Support My Blog

Wednesday, August 22, 2012

RAGI

RAGI (Yeast) merupakan sejenis agen yang digunakan dalam proses fermentasi. Ragi lazimnya merujuk kepada mikro-organisma sama ada Bakteria atau Kulat yang menyebablkan proses fermantasi. Di Indonesia ragi juga dipanggil sebagai 'Fermen' sementara dalam Bahasa China di panggil sebagai Qu atau Chu, Bahasa Korea (Nuruk ; Meju), Bahasa Jepun (Koji), Bahasa India (Marchaar ;  Ranu ; Bakhar ), Bahasa Tagalog Filipina (Bobod) dan Bahasa Thailand (Loopang). Ragi di Malaysia banyak dikaitkan dengan aktiviti membuat tapai pulut, tapai ubi dan pelbagai jenis tapai lagi. Di Kawasan pendalaman Sarawak dan Sabah ragi sering dikaitkan dengan pembuatan tuak di kawasan perumahan rumah panjang kaum dayak.Apa yang saya tahu dahulu datuk kita menggunakan ragi untuk membuat proses bioteknologi bagi membuat t apai ubi atau tapai pulut  yang sangat manis dan dihidangkan didalam majlis-majlis seperti kenduri kahwin dan sebagainya. Kalau di Melaka ketika majlis kenduri kahwin memang sering dihidangkan tapai pulut dan agar-agar merah (gula batu) sebagai buah mulut. Artikel tengahari ini saya menulis mengenai ragi untuk dikongsi maklumat bersama.


Ragi berfungsi didalam proses penapaian bahan-bahan makanan yang mengandungi banyak karbohiderat dan gula. Dalam proses penapaian (Fermentation process) lazimnya ragi akan menukarkan gula kepada Karban dioksida dan juga Alkohol. Peranan ragi dalam pembuatan minuman alkohol telah diketahui berkurun-kurun lamanya dengan memproses pelbagai bahan hasil tanaman untuk membuat arak. Beberapa rujukan yang saya buat dari buku mendapati organisma yang sering dikatakan sebagai ragi di tempat kita adalah dari kumpulan Rhizopus , Aspergillis , Mucor , Amylomyces  dan juga Endomycopssis.  Sebenarnya terdapat sebanyak 1,200 spesis mikrob yang dikatakan sama berfungsi seperti ragi iaitu kurang dari 1% daripada spesis kulat yang ujud didunia ini. Di Indonesia ragi untuk membuat tempe telah di komersilkan sebagai satu barang dagangan yang mudah didapati dan dibeli dari kedai-kedai runcit (Lihat foto diatas). Tempe adalah satu produk spesial di Indonesia dan oleh keturunan masyarakat Jawa di Malaysia.


Tempe adalah sejenis bahan makanan bioteknologi yang berkhasiat dan selamat dimakan. Kacang soya yang telah di bersihkan diproses dengan membubuh ragi sebelum ditapaikan beberapa lama sehingga menjadi tempe.  Ragi komersil akan digaul rata dengan kacang soya (lihat foto sebelah). Kini bukan sahaja tempe di bungkus menggunakan daun pisang dan daun lebar, tempe moden di bungkus menggunakan plastik sahaja dan dijual dengan harga RM 1.00 sebungkus di pasar. Peranan ragi sangat penting agar tidak ada berlaku kontaminasi dengan kulat lain menyebabkan kacang soya tidak menjadi tempe. Ragi yang lama atau telah rosak sering menyebabkan tempe tidak menjadi. Tempe kini di makan sebagai sayur, di buat kerepek tempe dan pada saya yang paling enak adalah tempe goreng. Tempe goreng berempah sangat sesuai dihidangkan bersama sambal kicap cili api yang pedas.


Pembuatan tapai ubi dan tapai pulut juga menggunakan ragi.  Ubi kayu yang siap direbus akan di berikan ragi dan disimpan dalam raga atau dalam daun pisang untuk proses penapaian. Setelah 1 - 2 hari periksa tapai tadi untuk di makan. Kaedah penggunaan ragi yang baik dan ubi kayu berkualiti akan menghasilkan tapai umbi yang wangi dan manis serta lembut. Tapai ubi ini sesuai untuk dimakan oleh mereka yang menghadapi masaalah penghadaman. Tapai pulut juga disediakan dengan kaedah hampir sama. Semasa saya bertugas di Sarawak dahulu, saya juga berpeluang melihat bagaimana tuai dihasilkan di rumah panjang menggunakan bahan asas beras dan beras pulut. Tuak yang dihasilkan mempunyai pelbagai gred , warna dan aromenya tersendiri. Bagaimana pun saya tidak pernah mencuba minum tuak walau pun di suakan banyak kali oleh tuai rumah.

NAMANYA RAGI.... YEAST JUGA GELARANNYA....
FUNGSI PENAPAIAN...ITU KERJA UTAMANYA...
MENGHASILKAN TUAK....ARAK DAN BIR JUGA....
PEMBUATAN TEMPE...RAGI ADALAH ASASNYA....

By,
M Anem
Kg Pt Bengkok, Gersik,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(1 Shawal 1433H)  

Tuesday, August 21, 2012

AZOLLA

AZOLLA (Azolla sp) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Azollaceae iaitu tumbuhan akuatik yang terapong diatas permukaan air berwarna hijau yang sering kita jumpa dalam sawah padi atau kolam. Terdapat 7 jenis tumbuhan Azolla ini dan kita boleh bahagikan kepada 3 kategori iaitu yang tumbuh di kawasan Asia (Azolla japonica, Azolla filliculoides dan Azolla pinnata), Kawasan Afrika (Azolla nilotica) dan Kawasan Amerika (Azolla caroliniana, Azolla mexicana dan Azolla microphylla). Jenis azolla yang banyak tumbuh sendiri di kawasan Asia Tenggara adalah dari jenis Azolla pinnata yang kaya dengan kandungan protin (diantara 25 - 30%) dari kandungan berat kering. Tumbuhan ini kurang mendapat perhatian di negara kita kerana tidak ramai yang mengusahakan tumbuhan ini kecuali untuk di letakkan dalam akuarium ikan dan dibiarkan dalam sawah padi. Artikel subuh 28 Ramadan ini saya menulis mengenai azolla dalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi bersama.


Azolla yang sering kita jumpa di sawah padi adalah tumbuh sendiri yang mana benihnya masuk kedalam sawah melalui sistem bekalan air. Apabila mendapat baja dan cahaya matahari, azolla akan membiak dengan cepat dan memenuhi ruangan air didalam sawah sehingga menjadi permukaan air yang hijau (Foto sebelah). Azolla sebenarnya mampu bersimbiosis dengan sejenis bakteria Biru-Hijau yang dikenali dengan nama Anabaena azollae yang boleh mengikat Nitrojen terus dari udara. Kejadian ini membolehkan tumbuhan ini sesuai dijadikan baja asas hijau kepada sawah padi sama ada sawah berair atau sawah kering. Walau pun di negara kita kurang diperkatakan akan menafaat azolla, beberapa negara jiran telah mengaplikasikan dengan lebih sesuai.


