Support My Blog

Sunday, December 14, 2025

KELADI LAMBOK - KENALI SIFATNYA

KELADI LAMBOK (Caladium spp) merupakan sejenis keladi yang kurang dikenali ramai berbanding dengan Keladi Cina, Keladi Mawar, Keladi Sarawak dan sebagainya. Keladi Lambuk atau dikenali juga dengan nama Keladi Lambok atau Kemumu dikalangan penduduk tempatan merupakan tumbuhan yang hidup dikawasan bersaliran salir dan ada kelembapan. Penulis hanya mengenali tumbuhan keladi ini setelah membuat banyak lawatan kekawasan dipendalaman Pahang seperti di Daerah Lipis, Raub, Jerantut dan Temerloh dimana keladi ini rupanya dijadikan sayuran yang unik. Apa tidaknya kladi ini dijadikan bahan masakan seperti masakan sebagai Masak Gulai Ikan Masin, Masak Goreng Lambuk Bersardin dan hebatnya ia dijadikan sebagai Ulam atau sebagai Salad. Saya ada menulis mengenai keladi lambuk tahun lepas dengan judul 'Keladi Lambuk - Enak Gulainya' dalam blog ini (Sila klik disini) dan artikel 'Tanam Keladi Lambuk' selepas itu (Sila klik disini). Bagaimana pun kali ini saya menulis dengan lebih saintifik mengenai keladi lambuk berdasarkan kepada laporan kajian kes yang dilakukan oleh En Ali iaitu pakar tanaman daripada Pejabat Pertanian Daerah Raub bersama penulis sendiri. Mungkin tidak ramai dikalangan masyarakat Malaysia yang telah kenal secara saintifik akan tumbuhan keladi lambuk ini. Ia juga agak kurang dibuat kajian saintifik oleh penyelidik tempatan kerana berkemungkinan sehingga kini keladi lambuk dianggap mempunyai nilai ekonomi yang rendah. Penulis blog belum menjumpai petani atau usahawan pertanian yang menanam keladi lambuk ini secara monokrop dengan luas dan berskala komersil. Keladi lambuk lazimnya ditanam disekeliling rumah atau sekitar penjuru kebun sebagai bahan untuk dijadikan sumber batang keladi lambuk bagi kegunaan sendiri. Kemungkinan kesukaran untuk mendapatkan anakbenih dan jarang atau tidak kenal akan keladi lambuk antara puncanya. Artikel subuh Rabu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" bertujuan untuk mengenali akan sifat keladi lambuk secara lebih jelas lagi sebagai bahan rujukkan semua. Saya mengambil masa selama 16 hari untuk membuat tinjauan di Pahang Barat semasa bertugad i Pahang dalam menyiapkan artikel ini.


Walau pun secara umumnya tanaman keladi lambuk menyamai marfologi keladi biasa namun terdapat beberapa ciri yang perlu diteliti dengan lanjut. Ia mempunyai batang dan pelepah daun yang keluar menegak keatas sama dengan keladi lain. Bagaimana pun apa yang ketara adalah dimana batang pelepahnya berwarna hijau muda keputihan (Sila lihat foto disebelah). Penulis blog juga mendapati apa yang unik adalah ciri khusus iaitu ia mempunyai debu halus berwarna putih yang jelas dilihat pada pokok keladi lambuk yang matang. Dari segi ukuran ia lazimnya mempunyai panjang pelepah diantara 0.5 meter sehingga 2.0 meter. Apa pun dari beberapa lokasi didapati saiz pelepah selalunya amat bergantung kepada pengurusan tanaman. Bagi pokok yang subur dan diuruskan dengan baik ia menghasilkan saiz pelepah yang besar berbanding dengan keladi lambuk yang tumbuh sendiri dikawasan tanah terbiar yang kurang subur. Apabila diteliti lagi dan pelepah dipotong akan silihat struktur dalam batang berkabus “ sponge”. Sepokok atau satu perdu keladi lambuk mampu menghasilkan sebanyak 80 - 120 batang sepanjang hayat. Daripada beberapa penduduk kampung yang ditemubual menyatakan keladi lambuk boleh hidup melebihi 3 tahun jangkahayatnya. Bagaimana pun ada kemungkinan ia tumbuh lebih lama jika diuruskan dengan baik dan dijaga dengan baik.


