 5 -8 inci. Masukkan satu benih sulur kedalam setiap lubang dangan jarak tanaman 75 cm x 75 cm dan bilangan pokok sebanyak 18,000 pokok/ha. Pembajaan dengan NPK 15:15:15 sebanyak 20 gm/pokok dibuat peringkat 2 minggu lepas tanam. Baja 12:12:17:2 pula diberikan dengan kadar 300 kg/ha pada umur 2 bulan lepas tanam serta Bulan ke 5 dan Bulan Ke 6. Jalankan kawalan rumpai menggunakan kaedah manual dan semburan racun rumpai tidak digalakkan. Penggunaan racun pra-cambah seperti Racun Altrazine dan Racun Ametryn dibuat sebelum mula penanaman.


Tanaman keladi matang dalam tempoh 7-12 bulan bergantung kepada jenis keladi dan kaedah pengurusan dengan hasil potensi sebanyak 20,000 kg sehektar. Penuaian keladi perlu dijalankan secara berperingkat-peringkat mengikut saiz pokok, umur pokok dan harga pasaran. Tanda pokok keladi telah cukup umur dan matang adalah dengan melihat daunnya yang agak kering sedikit dan apabila dikorek umbisinya cukup berisi dan besar. Pilih pokok yang sesuai dan lazimnya keladi yang matang di cabut dan ia kemudian dibersihkan dengan membuang daun serta bahagian batang serta akar serabut tinggalkan kira-kira 6-10 inci. Hasil ubi keladi ini akan digredkan mengikut saiz dan jenis sebelum dijual. Ubi Keladi yang dituai dengan cara penyimpanan yang sempurna akan tahan sehingga 3-4 bulan jika dijaga dengan baik sebelumkualitinya menurun. Dalam pada itu lazimnya sakibaki tanah pada keladi yang tidak dibuang akan dapat mengekalkan kesegaran keladi lebih lama. Ada jenis keladi seperti ini seperti yang diimport akan disalut dengan tanah atau lumpur untuk mengekalkan kesegarannya. Sebaiknya keladi tidak dijemur atau di letakkan yang lembab atau kurang pengudaraan kerana ia mencepatan keladi menjadi busuk.

Antara masaalah penanaman keladi ialah kesukaran untuk mendapatkan anakbenih berkualiti dan selalunya kena cari daripada pembekal yang telah disahkan jenis dan kualitinya. Oleh kerana kawasan penanaman biasanya tanah gambut, maka kejadian tanah terbakar musim kemarau dan banjir musim hujan juga menjejaskan tanaman keladi. Antara perosak tanaman keladi ialah serangan koya hijau pada daun yang berlaku pada musim panas dan serangan siput kecil yang merosakkan bahagian daun tanaman. Kawalan menggunakan racun kimia yang disyorkan. Antara Penyakit tanaman keladi adalah Penyakit Hawar Daun yang menyerang daun dan dikawal dengan mengamalkan giliran tanaman. Penyakit Reput Umbisi pula menyerang umbisi keladi yang menyebabkan reput dan busuk dikawal dengan mencabut dan musnahkan serta rawatan racun kulat pada sulur benih sebelum menanam. Perosak keladi pula ialah Kumbang Pengorek Umbisi yang mengorek buah keladi mengakibatkan umbisi busuk dan dikawal dengan mencabut serta musnahkannya. Serangan Koya sering berlaku pada musim panas dimana koya akan berada di bahagian bawah daun dan menghisap air sap daun akibatkan kerosakan daun dan boleh dikawal dengan 'white oil'. Serangan Tikus yang makan umbisi keladi di kawal dengan racun Matikus (Bahan aktif warfarin). Kini lebih ramai pengguna membeli keladi organik yang dipersijilkan.

Kajian saya di beberapa lokasi termask di Kg Bt 14, Air Hitam, Muar mendapati purata hasil dicapai tanaman keladi di kawasan tanah gambut sebanyak 18,000 kg sehektar (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya petani akan menjual dengan purata harga ladang sekitar RM 1.20 sekilogram menjadikan pendapatan kasar ladang sebanyak RM 21,600 sehektar. Sementara itu kiraan kos pengeluaran tanaman keladi pula sebanyak RM 11,460.00 sehektar (Kos benih meruakan komponen yang paling banyak) dan akan menjadikan pendapatan bersih ladang adalah sebanyak 
RM10,140.00 sehektar. Kos pengeluaran setiap kilogram keladi ialah sebanyak RM0.63 dan pulangan setiap ringgit dilaburkan ialah bernilai RM1.88. Tanaman keladi juga merupakan aktiviti yang menguntungkan jika di urus dengan baik dengan menjalankan Amalan Pertanian Baik di ladang. Pengurusan oleh petani dengan bimbinngan oleh pegawai pengembangan adalah diperlukan. Memang semakin ramai dikalangan pembaca mencari artikel mengenai tanaman dan amalan agronomi tnaman keladi tetapi amat kurang boleh dirujuk diinternet. Artikel ini yang saya post pada tahun 2010 dan dikemaskini pada 1 Mac 2016 mendapat pautan yang memang sangat tinggi dikalangan pelayar internet. Salam Bahagia!...Wasallam!.
TANAM KELADI ...MESTI MENJADI....
MAKAN KELADI...KENYANG PASTI ....
KELADI MAWAR...ENAK SEKALI....
TEKNOLOGI KELADI ..KENA CARI...

Related Articles :-
1. Keladi Mawar (KLIK DISINI)
2. Pengurusan Tanaman Keladi (Klik di SINI)
3. Racun Rumpai (KLIK DISINI)
4. Cashflow Keladi (KLIK DISINI)
5. Petani di Malaysia (KLIK DISINI)

By,
M Anem
Senior Agronomist
DOA, Jalan Kamariah,

Muar , Johor,
Malaysia.
(Kemaskini pada 8 Febuari 2014 dan 1 Mac 2016)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...