Support My Blog

Sunday, January 26, 2014

NASI DAGANG


NASI DAGANG merupakan sejenis makanan tradisional berasaskan nasi yang amat digemari oleh ramai rakyat Malaysia. Sejarah asal usul nasi dagang dipercayai kerana ia adalah untuk diper'dagang'kan (Trading rice) yang boleh mengenyangkan, tahan lama dan enak dimakan bila-bila masa. Hidangan ini dahulu popular di Terengganu, Kelantan dan Kawasan Selatan Thailand (Sekitar Narathiwat, Songkla dan Pattani). Kini nasi dagang telah dimakan diseluruh Malaysia sehingga anda boleh jumpa nasi dagang di Kucing, Kota Kinabalu, Singapura dan Brunei. Kalau dahulu di pantai timur ramai nelayan akan makan nasi dagang untuk turun kelaut atau membawa bekalan, kini pegawai kerajaan di pejabat, pekerja kilang, pelajar sekolah, pemandu lori, tetamu hotel dan ramai lagi makan nasi dagang. Walau pun lazimnya nasi dagang di makan untuk sarapan pagi, kini nasi dagang ada dijual di pasar tani dan pasar malam pada waktu petang dan malam. Makan nasi dagang memang mengenyangkan pada jangkamasa yang lama berbanding dengan makanan lain. Banyak tenaga yang ada pada nasi dagang dan sesuai untuk mereka yang bekerja berat. Nasi dagang juga sehebat nasi lemak, nasi kerabu dan nasi minyak yang menjadi kesukaan rakyat Malaysia. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai nasi dagang yang menjadi kegemaran saya serta anda semua.


Hidangan nasi dagang menggunakan asas Nasi, Lauk (Ikan atau Ayam) serta acar timun. Saya dapati Nasi Dagang Ikan Tongkol merupakan resepi yang paling popular dikalangan ramai. Bagaimana pun mereka yang tidak suka ikan akan makan nasi ayam gulai ayam (Lihat foto sebelah). Walau pun terdapat perbezaan antara keduanya, tetapi yang paling jelas lagi adalah perbezaan antara resepi Nasi Dagang Terengganu dan Nasi Dagang Kelantan dari segi nasi dan kuahnya. Dalam banyak-banyak nasi dagang, pada saya nasi dagang ikan tongkol Ala Johor seperti di Mersing paling sedap kerana ia lebih pedas dan sesuai dengan selera orang Johor. Nasi dagang kini banyak bergantung kepada resepi yang digunakan seperti ikan tongkol segar, jenis kari gulai digunakan dan cara masakkan. 


Selain daripada dihidangkan dalam pinggan, nasi dagang kini popular dibeli dari gerai dengan bungkusan yang agak unik. Lazimnya nasi dagang tradisional di pantai timur dibungkus dengan lapisan daun pisang diluar dengan kertas suratkhabar atau kertas minyak. Unik kerana ia dibungkus dalam bentuk 'Kon' dengan saiz kecil (Lihat foto sebelah). Didalamnya terdapat nasi dagang, acar, ikan tongkol dan kuah (Kadang-kadang kuah dibungkus dalam plastik dan diletakkan diluar). Bergantung kepada kuantiti, kualiti, lokasi dan resepi, harga sebungkus nasi dagang sekitar RM 2.00 - RM3.00 sahaja. Nasi ini tahan lama jika dibeli waktu pagi dan dimakan pada waktu petang. Kaedah pembungkusan nasi dagang moden adalah menggunakan bekas kotak polistyrene seperti di pasar malam dan pasar tani. Ianya berharga sekitar RM 3.50 - RM 5.00 di Pasar Tani Mega, Putrajaya. Pada saya keenakan nasi dagang pada nasi dan kuah gulainya iaitu ada rasa lemak, pedas, manis dan masin yang mencukupi.

Saya merujuk kepada beberapa buku dan lamanweb untuk membuat nasi dagang. Saya suka memilih resepi Nasi Dagang Terengganu dengan kadar untuk 25 orang makan. Bagi menyediakan nasi perlu disediakan 1 gantang (2.7kg) beras wangi (eg: brand Sunwhite) dibasuh dan direndam selama 8 - 9 jam. Bahan lain adalah segenggam bawang merah setelah dimayang ( lebih kurang 12 ulas), 1 - 2 inci halia (dihiris halus-halus panjang), 1 - 2 sudu besar halba, Santan dari 3 biji kelapa ( santan pekat satu cetong(lebih kurang 900ml) dan santan cair satu setengah cetong), 1 sudu besar gula dan akhirnya segenggam garam. Bagi penyediaan bahan untuk lauk pula diperlukan 4 ekor ikan tongkol yang besar direbus bersama satu keret besar nisan, segenggam asam gelugur dan garam secukup rasa, air rebusan disimpan untuk dimasukkan dalam masakan kuah nanti. Bahan untuk Kuah pula adalah 1 senduk nasi penuh serbuk ketumbar, 1/2 senduk nasi serbuk jintan manis, segenggam lengkuas setelah dihiris, 1 inci kunyit hidup (atau 1 sudu besar kunyit serbuk), 1 labu bawang putih (yang besar), 2 inci halia, 3/4 kilo bawang merah lebih sedikit, 1 1/2 bungkus cili boh yang RM1.20 sebungkus, kerisik dari 1/2 biji kelapa
-4 keret besar nisan, santan dari 4 biji kelapa ( kepekatan biasa, jangan cair) dan 2 inci kulit kayu manis. Bahan untuk Acar terdiri dari 3 biji timun, 1 batang karot, 3 biji cili merah besar, 2 potong nenas, 1/4 kobis (setelah dipotong-potong digaul bersama garam gula dan cuka secukup rasa) dan akhirnya telur rebus sebanyak 12 - 13 biji.

Cara-cara memasak kuah dengan semua bahan untuk kuah di'blender' kecuali kerisik, nisan, santan dan kulit kayu manis. Kemudian masak santan hingga naik minyak sedikit barulah dicampur bahan-bahan yang diblender, kerisik, nisan dan kulit kayu manis. Setrusnya masak biar lama (api perlahan) bila santan surut separuh diisi air lagi hingga paras yang pertama, step ini diulang lagi selepas air surut separuh lagi baru letak ikan yang direbus bersama air rebusan dan separuh dari asam gelugur yang diguna untuk rebus ikan, air ditambah lagi sehingga paras pertama dan dimasak api perlahan sehingga kuah pekat dikacau sekali-sekali. Pastikan untuk masak kuah makan masa yang agak lama iaitu lebih kurang 7 jam. Ini dilakukan dengan yang demikian kuah menjadi warna gelap dan tulang ikan reput macam sardin di dalam tin. Lagi lama ia direneh makan akan lebih enak rasa kuah nasi dagang kerana sebati.