Melihat kepada pelepah keladi lambuk apa yang paling unik adalah dimana jika dipotong rentas akan dilihat didalamnya berongga atau 'spongy' seperti foto disebelah. Jika dibanding dengan kebanyakan jenis keladi lain seperti keladi Cina dan Keladi Sarawak ia tidak mempunyai ciri seperti ini dimana dibahagian dalam pelapahnya adalah padat. Keadaan rongga yang ujud dalam batang pelepah batang keladi lambuk ini adalah seragam dan susunan yang konsistent. Rongga yang ada ini membolehkan batang keladi lambuk amat sesuai untuk dimakan sebai ulaman atau dimasak dijadikan sayuran yang lembut dan menyimpan kuah didalamnya. Kalau dizaman awal persekolahan ini keratam batang keladi lambuk amat sesuai dijadikan bahan pencetak untuk subjek lukisan menggunakan warna sama seperti kita gunakan keratan pelepah pisang didalam membuat lukisan. Bagaimana pun pelu berhati-hati mengambil pelepah batang keladi kerana jika tersilap langkah boleh menyebabkan kegatalan atau keradangan yang menjadikan kita tidak selesa.


Dalam beberapa tinjauan penulis dapati ada batang keladi lambuk yang tumbuh subur mencecah saiz yang agak besar sehingga sama dengan lengan manusia (Sila lihat foto disebelah). Ini kerana keladi lambok yang tumbuh secara berumpun dikawasan tanah subur memang mampu tumbuh dan membesar terutama saiz batang pelepah dibahagian perdu atau bawah. Lazimnya ia mempunyai lapisan kulit berwarna hijau pekat dengan besar dibahagian bawah dan mengecil kearah bahagian atas atau daunnya. Kulitnya mempunyai struktur yang halus dan licin dan berdebu putih. Bagaimana pun setelah dikupas lazimnya bahagian dalam isi keladi lambuk berwarna putih terang (Sila lihat foto disebelah). Oleh kerana ia berongga (spongy) maka ia adalah ringan dan terapong jika dimasukkan dalam air. Ia bersturktur lembut dan amat mudah dibuang kulit luarnya atau dipotong menggunakan pisau. Penduduk kampong juga perlu kenal perbezaan diantara Keladi Lambuk dengan Keladi Birah agar tidak tersilap mengenainya. Ini kerana keladi birah memang tidak sesuai dimakan kerana ia selalunya adalah memberikan kesan gatal yang serius kepada pemakannya walau pun sudah di rawat dan di masak lama. 


Kepada mereka yang pertama kali ingin mengenali keladi lambuk dan tidak tersilap dengan mengambil keladi birah disyorkan melihat bahagian daunnya. apa yang penulis dengan pakar sains dapati daun keladi lambuk yang matang terdapat struktur 'bintat' atau 'curly' pada daun keladi yang matang (Sila anda lihat fotoo disebelah). Struktur ini tidak terdapat pada daun pokok keladi birah walau pun keduanya hampir mempunyai bentuk dan warna daun hampir sama. Warna daun matang lazimnya adalah hijau gelap dibahagian atas dan hijau keputihan dibahagian bawahnya. Ia mempunyai struktur tetulang daun yang ketara iaitu tetulang utama dan secondary. Tetulang daun ini lazimnya dapat dilihat dengan jelas kerana ia berwarna hijau muda. Sehingga artikel ini ditulis belum ada laporan yang menyatakan daun keladi lambok ini digunakan sebagai makanan atau pun untuk kegunaan lain. Dari segi ekonomi penulis dapati keladi lambuk mampu dituai dengan kekerapan 7 ke 10 hari sekali bagi sebatang sepokok.  Dari tinjauan mendapati sebanyak 30 rumpun keladi lambuk yang matang boleh menghasilkan sebanyak 50 - 60 batang pelepah seminggu. Setiap batang boleh menghasilkan antara 3 - 6 batang keratan untuk dijual dimana setiap ikat lazimnya diikat dengan sebanyak 3 - 5 keratan bergantung pada saiz. Daripada tinjauan dibeberapa lokasi mendapati harga runcit bagi produk keladi lambuk sekitar RM2.00 ke RM3.00 seikat. Sila baca artikel bagaimana memetik dan menyediakan menu hidangan masakan keladi lambuk dalam rencana seterusnya (Sila klik disini). Wasallam!!!...

KELADI LAMBUK... KENALI SIFATNYA...
KELADI BIRAH... JENIS MERBAHAYA...
DAUN BERBINTAT... ANTARA CIRINYA...
ARTIKEL DITULIS...RUJUKKAN SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Budu, Kuala Lipis,
Pahang, Malaysia.
(10 JamadilAkhir 1438H)
Dikemaskini artikel pada
17 RabiulAkhir 1447H
(Selepas 9 tahun di tulis).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...