Azolla dalam keadaan persekitaran yang sesuai (Optimum condition) mampu tumbuh dan membiak dengan cepat iaitu sekitar 35% setiap hari. Kajian saintis mendapati azolla mengandungi kandungan zat makanan tinggi dengan protin (25-30%), Asid Amino seperti Lisin (0.42%) iaitu jauh lebih tinggi daripada jagung, dedak dan byproduk beras. Ini menjadikan tumbuhan ini sangat sesuai untuk dijadikan bahan makanan kepada aktiti ternakan dan ternakair.  Dalam penanaman padi ianya memang tidak dinafikan sangat memberikan kesan baik. Dibeberapa negara seperti di China dan Vietnam, penggunaan amalan agronomi kombinasi azolla terbukati memberikan hasil yang tinggi kepada tanaman padi mereka. Azolla yang sesuai dipanggil sebahaj 'Baja Hijau Semulajadi' ini memberikan baja N tambahann kepada padi. 


Walaupun kita hanya kenal akan Azolla pinnata di sawah, kajian oleh para saintis mendapati jenis Azolla microphylla lebih baik digunakan kerana jenis ini tumbuh lebih tebaal, bertompok-tompok dan ianya mengandungi nitrisi yang lebih tinggi (Lihat foto sebelah). Jenis ini sanat sesuai untuk ditanam dan dijadikan bahan makanan untuk ternakan seperti ternakan ikan, lembu, ayam, kambing dan sebagainya. Cara menghasilkan tanaman azolla mudah sahaja iaitu dengan menyediakan kolam asas atau induk diisi dengan air. Pastikan ianya terdedah kepada cahaya metahari dan bubuh baja tahi kambing yang dibancuh didalamnya. Masukkan benih azolla didalamnya. Ianya akan membiak dengan cepat dan kutip hasilnya untuk diberi makan kepada ternakan. Mudah sahaja! Semuga artikel ini menambah ilmu pengetahuan kita. BERSAMBUNG!

NAMANYA AZOLLA...HIJAU DAUNNYA....
TUMBUH TERAPONG...BANYAK FAEDAHNYA...
TANAMAN PADI..NITROJAN DIBEKALNYA...
TINGGI PROTIN...TERNAKAN MAKANANNYA...

By,
M Anem
Sawah Ring, Muar,
Johor, Malaysia.
(2 Shawal 1433H)          

CENDAWAN BUSUT

CENDAWAN BUSUT (Termitomyces sp) merupakan sejenis cendawan dari keluarga Lyophyllaceae yang tumbuh liar dikawasan khusus pada masa-masa tertentu sahaja dan dipercayai ada kaitan dengan aktiviti oleh anai-anai. Saya memang kenal akan cendawan busut ini kerana sering makan ketika zaman remaja dulu dimana memang mudah dijumpai di kawasan kebun getah dan ladang kelapa sawit di sekitar kampong saya di Gersik, Muar, Johor. Memang enak dan sedap cendawan busut ini yang di masak sayur tumis atau lebih lazat lagi di buat sup cendawan busut. Isinya yang lembut dan aromanya yang wangi menyebabkan cendawan busut ini menjadi hidangan istimewa pada musim cendawan ini di jumpai dari kawasan kebun. Pada masa ini setelah saya belajar mengenai kulat, saya dapati cendawan busut ini terdapat lebih dari 60 spesis diseluruh dunia dimana hanya 18 spesis sahaja yang telah dibuat kajian dan pencirian oleh saintis. Cendawan busut adalah berkait rapat dengan anai-anai dimana ianya sering tumbuh dimana ada koloni anai-anai dan juga merupakan sumber makanan utama kepada koloni anai-anai.  Jenis yang terdapat di Malaysia yang saya tahu ada dua yang boleh dimakan iaitu Termitomyces heimeii dan Termitomyces albuminosa. Pada petang akhir Ramadan 1433H ini saya menulis mengenai cendawan busut berdasarkan kepada pengalaman penulis, rujukan dari buku ilmiah dan rujukkan dari beberapa laman sesawang lain untuk ditulis dalam didalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan anda semua.


Cendawan busut hanya didapati dikawasan ladang sawit, ladang getah, dalam hutan dan kawasan belukar yang bebas dari sebarang jesan racun dan terdapat koloni anai-anai (Dari Spesis Microtermes atau Spesis Odototermes)  dikawasan persekitaran tersebut. Beberapa perkara dan fakta mengenai cendawan busut yang saya faham adalah keujudannya sering berlaku  selepas hujan dalam cuaca agak lembab dan ada busut dari koloni anai-anai berdekatan. Lazim juga saya jumpa yang cendawan ini tumbuh diatas busut anai-anai atau sekitarnya dan menghasilkan bau atau aroma yang kuat. Cendawan ini tumbuh secara berkoloni atau berkelompok di suatu lokasi sahaja dan walau pun puas kita tinjau kawasan lain di kebun tidak pun akan jumpa. Selalunya semasa berjalan dibawah pokok getah untuk aktiviti menoreh getah, kalau ada cendawan busut boleh diketahui dengan bau yang kuat atau kita ternampak dengan mata sendiri.


Bentuk cendawan busut adalah berbentuk 'Pilleus' iaitu ada batang dan tudung (Lihat foto sebelah). Cendawan busut yang baru tumbuh akan mempunyai tudung yang masih bertutup seperti kudup bunga dan ianya akan terbuka penoh beberapa jam kemudian. Warna cendawan busut berbeza mengikut lokasi dari warna yang betul-betul putih, warna putih krim dan juga warna kelabu. Penting diingatkan, hanya cendawan busut yang mempunyai akar panjang sahaja yang boleh dimakan dan cendawan seperti cendawan busut yang tidak ada akar jangan diambil. Akar ini dipercayai boleh memanjang hingga mencecah sarang anai-anai. Ada kalanya cendawan busut keluar dengan kuantiti yang banyak sehingga beratus kilogram dalam satu masa atau lokasi. Lazimnya apa yang saya jumpa dulu kuantitinya sekitar 5 - 10 kg sahaja. Satu lagi petua penting yang cendawan busut tersebut adalah jenis boleh dimakan / edible (non poisoinous) adalah jika ada tanda terdapatnya hidupan lain seperti serangga agas dan semut makan cendawan yang telah matang.