Cara-cara memasak nasi dagang juga dimulakan dengan basuh beras dan kemudian beras yang direndam 8 jam dibilas dan dikukus kosong sehingga masak. Seterusnya ia diangkat dan digaul rata dengan santan cair, bawang merah yang dimayang dan halba (Sila lihat foto sebelah). Seterusnya ia dikukus sekali lagi sehingga masak dan diangkat dan digaul bersama santan pekat (diperolehi dengan memerah santan menggunakan air masak) yang sudah dicampur gula dan garam. Nasi yang sudah siap kemudaian disenduk dan masukkan kedalam bekas. Ada yang mentanak nasi dagang dengan cara biasa seperti mask nasi tetapi paling baik adalah dengan dikukus. Cara paling biasa untuk menghidangkan nasi dagang adalah dengan mengambil nasi dibubuh pada pinggan, tuangkan kuah dengan isi ikan dan diletakkan acar. Kalau makan dengan tangan memang enak sekali terutama semasa semuanya masih suam-suam panas. Kalau hendak dibungkus sebaiknya kuah diasingkan dalam bungkusan plastik yang berasingan. Selamat makan Nasi Dagang... Wasallam!. 
 
NASI DAGANG... ENAK SEKALI...
IKAN TONGKOL...KUAH KARI...
ADA HALBA...ACAR DIBERI...
HARGA MURAH...IKUT RESEPI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kedai Nasi Dagang elayan,
Pengkalan Batu, Mersing,
Johor, Malaysia.
(19 Rabiulawal 1435H)

Saturday, January 25, 2014

NASI LEMAK

NASI LEMAK merupakan makanan yang amat popular di kalangan rakyat Malaysia yang mana asalnya ia merupakan makanan tradisi bagi masyarakat Melayu sejak zaman dulu. Sebenarnya nasi lemak juga telah menjadi kegemaran orang di Singapura, Indonesia dan Brunei. Menu Nasi Lemak pada asalnya disediakan hanya untuk sarapan pagi sahaja tetapi kini ia dihidangkan dan dijual pada waktu petang dan malam. Selain daripada disediakan sendiri dirumah, kini nasi lemak telah di komersilkan di kompleks membeli belah, hotel, pasaraya, restoren, pasar malam, pasar tani, kantin sekolah, penjaja tepi jalan dan banyak lagi lokasi jualan. Pada saya, nasi lemak boleh di huraikan kepada nasi yang dimasak dengan menggunakan santan kelapa iaitu bagi menambah rasa lemaknya dan dimakan dengan beberapa komponen asas nasi lemak iaitu sambal, tiimun, bilis dan telur rebus atau telur goreng. Penting dipastikan semasa masak nasi lemak dimasukkan daun pandan untuk menambah lagi aromanya. Kini nasi lemak kukus mula mendapat permintaan ramai kerana ianya memberikan rasa lebih sedap dimana setiap butir nasi akan kelihatan tidak melekit dan peroi. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai makanan penting di Malaysia iaitu 'Nasi lemak" yang menjadi kegemaran ramai untuk bacaan anda.

Beras untuk membuat Nasi Lemak boleh dimasak menggunakan periuk dapur biasa atau periuk elektrik (Lihat foto sebelah). Gunakan beras berkualiti baik seperti beras wangi atau Gred AAA untuk membuat nasi lemak. Beras dibasuh bersih dan dimasukkan kedalam periok bersama air, santan, hirisan halia racik, bawang, garam dan ramuan lain untuk menambah keenakannya. Santan segar adalah pilihan terbaik tetapi kini peniaga komersil menggunakan santan siap dalam kotak. Tanak nasi sehingga masak dan di kacau sebelum diangkat keluar. Nasi lemak mesti menggunakan santan untuk memberi rasa lemak dan bagi menyedapkan lagi kita menggunakan daun pandan untuk mewangikan lagi masakan. Nasi lemak asalnya bukanlah merupakan makanan sarapan harian wajib masyarakat Melayu Malaysia pada umumnya. Amalan pemakanan nasi lemak merupakan satu bentuk bekalan hidangan yang lazimnya dijadikan bungkusan makanan kepada para pesawah, penoreh getah, nelayan, pekerja binaan dan sebagainya. Nasi lemak mempunyai jumlah kalori dan tenaga yang tinggi serta mempunyai komposisi lemak yang tinggi untuk membekalkan tenaga yang lebih bagi bekerja. Kandungan tinggi adalah unsur karbohidrat. Bagaimana pun kini mereka yang bekerja di pejabat pun makan nasi lemak juga. 

Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur, timun, ikan bilis goreng, kacang tanah goreng dan sambal. Nasi lemak bungkus merupakan satu kaedah penjualan nasi lemak yang sangat popular masa kini (Lihat foto sebelah). Nasi lemak yang dibungkus lazimnya dijual di Kantin Sekolah, Kantin Pejabat Kerajaan dan swasta, Kilang-kilang dan juga dijual di gerai sementara atau gerai pacak tepi jalan terutama pada pagi cuti umum seperti Hari Ahad. Nasi lemak bungkus tradisional lazimnya menggunakan pelapis daun pisang (untuk menambah aroma nasi) dan pembungkus luar sama ada surat khabar lama atau kertas pembalut khas berwarna coklat atau kertas minyak sahaja. Harga jualannya bergantung kepada kuantiti, kualiti, lokasi, komponen ramuan' lauk dan sebagainya. Paling murah saya dapati cuma RM0.50 sebungkus tetapi lazimnya RM 1.00 - RM 2.00 sahaja. Kalau di pasar malam pula penjualan nasi lemak kini menggunakan pembungkus kotak polistyrene putih dengan kuantiti lebih banyak dan diisi dengan pelbagai ramuan dan lauk pauk. Harganya mengikut jenis lauk yang dipilih. Kini nasi lemak dijual dengan pelbagai lauk untuk dipilih seperti lauk daging, ayam, sotong, udang, limpa, kerang, telur puyoh, pegedil, hati ayam, kentang goreng, hati lembu dan sebagainya. 

Lauk nasi lemak kini telah dikomersilkan dengan pelbagai jenis lauk pauk dan cara masakkan. Paling popular kini adalah hidangan nasi lemak dengan Ayam Goreng Kampong, Sambal Sotong Kering, Kerang dan lain-lain lagi. Di Ipoh terdapat restoran khusus diberi nama 'Restoren Nasi Lemak Ayam Kampong" yang memang terkenal dengan hidangan ayam kampong goreng sebagai lauk utama untuk tarikan (Sila lihat foto sebelah). Ada penjual nasi lemak yang mampu untuk menghidangkan lebih dari 20 jenis lauk dan dijual diatas van bergerak atau gerai dimana ia  dikerumuni ramai pengunjung sehingga panjang barisan menunggu untuk membelinya. Nasi lemak dikatakan tidak begitu sihat untuk dimakan hari-hari kerana tinggi kalori dan lemaknya seperti didakwa oleh pakar pemakanan. Kemterian Kesihatan Malaysia telah meletakkan nasi lemak sebagai satu makanan segera dimana ia telah dikategorikan sebagai satu makanan yang berkalori tinggi, mudah dan siap dihidangkan. Pernah timbul cadangan agar nasi lemak dihadkan jualannya pada dua kali seminggu. Langkah ini diambil sebagai satu usaha kerajaan untuk menangani masalah kegemukkan, obesiti dan diabetes yang semakin meningkat di kalangan rakyat terutama kes kanak-kanak. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada pembaca semua. Wasallam.

