Support My Blog

Showing posts with label DAUN PALAS - KEGUNAAN. Show all posts
Showing posts with label DAUN PALAS - KEGUNAAN. Show all posts

Monday, January 23, 2017

DAUN PALAS - KEGUNAAN (Part 2)

POKOK PALAS (Licuala grandis) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Arecaceae (palm tree family) yang terdapat di Malaysia dimana ia tumbuh secara semualajadi. Ramai juga dikalangan orang Malaysia mengaitkan pokok daun palas dengan 'KETUPAT PALAS' yang popular semasa sambutan Hari Raya AidilFitri atau Hari Raya Aidiladha. Bagaimanakah pencirian tumbuhan ini sebenarnya dan bolehkah tumbuhan ini di tanam secara komersial untuk pelbagai tujuan lain?. Tumbuhan ini dipanggil juga sebagai Fan Palm, Vanuatu Palm Palm dan di kawasan kita dipanggil sebagai Pokok Daun Palas. Pokok ini juga popular ditanam untuk tujuan landskap di kawasan rumah dan juga dikawasan taman-taman riadah oleh pihak berkuasa tempatan. Pokok Palas merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dengan mempunyai daun yang berwarna hijau gelap berbentuk kipas yang cantik. Pokok ini adalah dikelaskan sebagai agak 'special' dan jarang-jarang dijumpai seperti tumbuhan lain didalam hutan ditempat kita. Hasil pembacaan penulis blog dari beberapa sumber mendapati terdapat 5 jenis pokok palas yang sering terdapat di Malaysia iaitu Palas Kipas (Licula grandis)Palas Duri (Licual sapinosa Roxb), Palas Bintulu (Licola bintuluensis), Palas Borneo (Licula cordata) dan Palas Sarawak (Licula orbicularis). Palas yang akan digunakan untuk tanaman hiasan dikeliling rumah sebagai pokok hiasan atau 'ornamental plants' adalah dari jenis palas kipas yang tumbuh dari satu batang dan mempunyai daun yang terbit daripada pangkal pokok. Belum banyak maklumat mengenai tabiat dan agronomi tumbuhan ini dikaji oleh saintis dan agronomist di Malaysia dan penulis dapati belum ada laporan rasmi keluasan sebenar penanaman pokok palas secara komersial di negara kita. Pemerhatian mendapati kawasan yang sesuai untuk pokok palas tumbuh adalah dari kawasan tanah yang mempunyai saliran baik seperti lereng bukit dan pokok ini lazimnya memerlukan naungan atau terbuka (Shaded or open area). Pokok Palas lazimnya mempunyai batang tunggal ini mengeluarkan pelepah daun dibahagian atas pokok yang mana hanya satu daun terbit dari satu tangkai. Ketinggian pokok palas mampu mencecah 1 - 2 meter atau 6-7 kaki dan lazimnya pokok dewasa akan menghasilkan buah berwarna merah berbentuk seperti 'cherry' yang terdapat dalam berangkai. Buah yang masak ini menarik haiwan untuk memakannya. Pokok palas dewasa mempunyai akar serabut seperti pokok palma yang lain dan memerlukan kawasan yang sederhana lembab untuk kadar kesuburannya. Terdapat beberapa maklumat mendapati pokok palas mampu hidup lama di kawasan yang sama pada perdu yang berubah-ubah sehingga 30-40 tahun. Bagaimana pun belum ada maklumat rasmi secara saintifik mengenai kaedah pembiakan pokok palas tetapi saya percaya ianya melalui biji benih yang matang (Lazim bagi keluarga palma). Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok palas dipetik daripada testimoni akhbar tempatan berkaitan daun palas untuk ianya dianyam sebagai ketupat dalam laporan akhbar tempatan sebagai satu testimoni untuk bacaan.