Pernah kita dengar ada orang sakit perut malahan ada kes membawa maut setelah mereka makan cendawan busut. Menurut beberapa buah buku yang saya baca, ada dinyatakan cendawan yang mempunyai marfologi hampir menyerupai cendawan busut seperti dari Spesis Lepiota (Foto di sebelah), Spesis Macrolepiota dan Spesis Amanita. Spesis-spesis ini  juga tumbuh dikawasan yang mungkin sesuai untuk cendawan busut pernah di dapati. Kalau dilihat dari segi fizikal, ianya agak serupa apa lagi kalau kita kurang ariff tentang cendawan ini, memang orang akan anggap 3 spesis cendawan tersebut sama dengan cendawan busut tetapi hakikatnya ia adalah cendawan beracun. Saya ingin ulangi akan petua hendak pastikan bahawa yang kita tuai sebagai cendawan busut, nasihat saya berasaskan kepada  3 perkara asas yang perlu diingati iaitu baunya yang kuat, ada serangga atau ulat yang makan dan serangga tidak mati (sentiasa menghurungi) dan cendawan busut ada ciri mempunyai akar yang agak panjang kedalam tanah.


Cendawan busut boleh di tuai dengan cara mencabut dengan tangan atau gunakan pisau tajam memotong pangkal cendawan . Kemudian dikumpulkan kedalam baldi atau bekas besen yang bersih dan buang tanah yang melekat. Ketika mencabut cendawan dari permukaan tanah buat dengan teliti dan hati-hati agar cendawan tidak patah atau perdunya tertinggal dalam tanah. Bersihkan cendawan busut dari kekotoran tanah dan basuh sehingga bersih. Potong cendawan busut tersebut mengikut urat ari dan jika bersih ianya boleh mula di masak. Pastikan jangan makan cendawan busut mentah ditakuti ada kesan beracun atau sebagainya. Saya paling suka masak sup cendawan busut (Lihat foto diatas) atau cendawan busut masak lada hitam atau tumis dengan cili padi. Cendawan busut mengandungi antioksidan yang banyak dan baik untuk kesihatan. Enak dimakan dengan nasi panas selepas dimasak ketika perut lapar. Harga cendawan busut dipasaran diantara RM 30.00 - RM 40.00 sekilogram, itu pun memang susah hendak jumpa di pasar atau di pasar tani. Nasib baik sahaja akan ada orang kampong atau jiran tetangga di kampong yang hantar cendawan busut kerumah. Bolehkah kita ambil spora cendawan busut dan kita tanam macam cendawan komersial yang lain?....Sila jawab....

CENDAWAN BUSUT..... JARANG JUMPANYA....
TUMBUH BERKOLONI...ANAI-ANAI PUNCANYA....
BERWARNA PUTIH... AMAT KUAT AROMANYA...       
SEDAP DIMAKAN... BANYAK KHASIATNYA....

By,
M Anem
Kg Parit Bengkok/Off Gunong Sari,
Gersik, Ledang, Johor,
Malaysia
(29 Ramadan 1433H)


Sunday, August 19, 2012

AIDILFITRI 2012

Selamat Hari Raya AidilFitri 2012 (1433 Hijrah)!
Sempena Hari Raya  pada hari ini (Ahad - 19 Ogos 2012) saya mengucapkan selamat hari raya dan maaf, zahir dan batin kepada semua pembaca dan rakan-rakan bloogers yang lain. Saya berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan dan kesihatan agar dapat terus menulis artikel berkaitan teknologi pertanian pada masa akan datang. Saya juga mohon maaf kepada pembaca jika ada kata-kata yang tersalah dan menyinggung perasaan pembaca semua. 



Sehingga semalam, 19 Ogos 2012  saya dapati seramai 870,518 pengunjung telah pun singgah dalam blog Anim Agro Technology. Bulan Julai lepas seramai 66,119 orang telah mengunjungi blog ini dengan purata hampir 2,000 sebulan. Semalam memang saya jangka sangat rendah orang membaca blog ini kerana mereka telah balik kampong untuk masak rendang dan ketupat.

Seramai 417 orang folower telah mendaftar dengan blog Anim Agro Technology. Ini menjadikan blog ini dapat dibaca oleh mereka yang berminat dalam Teknologi Pertanian. Tiga orang followers dalam senarai pada pagi 1 shawal 1433H adalah Am, Azim dan Hidayah Salim. Semuga mereka semua akan enjoy membaca blog ini.



Antara artikel yang menerima kunjungan paling banyak adalah artikel bertajuk 'Racun Rumpai' iaitu sebanyak 4,975 orang diikuti dengan artikel 'Benih Kelapa MATAG' (2,954 orang), Artikel 'Tanaman Keladi' (2,255 orang), Artikel 'Struktur Tumbuhan' (1,908 orang) dan Artikel 'Pembiakan 'Tampang Tumbuhan' (1,825 orang). Sempena Hari Raya ini saya mohon ampun dan maaf jika ada terkasar bahasa didalam penulisan ini. SELAMAT HARI RAYA 2012!

MAKAN KETUPAT...RENDANG LAUKNYA...
MEMBAKAR MERCUN...KUAT BUNYINYA...
SEMPENA HARI RAYA...MAAF KU POHONNYA...
BERJUMPA LAGI...TAHUN HADAPANNYA...

By, 
M Anem
Teratak Kg Parit Bengkok,
Gersik, Ledang,
Johor, Malaysia.
(1 Shawal 1433)

Saturday, August 18, 2012

KAYU TAS

KAYU TAS (Glochidion spp)  juga dikenali sebagai Kayu penunduk, Hujan panas, Limpanas atau pun (God Mountain Stick) adalah dari keluarga EUPHORBIACEAE iaitu jenis kayu yang bergetah ketika segar. Kajian mendapati kebanyakkan kayu jenis ini adalah tumbuh secara semulajadi dan orang ramai hanya mengetahui banyak di jumpai di Sarawak dan Sabah atau hutan Borneo. Saya pernah dengar akan kayu tas ini semenjak kecil lagi kerana ramai orang mendakwa kayu ini ada kuasa sakti menundukkan haiwan terutamanya harimau. Nama-nama lain kayu ini adalah seperti  Kayu tas, lukai, gertimang (Penan), binidieng (Kayan), gerumong jantan (Sabah), obah nasi (Sabah), saka-saka (Sabah), Bagna dan Salanisin (Filipina),Khrai mot (Thai), Ki pare dan Ki timbel (Indonesia), Ubah Merah (Singapura). Beberapa rakan di Jabatan Hutan (Tn Hj Manap di FRIM Kepong) juga ada menyatakan yang kayu jenis ini terdapat juga ada di hutan Semenanjung Malaysia seperti di Perak, Kelantan dan hutan Pahang bagaimana pun agak susah mendapatkannya kerana spesis kayu ini dilindungi dan ianya amat kurang didapati di tanah semenanjung. Artikel subuh 30 Ramadan ini saya berkongsi maklumat mengenai kayu tas dan kegunaannya serta khasiatnya dalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan dan rujukkan anda. 