NASI LEMAK...HIDANGAN KITA...
RASA ENAK... MUDAH DISEDIA...
ADA DIJUAL...MERATA-RATA...
PELBAGAI LAUK...PILIH SAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Restoren Nasi Lemak Ayam Kampong,
Ipoh, Perak,
Malaysia.
(19 Rabiulawal 1435H)

Friday, January 24, 2014

VARIASI SOMACLONAL - APA DIA?

VARIASI SOMACLONAL (Somaclonal variation) adalah satu istilah kepada berlakunya variasi genetik oleh tumbuhan secara semulajadi atau yang dibiakkan melalui teknik pembiakan kultur tisu (Tissue culture). Ia boleh dikesan melalui kesan genetik atau pun pada 'phenotypic traits'. Mungkin ramai diantara kita jarang mendengar perkataan variasi somaklonal kerana ia sering tidak dibincangkan oleh saintis pertanian apa lagi oleh penjual benih tisu kultur. Antara ciri bagi variasi somaklonal adalah seperti variasi pada Kayotype, iaitu ciri yang dapat dilihat pada maffologi yang didapati pada tumbuhan yang ada berlaku variasi somaklonal. Kedapatan 'Calliclone' atau pun singkatan kepada 'clones of callus' atau 'Mericlone' atau 'clones of meristem' serta 'Protoclone' iaitu 'clones of Protoplast' dilihat pada tumbuhan yang dihasilkan. Perkataan saintifik ini hanya di ketahui oleh mereka yang pakar dalam ilmu pembiabakaan melalui teknologi kultur tisu. Sila baca mengenai apakah itu teknik penyediaan anak benih secara kultur tisu dalam artikel sebelum ini (Sila klik disini). Contohnya pembiakan anak benih tanaman melalui kultur tisu pada pisang, betik dan orkid adalah popular dikalangan syarikat tempatan. Benih nenas bagaimana pun dijalankan tetapi kadar kejadian kes variasi somaklonal antara tertinggi mencecah sehingga 30%. Lazimnya mutasi dalam dari variasi somaklonak akan dilihat pada tumbuhan selepas ditanam beberapa pusingan. Artikel malam Jumaat ini saya mampu menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai istilah variasi somaklonal yang sering berlaku secara semulajadi atau dalam aktiviti pembiakan melalui kaedah kulutr tisu.

Apakah mekanisma yang menyebabkan berlakunya variasi somaklonal?. Pertama sekali adalah oleh faktur GENETIK tumbuhan itu sendiri. Bagi tumbuhan tertentu yang secara semulajadinya mengandungi ciri 'sel somatic' atau yang ada ciri somaklonal, maka kejadian tersebut lebih kerap berlaku. Proses mutasi DNA sel tersebut mudah berlaku pada kekerapan tinggi berbanding dengan tumbuhan atau varieti lain yang kurang sel somatic. Bagi tumbuhan jenis lain yang EPIGENETIC iaitu tiada mempunyai sel somatic (Non-heritable Variations), masaalah variasi somaklonal berlaku semasa proses pembiakan melalui teknik kultur tisu. Ini disebabkan oleh berlakunya perubahan sementara pada perubahan getotaip sel. Nenas (Ananas comosus) contohnya memang menghasilkan anak benih somaklonal yang signifikan dalam kes variasi somaklonal walau pun peratusnya boleh dikurangkan dengan teknik penyediaan media dan rawatan tertentu. Pembentukkan seperti 'Callus Tissue Organogenes' dilaporkan berlaku semasa proses pengerasan anakbenih atau pada peringkat lain. Sebaiknya dibuat pemilihan anak benih yang mempunyai tanda variasi somaklonal sebelum hanya yang lulus sahaja yang dipilih untuk ditanam.

Faktur lain yang menyebabkan berlakunya variasi somaklonal adalah berpunca dari pada VARIASI FISIOLOGI dan VARIASI BIOKIMIA (Biochemical Cause). Penyebab berlakunya variasi somaklonal fisiologi adalah daripada kesan penggunaan bahan penggalak pertumbuhan (plant growth regulators) dan keadaan dipersekitaran. Kadang-kadang perubahan kromosom dalam sel menyebabkan isu ini. Perubahan bilangan kromosom sel melalui perubahan yang dipanggil sebagai Euploidy (Changes chromosome sets) dan Aneuploidy (Changes in parts of chromosome sets) atau Polyploidy  (Organisms with more than two chromosome sets) atau Monoploidy (Organism with one chromasomes set). Ringkasnya perubahan kromosom dalam struktur sel disebabkan oleh proses seperti proses  'Deletion', 'Inversion', 'Duplication' dan juga melalui proses 'Translocation'.

FAKTUR BIOKIMIA yang berlaku dalam variasi somaklonal berkait juga dengan proses fotosintesis yang tidak lengkap. Ini disebabkan oleh perubahan atau pertukaran kadar metabolisma karbon dalam daun (Khususnya pada Stomata). Berlaku proses bio-sintesis kanji  pada karoteniods (biosynthesis of starch) semasa proses berlaku. Ia juga berkait dengan aktiviti metabolisma nitrogen serta resistan pada antibiotik pada bahagian daun tumbuhan. Bagaimanakah kita hendak mengesan variasi somaklonal dengan betul?. Paling mudah dengan kita membuat analisa pada ciri marfologi tumbuhan tersebut. Antara ciri fizikal yang dilihat adalah melalui pencirian Kualitatif (Qualitative characters) seperti ketinggian pokok, jangkamasa kematangan, jangkamasa berbunga, saiz daun dan sebagainya. Kaedah penilaian Kuantitatif (Quantitative characters) pula dinilai melalui penelitian berkaitan jumlah bunga, biji benih, kandungan lilin pada bahagian tertentu tumbuhan dan sebagainya. Ujian 'cytological studies' melalui kaedah saringan tisu meristem seperti pada hujung akar, hujung daun (pucuk) dan sebagainya boleh dijalankan.

Apakah sebenarnya kebaikan akibat dari variasi somaklonal kerana kebanyakkan menyatakan ia sebagai kelemahan dan masaalah sahaja. 'Somaclonal Variations' ini sebenarnya membolehkan pihak pembiaknaka untuk menambahbaik dalam aktiviti atau program biakbaka tumbuhan. Ini dengan mencipta banyak variasi genetik pada tumbuhan untuk menghasilkan varieti baru yang sesuai mengikut kehendak pasaran. Ini disesuaikan dengan ciri pemilihan tumbuhan yang mampu menghasilkan hasil tanaman lebih tinggi, tahan kepada penyakit, cepat berhasil, buah yang berkualiti dan selamat dimakan. Masaalah kelemahan oleh faktur variasi somaklonal pula seperti seperti masaalah KESERAGAMAN (uniformity) pada marfologi dan pencirian tumbuhan itu sendiri. Selalunya menghasilkan buah atau produk yang tidak mengikuti kehendak petani seperti warna, berat, bentuk, kualiti dan sebagainya seperti varieti yang dikehendakki. Begitulah perkara mengenai tajuk variasi somaklonal yang sempat saya tulis untuk memberikan ilmu tambahan kepada anda. Wasallam!