Laporan Akhbar 4:
Daun palas sumber pendapatan 
Abdul Rahim menyusun daun palas yang diambil dari ladang getah untuk dijual kepada peraih.
KUALA NERANG - Setiap kali menjelang hari raya, seorang penoreh, Abdul Rahim Musa, 69, dari Kampung Tanjung, Mukim Belimbing Kiri, dekat sini, pasti sibuk dengan tanaman pokok daun palas yang menjadi pendapatan sampingan keluarganya. Abdul Rahim berkata, setiap kali hari raya, dia akan akan berada di ladang getahnya seluas 0.6 hektar bagi mengambil daun palas yang ditanamnya sejak 15 tahun lalu. Katanya, dia menanam pokok palas itu di tengah pokok getah supaya dapat menambahkan pendapatan keluarga terutamanya ketika menjelang hari raya. “Pada mulanya orang kampung mempertikaikan tindakan saya menanam pokok palas secara ladang kerana selama ini pokok itu hanya tumbuh di hutan sahaja tetapi hari ini terbukti ia mampu menampung pendapatannya selain getah. “Kini pucuk palas ini bukan hanya mendapat pasaran di sekitar Padang Terap sahaja tetapi peraih dari Sungai Petani, Alor Setar, Yan dan Perlis ada yang datang membuat tempahan setiap kali hari raya,” katanya. Abdul Rahim, setiap musim perayaan dia mampu menjual kira-kira 1,500 hingga 2,000 pucuk palas secara borong kepada peraih iaitu 100 pucuk RM30. “Saya bersyukur walaupun harga getah jatuh akhir-akhir ini, pendapatan pucuk palas ini mampu menampung perbelanjaan kami sekeluarga bagi menyambut hari raya tidak lama lagi dan ini terbukti pokok palas juga boleh dijadikan sumber pendapatan,” katanya.


Laporan Akhbar 5:
Rezeki dari pelepah palas
WARTAWAN SINAR HARIAN
Rokiah menunjukkan daun palas yang akan dijual kepada pemborong.
KOTA BHARU, 10 Oktober - Meskipun Syawal sudah menjengah hari ke-15, namun daun palas masih mendapat permintaan tinggi penduduk tempatan. Daun palas atau nama saintifiknya Licuala sapinosa Roxb, adalah tergolong dalam kumpulan rumpai. Ia biasanya terdapat di pinggir hutan dan kawasan berhampiran paya. Ia bukanlah pokok renek atau herba, lebih kepada keluarga pokok palma. Daun Palas banyak digunakan semasa menyambut hari raya di mana pucuk daun palas digunakan untuk membuat ketupat pulut. Sebanyak 12,000 pucuk dun palas sebulan ianya akan diperlukan setiap musim perayaan. Pencari pucuk daun palas, Siti Rokiah Ismail, 62, berkata, dia mampu menjual sebanyak 12,000 pucuk daun palas sepanjang Ramadan dan Syawal. Meskipun penganut Islam sudah meraikan Aidilfitri 7 Ogos lalu, namun permintaannya semakin melonjak memandangkan masih ramai mengadakan majlis rumah terbuka.

Sebelum ini katanya, kebanyakan penduduk membeli ketupat dalam kuantiti sedikit, untuk disajikan kepada tetamu yang bertandang ke rumah. Namun katanya, permintaan daun palas melonjak apabila banyak agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, badan korporat dan ahli politik turut mengadakan majlis Aidilfitri. “Walaupun banyak kuih moden dicipta, namun kuih tradisi ini masih mendapat tempat di hati penggemarnya,” katanya, semalam. Sumber daun palas makin kurang setiap tahun kerana proses pengambilan berterusan dan tidak ada program menanam secara terancang. Berbeza pada tahun lalu, Rokiah dapat mengutip lebih 18,000 pucuk daun palas. Disebabkan masalah kesihatan dan faktor usia katanya, dia terpaksa menghadkan masa untuk mencari daun tersebut. Selain itu, masalah penerokaan tanah hutan dan belukar menjadi taman perumahan juga, menyebabkan pokok daun palas sukar ditemui. “Bukan senang nak cari daun palas kerana ia tumbuh di kawasan bendang, berair dan pokoknya berduri. Beliau akan selalu menggunakan sabit yang dilekatkan di hujung kayu, bagi mengelakkan duri terkena tangan,” katanya. Selain itu, ia akan memudahkan kerja mencantas sekiranya pokok palas terlalu tinggi atau rendang. Rokiah yang menetap di Kampung Bakat berkata, dia akan memakai kasut but dan sarung tangan setiap kali keluar mencari daun palas di Gual Dalam, Lubok Jerat dan Banggol Pial.

Harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM0.28 sen sepelepah. Berbanding 20 tahun lalu, Rokiah berkata pucuk atau pelepah daun palas ini dijual dengan harga 3 sen. “Mujurlah, harganya kini meningkat kepada 28 sen atau RM28 untuk 100 pelepah. “Dapatlah saya menjana akan pendapatan untuk kegunaan harian dan bagaimana persediaan sambutan syawal setiap tahun,” katanya. Kebanyakan pelanggan adalah pemborong, antaranya dari Wakaf Baru, Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Jeli dan Wakaf Che Yeh. Beliau juga runsing perubahan zaman. Rokiah turut meluahkan kerunsingannya, terhadap permintaan pucuk daun palas di masa depan. Menurutnya, generasi masa kini tidak lagi berminat mencari daun palas untuk menjana pendapatan menjelang Ramadan. Sekiranya tiada pelapis meneruskan tradisi ini Rokiah berkata, kuih ketupat daun palas mungkin sukar ditemui di masa depan. “Sepertimana yang berlaku kepada kuih tapai dan kuih tepung pelita, ramai yang menggunakan bekas plastik, menggantikan sumber asli. Sekiranya ia berlaku, identiti kuih tradisi akan pudar dan keunikannya akan dilupakan generasi akan datang,” katanya. Semuga artikel dua siri ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro kali ini. Wasallam!!!...
DAUN PALAS.... SANGAT BERGUNA...
DALAM HUTAN... AMBIL PUCUKNYA...
DIANYAM KEMAS...KETUPAT JADINYA...
HIDANGAN KHAS.. DIPAGI HARI RAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Besar Banting,
Banting, Selangor,
Malaysia.
(23 Zulkaedah 1434H)

Sunday, January 22, 2017

DAUN PALAS - KEGUNAAN (Part 1)

POKOK PALAS (Licuala grandis) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga ARECACEAE (palm tree) yang terdapat di Malaysia secara semualajadi. Ramai orang Malaysia mengaitkan pokok daun palas dengan 'KETUPAT PALAS' yang popular semasa sambutan Hari Raya AidilFitri atau Hari Raya Aidiladha. Bagaimanakah pencirian tumbuhan ini sebenarnya dan bolehkah tumbuhan ini di tanam secara komersial untuk pelbagai tujuan?. Tumbuhan ini dipanggil juga sebagai Fan Palm, Vanuatu Palm Palm dan di kawasan kita dipanggil sebagai Pokok Daun Palas. Pokok ini juga popular ditanam untuk tujuan landskap di kawasan rumah dan juga dikawasan taman-taman riadah oleh pihak berkuasa tempatan. Pokok Palas merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dengan mempunyai daun yang berwarna hijau berbentuk kipas yang cantik. Pokok ini adalah 'special' dan jarang-jarang dijumpai seperti tumbuhan lain didalam hutan ditempat kita. Hasil pembacaan dari beberapa sumber mendapati terdapat 5 jenis palas yang sering terdapat di Malaysia iaitu Palas Kipas (Licula grandis), Palas Duri (Licual sapinosa Roxb), Palas Bintulu (Licola bintuluensis), Palas Borneo (Licula cordata) dan Palas Sarawak (Licula orbicularis). Palas yang digunakan untuk tanaman hiasan dikeliling rumah sebagai pokok hiasan atau ornamental plants adalah dari jenis palas kipas yang tumbuh dari satu batang dan mempunyai daun yang terbit dari pangkal pokok. Belum banyak maklumat mengenai tabiat dan agronomi tumbuhan ini dikaji di Malaysia dan belum ada laporan rasmi keluasan penanaman pokok palas secara komersial di negara kita. Pemerhatian mendapati kawasan yang sesuai untuk pokok palas tumbuh adalah dari kawasan tanah yang mempuynyai saliran baik, lereng bukit dan pokok ini lazimnya memerlukan naungan (Shaded area). Pokok yang mempunyai batang tunggal ini mengeluarkan pelepah daun dibahagian atas pokok yang mana hanya satu daun terbit dari satu tangkai. Ketinggian pokok palas mampu mencecah 6-7 kaki dan lazimnya pokok dewasa akan menghasilkan buah berwarna merah berbentuk seperti 'cherry' yang terdapat dalam berangkai (Lihat foto sebelah). Buah yang masak ini menarik haiwan untuk memakannya. Pokok palas mempunyai akar serabut seperti pokok palma yang lain dan memerlukan kawasan yang sederhana lembab untuk kesuburannya. Terdapat beberapa maklumat mendapati pokok palas mampu hidup lama di kawasan yang sama pada perdu yang berubah-ubah sehingga 30-40 tahun. Belum ada maklumat rasmi mengenai kaedah pembiakan pokok palas tetapi saya percaya ianya melalui biji benih yang matang (Lazim bagi keluarga palma). Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok palas dan daun palas untuk dianyam sebagai ketupat dalam laporan akhbar tempatan sebagai satu testimoni untuk bacaan.