Pengalaman saya yang telah bertugas di Sarawak selama hampi 3 tahun berpeluang merayau keseluruh bandar, bahagian dan pekan di Sarawak. Sering saya pergi di pasar malam dan pasar tamu untuk menjalankan tugas. Di Lawas ada seorang penjual pelbagai jenis kayu termasuk kayu tas, 'talking stick', kayu belian dan kayu hikmat. Saya paling seronok melihat gelagat penjual tersebut menjual kayu jenis "Talking Stick". Kajian daripada beberapa rakan di Pejabat Hutan dan Pejabat Pertanian Sarawak menyatakan terdapat dua jenis kayu tas iaitu Kayu Tas Jantan dan Kayu Tas Betina. Katanya terdapat beberapa perbezaan kayu tas jenis Jantan dan betina adalah dari kulit warna kayunya. Lazimnya Kayu Tas Jantan adalah berwarna kehitaman kulitnya berbanding dengan Kayu Tas Betina yang berwarna putih dan cerah. Kalau penjual di kaki lima disekitar Kuala Lumpur (dulu memang ramai juga orang yang mengusahakan jualan kayu tas dan pelbagai produk seperti ini di kali lima - jual ubat) tetapi kini agak berkurangan. Ini mungkin ramai penduduk di bandar sudah jarang masuk hutan dan tidak perlukan perkhidmatan dari kayu tas. 

Sebenarnya didapati bahawa Kayu Tas juga memiliki Aroma atau Bau (Kalauyang tidak ada bau memang kurang Khasiatnya). Apa yang saya dapati dari rakan kita ialah terdapat perbezaan antara bau kayu tas Sarawak dengan Kayu Tas dari Sabah dan kayu tas dari Semenanjung yang didapati amat jauh sekali. Kajian juga mendapati yang kayu bau tas jantan lebih kurang sama di semua tempat ini. En Manap seterusnya berkata yang bau kayu tas Betina dari Negeri Sarawak lebih wangi semacam bau rempah sedangkan bau kayu tas betina dari Semenanjung didapati menghasilkan bau hancing (amat busuk). Bagaimana pun kayu tas Semenanjung dari didakwa mempunyai kuasa dari segi mistik adalah lebih bertenaga atau ianya lebih berkhasiat kerana kebanyakkan orang kampong menggunakannya untuk menundukkan manusia, jin serta makhluk halus. Tetapi asal sahaja kayu tas jenis ini,  memang didakwa khasiatnya untu tujuan 'menundukkan' atau tujuan 'menghalau'. Pawang atau bomoh tempatan akan  menggunakan khasiat kayu tas ini dalam bidang perubatan tradisional. 

Dalam perbincangan saya dengan En Manap dari FRIM, katanya cara atau kaedah untuk mengenali kayu Tas ialah dengan memeriksa pokok tersebut (Jika anda mengenalinya) iaitu apabila kulit pokok kayu ini dibakar. Selalunya setelah dibakar ia akan mengeluarkan asap berbau wangi macam bau setanggi. Bau inilah yang sebenarnya akan ditakuti atau dapat menghalau binatang buas, jin dan lain-lain yang takut akan bau-bauan ini. Kalau kita melihat Sarkan akan kita lihat beberapa penjaga haiwan ini menggunakan cimeti atau kayu tas untuk mengendalikan haiwan peliharaannya. Saya agak kuasa kayu tas memang ada tetapi kita perlu tahu bagaimana untuk menggunakannya bagi tujuan perlindungan diri dari haiwan. Kajian seterusnya mendapati terdapat beberapa keistimewaan kayu Tas Pontianak kerana ianya mempunyai sifat jantan dan betina pada satu kayu tersebut. Kayu tas jenis ini amat sukar sukar untuk di temui dan kalau ada harganya pun mahak. Kayu jenis ini dijuak dengan harga RM 25.00 - RM 30.00 setiap 1 cm panjang. Jika dalam seribu batang kayu Tas untuk mendapat sebatang kayu Tas pontianak pun agak sukar.

Bertanya kepada beberapa jurujual dan bomoh tempatan, dakwanya khasiat kayu tas yang biasa kita dengar adalah dari jenis Kayu Tas Jantan. adalah sangat di takuti oleh binatang buas. Kaum Penan biasanya membakar kulit kayu Tas betina untuk menghindari dari gangguan makhluk halus. Satu lagi khasiat pohon Tas yang jarang di ketahui umum, jika daun pohon kayu Tas betina dibakar disiang hari, hujan akan berpindah ke tempat lain. Antara rahsia dan kegunaan Kayu Tas atau Kayu Penunduk atau Kayu Limpanas adalah seperti keadaan dimana binatang takut (semua binatang samaada bisa atau tidak), jin atau syaitan juga takut, boleh menundukkan anak kalau jenis degil sangat dan didakwa menjadi penawar bisa atau santau.

Bagaimana kita hendak menggunakan kayu tas yang baru kita beli atau ada pada simpanan kita?. Saya berpeluang membuat temubual dengan beberapa pengamal perubatan tradisional. Katanya cara pengunaan kayu tas adalah dengan mengetuk sahaja kayu tersebut pada bahagian dahi pesakit yang kerasukan atau tidak s edar. Oleh kerana kebanyaka binatang takut akan kayu ini dinasihatkan jangan sesekali pukul kepada binatang kesayangan. Dinasihatkan juga jangan kita pukul kepada kanak-kanak walau pun dengan tujuan saja-saja atau pun gurauan sahaja. Kalau hendak mengurangkan nakal anak-anak maka bolehlah menggunakan kayu ini  dengan mengurut perlakan-lahan dari bahagian kepala sehingga kekaki dengan tujuan membuang sifat yang tidak baik mereka. Kata rakan saya , kayu tas sangat meujarab untuk membuang santau, masaalah buatan orang dan sebagainya. Dari dulu saya pernah dengar kayu tas ini di buat sebagai tongkat bagi tujuan menghalau dan menundukkan binatang berbisa. Paling mudah kini orang telah buat Cincin dengan cantik dan dipasang pada jari anda. Begitulah adanya kisah kayu tas yang dapat saya kongsi bersama. 
ESOK RAYA AIDIL FITRI 1433H!

KAYU TAS...BANYAK KHASIATNYA....
BOLEH MENUNDUK...KUASA SAKTINYA...
KALAU TIDAK PERCAYA...TIDAK UPAYA....
KEPADA ALLAH.... SUJUD SENTIASA....