VARIASI SOMACLONAL...ITU APA...
KURANG DIKETAHUI...KENA BACA...
FAKTUR SEMULAJADI...MEMANG ADA...
PROSES TISU KULTUR...LAGI NYATA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Makmal Genetik Tumbuhan,
Pusat Penyelidikan Plantecs Chiap Huat Sdn Bhd,
Tangkak, Ledang,
Johor, Malaysia.
(28 Rabiulawal 1435H)

Thursday, January 23, 2014

TEKNOLOGI TISU KULTUR TUMBUHAN

TEKNOLOGI TISU KULTUR TUMBUHAN (Plant tissue culture) kini semakin menjadi perkara penting dalam sektor pembiakan bahan tanaman. Teknologi moden ini telah menjadi satu industri yang besar dalam pertanian terutama untuk beberapa jenis tanaman yang bernilai komersil. Dalam pada itu saya mendapati bahawa definisi 'Kultur Tisu' adalah merupakan satu cara menghasilkan anak pokok yang lengkap bermula dengan sebahagian kecil tisu tumbuhan dalam eksplan, seperti daun, batang atau sel yang dikulturkan dalam media secara steril ataupun aseptic untuk tumbesaran. Maksud perkataan 'Aseptik' pula adalah satu keadaan yang bebas daripada mikroorganisma seperti kulat, bakteria dan virus. Ia juga dikenali sebagai satu teknik memelihara sel atau cebisan tisu haiwan dan tumbuhan secara in vitro. In vitro adalah merujuk sesuatu yang dijalankan di luar badan organisma, umumnya di balang kaca ataupun tabung uji. Tujuan utama proses menyediakan benih kultur tisu adalah untuk membiakkan sel tumbuhan didalam kita menghasilkan organisma baru yang sama dengan induknya dari segi fizikal dan kandungan genetik.Pada masa ini banyak tumbuhan yang popular dihasilkan melalui teknologi tisu kultur seperti Pisang (Musa spp), Tumbuhan Orkid (Banyak jenis orkid komersil), Herba dan beberapa jenis buah-buahan serta sayur-sayuran terpilih. Kini terdapat berpuloh syarikat swasta dan GLC yang menjadikan makmal tisu kultur sebagai asas perniagaan mereka. Industri pembiakan anakbenih tanaman melalui tisu kultur ini bernilai lebih dari RM20 juta setahun (Lamanweb Kementerian Pertanian) khususnya bagi tanaman makanan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai maklumat asas teknologi tisu kultur untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Umumnya terma ‘tisu kultur’ merujuk kepada kumpulan prosedur yang digunakan untuk pertumbuhan dan penyelenggaraan tisu dan organ   tumbuhan di dalam kultur aseptik (in vitro). Umumnya, teknik ini diaplikasikan untuk pembiakan, pembiakbakaan (pengubahsuaian genetik), penghasilan produk sekunder biokimia (contohnya hormon), patologi tumbuhan dan pemeliharaan janaplasma. Pembiakan mikro (micropropagation) adalah kaedah tisu kultur untuk penghasilan (pembiakan) anak benih klon. Kaedah pembiakan tampang ini adalah pilihan utama bagi tanaman yang (i) sukar dibiakkan; (ii) pembiakan secara biji benih tidak menjamin penghasilan baka tulen; dan (iii) tiada kaedah pembiakan tampang lain yang sesuai.Persoalannya, bagaimanakah satu anak pokok baru boleh terhasil daripada tisu dan organ yang dikultur?. Pembiakan melalui teknik tisu kultur mampu direalisasikan disebabkan oleh konsep yang dipanggil “totipotent” dimana setiap sel tunggal tumbuhan berkebolehan dari segi genetik untuk membahagi, membeza dan berkembang, membentuk satu pokok baru.

Keupayaan untuk mengeluarkan bahan tanaman dalam jumlah yang banyak menyebabkan teknik tisu kultur menjadi 
kaedah pilihan pengeluar bahan tanaman nanas dan pisang. Namun, kejayaan kaedah ini terutamanya dari segi ketulenan varieti, banyak bergantung kepada jenis tanaman dan prosedur yang digunakan. Penghasilan anak benih klon nanas melalui teknik tisu kultur contohnya, merekodkan variasi somaklonal yang tinggi tidak seperti tanaman pisang. Sehubungan itu, di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman bagi tanaman nanas, pemeriksaan awal terhadap teknik tisu kultur yang digunakan dan peratus kejayaan (ketulenan genetik) perlu dijalankan sebelum pengesahan anak benih klon tisu kultur dilaksanakan. Sehingga artikel ini saya tulis, benih nanas tisu kultur yang tidak mencapai piawaian tidak disyorkan untuk dijual kepada penanam nenas melainkan sulurnya yang telah dipastikan tulen varietinya. Terdapat beberapa syarikat swasta yang membuat benih tisu kultur nenas kepada petani walau pun ianya tidak disyorkan. Ini kerana masaalah 'somaclonal' dalam benih nenas tersebut.

Banyak faktor yang mempengaruhi kejayaan sesuatu aktiviti dalam penyediaan benih tisu kultur dalam makmal. Ini kerana aktiviti yang dijalankan dimakmal saling berinteraksi antara satu sama lain sehinggakan memerlukan kepakaran khusus yang tinggi. Antaranya adalah seperti faktur berkaitan jenis peralatan yang lengkap, sesuai dan sempurna. Contoh peralatan adalah Laminar flow chamber, alat penimbang, autooclave, PH meter, hot plate, stirrer dan hot bead sterilizer. Makmal yang bersih, bebas dari mikroorganisma; perlu ada bilik khas untuk kerja-kerja kultur, penyediaan medium dan tempat penyimpanan kultur. Penjagaan makmal, bilik kultur yang rapi dan teratur, pengawasan cahaya dan suhu. 

Sebarang kultur yang telah terkena kontaminasi (tercemar dengan mikroorganisma) perlu dibuang segera (dinyahkuman).Langkah berjaga-jaga perlu diikuti dengan serius. Terutama pemakaian lab coat dan selipar khas untuk memasuki makmal kultur tisu. Pensterilan eksplan yang sesuai dimana ia akan mengurangkan risiko kematian sel-sel dan jangkitan mikroorganisma. Eksplan yang diambil daripada baka baik, pokok sihat, “vigorous” dan tidak terdedah kepada keadaan kering dan terlalu lembab. Bahagian eksplan hendaklah diambil dari tisu muda, bahagian meristem yang giat membahagi lebih berpeluang untuk menghasilkan pokok. Spesies yang berlainan mempunyai tindak balas yang berbeza. Medium yang sesuai dengan keperluan tumbuhan. Hormon yang digunakan perlu sesuai dengan tumbuhan. Contoh auxin dan sitokinin Bekas kultur yang sesuai. Perlu disteril dan diautoklaf terlebih dahulu. Penyimpanan kultur perlu keadaan yang sesuai. Teknologi penyediaan benih kultur tisu memerlukan banyak peringkat penyediaan seterusnya. Kepakaran dalam menyediakan benih kultur tisu memerlukan kemahiran (skill) dan peralatan khusus untuk mendapat kejayaan yang baik.