LAPORAN AKHBAR 1 :
Daun palas laris, semakin mahal
UTUSAN MALAYSIA
BALING 18 Sept. - Setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, barangan wajib yang menjadi rebutan adalah daun palas untuk dijadikan ketupat yang terkenal di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia. Walaupun harganya semakin mahal saban tahun tetapi ia tetap dibeli bagi memenuhi keperluan. Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu harganya mahal kerana kebanyakan daun palas yang dijual itu kini makin sukar dicari. Lebih membimbangkan, para penjual daun palas tempatan terpaksa mendapatkan bekalan 'import' daun palas dari selatan Thailand. Seorang penjual daun palas yang ditemui, Basri Yaakob, 36, memberitahu, dia terpaksa membeli daun palas dari peraih di kawasan Betong, Thailand untuk dijual di sekitar Pekan Baling. Kata Basri, biasanya dia memperoleh bekalan tersebut secara borong iaitu melebihi 50,000 pelepah setiap minggu bagi musim Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. "Daun-daun palas berkenaan kemudiannya diikat menjadi satu ikatan mengandungi enam pucuk dan dijual dengan harga RM4 hingga RM5," katanya.

Peniaga itu berkata, sebelum ini dia mendapat bekalan daripada peraih di kawasan pedalaman Kedah seperti Baling, Sik dan Pendang. Bagaimanapun, disebabkan permintaan mendadak dan juga kekurangan bekalan akibat pemusnahan hutan, dia terpaksa mencari alternatif lain termasuk mendapatkan dari rakan-rakannya di Thailand. "Antara daun palas yang mendapat permintaan tinggi adalah jenis daun tumbuh di kawasan tanah lembut," katanya. Basri memberitahu, daun palas jenis tersebut mudah dilipat bagi membungkus beras pulut untuk dijadikan ketupat. "Selain itu, para pengguna juga suka membeli daun palas yang bersaiz pendek kerana tidak perlu memotongnya," jelasnya. Selain jenis berkenaan, katanya, daun palas bukit turut mendapat permintaan kerana ia berbau wangi dan tidak mudah koyak ketika dilipat. "Ketupat yang dihasilkan menggunakan daun palas bukit mengeluarkan aroma wangi dan sangat enak dimakan," katanya.


LAPORAN AKHBAR 2 :

Ketupat palas diusaha secara komersial
Utusan Malaysia - oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH 16 Feb. – Makanan tradisional ketupat pulut atau ketupat palas, tidak lagi menggambarkan juadah musim perayaan sama ada ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha. Ini kerana, ketupat pulut atau ketupat palas boleh didapati hampir sepanjang tahun dan telah diusahakan secara komersial oleh individu tertentu. Pelaksanaan konsep 1Malaysia turut menyebabkan kedudukan dan nilai makanan orang Melayu itu merentasi budaya masyarakat majmuk di negara ini, apabila ia turut dihidangkan pada perayaan kaum lain seperti sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali.  Di Kampung Gong Manak, dekat sini misalnya, penghasilan makanan tradisional ini dijalankan oleh beberapa pengusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan di seluruh negeri dan Terengganu yang gemarkan makanan berasaskan beras pulut itu. Malah, kegiatan ekonomi dan keusahawanan itu turut memberi sedikit pendapatan kepada petani yang sanggup meredah hutan atau mendaki bukit untuk mendapatkan daun palas yang dikenali sebagai ‘Licuala sapinosa Roxb’ sebagai pembungkus ketupat.