By,
M Anem
Jalan Istana, Lebuh Air Keroh,
Melaka, Malaysia.
(30 Ramadan 1433H)

AYAM HUTAN

AYAM HUTAN (Gallus spp) atau AYAM LIAR merupakan sejenis haiwan dari keluarga burung atau ayam yang terdapat disekitar hutan belukar di negara kita. Ramai diantara kita yang duduk di taman-taman perumahan di bandar tidak pernah melihat bagaimana kehidupan ayam hutan kerana ianya hanya terdapat di kawasan tepi hutan, pinggir kampong tetapi saya dapati kini telah banyak membiak dikawasan ladang kelapa sawit. Ayam hutan sama atau sedikit berbeza dengan ayam kampong kerana saiznya , warna bulu yang lebih cantik dan kemampuannya untuk terbang dengan pantas seperti burung. Walau pun kini terdapat usaha untuk membuat kacukan antara ayam hutan dengan ayam kampong, tetapi kejayaannya belum ada laporan rasmi. Mungkin telah banyak berlaku simbiosis dan kacukan semulajadi antara ayam hutan dengan ayam kampong. Saiz telur ayam hutan juga agak kecil sama seperti ayam kampong dan amat berbeza dengan Telur Ayam Penelur dari segi saiz, warna kulit dan warna kuning telur didalamnya. Saya memang puas makan ayam hutan ketika kecil dahulu kerana arwah bapa merupakan seorang pemburu dan ayam hutan dan merupakan habuan istimewa setiap 1-2 minggu sekali. Kadang-kadang dapat sampai 4-5 ekor sekali berburu kalau ada rezeki. Artikel petang ini saya menulis sedikit info mengenai ayam hutan untuk dikongsi maklumat bersama pembaca blog 'Anim Agro Technology'.


Daripada beberapa buku rujukan dan laman sesawang, kini saya baru tahu yang ayam hutan mempunyai 4 spesis. Dikawasan Malaysia dan Indonesia terdapat 2 jenis ayam tersebut dikenali sebagai Ayam Hutan Merah (Gallus gallus) dan Ayam Hutan Hijau (Gallus varius) semantara di negara lain terdapat jenis Ayam Hutan Kelabu (Gallus soneratii) Ayam Hutan Sri Langka (Gallus lafayetii). Kesemua jenis ayam hutan ini mempunyai ciri yang berbeza mengikut lokaliti dan habitat persekitaran. Para saintis ada mendakwa bahawa ayam kampong yang ada sekarang merupakan keturunan kepada Ayam Hutan Merah yang di pelihara semanjak turun temurun sehingga sekarang. Apabila berlaku proses kacukan semulajadi antara Ayam Hutan Merah dengan Ayam Hutan Hijau akan menghasilkan sejenis ayam kacuk sebagai ayam kampong.


Perkara paling menarik mengenai ayam hutan adalah aktiviti untuk menangkap ayam hutan. Kaedah tradisional yang paling saya suka adakah dengan kaedah "MERACIK AYAM". Racik merupakan satu alatan yang diperbuat daripada tali nylon yang diikat seperti jerat dan diikat pada tiang pacak tracik yang di pacak pada tanah (Lihat foto diatas). Tali nylon racik ini bersambung antara satu sama lain dan kukuh untuk mengikat kaki ayam buruan. Lazimnya seekor 'ayam pikat' iaitu ayam jantan yang hebat berkokok akan diletakkan berhampiran racik. Kokokan ayam pikat akan memanggil ayam lain untuk datang berlaga. Akibatnya kaki ayam buruan yang masuk dalam jerat racik akan sangkut dan tidak boleh lepas dengan mudah. Pemburu akan ambil hasilnya dan dibawa pulang. Kaedah terkini cara memburu ayam hutan adalah dengan senapang. Senapang yang menggunakan peluru penabor boleh menembak ayam yang sedang makan, tenggek atas busut (Jaga-jaga ayam ini kadang-kadang ayam jadian - terutama waktu hujan gerimis - jangan tembak!), ayam yang cari makan berkumpulan atau ayam sedang terbang. Selepas dibedil, ambil ayam tersebut dan segera disembelih. Saya memang puas makan ayam hutan ketika bertugas di Mersing, Johor kerana sering ikut kawan-kawan dan staff berburu.


Ayam hutan perlu di buang bulu dan di proses dagingnya. Daging ayam hutan bukan seperti daging ayam goreng yang kita makan di KFC. Daging ayam hutan sangat liat dan keras terutama ayam hutan yang telah tua. Mahu tercabut gigi kita kalau terus digoreng dan dimakan. Pengalaman saya di Felda Endau tahun 2009 mendapati gigi En Hasan patah kerana mengigit daging ayam hutan yang sangat liat. Bagaimana pun jika daging ini di bawa balik kerumah dan di bubuh sedikit bahan pelembut daging (Baking powder atau getah papain betik) ianya akan menjadi lembut. Menu paling saya suka dan pada saya paling 'best' ayam hutan dimasak ungkep atau ayam hutan masak kicap. Memang best punya... bagaimana pun kena beberapa ekor untuk dimakan satu keluarga kerana dagingnya adalah sedikit dan kurus pula, tidak macam ayam daging... banyak lemak sahaja!

AYAM HUTAN...PANTAS TERBANGNYA....
BERMACAM WARNA...CANTIK BULUNYA...
DI MASAK UNGKEP...ADUH ENAKNYA...
TERINGIN MAKAN... DI MANA NAK CARINYA...

By,
M Anem
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, Malaysia.
(29 Ramadan 1433H)

  

Friday, August 17, 2012

CENDAWAN LING ZHI

CENDAWAN LING ZHI  (Ganoderma lucidium ) merupakan sejenis cendawan yang popular dan di komersialkan oleh beberapa syarikat terkenal sebagai bahan makanan penting untuk produk kesihatan. Cendawan ini merupakan jenis cendawan yang paling awal digunakan sebagai makanan kesihatan semenjak l2bih 2,000 tahun oleh orang China keran cendawan ini terbukti tidak meninggalkan sebarang kesan sampingan. Saya beberapa kali melawat projek penanaman cendawan Ling Zhi ketika bertugas dulu selalunya selepas membuat lawatan kekawasan projek cendawan tiram kelabu. Dakwaan paling utama mengenai cendawan ini adalah keupayaannya untuk menghalang dan merawat penyakit kanser. Khasiat lain adalah kandungan bahan yang meningkatkan imun badan kita dengan ciri anti-septik, anti-radang, anti-bakteria , anti-viral dan anti-oksidan. Pembacaan saya juga menjumpai dakwaan khasiat cendawan ini yang boleh merawat dan melegakan paru-paru yang rosak disebabkan oleh semput (asthma) atau penyakit berkaitan sistem pernafasan yang lain. Paling terkini adalah kemampuan cendawan ini dalam melindungi hati dengan meningkatkan proses ditoksifikasi dalam badan manusia yang menggunakannya. Petang Jumaat ini saya menulis sedikit maklumat mengenai cendawan Ling Zhi dalam 'Anim Agro Technology' berdasarkan pengalaman, pembacaan dan pemerhatian yang saya jalankan.