Benih daripada 'plantlet' kini boleh dijual kepada syarikat lain yang menyediakan anak benih. Sumber pokok induk untuk penyediaan anak benih juga sebaiknya mendapat pengesahan (Certification) daripada beberapa pihak untuk menjamin kualiti anak benih yang bakal dihasilkan. Tumbesaran anakbenih kultur tisu dalam polibeg memerlukan penjagaan khusus daripada sebarang kerosakan akibat daripada serangan penyakit (jika ada) dan kerosakan fizikal semasa aktiviti pengendalian (handling activity). Pembeli lazimnya memerlukan saiz anak benih yang sesuai untuk ditanam diladang dari segi jaminan kualiti daripada pembekal. Kini dengan teknologi kultur tisu, petani mampu meningkatkan produktiviti ladang dan meningkatkan pendapatan mereka. Wasallam!.

TEKNOLOGI KULTUR TISU...BAGUSNYA...
DALAM MAKMAL...PROSES DIBUATNYA...
PERALATAN MODEN..KEMAHIRAN ADA...
BENIH BERKUALITI... IANYA BERHARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Makmal Kultur Tisu,
Pusat Pertanian Serdang,
Selangor, Malaysia.
(9 Rabiulawal 1435H)

Wednesday, January 22, 2014

KOPI - VARIETI UNGGUL KOPI ARABIKA (Part 2)

TANAMAN KOPI (Coffea arabica) di Indonesia sejak tahun 1980 dipergiatkan untuk mendapatkan bahan tanaman berpotensi hasil tinggi yang dilakukan secara penyelidikan dan biakbaka lebih intensif. Usaha tersebut dilakukan dengan cara kacukan (persilangan) dan kemasukan (introduction) varieti kopi dari luar negara. Ia bertujuan untuk mendapatkan varieti baka kopi arabika yang tahan terhadap penyakit karat daun dimana ini dilakukan dengan cara kacukan cara persilangan. Pemilihan induknya menggunakan varieti Caturra, S795, S1934 dan Hibrido de timor. Hasil keturunan kacukan atau persilangan tersebut banyak yang mempunyai ciri-ciri yang dikehendakki dan toleran terhadap penyakit karat daun. Selanjutnya pada tahun 1982 dimasukkan varieti baka Catimor dari IAC (Brazil) kemudian diikutivarieti kopii dari beberapa negara lain seperti CIFC = Centro de Investigacao dan juga Ferrugens do Cafeirro (Portugal), CATIE (Costa Rica) dan Colombia. Hasil kajian dari Pusat Penelitian Kopi dan Kakao Indonesia, masa kini kerajaan Indonesia telah mengesyorkan beberapa varieti kopi arabika melalui Menteri Pertanian Republik Indonesia. Artikel kali ini dalam "Anim Agro Technology" kita mengintai mengenai beberapa varieti kopi varieti arabika yang dikaji dalam program pembiakbakaan (Plant breeding) di Indonesia yang berjaya meletakkan negara tersebut sebagai pengelluar kopi ketiga hebatnya didunia.



Diantara varieti Kopi Arabika dilepaskan sebagai berikut:


(1) Nama Varieti : Kartika 1 
Baka ini jenis pokok pertumbuhan katek (dwarft), bentuk daun oval meruncing, buah seragam, biji kopi yang membulat, nisbah biji buah 
15.2 %, berbunga pertama pada umur 15-24 bulan, produktiviti hasil kopi sekitar 41.75 kwintal/ha pada kepadatan tanaman 6,400 pokok sehektar. Pada ketinggian diatas 1,000 m dan pada ketinggian kurang dari 900 m dpl, ia rentan penyakit karat daun. Varieti ini mempunyai cita rasa yang baik untuk pasaran.



(2) Nama Varieti :Kartika 2 
Baka ini mempunyai pertumbuhan katek (dwarft), juga mempunyai bentuk daun oval membulat, buah seragam, biji agak lonjong, nisbah biji buah 14.5%, berbunga pertama pada umur 15-24 bulan, tahap produktiviti 37.17 kwintal/ha pada kepadatan tanaman 6,400 pokok sehektar. Pada ketinggian lebih dari 1,000 m dpl varieti  Kartika 2 ini agak rentan penyakit karat daun sedangkan pada ketinggian kurang dari 900 m dpl ia  rentan penyakit karat daun. Kopi ini mempunyai citarasa baik.



(3) Nama Varieti :Abesiania 3
Varieti ini adalah baka yang cara pertumbuhan tinggi melebar, buah berbentuk oval persegi, biji besar memanjang dan seragam, nisbah biji buah 15.4%, berbunga pertama umur 34-36 bulan, tahap produktiviti 7.5-10 kwintal/ha pada populasi 1.600 pokok sehaktar dan ia agak rentan penyakit karat daun. Mempunyai citarasa baik.



(4) Nama Varieti :S 795
Varieti ini baka pertumbuhan tinggi agak melebar, ia mempunyai daun rimbun sehingga batang pokok tidak tampak dari luar, buah seragam, biji berukuran besar tetapi tidak seragam, nisbah biji buah 15,7%. Varieti ini mula berbunga pertama umur 15-24 bulan dan kadar produktiviti hasil kopi sebanyak 10-15 kwintal/ha pada kepadatan tanaman 1,600-2,000 pokok sehektar. Pada ketinggian lebih dari 1,000 m dpl ia dikatakan tahan serangan karat daun dan pada ketinggian kurang dari 900 dpl agak tahan penyakit karat daun. Kopi ini mempunyai citarasa cukup baik.



(5) Nama Varieti :USDA 762 

Varieti baka ini mempunyai ciri pertumbuhan tinggi agak melebar, buah agak melebar, buah agak memanjang dengan ujung meruncing, berjanggut, biji membulat seragam, nisbah biji buah 16.6%, berbunga pertama umur 32-34 bulan, tahap hasil produktiviti 8-12 kwintal/ha. Kadar kepadatan tanaman varieti ini 1,600-2,000 pokok sehaktar. Varieti ini agak tahan terhadap penyakit karat daun citarasa cukup baik.


(6) Nama Varieti :Andungsari 1 
Baka varieti ini cirinya adalah cara pertumbuhan katek (dwarft), daun berbentuk oval bergelombang, lentur dan lebar, buah masak kurang serempak, biji lonjong, nisbah biji buah 14.9%, berbunga pertama umur 15-24 bulan. Kadar produktiviti hasil adalah sekitar 35 kwintal/ha. Kepadatan tanaman 3,300 pokok/ha. Pada ketinggian lebih dari 1,000 m dpl rentan penyakit karat daun dengan kualiti citarasa baik.



(7) Nama Varieti :Sigarar Utang
Mempunyai perawakan semi-katek, ruas cabang pendek, tajuk rimbun menutup seluruh permukaan pohon sehingga batang pokok tidak tampak dari luar. Sifat percabangan sekunder sangat aktif bahkan cabang primer di atas permukaan tanah membentuk kipas berjuntai menyentuh tanah. Daun tua berwarna hijau tua, daun muda (flush) berwarna coklat kemerahan. Apabila ditanam tanpa naungan tepi daun bergelombang dan helaian daun mengatup ke atas, jika dilihat sepintas bentuk daun panjang meruncing dan tepi daun bergelombang. Buah muda berwarna hijau sedangkan buah masak berwarna merah cerah, bentuk buah bulat memanjang berukuran besar dan 100 buah masak (merah ) purata beratnya adalah 196 gram. Potensi Penghasilan berkisar antara 800 - 2,300 kg biji/ha. Kopi varieti Sigarar juga bersifat agak rentan terhadap penyakit karat daun, terutama jika ditanam pada ketinggian kurang dari 1,000 mdpl, juga rentan terhadap nematoda parasit.