Seorang pengusaha ketupat, Selamah Hasan, 55, yang lebih dikenali dengan nama Kak Dak di kalangan penduduk berkata, tempahan ketupat yang dihasilkannya turut menarik pelanggan di kalangan masyarakat Cina dan India. Dia yang berpengalaman dalam perniagaan ketupat daun palas selama 20 tahun berkata, masakan tradisional Melayu itu bukan sahaja laris dipasarkan pada kedua-dua hari raya Islam tetapi juga pada perayaan kaum lain seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali, sehingga terpaksa menambah jumlah ketupat yang dimasak bagi memenuhi permintaan. “Ini berlaku mungkin disebabkan wujudnya persefahaman budaya dan perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini yang saling kunjung mengunjung pada musim perayaan sehingga ketupat menjadi juadah yang laris,” katanya ketika ditemui di bengkel penghasilan ketupat di Gong Manak, dekat sini, baru-baru ini.

Selamah berkata, ketupat daun palas berbeza dengan ketupat daun kelapa atau ketupat nasi dari segi bentuk, saiz dan penggunaan beras pulut. “Ketupat daun atau ketupat nasi, dianyam berbentuk empat segi atau pun berbentuk bawang yang menggunakan daun kelapa. “Manakala ketupat palas pula berbentuk tiga segi. Penggunaan beras sebagai isi atau inti ketupat juga berbeza. Beras yang digunakan untuk ketupat palas ini ialah beras pulut, manakala isi ketupat daun menggunakan beras biasa,” katanya. Selamah berkata, resipi untuk menghasilkan ketupat adalah terlalu mudah dengan hanya menyediakan satu gantang beras pulut, empat biji kelapa atau tiga kilogram santan, 500 gram kacang mentah dan daun palas untuk membungkus. Beliau berkata, tempoh masa yang panjang bagi menghasilkan ketupat palas dan tiada kemahiran membungkus menyebabkan lebih ramai wanita masa kini terutama yang bekerja, lebih selesa membeli ketupat sudah siap berbanding cuba membuatnya sendiri.

“Harga tempahan bagi 100 biji ketupat yang sudah masak ialah RM25 pastinya menjadi pilihan bagi suri rumah yang sibuk dengan kerjaya masing-masing,” katanya. Menurut Selamah, selain ketupat lemak dan manis beliau turut menghasilkan pelbagai jenis kuih-muih tradisional berasaskan ubi kayu untuk menambah sumber pendapatan dan mempelbagaikan lagi perniagaannya. Menurutnya, proses membungkus ketupat lazimnya dilakukan sebanyak tiga kali seminggu dan ia akan dipasarkan di semua pasar sehari sekitar Kuala Besut dan Jertih, Terengganu selain di Pasar Malam Tok Bali, Pasar Tani Machang dan beberapa daerah di negeri ini. “Setiap kali memasak masakan tradisional itu saya menggunakan 25 kilogram beras pulut bagi menghasilkan 1,800 biji ketupat. Jumlah beras yang digunakan akan berlipat ganda pada musim perayaan.

“Setakat ini saya menggunakan khidmat empat pekerja dan bilangan mereka akan bertambah kepada 10 orang pada musim perayaan disebabkan perintaan yang meningkat,” katanya. Sementara itu, seorang pekerja Selamah, Siti Fatimah Awang, 38, berkata, kewujudan pengusaha ketupat di Kampung Gong Manak memberi peluang kepada suri rumah untuk mendapat sumber pendapatan sampingan. Menurutnya, upah membungkus ketupat hanyalah RM1.20 untuk 100 biji yang boleh disiapkan dalam tempoh 30 minit. “Tetapi, ia boleh memberi pendapatan sampingan yang lumayan sekiranya seseorang pembungkus memiliki kemahiran dan pantas menyiapkannya,” katanya yang melakukan kerja tersebut sekadar mengisi masa lapang.

Seorang lagi pekerja, Norma Mohd. Adam, 38, pula berkata, kewujudan perusahaan membuat ketupat palas secara komersial itu turut membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat iaitu mengambil upah ‘membuka daun palas.’  Jelas Norma, Kampung Gong Manak memang dikenali sebagai perkampuang kuih tradisional di daerah ini, bukan hanya menghasilkan ketupat tetapi juga roti bakar, baulu, akok dan pelbagai jenis kuih-muih. “Kewujudan pengusaha makanan dan kuih tradisional di kampung ini sekurang-kurangnya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sama ada secara tetap atau pun sambilan,” katanya.