Penanaman cendawan Ling Zhi dijalankan didalam bangunan cendawan yang dibina sama bersaiz besar (20 kaki x 50 kaki - kapasiti muatan 15,000 bongkah) atau bersaiz kecil (20 kaki x 15 kaki dengan muatan 4,500 bongkah). Sebaiknya bangunan mempunyai suhu sekitar 22 - 28 selsius dan ada sistem pengudaraan yang baik. Kawasan penanaman cendawan juga perlu ada kawasan penyediaan media, bilik kukus, bilik suntik dan kawasan pemeraman atau pengeluaran hasil. Pengalaman penulis di Muar mendapati kebanyakan petani menggunakan plastik tahan panas berukuran 8.5 cm x 36 cm dengan tebal plastik 0.6 cm yang akan diisi dengan media penanaman. Media yang sesuai adalah campuran habuk kayu getah, dedak dan kapur dengan kadar 100:10:1. Campuran media diisi dengan berat 1 bongkah sekitar 1 kg dan di tutup dengan penutup cap plastik.


Bongkah yang siap dikukus selama 7-8 jam dan disejukkan akan disuntik dengan benih cendawan Ling Zhi. Bongkah ini akan disusun dalam rak pemeraman cendawan selama 23 - 25 hari sebelum penutup plastik sesuai untuk dibuka. Penjagaan rapi terhadap bungkah cendawan diperiksa setiap hari untuk menentukan pertumbuhan miselium dalam bungkah. Jika ada bungkah yang rosak perlu dibuang segera. Bagi memberikan suhu sejuk, boleh dijalankan dengan kaedah menyiram dan meletakkan jangkasuhu dalam bangunan cendawan. Cendawan Ling Zhi lebih mudah dijaga berbanding dengan cendawan lain seperti Tiram Kelabu dan Shiitake. Serangan perosak dan penyakit juga amat kurang kepada cendawan ini. Penanaman cendawan Ling Zhi perlukan pengetahuan khusus dan paling penting adalah dimana kita hendak jual cendawan ini kerana ianya perlu diproses menggunakan teknologi yang moden. Selalunya jika ada 'contract farming' sahaja kita boleh menanam cendawan ini secara besar-besaran.  Jika berminat menanam, sila cari maklumat pembeli dahulu. Wasallam!

CENDAWAN LING ZHI....GANODERRMA....
BANYAK KHASIAT....PRODUK BERJENAMA...
TINGKAT IMUN...SEPERTI DIDAKWA....
BANYAK POTENSI...PERLULAH MENCUBA....

By,
M Anem
Changloon, Kedah,
Malaysia.
(24 Ramadan 1433H) 

Thursday, August 16, 2012

NAMA LAIN - CILI

CILI (Capsicum annum L) merupakan sejenis tanaman yang sangat popular dan ditanam di seluruh dunia untuk dijadikan bahan utama masakan dan pelbagai tujuan lain. Terdapat 3 jenis cili yang ditanam dan dikomersialkan iaitu Cili Besar (Capsicum annum), Cili Padi (Capsicum frustecens) dan Cili Merah Aji - Amerika Selatan (Capsicum bactatum). Kajian saya mendapati penamanan cili di Malaysia merupakan satu aktiviti yang diminati ramai petani dengan keluasan cili bertanam mencecah lebih 3,000 hektar pada tahun 2011 dan menghasilkan sebanyak 34,500 metrik tan bernilai sebanyak RM 160 juta. Kebanyakan cili segar ini digunakan untuk keperlun domestik dan hanya sebahagian yang diekspot ke negara jiran. Malaysia juga banyak mengimpot cili padi Siam daripada Thailand dan sangat banyak mengimpot cili kering dari luar negara. Penggunaan cili kering banyak diperlukan dalam industri masakan, membuat serbuk kari dan perasa  makanan dan sebagainya. Artikel subuh Ahad ini saya menulis nama-nama lain bagi cili dalam bahasa asing selepas bersahur untuk di kongsi bersama dalam 'Anim Agro Technology'.



NAMA BOTANI CILI : Capsicum annuum L. 
NAMA BOTANI LAIN (SYNONYM(S) : 
Capsicum indicum Lobel., 
Capsicum indicum Dierb., 
Capsicum hispidum Dunal
Capsicum annuum L. susp. baccatum (L.)
Capsicum annuum L. var. baccatum (L.) Kuntze
Capsicum annuum L. var. anomalum Franch.
SYNONYM(S) : Tubocapsicum anomalum .( Franch. et Sav.)


NAMA CILI DALAM BAHASA LAIN:
: 

1. CHINESE : Long zhu, Chi zhu.

2. ENGLISH : False pepper, Chinese false pepper, Japanese false pepper.
Capsicum annuum L. var. annuum L.

3. AFRIKAANS : Rissie.

4. ARABIC : Fûlfûl, Filfil (Irak), Filfile achdar (Egypt), Felfel achdar (Egypt), Felfel lelece (Lebanese), Fulful baladî, Fulful ahhmar.

5. CHINESE : Tian jiao.

6. DANISH : Spansk peber.

7. DUTCH : Peber.

8. ENGLISH : Capsicum, Pepper, Cayenne pepper (ingredient - dried powder).

9. FRENCH : Piment, Poivron.

10. GREEK : Piperies, Piperia, Pipera (Cyprus). 


11. HEBREW : Pilpel, Pilpelet hagina.

12. HINDI : Hara mirch, Shimlaa mirch.

13. HUNGARIAN : Paprika.

14.  ITALIAN : Pimento, Peperone, " Pepperoncini" (group name for all small peppers).

15.  JAPANESE : Peppaa.

16.  MACEDONIAN : Piperka.

17.  INDONESIAN : Lombok, Cabai, Cabe, Cabe manis, Cabai manis.

18.  MALAY (Melayu) : Cabai, Lada, Cili, Chili, Chili Pedas, Cili Besar.

19.  NEPALESE : Khursaanii.

20.  PERSIAN : Dolmeh felfel. 



21.  PORTUGUESE : Pimento.

22.  QUECHUAN : Uchu.

23.  ROMANIAN : Ardei.

24.  RUSSIAN : Perets krásnyi, Perets zelënyi.

25.  SPANISH : Pimienta, Pimiento.

26.  SWEDISH : Peppar.

27.  THAI : Phrik.

28.  TURKISH : Biber.

29.  URDU : Shimlaa mirch.

30.  VIETNAMESEOt


Kebanyakan nama cili dikaitkan dengan ciri pedas yang terdapat pada cili itu sendiri iaitu bahan Capsaicin. Dikawasan  Amerika Selatan ianya banyak digelar pimento, paprika dan piper dimana ianya amat mudah untuk diingati. Kalau anda berpeluang bercakap mengenai dalam bahasa asing, setidak-tidaknya anda boleh tahu. Ini yang cuba dipaparkan oleh penulis blog Anim Agro Technology subuh ini untuk di kongsi berwama. Wasallam!