Di Aceh sekarang ini terdapat sejenis kopi yang terkenal dengan cita rasa khas yang diberi nama 'Kopi Arabika Gayo' (Arabica gayo coffee). Kopi ini merupakan salah satu komoditi yang unggul yang berasal dari Dataran Tinggi Gayo. Kajian dikebun kawasan tersebut mendapati varieti kopi ini telah dikembangkan semenjak tahun 1908 dan dilaporkan tumbuh subur di Kabupaten Bener Meriah, Aceh Tengah dan Gayo lues. Ketiga daerah yang berada di ketinggian 1,200m dpl tersebut memiliki perkebunan kopi terluas di Indonesia iaitu dengan luasan sekitar 94,800 hektar . Kini setelah melalui perjuangan yang cukup lama, akhirnya kopi arabika gayo mendapat Fair Trade CertifiedTM dari Organisasi International Fair Trade dan pada 27 Mei 2010. Kopi gayo menerima sijil IG (Indication Geografic) yang telah diberikan kepada Pemda oleh menteri Hukum dan HAM Indonesia. Kemudian pada Event Lelang Special Kopi Indonesia tanggal 10 Oktober 2010 di Bali, dilaporkan kopi Arabika Gayo memperoleh skor tertinggi semasat 'Cupping Score'. Begitulah kisah kejayaan program pembiakbakaan kopi arabika di Indonesia sehingga mampu menjadi pengekspot ke 3 terhebat didunia untuk kita sama-sama renungkan bersama. Wasallam.




KOPI ARABICA...BAIK KUALITI...

DI BANYAK NEGARA...DITELITI..
BUAT KACUKAN...TAK HENTI...
KINI PRODUKTIF...HASIL TINGGI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Penelitian Tanaman Pangan,
Bandung,
Indonesia.
(19 Rabiulawal 1435H)

Tuesday, January 21, 2014

KOPI - VARIETI UNGGUL KOPI ARABIKA (Part 1)

TANAMAN KOPI (Coffea arabica) di Indonesia dimulai tahun 1696 dengan menggunakan jenis kopi arabika. Kopi varieti ini memang sangat kurang di kenali di Malaysia. Namun rujukan saya mendapati penanaman jenis kopi ini kurang berhasil. Di Indonesia pada tahun 1699 pemerintah Hindia Belanda mendatangkan lagi kopi arabika, kemudian berkembang dengan baik di pulau Jawa. Kopi arabika yang dikenal sebagai kopi Jawa (java coffee) tersebut memiliki kualiti yang sangat baik dan merupakan komoditi ekspot selama lebih dari 100 tahun. Sejak tahun 1878 timbul penyakit karat daun pada tanaman kopi yang disebabkan oleh kulat Hemileia vastatrix. Penyakit tersebut mengakibatkan kerosakan dan kematian tanaman serta kerugian hasil yang sangat besar (Rahardjo, 2012). Dalam rangka mengatasi masalah penyakit karat daun, telah dilakukan seleksi pokok induk dari populasi kopi arabika yang ada serta proses pembiakan melalui penyilangan antara jenis kopi arabika dengan varieti lain. Kopi arabika sangat baik ditanam di lokais atau kawasan yang berketinggian 1,000 - 2,100 meter diatas permukaan laut (dpl). Beberapa lokasi penanaman jenis kopi arabika yang terkenal di Indonesia seperti di Provinsi Sumatera Utara (Kabupaten Tapanuli Utara, Kabupaten Dairi, Kabupaten Tobasa, Kabupaten Humbang, Kabupaten Mandailing, dan Kabupaten Karo), Provinsi Aceh, Provinsi Lampung, dan beberapa Provinsi di Pulau Sulawesi, Jawa dan Bali(Panggabean, 2011). Beberapa pencirian kopi arabika secara umum adalah saiz buah lebih kecil dari jenis kopi lainnya (18-20%). Bentuknya agak memanjang, bidang cembungnya tidak terlalu tinggi, lebih bercahaya dibandingkan dengan jenis lainnya dan hujung biji lebih mengilap tetapi jika dikeringkan berlebihan akan terlihat retak atau pecah. Ciri lain adalah seperti celah tengah (center cut) dibahagian datar (perut) tidak lurus memanjang kebawah walau pun berlekuk. Bagi biji yang sudah dipanggang (roasted) lazimnya saya lihat celah tengah terlihat putih dan bagi biji yang sudah dibuang kulit ari kadang-kadang masih melekat dicelah atau parit biji kopi (Panggabean, 2011. Artikel pagi Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai varieti unggul kopi Arabika yang popular didunia untuk rujukkan semua di Malaysia dan Nusantara.


Secara fizikal biji kopi arabika mudah dibezakan dengan kopi robusta yang masa kini paling banyak ditanam di dunia (Sila lihat foto sebelah). Batang kopi arabika lebih ramping lebih kecil dan lebih pendek dibandingkan robusta. Cabangnya lebih banyak dan daun juga lebih kecil serta lebih ramping. Namun sebaliknya saya dapati kopi arabika lebih besar dengan kulit lebih tebal. Produktiviti buahnya adalah lebih rendah dibanding robusta. Kelebihan arabika dibanding robusta adalah kadar kafeinnya lebih rendah tetapi mempunyai aroma yang lebih kuat. Selain produktivitinya yang lebih rendah didapati kelemahan lain arabika adalah adanya rasa masam yang dominan yang tidak pernah terdapat pada robusta. Namun rasa masam ini boleh diatasi dengan cara mencampur dengan robusta, exelsa, maupun liberika. Cara pencampuran ini akan menjadikan kopi dengan cita rasa sempurna. Sebenarnya tanpa pencampuran pun, cita rasa arabika tetap lebih unggul jika dibanding jenis kopi lain. Didapati rasa masam itu bagi peminat kopi sejati merasakan bahawa kopi yang diminumnya sebenarnya adalah kopi arabika asli. Kopii bukan campuran jika dibandingkan dengan keunggulan aromanya menyebabkan rasa masam arabika itu masih boleh di terima oleh penggemarnya. Disebabkan oleh produktivitinya yang rendah maka kadar permintaan pasaran tidak pernah boleh diimbangi. Ini yang menyebabkan harga biji kopi arabika selalu lebih tinggi dibanding robusta atau jenis kopi lainnya.


Pengembangan jenis kopi arabika kini merupakan varieti 'typical' dan 'bourbon' dimana penurunan melalui kacukan dari kedua varieti tersebut. Diantaranya adalah seperti jenis Caturra, Pacas, San ramon, Sumatra dan Maragogipe. Berbagai varieti tersebut telah terkenal dengan mutu yang baik tetapi sebahagian besar masih rentan terserang perosak dan penyakit. Berbagai varieti kopi arabika yang ada di dunia yang rentan terhadap perosak dan penyakit antara lain seperti Varietas Typica, Bourbon, Tekesik, Kona, Mundo Novo, Mountain, Kent, K7, SL28, SL34, KP423, N39, Jimma, (Harar, Gimmbi), (Yirga Chefe, Limu), Caturra, Catuai, Villa Sarchi dan juga Pacas. Dalam perkembangannya selama lebih dari 50 tahun, kopi jenis arabika memiliki potensi pengeluaran yang sangat tinggi dan relatif tahan terhadap perosak dan penyakit. Beberapa negara telah melakukan perbiakan tanaman kopi jenis arabika diantaranya Colombia, Brazil, India dan beberapa negara di Amerika Tengah.