LAPORAN AKHBAR 3 :
Teknik buat ketupat yang betul

UTUSAN MALAYSIA

LAIN tempat lain juga adat dan caranya. Begitu juga dalam hal menyediakan ketupat, makanan tradisi yang terlalu sinonim dengan sambutan Hari Raya. Jika ditanya pada orang Pantai Timur, ketupat yang kurang menjadi itu digelar 'ketupat jantan' kerana dilakukan oleh amatur dan kurang sempurna hasilnya manakala 'ketupat betina' pula cantik dan kemas pembuatannya oleh yang pakar. Bagaimanapun di kalangan masyarakat Utara, ketupat palas jantan mempunyai lebihan isi atau pulut di hujung lilitan daun palas itu dan manakala ikatan dan balutannya kemas. Sementara ketupat palas betina pula bersaiz lebih kecil, kurang isi dan ikatan serta balutan tidak kemas. Pun begitu, teknik pembuatan ketupat nasi atau pulut yang betul disifatkan sebagai sesuatu yang objektif atau mengikut kaedah yang diamalkan sejak turun temurun mengikut latar belakang setiap orang. Seorang suri rumah yang sememangnya pakar membuat ketupat nasi, Siti Jaleyah Jasman berkata, untuk usaha bagi memudahkan kerja memasukkan beras dan campuran pulut ke dalam kelongsong ketupat, beras tidak perlulah direndam sebaliknya memadai jika dibasuh seperti biasa kerana beras akan berderai selepas ditoskan.

Jika beras jenis mudah kembang, katanya, tidak perlu diisi sehingga padat separuh kelongsong ketupat manakala beras jenis biasa pula boleh diisi sehingga satu pertiga atau separuh mengikut saiz ketupat itu.  Jelasnya, jika dahulu orang merebus ketupat sehingga empat atau lima jam kini sebaik-baiknya dipendekkan masa sehingga dua setengah atau tiga jam agar daun ketupat tidak kecut, kering dan lebam. ''Jika terlampau lama, daun akan menjadi kering jadi eloklah ketupat diangkat selepas tiga jam apabila beras sudah kembang dan elok,'' katanya.

Hidangan sampingan daripada ketupat nasi dan pulut dimakan dengan pelbagai jenis lauk pauk. Yang popular tentunya rendang dan kuah kacang tetapi ada juga berpendapat bahawa kuah kacang adalah kuah sate yang manis, cair dan kurang pedas manakala sambal kacang lebih pekat, pedas dan dimasak dengan serai untuk hidangan pada Hari Raya. Bagi masyarakat Jawa di Johor pula, tidak sah makan ketupat jika tidak ada lodeh dan serunding kelapa. Ketupat daun palas paling enak di makan dengan rendang, serunding daging, ikan atau ayam. ''Ada juga orang tua-tua di Kelantan yang mencecah ketupat daun palas lemak dengan gula melaka yang dimasak agar cair seperti madu. ''Selain itu ia juga dimakan dengan sambal kelapa yang ditumbuk dengan lada hitam,'' jelasnya.

Selera masyarakat di Selatan pula agak berbeza dengan serunding kelapa yang bercampur gula melaka dimasak basah atau lembap menjadi pilihan. Bagaimanapun, tradisi penyediaan lauk-pauk sebagai hidangan sampingan ketupat nasi dan pulut juga telah lama dipermudahkan memandangkan semakin ramai orang tidak berkesempatan meluangkan masa dua hari suntuk di dapur menjelang Aidilfitri. Malah semakin tahun semakin berkurangan bilangan warga kota pulang ke kampung halaman beberapa hari sebelum Hari Raya untuk merasai kemeriahan bersama sanak saudara dan sahabat handai. Ia berpunca daripada kebanyakan daripada kita yang memilih (secara rela atau tidak rela) untuk pulang pada pagi Hari Raya dan sekadar meluangkan masa singkat sehingga kadang kala tidak sempat mengunjungi semua kaum keluarga terutama yang sudah uzur.  Semuga tulisan dalam anim agro technology subuh ini memberi maklumat berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!..
DAUN PALAS.... SANGAT BERGUNA...
DALAM HUTAN... AMBIL PUCUKNYA...
DIANYAM KEMAS...KETUPAT JADINYA...
HIDANGAN KHAS.. DIPAGI HARI RAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Besar Banting,
Banting, selangor,
Malaysia.
(23 Zulkaedah 1434H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...