CILI DAN CABAI.... PANGGILAN KITA.....
'PIMENTO' PULA.... PORTUGIS YANG KATA....
'FULFUL' DAN 'FELFEL' .... ARAB PUN ADA...
'FALSE PAPER'... KATA MAT SALEH PULA.....

By,
M Anem
Hospital Serdang,
Selangor, Malaysia.
(23 Ramadan 1433H) 

Wednesday, August 15, 2012

PENYAKIT BETIK DAN KAWALAN

BETIK (Carica papaya L) merupakan sejenis tanaman dari keluarga Caricaceae yang popular di Malaysia dimana seluas 3,512 hektar ditanam pada tahun 2011 dengan pengeluaran hasil sebanyak 52,427 metrk tan.  Penanaman betik di negara kita dijalankan secara komersil dan juga tanaman keliling rumah dan didapati menghasilkan buah yang berkualiti. Betik yang saya ketahui mempunyai lebih dari 40 spesis diseluruh dunia yang mana kini telah dimajukan dengan meluas di India, Mexico, Filipina, Hawai dan juga Australia. Lazimnya saya dapati jangkahayat tanaman betik di Malaysia sekitar 2 tahun sahaja walau pun ada yang ditanam sehingga lebih 10 tahun jika ditanam dalam persekitaran yag sesuai.  Betik merupakan sejenis tanaman POLIGAMI iaitu ujudnya spesis yang bersifat diesius iaitu ada pokok betik jantan dan pokok betik betina dalam satu pokok dalam satu populasi.  Lazimnya amalan yang dijalankan adalah dengan membuang pokok jantan dan meninggalkan pokook betina dan pokok Hermaprodite. Pendebungaan betik dijalankan oleh angin sebahagian besarnya tetapi dibantu juga oleh serangga. Tanaman betuk merupakan pokok yang berbuah tidak bermusim tetapi beberapa kajian menunjukkan pengeluaran puncaj akan berlaku setiap 3 bulan sekali.  Pemerhatian saya di kebun betik di Kawasan pagoh Muar mendapati yang puncak pengeluaran pertama adalah pada umur pokok pada bulan ke 10 -11, kali kedua pada bulan ke 13-14 dan puncak ketiga pada bulan ke 18-20. Artikel petanin ini bagaimana pun saya akan berkongsi maklumat mengenai penyakit tanaman betik dan kawalannya dalam 'Anim Agro Technology'  berdaarkan kepada pengalaman dan rujukan dari Jabatan Pertanian.


Penyakit Virus Bintik Cecincin (Papaya Ringspot Virus - PRSV) merupakan sejenis penyakit yang serious menyerang betik di Malaysia semanjak 1991 dan menyebabkan pengeluaran betik sangat terjejas. Penyakit ini bermula pada daun muda yang diserang bertukar warna kekuningan diantara urat daun (simptom serangan mozek). Daun akan kelihatan telus cahaya dan kadangkala akan kelihatan simptom lecuh seperti yang terserap air berwarna hijau pekat antara urat daun. Helaian daun akan mengecil dan berkerekot dimana terdapat jaluran hijau gelap memanjang yang kelihatan berminyak pada pangkal daun. Daun akan menebal dan menjadi kasar. Pada buah pula terdapat bintik bercincin pada permukaan kulit buah. Buah akan menjadi cacat dan mengecil. Apabila di belah akan kelihatan warna isi buah pucat dan kurang manis. Serangan juga berlaku pada bahagian batang.  Kawlanan memerlukan tindakan SOP yang di syorkan oleh Jabatan Pertanian dalam terbitan mengenai PSRV terbitan tahun 2011 muka surat 11. Antara tindakan dibuat adalah menebang dan memusnahkan sama sekali pokok yang telah diserang dan menggunakan anak benih yang bebas dari serangan.


Penyakit Mati Rosot Betik (Papaya Dieback - PDB) merupakan sejenis penyakit betik yang sangat serius di Malaysia kerana ianya mampu memusnahkan industri tanaman betik. Penyakit ini disebabkan oleh sej.enis agen perosak iaitu Ervinia papayae iaitu sejenis Bakteria yang menyerang pada seluruh  bahagian tumbuhan seperti bahagian pucuk, daun, tangkai daun, buah dan batang. Tanda serangan mudah dilihat dimana bahagian yang diserang seakan busuk, nekrosis dan akhirnya mereput. Bahagian Daun  yang diserang akan menjadi kehitaman dan akhirnya mati dan gugur ketanah. Begitu juga dengan buah yang dserang akan menjadi lembut, busuk dan akhirnya gugur pada mana-mana peringkat berbuah. Penyakiti ini merupakan satu ancaman teruk kepada pokok betik dimana ianya melumpuhkan industri tanaman betik di negara kita. Belum ada kaedah berkesan untuk mengawal penyakit ini kerana ianya boleh merebak melalui tanah, air, pengangkitan, peralatan pertanian dan semua perkara yang mampu menyebarkan bakteria ini. Kaedah yang boleh dijalankan dengan membuat pemencilan tanaman, memusnahkan tanaman yang telah diserang, menanam dikawasan bebas penyakit ini, menggunakan bijibenih atau anakbenih yang bebas dari PD dan menggunakan vereti yang tahan serangan.