Berikut berbagai jenis kopi arabika yang ada di dunia yang tahan terhadap perosak dan penyakit untuk rujukkan kita:

(1) Nama Varieti : Catimor

Varieti ini ditanam dibeberapa negara dengan proses seleksi dari kacukan antara Caturra atau catuai dengan Hibrido de timor. Ciri fizikalnya adalah pendek gemuk dan tahan terhadap penyakit daun. Antara Klon seperti Ceiras (Brazil), Cauvery (India), IHCAFE90 dan CR95 (Amerika Tengah).


(2) Nama Varieti : Sarchimor
Juga ditanam dibeberapa negara hasil seleksi dari kacukan antara Villa sarchi dengan Hibrido de timor. Serupa dengan catimor, ciri tanamannya pendek gemuk dan tahan terhadap CLR. Varieti ini terdapat klon Tupi, Obata, dan IAPAR59 (Brazil).


(3) Nama Varieti : Colombia
Juga ditanam dibeberapa negara buatan keturunan catimor. Biji kopinya cukup panjang dan memiliki kualiti yang sangat baik. Varieti ini relatif tahan terhadap serangan CLR dan CBD


(4) Nama Varieti : S795
Popular di India dimana ia hasil seleksi alami antara C. arabica dan C. liberika yang dikacuk silang kembali dengan C. arabika. Relatif tahan terhadap serangan CLR. Memiliki hasil tuaian yang cukup tinggi dengan kualiti sangat baik. Varieti ini juga merupakan salah satu primadona dari India.

(5) Nama Varieti : Ruiru II (Ruiru 11)
Berasal di negara Kenya iaitu jenis F1 hibrid (penyemaian biji manual) antara hasil seleksi catimor dan seleksi klon dari beberapa tanaman yang ciri fizikalnya tinggi. Varieti ini tahan terhadap serangan CLR dan CBD. Fizikal tanamannya agak panjang dan gemuk. Relatif lebih cepat berbuah dan hasil panennya cukup tinggi.


(6) Nama Varieti : Ababuna
Berasal dari negara Ethiopia iaitu jenis F1 hibrid (pemuliaan manual) antara hasil seleksi dari turunan tanaman kopi di Ethiopia dan resisten terhadap CBD



(7) Nama Varieti : Icatu
Berasal dari Brazil iaitu hasil pengembangan seleksi dari penyilangan tetraploid C.canephora dengan C. arabica (Bourbon). Setelah itu dilakukan kacukan kembali dengan varietas mundo novo. Beberapa sifat karakteristik varietas ini diantaranya resisten terhadap CLR, tanaman agak tinggi, mudah terserang pada musim dingin dan kemarau, hasil panen tinggi, dan kualitas biji sangat baik. IAC3282 merupakan salah satu varietas yang lebih cepat berbuah dan berwarna kuning.



(8) Nama Varieti : S2828
Berasal dari India iaitu hasil pengembangan dari proses kacukan antara varieti yang sama. Secara fizikal ia mirip dengan varieti Icatu. Tanaman tinggi, tahan terhadap CLR, hasil panen tinggi, dan kualitasnya baik (Panggabean, 2011).

Bersmabung pada Pert 2. Wasallam.



KOPI ARABICA...BAIK KUALITI...
DI BANYAK NEGARA...DITELITI..
BUAT KACUKAN...TAK HENTI...
KINI PRODUKTIF...HASIL TINGGI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Penelitian Tanaman Pangan,
Bandung,
Indonesia.
(19 Rabiulawal 1435H)

Monday, January 20, 2014

KOPI - VARIETI DI INDONESIA

PENGELUARAN KOPI DUNIA (Coffea arabica) tidak menentu sama ada menurun meningkat saban tahun bergantung kepada banyak faktur. Merujuk kepada statistik FAO saya dapati beberapa negara pengeluar kopi terus berusaha untuk meningkatkan produktiviti kopi melalui penyelidikan dan penggunaan varieti yang baru dimana ia mampu menghasilkan biji kopi lebih banyak dan berkualiti. Pengeluaran biji kopi disebut diukur dengan unit 'bag' dimana setiap satu (1) bag bersamaan dengan 60 kilogram atau 132 pound untuk sistem ukuran kepasaran dunia. Sepuluh buah negara (10) terbesar sebagai pengeluar kopi didunia didahului dengan Brazil (22.5 juta bag), Colombia (10.5 juta bag), Indonesia (6.7 juta bag), Vietnam (5.8 juta bag), Mexico (5.0 juta bag), Ethiopia (3.8 juta bag), India (3.8 juta bag), Guatemala (3.5 juta bags), Ivory Coast (3.3 juta bag) dan Uganda (3.0 juta bag). Sekarang ini Malaysia hanya mampu mengeluarkan kurang dari 70,000 kg atau 1,166 bag sahaja dalam setahun (tiada nombor didunia) daripada kawasan penanaman kopi sekitar 3,250 hektar diseluruh negara (Laporan statistik Jabatan Pertanian 2011). Kopi yang ditanam di Malaysia pun kebanyakannya dari varieti Liberica Coffee (Coffea liberica) yang kurang popular permintaannya didunia berbanding dengan Arabica coffee. Penanaman kopi di negara kita semakin kurang saban tahun kerana kebanyakan petani menukar tanaman tersebut kepada tanaman lain terutamanya kepada kelapa sawit. Ini kerana penanaman kopi kurang menguntungkan dan memerlukan tenaga kerja banyak untuk mengutip biji kopi dan tinjauan saya di beberapa kebun kopi terbiar begitu sahaja. Bagaimana pun negara jiran kita iaitu Indonesia dan Vietnam terus menanam kopi dengaan komersil dan merupakan 'top ten' pengeluar terbesar kopi dunia. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" beberapa varieti kopi yang ada di Indonesia untuk dijadikan bahan rujukkan dan pengetahuan bersama.

Kopi Indonesia pada masa ini telah mendudukki tempat ketiga terbesar di dunia dari segi hasil pengeluaran untuk kopi mentah dan siap proses. Kopi di Indonesia memiliki sejarah panjang dan juga memiliki peranan penting bagi pertumbuhan ekonomi masyarakat tempatan mereka. Indonesia yang mempunyai tanah subur dengan petani yang ramai mengusahakan tanaman kopi sebagai industri penting negara. Varieti kopi yang ditanam dipilih melalui proses penyelidikkan dengan kumpulan Kopi Arabika menjadi tumpuan. Penanaman varieti kopi yang sesuai dengan keadaan setempat lazimnya akan memberikan pulangan yang menguntungkan. Biji kopi dari dua tempat yang berbeza biasanya juga memiliki ciri kualiti kopi yang berbeza sama ada dari aroma, kandungan kafein, rasa dan tahap kemasaman. Ciri-ciri ini tergantung pada tempat pertumbuhan kopi itu dan juga bagaimana proses pemeraman kopi dilakukan dan perbezaan genetik tanaman kopi.