Penyakit ANTRAKNOS BETIK pula disebabkan oleh kulat jenis Collectotricum gloeoporiodes yang mana bahagian buah diserang akan kelihatan bintik-bintik nekrotik berbentuk bulat kecil yang tenggelam pada permukaan  kulit buah. Bintik-bintik ini akan membesar dengan cepat apabila buah betik mulai masak. Kesannya buah akan cacat dan tidak cantik untuk dipasarkan sehingga menjenaskan harga jualan. Serangan teruk menyebabkan buah tidak boleh dijual langsung.  Kawalan boleh menggunakan kaedah semburan Racun kulat seperti Racun jenis Benomyl, Carbendazim, Mancozeb dan Mancozeb + Carbendazim.  Racun Benomyl adalah jenis racun Sistemik yang diserap dan berkesan. Antara nama dangan racun jenis ini adalah seperti Benex, Benocide 50WP, Comply 50WP, Kenlate dan Mandate 50WP. Bagi racun carbendazim yang juga racun sistemik bertindak dengan menghalang sintesis beta-tubulin pada tumbuhan. Jenama racun jenis ini dipasaran seperti Mero 50D dan Occidor 42.5SC. Racun mancozeb mengawal serangan penyakit ini dengan tindakan menghalang respirasi (jenis sistemik) seperti jenama Agrozeb 80WP, D-Tane 80WP, Disan 45, Insure 80, Mancozide, Manex II, Manzeb 80, Penncozeb 80WP, Trimmanoc 80WP dan Winner M-45. BERSAMBUNG.....

PENYAKIT BETIK... BANYAK JENISNYA....
ADA YANG SERIUS...SUKAR CARA KAWALANNYA...
PERLU DI KETAHUI ....APA JENISNYA...
INDUSTRI BETIK... TAMBAH MAJUNYA....

By,
M Anem
Bati 25, Jalan Pagoh,
Muar, Johor,
Malaysia
(26 Ramadan 1433H)

 .   

Tuesday, August 14, 2012

BELALANG - PEROSAK TANAMAN

BELALANG adalah sejenis serangga dari Sub-Order Caelifera dan Order Orthroptera yang mudah didapati disekeliling kita terutama apabila suhu telah mulai panas. Terdapat banyak jenis belalang yang kita boleh jumpai di keliling kita dengan pelbagai saiz, warna, bentuk dan juga tabiatnya. Semasa saya dalam pembelajaran di universiti dulu , dimaklumkan yang keujudan belalang banyak dikaitkan dengan kerosakan tanaman terutama pada bahagian daun dan kadang-kadang pada batang yang dimakan oleh serangga tersebut. Belalang lazimnya aktif dalam cuaca panas kerana ianya adalah berdarah sejuk. Pembacaan dari wikipedia menunjukan sejenis belalang di Benua Afrika yang dipanggil sebagai Belalang Juta (Schictocerca gregaria) mampu menyerang tumbuhan dengan memakan bahagian daun, batang, buah, benih malahan keseluruhan bahagian sehingga musnah teruk. Antara tanaman yang mudah diserang belalang jenis ini seperti tanaman bijirin seperti jagung, millet, gandum serta tanaman lain seperti semua jenis sayuran, buah-buahan malahan pokok ornamental. Saya dulu memang pernah makan belalang kunyit yang digoreng ketika zaman remaja kerana belalang memang haiwan yang halal dimakan apabila perlu. Petang Ahad ini saya menulis mengenai belalang dalam 'Anim Agro Technology' untuk di kongsi bersama dengan pembaca blog.


Struktur Anatomi Belalang agak berbeza dengan Anatomi Cengkerik (Cricket), Semut dan juga serangga lain. Belalang mempunyai 3 bahagian badan iaitu Kepala, Thorax (Badan) dan Abdomen (Rujuk foto sebelah). Paling ketara belalang adalah mempunyai sepasang Sesungut (Anthenae) di bahagian kepala yang banyak fungsi. Sepasang mata kompoun dan mulut juga berada dibahagian kepala. Dibahagian Badan (Thorax) pula terdapat sepasang kepak (1-3 lapisan kepak), 3 pasang kaki dimana kaki paling belakang bersaiz lebih besar untuk membuat loncatan dengan kuat sebelum terbang atau ianya merupakan organ pergerakan paling cekap. Dibahagian abdomen terdapat organ isi perut dan ianya berketak-ketak serta mempunyai organ pembiakan dan organ perkumuhan. Apa yang saya perhatikan tentang keunikan belalang adalah kemampuannya untuk menggunakan sepasang kaki belakang untuk melompat dan lazimnya mempunyai duri tajam sebagai alat pertahanan bagi belalang. Bunyi belalang dihasilkan oleh sepasang femur dibelakang kepak yang bergesel dipanggil sebagai 'stridulas'. Bunyi nyaring ini menjadi kegemaran kepada peminat alam semulajadi (Natural activists)


Belalang kebanyakannya adalah serangga jenis POLYPHOGUS iaitu memakan banyak bahagian pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dalam satu hari. Bagaimana pun kajian saintis mendapati terdapat sekitar 8,000 spesis belalang dari jenis MONOPHOGUS iaitu hanya makan sejenis tumbuhan spesis perumah sahaja. Cara belalang makan adalah dengan mengigit, memotong dan mengoyakan tisu daun atau kulit tumbuhan menggunakan giginya yang tajam dan menelannya. Cecair serta Enzim dari perut akan bercampur dengan makanan untuk di tukar kepada tenaga dan tahi belalng akan dikeluarkan melalui anus. Kajian menunjkkan bahagian perut (midguts) mengeluarkan cecair seperti Protase, Lipase, Amylase dan Invertase sebagai enzim bagi proses penghadaman bergantung kepada spesis belalang.


Kitaran Hidup Belalang mempunyai 3 peringkat iaitu Peringkat TELUR (Egg), Peringkat NIM (Nymph) dan Peringkat DEWASA (Adult). Telur belalang yang lazimnya berbentul lonjong atau bulat dalam kapsul akan menetas dalam masa 2 minggu sehingga menjadi Nim. Peringkat nim mengambil masa selama 4 - 7 minggu untuk menjadi belalang dewasa. Belalang dewasa adalah peringkat dimana ianya akan memakan daun tumbuhan dan memusnahkan tanaman. Terdapat juga laporan beberapa spesis belalang diperingkat Nim yang mampu merosakkan tanaman. Jangkamasa kitaran hidup belalang sekitar 2 - 4 bulan bergantung kepada spesis dan persekitaran. Keadan yang sesuai untuk belalang membiak dimana cuaca sesuai, cukup makanan dan populasi spesis yang cepat membiak. Bagaimana hendak mengawal belalang dari merosakkan tanaman?. Apakah jenis kawalan yang sesuai untuk belalang? Adakah semua belalang memusnahkan tanaman kita? Bagaiman hendak mengenali spesis belalang yang ada disekitar kita? Apakah kaedah terbaik atau menu menyediakan hidangan belalang?...Bersambung

NAMANYA BELALANG... GRASSHOOPER SAMA JUGA....
BERKAKI ENAM .... MELOMPAT JAUH MEMANG DIDUGA...
MEROSAKAN TANAMAN...MAKAN DAUN DAN BUNGA...
BOLEH DI GORENG DAN DIMAKAN...SIAPA SUKA...

By,
M Anem
Kuala Nerang, Kedah,
Malaysia.
(19 Ramadan 1433H)       


THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...