Berikut adalah varieti kopi di Indonesia yang saya petik daripada beberapa pusat penyelidikan di Indonesia iaitu dari (1) Pusat Penelitian Kopi dan Kakao Indonesia (PPKK) Jl. PB Sudirman 90 Jember 68118 - Jawa Timur dan (2) Pusat Penelitian dan Pengembangan Perkebunan (Puslitbangbun) Jl. Tentara Pelajar 1, Kampus Penelitian Pertanian Cimanggu Bogor 16111 - Jawa Barat untuk rujukkan anda:

(1) Andung Sari 2 K
Varieti ini didaftarkan pasa tahun 2010 dengan jangkayat umur ekonomik sehingga 25 tahun. Ia tahan penyakit karat daun (Hemileia vastatrix) dan rentan terhadap serangan cacing nematod (Radopholus similis atau Pratylenchus coffeae). Dari segi potensi hasil, ia mampu mencecah sebanyak 1,595 Kg Kopi Biji sehektar dengan potensi hasil tertinggi sehingga 2,350 Kg Kopi Biji sehektar. Kepadatan penanaman sebanyak 2,000 pokok sehektar dan diuruskan dengan sistem pangkas batang tunggal. Kawasan tanah yang sesuai pada ketinggian penanaman di atas 1,000 m dari paras laut. Penanaman di kawasan yang endemik kepada masaalah serangan parasit nematod perlu menggunakan bahagian batang bawah dari verieti tahan dari serangan tersebut.


(2) BP 308
Varieti yang didaftarkan pada 2004 ini tahan terhadap parasit nematod khususnya jenis Pratylenchus coffeae dan nematod jenis Radopholus similis. Baka ini lazimnya digunakan untuk tanaman 'batang bawah' dalam pengurusan bagi mengawal nematod dan toleran terhadap cekaman kekeringan (Bukan sebagai bahan tanaman untuk menghasilkan biji kopi komersil sehingga tidak ada maklumat diperlukan untuk data citarasa). Ia adalah untuk 'pokok penanti' bagi cantuman (Rootstock plants).


(3)  BP436
Varieti ini didaftarkan pada 2003 dimana ia sesuai untuk kawasan tanah dan iklim basah. Ciri buah agak kecil dengan saiz biji berukuran sedang, rendemen 19,9% dengan potensi pengeluaran hasil diantara 1.7 - 2.1 mt kopi biji sehektar. Kepadatan tanaman sebanyak 1,600 pokok sehektar.


(4) BP534
Varieti yang didaftarkan pada 2003 ini sesuai untuk kawasan yang mempunyai iklim kering mahu pun basah. Ia mempunyai ciri buah kecil dan batang berukuran besar, rendemen 21,4% dan kualiti cita rasa yang baik. Kadar potensi hasil adalah diantara 1.7 - 2.2 metrik tan kopi biji sehektar. Kepadatan tanaman adalah 1,600 pokok sehektar. Varieti ini berstatus: Non- Komersial di Indonesia.


Kopi masak dari varieti terpilih.
(5) BP920
Didaftarkan pada 2003 ia sesuai untuk kawasan iklim basah, memiliki habitus sedang, berbunga agak lambat, biji ukuran sedang, rendemen 19,9%, hasil potensi sebanyak 1.4 - 1.7 mt kopi biji sehektar dengan kepadatan tanaman 1,600 pokok sehektar sahaja. Status: Non Komersial


(6) BP936
Varieti ini juga didaftarkan pada 2003 dimana ia sesuai untuk kawasan yang beriklim kering mahu pun basah, habitus sedang, berbunga agak awal, biji ukuran sedang, rendemen 20,3%. Kadar potensi hasil adalah 1.6 - 2,2 mt kopi biji sehektar dengan kepadatan tanaman 1,600 pokok sehektar dan berstatus Non Komersial.


(7) BP939
Juga didaftarkan pada 2003, varieti ini sesuai untuk kawasan yang ada iklim kering , habitus sedang, berbunga agak awal, biji ukuran sedang, rendemen 21.1%, potensi produksi 1.4 -1.9 mt biji kopi pasar sehektar dengan kepadatan tanaman 1,600 pokok sehektar dan berstatus: Non Komersial.


(8) Andungsari I

Didaftarkan pada 2001, varieti ini adalah mempunyai tahap tahan terhadap karat daun. Sesuai dikawasan yang ada ketinggian sehingga 1,000 m dari paras laut (DPL) dan agak tahan terhadap karat daun untuk ketinggian kurang dari 900 m dari aras laut. Ia verieti yang kurang kimersial.


(10) Andung Sari 1 (BP 426 A)
Varietas Andung Sari 1 yang diambil berasal dari varieti yang diharapkan dengan nombor seleksi BP 426 A, BP 426 A. Ia adalah merupakan salah satu hasil seleksi pokok induk dari populasi varieti Catimor yang diiperkenalkan dari Colombia. Keragaman individu pada populasi tersebut sangat nyata, baik habitus, ketahanan terhadap penyakit karat daun, pola pembuahan dll. Ketika dibuat pemerhatian pada pengeluaran bua pertama dan kedua (1987-1988) dilakukan seleksi individual terhadap sifat daya hasil dan ketahanan terhadap karat daun dimana kemudian terpilih 3 nombor seleksi iaitu BP 425 A, BP 426 A dan BP 427 A.  Meneliti perbezaan sifat morfologi dan sifat agronomi lainnya yang berbeza dengan populasi Catimor keturunan HW 26 (Kartika 1 dan Kartika 2).. Seperti dijangka, varieti BP 426 A merupakan keturunan Catimor H-440 dengan induk dikacukkan (persilangan) varieti Catura vermelho (CIFC 19/1) x Hibrido de Timor CIFC 1343/269. Catimor keturunan H-440 ini banyak ditanam sebagai varieti yang praktikal di Colombia. Penyelidikan terhadap anak benih dilakukan terhadap sifat ketahanan pada keadaan kesuburan tanah dan baja yang minima serta kajian diladang terhadap sifat potensi hasil dan mutu biji yang dilakukan di beberapa kali. Didapati ketahanan terhadap penyakit karat daun yang dilakukan pada aras benih mahu pun di kebun kopi dengan kaedah inokulasi patogen daun di makmal dan kaedah skor di kawasan kebun sebenar di lokasi. Berdasarkan hasil kajian ini, didapati varieti BP 426 A sesuai ditanam pada ketinggian tanah 700 m dpl ke atas. Kopi ini mendapat permintaan baik dikalangan petani dan pengguna. Wasallam!


TANAM KOPI... VARIETI MANA...
JENIS ARABIKA... ATAU LIBERICA...
ADA JUGA... LUWAK MAKANNYA...
IA POPULAR ...DI INDONESIA SAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Aras 5, Chandi Borobodur,
Kabupaten Magelang,
Jawa Tengah,
Indonesia.
(21 Rabiul Awal 1435H)

- Melawat Jojakarta di Magelang pada 16 Mac 2013

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...